Chapter 8

Other Completed 4791

BAB 8

KEHADIRAN seorang lelaki yang kelihatan sebaya dengan Handrien mengejutkan Lilianna. Dia sedang duduk di bawah sebatang pokok yang redang ketika didatangi lelaki itu. Lilianna segera bangun daripada duduknya. Wajah lelaki yang tidak dikenalinya itu direnung sejenak.

“ Hai,” sapa lelaki itu. Ada senyuman pada wajah itu.

“ Hai…” balas Lilianna perlahan. Ini adalah kali pertama dia melihat remaja lelaki itu. Siapakah dia?”

“ Saya Fred. Kawan Handrien. Nampaknya kita belum pernah berjumpa lagi kan walaupun kita berdua tinggal di rumah ini?”

“ Aaa ya… ya. Saya Lilianna, kenalan Handrien. Maaf, saya tak perasan awak di rumah ini,” kata Lilianna gugup. Remaja lelaki itu tersengih.

“ Boleh saya duduk sebelah awak?”

“ Boleh…”

Lilianna segera mempelawa remaja lelaki itu untuk duduk di bawah pokok redang itu. Dia agak cemas kerana dia tidak menyangka Handrien ada kawan yang sebaya dengannya di rumah agam ini. Setahunya rumah agam ini diduduki mereka kerana delegasi Erkens mempunyai urusan penting dengan raja Zythor. Nampaknya Fred turut terlibat dalam delegasi ini.

“ Bagaimana dengan kaki awak? Masih terseliuh? Maaf, saya tak sempat nak pergi jenguk awak sebelum ini,” kata Fred ramah.

“ Dah sembuh sedikit. Awak tak perlu susahkan diri. Saya dah banyak susahkan orang di rumah agam ini, segan pula saya dengan awak.”

“ Awak tak perlu segan. Lagi pun awak kawan Handrien, kan? Takkan kami nak biarkan awak dalam kesusahan. Handrien kata awak kawan pertama dia di sini.”

Lilianna mengangguk. Dia tersenyum nipis.

“ Kiranya, awak pun berasal dari Erkens?” tanya Lilianna.

“ Ya. Saya muda setahun daripada Handrien, tapi boleh dikatakan kami membesar bersama-sama sejak kecil. Kalau awak nak tahu apa-apa rahsia Handrien, awak boleh tanya saya sahaja,” kata Fred sambil ketawa.

Lilianna turut ketawa, tidak menyangka Fred cepat mesra orangnya.

“ Awak ketawa,” tutur Fred tiba-tiba. Lilianna tergamam buat seketika.

“ Handrien risaukan awak sejak apa yang berlaku antara awak dengan Lord Moyes semalam, awak tahu?” Fred menyambung. “ Baguslah kalau awak dah ceria hari ini.”

Lilianna tersenyum malu. Dia merenung kepada rimbunan pokok bunga yang berada di hadapannya. Haruman daripada kelopak-kelopak bunga pelbagai warna itu menenangkan dirinya. “ Maaf.”

Fred tersengih. Dia turut melihat kepada rimbunan pokok bunga yang menjadi tumpuan Lilianna. “ Jadi, awak dah buat keputusan?”

Lilianna menoleh kepada Fred. Nampaknya Fred tahu mengenai hubungannya dengan Lord Moyes. Tumpuan lelaki itu masih kepada hamparan bunga pelbagai warna di hadapan mereka. Menyedari dia merenung lama ke arah Fred yang baru dikenalinya, Lilianna segera mengalihkan perhatiannya kepada dada langit. Awan tidak kelihatan di langit siang pada hari ini. Hamparan berwarna biru muda yang dilihatnya membuatkan Lilianna merasakan dirinya berada di awang-awangan.

“ Keputusan, eh?” Lilianna mengeluh.

Fred mendongak ke dada langit. Tiada cacat celanya pada langit biru itu.

“ Fred, awak seronok tinggal di Erkens?” Lilianna menyoal perlahan. Matanya masih melekat pada hamparan langit biru itu.

“ Emm… saya boleh katakan saya suka tinggal di Erkens, tempat lahir saya. Mungkin kerajaan itu ada kekurangannya daripada Zythor, tapi Erkens adalah segala-galanya untuk saya. Penduduknya, budaya hidup, makanan tradisional malah pokok-pokok bunga yang menghiasi setiