Chapter 13

Other Completed 4791

BAB 13

LILIANNA tidak dapat menghalang dirinya daripada berasa terpegun apabila melihat pintu gerbang untuk memasuki sempadan kerajaan Zythor berada di hadapan matanya. Orang awam sedang keluar masuk dari pintu gerbang itu, sama ada menaiki kuda atau pun berkereta kuda. Ada juga yang berjalan kaki. Pagar pintu gerbang itu sentiasa terbuka tidak kira waktu siang atau malam.

Sejak Erkens dan Zythor benar-benar berdamai lima tahun lepas, pintu gerbang sempadan kedua-dua kerajaan itu sentiasa terbuka untuk menerima kunjungan daripada rakyat jelata yang ingin ke kerajaan-kerajaan tersebut. Malam kerajaan yang diberi kuasa autonomi atau terlibat dengan kerajaan kecil yang lain pun boleh bebas keluar masuk kedua-dua kerajaan itu berdasarkan panduan yang diberikan.

Usaha Frederick dan King Arthur yang mahu rakyat mereka yang terpisah kerana perang di antara dua negara itu sudah menampakkan hasilnya. Walaupun pada mulanya masih ada sesetengah pihak yang membantah pendamaian antara dua kerajaan itu, tetapi kini rakyat Zythor sudah boleh duduk di satu tempat yang sama dengan rakyat Erkens tanpa mengorbankan sesiapa. Hubungan import dan eksport kedua-dua kerajaan juga berjaya menaikkan taraf ekonomi mereka.

Kenaikan taraf ekonomi itu dimanfaatkan oleh Frederick dengan menubuhkan beberapa hospital baharu dan rumah-rumah kebajikan untuk mereka yang memerlukan. Lilianna dengar King Arthur turut berbuat perkara yang sama. Selain itu Erkens dan Zythor membaikpulih jalan-jalan yang menghubungkan kerajaan mereka agar rakyat lebih selesa sewaktu melalui jalan tersebut.

“ Kita dah sampai, Lilianna.”

Lilianna menghadiahkan senyuman kepada Handrien yang turut berada di dalam kereta kuda itu. Emily turut mengikutnya ke sini selain daripada beberapa orang pembantu dari istana yang menyertai rombongan ini. Tiga buah kereta kuda dan enam orang pengawal dihantar ke Zythor.

“ Kita masih ada beberapa jam sebelum tiba di istana Raja,” kata Handrien sambil melihat jam yang tersangkut pada kocek kemejanya. “ Sepatutnya ada wakil dari istana Zythor untuk bawa kita berehat sekejap di kawasan ini.”

“Baiklah. Bolehlah mereka berehat sekejap,” ucap Lilianna merujuk kepada para pembantu dan pengawal yang mengekori mereka. Keenam-enam pengawal itu menaiki kuda untuk mengawal kereta-kereta kuda itu. Kereta kuda pertama dinaiki Lilianna, Handrien serta Emily manakala pembantu-pembantu istana itu berada di kereta kuda yang kedua. Barangan mereka semua pula ditempatkan di kereta kuda yang terakhir.

Kereta kuda itu diperlahankan gerakannya sebelum berhenti. Mereka perlu berhenti untuk pemeriksaan sebelum melepasi pintu gerbang itu. Handrien memegang pintu pada badan kereta itu, dia melihat kepada Lilianna.

“ Saya keluar sekejap.”

Lilianna mengangguk. Handrien ada membawa surat rasmi daripada Frederick untuk disampaikan kepada ketua pengawal yang bertugas di pintu gerbang itu. Lelaki itu melompat turun daripada kereta kuda tersebut.

“ Cik Lilianna,” panggil Emily yang duduk di sebelahnya.

“ Ya?”

“ Tentu cik seronok dapat pulang ke sini, kan?” Emily menarik senyum.

Lilianna tersengih. Dia mengangguk. “ Ini tempat kelahiran saya, Emily. Walaupun saya suka tinggal di Erkens tapi Zythor tetap tempat tumpahnya darah saya.”

Pintu kereta kuda itu kembali dibuka. Handrien menjenguk dari luar.

“ Wakil tu dah sampai. Kita dah boleh bergerak ikut mereka.”

“ Baiklah.”

Selepas Handrien lenyap kembali dari pintu itu, barang kali untuk mengatakan sesuatu kepada wakil yang dihantar oleh pihak istana, lelaki itu kembali masuk ke dalam kereta kuda itu. Perjalanan mereka kembali diteruskan.

Lilianna melihat dari dalam kereta kuda itu. Tanpa sedar wajahnya berubah muram apabila menyaksikan situasi di luar. Walaupun baru sahaja lima tahun dia meninggalkan kerajaan ini, tetapi sudah banyak perubahan dapat dilihat olehnya. Perubahan itu membuatkan Lilianna merasa terasing daripada tempat kelahirannya ini. Dia tiada di sini untuk melihat bagaimana perubahan ini mempengaruhi negara yang dia sayangi ini.

Selepas hampir setengah jam, akhirnya mereka berhenti di hadapan sebuah rumah dua tingkat yang dikelilingi taman bunga yang menghijau. Handrien terlebih dahulu turun daripada kereta kuda itu. Tangan kanannya dihulurkan kepada Lilianna, ingin membantu gadis itu. Lilianna menyambut huluran tangan itu.

“ Salahkan gaun saya, terpaksa tolong saya turun.” Lilianna tersengih.

“ Tak apa. Saya dah jemu tengok awak pakai kemeja dan seluar,” balas Handrien.

Kedatangan mereka disambut oleh seorang lelaki yang kelihatan sebaya dengan William, anak tunggal kepada Lord Andrew, bapa saudara Lilianna. Lelaki di pertengahan usia 20 tahun itu kelihatan segak dengan pakaian formalnya.

“ Selamat berkenalan Lady Moyes, Lord Marshall. Saya dihantar oleh Crown Prince Neirin untuk menjemput rombongan ini. Nama saya Caleb Walker,” ucap lelaki itu memperkenalkan dirinya.

“ Terima kasih, Lord Walker. Panggil saya Lilianna sahaja,” balas Lilianna.

“ Baiklah, Lady Lilianna. Izinkan diri cik untuk tidak begitu formal dengan saya juga. Silakan, Lady Lilianna.” Caleb mempelawa mereka untuk masuk ke dalam rumah itu.

Lilianna melihat kepada para pembantunya, termasuklah pengawal-pengawal yang sudah turun daripada kuda mereka. Pemandu kereta kuda masih berada di kedudukan asal mereka.

“ Mari kita masuk dulu untuk makan dan berehat,” kata Lilianna sebelum perhatiannya kembali kepada Caleb. “ Kami boleh tumpang bangsal kuda di sini, kan?”

“ Biarkan sahaja kereta dan kuda-kuda itu di sini. Pihak kami akan tolong bawa mereka ke sana.”

“ Baiklah. Terima kasih, Lord Caleb.”

Lilianna dan Handrien segera mengekori Caleb. Mereka dibawa ke bilik masing-masing untuk berehat. Begitu juga dengan pembantu-pembantu mereka yang lain. Lilianna meminta Emily untuk berada di dalam bilik yang sama sahaja dengannya. Handrien pula ditempatkan di bilik yang bersebelahan dengan Lilianna.

“ Masih ada lima jam untuk rombongan ini untuk tiba di istana yang terletak di Idalia dari sempadan ini. Jadi gunakan peluang ini untuk cik berehat dahulu sebelum menyambung perjalanan ini esok,” Caleb memberitahu.

“ Tapi kalau kami tidak bermalam di sini, kami boleh tiba di sana sebelum menjelang tengah malam,” Lilianna bersuara. “ Bukankah lebih elok sekiranya kami hanya berehat sekejap sahaja di sini dan teruskan aje perjalanan kami?”

“ Cik boleh sahaja berbuat demikian tapi kami, selaku wakil pihak istana ingin pihak Lady Lilianna mendapat layanan yang terbaik daripada kami. Kami fikir cik dan rombongan ini sudah keletihan dan mendapat rehat yang tidak cukup sewaktu berhenti sebelum ini, jadi kami mahu cik betul-betul berehat. Prince Neirin sendiri yang akan menyambut kedatangan Lady Lilianna pada tengah hari esok.”

“ Tapi…”

“ Tak apa, Lilianna,” Handrien mencelah. Dia melihat kepada Caleb. “ Kami terima pelawaan untuk bermalam di sini. Terima kasih, Lord Caleb.”

“ Baiklah. Dalam masa dua jam lagi makan malam akan dihidangkan. Kami akan memanggil kalian selepas ini.”

Caleb segera meninggalkan tempat itu tanpa menoleh lagi. Lilianna melihat kepada Handrien yang sedang berdiri di sebelahnya. Wajah Lilianna sedikit berkerut.

“ Saya fikir sepatutnya kita tiba di istana pada hari ini juga?” duga Lilianna.

“ Saya pun fikir macam tu.” Handrien mengeluh. “ Tak apalah, betul juga kata dia tu. Lebih baik kita bermalam di sini sahaja daripada menyusahkan Prince Neirin untuk menyambut kita di tengah malam.”

Lilianna mengangguk sahaja. Betul juga pendapat Handrien itu.

“ Awak masuklah berehat, Lilianna. Dari pagi tadi lagi awak tak tidur langsung dalam perjalanan kita. Takkanlah awak tak penat?”

“ Baiklah. Jumpa awak lepas ni, Handrien.”

Lilianna dan Emily memasuki bilik mereka. Pintu bilik ditutup perlahan. Bilik yang lebih besar daripada bilik tidur milik Lilianna di Moyes Manor House itu mempunyai ruang tamu di dalamnya. Satu set sofa dan meja kopi berada di dalam bilik itu. Ada suatu pintu di sudut bilik itu. Di dalam bilik itulah baru terdapat katil, almari dan meja solek.

“ Cik, saya boleh tidur sebilik dengan pembantu yang lain. Tak perlulah sebilik dengan cik,” kata Emily seraya matanya melihat sekitar bilik tidur yang kelihatan mewah itu.

“ Apa salahnya awak tidur dengan saya? Katil itu pun besar,” bantah Lilianna. Dia berjalan menghampiri tingkap bilik itu. Dilontarkan pandangannya ke luar.

“ Tapi…”

“ Awak tak sudi tidur sebilik dengan saya ke?” Lilianna ketawa. “ Ini kali pertama tau saya ajak awak tidur dengan saya. Kalau kat rumah mesti kena bebel dengan Butler Harold.”

“ Saya tak biasalah tidur dalam bilik besar macam ni,” Emily serba salah.

“ Awak kenalah biasakan,” balas Lilianna.

Emily terdiam lalu dia mengeluh. Akhirnya dia menarik senyum. Wajah cucu majikannya itu direnung. Sejak gadis itu muncul, dialah ditugaskan untuk menjadi pembantu peribadi Lilianna. Selama dia berkhidmat dengan gadis yang muda beberapa tahun daripada dirinya itu, tidak pernah Lilianna melayannya dengan kasar. Malah gadis muda itu juga pernah mengikutnya melawat adik-adiknya yang berada di rumah kebajikan. Ada-ada sahaja hadiah diberikan oleh Lilianna kepada adik-adiknya itu.

“ Baiklah. Tapi saya tidur di atas sofa, ya? Saya tak akan ganggu cik.”

“ Kalau saya nak awak tidur atas sofa, lebih baik saya suruh awak tidur di ruang tamu sana. Sofa kat sana lagi selesa,” balas Lilianna. Dia berpaling menghadap Emily. Sebelah tangannya diletakkan pada pinggangnya. “ Awak kena tidur atas katil itu dengan sana, okey?”

“ Tapi…”

“ Tak ada tapi-tapi,” Lilianna memotong. “ Baiklah, saya nak tidur kejap. Awak buatlah apa yang awak nak. Kalau awak nak tidur juga, mari tidur dengan saya. Kalau saya bangun dan tengok awak tidur atas sofa tu, siaplah awak.”

Lilianna berjalan ke arah katil yang terletak di tengah-tengah bilik itu. Dia segera membaringkan dirinya di bahagian kanan katil tersebut, meninggalkan bahagian kiri kosong untuk Emily. Matanya dipejamkan. Emily berdiri sahaja di situ tanpa sempat berkata apa-apa.

“ Cik…” Emily merenung kepada cucu majikannya itu dengan rasa tidak percaya. “ Cik belum tukar pakaian lagi…”

Senyap.

Emily menggigit bibir. Matanya sudah terasa berat. Walaupun hatinya kuat menghalang tetapi sesungguhnya dia terpengaruh dengan pujukan Lilianna. Tubuhnya seakan-akan dapat merasai keempukan tilam itu. Wajah Lilianna menunjukkan betapa selesanya gadis itu dengan lenanya sekarang.

“ Err…”

Emily teragak-agak. Tetapi dia tidak dapat melawan rasa mengantuknya. Perlahan-lahan dia mendekati katil itu. Emily menepuk kedua-dua pipinya. Kepalanya digeleng perlahan.

Tak kisahlah!

Akhirnya Emily mengambil juga ruang pada katil yang sudah dikosongkan oleh Lilianna tadi. Saat tubuhnya sudah berbaring sepenuhnya di atas tilam itu, Emily menarik senyum. Tidak pernah dalam seumur hidupnya dia berehat di atas tilam yang empuk sebegini. Walaupun tilam katilnya di bilik pembantu di Moyes Manor House tidak dapat dinafikan keselesaannya, tetapi ianya tidak dapat menandingi tilam ini. Alangkah bagusnya kalau pada setiap malam dia dapat tidur di atas tilam seperti ini.

“ Selesa, kan?” Suara Lilianna berbunyi perlahan pada pendengarannya.

Emily tersenyum malu. Dia mengangguk walaupun dia sedar gadis itu masih memejamkan matanya.

“ Terima kasih, cik.”

Emily seakan dapat merasakan ada senyuman muncul pada wajah gadis itu.

USAI makan malam, Lilianna dan Emily segera kembali kepada bilik mereka diiringi Handrien. Caleb ingin mempersembahkan satu pertunjukan muzik kepada mereka yang dipanggil khas olehnya tetapi Lilianna bernasib baik kerana diselamatkan oleh Handrien. Handrien menolak niat baik Caleb itu dengan mengatakan Lilianna berasa kurang sihat pada malam itu. Caleb yang mula kelihatan tidak selesa terus ingin memanggil doktor untuk berjumpa dengan Lilianna tetapi sekali lagi Handrien menolak, mengatakan Lilianna hanya perlukan rehat sahaja.

“ Maaf menyusahkan tuan,” kata Lilianna. “ Tapi kalau boleh saya ingin berehat sahaja pada malam ini. Tiba-tiba sahaja saya pening kepala.”

“ Tak apa, Lady Lilianna,” balas Caleb. “ Saya yang patut meminta maaf sebab undang cik untuk tengok persembahan ni. Err… makan malam tadi menepati citarasa cik tak?”

“ Makan malam tadi sedap.” Lilianna mengukir senyum. “ Ucapkan terima kasih saya pada tukang masak, ya? Terima kasih untuk Lord Caleb juga untuk layanan baik tuan.”

“ Baguslah, saya risau Lady Lilianna tak selesa aje dengan layanan kami,” kata Caleb sambil tersengih.

“ Risau sangat dia kalau tak layan awak baik-baik.”

“ Hurm?”

Lilianna melihat kepada Handrien yang sedang berjalan di sebelahnya. Terbang sudah situasi yang berlaku tadi daripada mindanya. Wajah Handrien jelas menunjukkan dia tidak begitu gemarkan Caleb.

“ Kenapa awak macam tak suka Lord Caleb?” Lilianna menyoal ingin tahu.

Handrien mengeluh. “ Awak kan tahu saya tak suka orang yang terhegeh-hegeh nak tunjuk baik macam tu? Nampak sangat dia tak mahu awak fikir layanan dia tak elok.”

“ Itu kan tugas dia untuk layan kita dengan baik? Tak ada apa-apalah, Handrien. Lord Caleb tak mahu beri tanggapan tak elok aje pada kita jadi dia mestilah berikan layanan yang terbaik, kan?” pujuk Lilianna.

“ Tapi awak memang tak nak tengok persembahan muzik itu kan?” Handrien tersengih.

“ Itu…” Lilianna ketawa. “ Ikut awaklah nak fikir apa.”

Akhirnya mereka tiba di hadapan bilik masing-masing tetapi Handrien masih tercegat berdiri di sebelah Lilianna. Lilianna mengangkat wajah, melihat kepada Handrien yang lebih tinggi daripadanya. Kedudukan Lilianna rendah sedikit daripada paras bahu Handrien.

“ Ada sesuatu awak nak bincangkan?”

Handrien mengangguk. “ Boleh kita bercakap?”

“ Baiklah. Masuklah, bilik ini ada ruang tamu. Atau awak nak bercakap di dalam bilik awak?”

“ Sama sahaja dengan bilik saya. Tak apalah, kita bercakap kat sini sahaja.”

Lilianna menoleh kepada Emily.

“ Saya bawakan teh untuk cik, mahu?”

Lilianna menggeleng. “ Tak perlu. Maaf, tapi boleh tinggalkan kami berdua sekejap? Awak pergilah ambil angin malam di taman kalau awak mahu.”

“ Baiklah, Lady Lilianna. Saya akan kembali sebelum tengah malam.”

Emily segera berlalu dari situ meninggalkan mereka berdua. Pintu kamar itu dibuka lalu Lilianna mempelawa Handrien masuk ke dalam. Lilianna mengambil tempat di sofa tunggal manakala Handrien melabuhkan punggungnya di sofa panjang, bertentangan dengan gadis itu.

“ Apa yang awak mahu bincangkan?”

“ Awak memang nak teruskan rancangan awak?”

Lilianna tidak terus menjawab soalan itu sebaliknya dia mengambil sedikit masa untuk menenangkan dirinya. Setiap kali Handrien mengutarakan soalan itu, ada suatu rasa tidak enak datang kepadanya.

“ Bukankah dah terlambat untuk tanya soalan itu?” Lilianna menjawab lembut. “ Kita dah nak sampai ke istana Zythor.”

“ Saya tahu, Lilianna. Saya tahu.” Handrien mengeluh.

“ Awak risau, kan?” Lilianna mencari anak mata Handrien. Dia tidak perlukan jawapan daripada lelaki itu. Pandangan mata Handrien menjawab soalannya.

“ Awak masih belum beritahu saya macam mana awak nak siasat pasal kes bapa awak? Macam mana kalau kawan-kawan lama awak cam awak? Mustahil untuk mereka tak dapat lihat awaklah Lilianna yang hilang lima tahun lepas sejak kes itu. Bagaimana pula kalau mereka yang terlibat tahu identiti awak? Saya tak nak awak diserang oleh mereka yang musnahkan keluarga awak pada malam itu, Lilianna. Cukuplah dengan apa yang mereka dah buat pada keluarga awak. Awak ada masa depan, Lilianna. Jangan benarkan mereka musnahkan awak pula.”

Bertalu-talu Handrien melontarkan soalan kepada Lilianna tanpa memberi peluang kepada gadis itu untuk menjawabnya. Riak pada wajah Handrien benar-benar menunjukkan bahawa dia risaukan Lilianna. Jarang Handrien mempamerkan emosinya sebegitu. Seakan-akan Handrien ingin melepaskan apa yang dipendam lama dalam hatinya pada saat ini juga.

Lilianna amat berterima kasih dengan Handrien. Sejak hari pertama mereka berkenalan sehingga sekarang, lelaki itu sentiasa ada di sisinya. Handrien tidak pernah meninggalkannya walau sekecil manapun masalah yang Lilianna sedang hadapi. Handrien adalah penyelamatnya. Disebabkan perkara itulah Lilianna mahu menjadi kuat, mampu berdikari tanpa pertolongan lelaki itu.

“ Handrien,” seru Lilianna dengan nada rendah. Handrien meletakkan sikunya di atas pahanya, kedua-dua tangannya menutup wajahnya. Kepalanya tunduk sahaja ke bawah. Panggilan Lilianna tidak bersambut.

“ Saya tak mahu terus lari daripada masa lalu saya,” sambung Lilianna tanpa menunggu balasan lelaki itu. “ Walaupun saya bahagia tinggal di Erkens dengan datuk dan nenek saya, kawan-kawan baru saya dan awak, tapi saya tak nafikan saya menyesal tinggalkan bapa saya pada malam itu.”

Lilianna mengepal tangan kanannya. Handrien masih belum mengangkat wajahnya.

“ Saya nak tamatkan semua ini. Barulah saya boleh betul-betul bahagia tinggal dengan kamu semua. Ini pilihan saya, Handrien. Kalau boleh saya tak mahu libatkan awak…”

“ Awak jangan nak mengarut!”

Lilianna tergamam apabila tiba-tiba sahaja Handrien menjatuhkan tangannya dan merenung tajam ke arahnya. Wajah cerah Handrien memerah. Lilianna mula kecut perut. Dia tahu sangat itu tanda-tanda Handrien sedang menahan marah.

“ Handrien…”

“ Saya tak akan biarkan awak buat semua ni seorang diri! Saya tahu awak dah mahir kalau nak pertahankan diri awak tapi awak fikir senang ke nak lepaskan diri kalau tiba-tiba aje awak diserang? Macam mana kalau mereka perangkap awak dan bawa awak lari dari sini? Awak fikir saya akan benarkan awak bertindak seorang diri?”

Suara Handrien kedengaran keras pada pendengarannya. Tidak pernah walau sekali pun Handrien bercakap sebegitu dengannya. Lilianna terkejut dengan amarah Handrien tetapi dia tidak boleh menjadikannya alasan untuk dia menarik diri. Dia sedar Handrien amat risaukan dirinya tapi ini adalah masalahnya. Lilianna tidak mahu menyusahkan sesiapa. Lilianna menelan liur, bersedia untuk membalas kata-kata Handrien.

“ Saya…”

“ Jangan ambil mudah perkara ini, Lilianna. Tolonglah…” Suara Handrien mengendur. Renungan yang dirasakan tajam oleh Lilianna tadi juga sudah berubah redup.

“ Awak tak seorang diri dalam hal ini. Jangan fikir awak menyusahkan saya atau sesiapa. Datuk awak benarkan awak datang ke sini walaupun dia tahu awak akan cuba cari pembunuh bapa awak sebab dia percayakan awak. Lord Moyes percaya yang awak akan kembali dengan selamat, bukannya menghilang masa pencarian itu.”

“ Saya tahu, Handrien,” Lilianna bersuara tegas. “ Tapi cukup-cukuplah saya menyusahkan awak. Saya tahu Fred suruh awak lindungi saya tapi saya tak nak awak terlibat dalam hal ini. Saya tak nak jadikan sesiapa mangsa lagi.”

“ Kalau Fred tak minta saya lindungi awak pun, awak tahu yang saya tak akan benarkan awak lakukan semua ini seorang diri awak, kan?”

“ Itu…” Lilianna tak mampu meneruskan apa yang ingin dikatakan olehnya. Ya. Dia tahu Handrien akan tetap menolongnya walaupun tidak diminta oleh sesiapa.

“ Awak tak pernah menyusahkan saya atau sesiapa. Kalau awak berkeras untuk teruskan semua ini seorang diri awak, saya akan bawa awak pulang ke Erkens malam ini juga. Sama ada awak rela atau tidak!”

“ Handrien!”

“ Awak tahu tak kadang-kadang awak ni degil juga?” suara Handrien mendatar.

“ Err… tapi… saya tak nak awak ditimpa bahaya. Saya tak nak awak…”

“ Awak lupa ke awak tengah bercakap dengan siapa ni?” Handrien mengeluh. “ Jangan bandingkan kemahiran saya sebagai First Knight of Honour dengan manusia tak guna yang musnahkan hidup awak tu.”

Lilianna tidak dapat menahan dirinya daripada tersenyum lucu.

“ Awak tahu apa yang membuatkan saya sentiasa tajamkan skil mempertahankan diri saya?”

“ Sebab… minat awak?”

Handrien menggeleng.

“ Maruah saya.”

“ Maruah awak?” Lilianna hairan. Macam mana pula perbualan yang dianggap serius tiba-tiba sahaja boleh menjadi santai begini? Malah amarah Handrien tadi juga sudah reda. Lelaki itu sudah tenang kembali.

“ Harga diri saya bukan pada kebolehan saya bermain pedang atau tidak pernah kalah dalam perlawanan.”

“ Habis tu, awak jadikan apa sebagai harga diri awak?”

Handrien diam buat seketika.

“ Orang-orang yang penting dalam hidup saya, Lilianna.”

Lilianna mengerutkan keningnya. “ Tak fahamlah.”

Apa kaitan maruah dan harga diri Handrien dengan orang-orang yang disayanginya?

“ Orang-orang yang penting bagi saya adalah sesuatu yang tak akan sesekali saya lepaskan dari hidup saya. Mereka adalah perkara yang saya jadikan sebagai maruah dan harga diri saya. Tapi saya tak putus asa bukanlah sebab itu akan mencabar maruah saya.”

“ Jadi…”

“ Saya tak boleh lepaskan mereka, sebab itulah maruah saya.”

Lilianna tunduk merenung lantai. “ Sesuatu yang kita tak akan sesekali lepaskan atau putus asa…”

“ Berbelit untuk difaham, kan?” Handrien ketawa. Dia bangun daripada duduknya.

“ Malam dah makin larut. Lebih baik awak masuk tidur sekarang. Lepas sarapan esok kita akan terus bergerak ke istana Zythor,” Handrien menyambung. Matanya melihat kepada Lilianna yang masih menundukkan kepalanya. Handrien mengeluh. Tangan kanannya diletakkan di atas bahu gadis itu. Lilianna mendongak. Anak mata mereka bertemu.

“ Awak termasuk orang yang penting dalam hidup saya, Lilianna. Saya tak akan biarkan awak seorang diri dalam hal ini. Saya akan bantu awak sedaya upaya saya.”

“ Handrien…”

“ Saya kembali ke bilik saya dahulu. Selamat malam.”

Handrien melemparkan senyuman kepada gadis itu sebelum mengambil langkah untuk meninggalkan kamar Lilianna. Tanpa menoleh lagi dia keluar dari bilik itu. Lilianna masih kekal di tempat duduknya, melihat susuk tinggi Handrien menghilang dari balik pintu.

Sesuatu yang kita tak boleh lepaskan?

Kedua-dua tangan Lilianna memegang loket rantai pemberian bapanya dahulu. Kedua-dua matanya dipejamkan erat. Dia mencari-cari dalam mindanya, apakah perkara yang tidak boleh dia lepaskan walau apa pun yang berlaku? Adakah dia mempunyai perkara itu?

Lantaran penat memerah otak, Lilianna masuk ke dalam kamar tidurnya. Selendang putih miliknya diletakkan pada penyangkut yang berukiran cantik. Dia merebahkan tubuhnya di bahagian kanan katil tersebut. Selepas ini Emily akan kembali dan dia tidak mahu gadis pembantu peribadinya itu bermalam di atas sofa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience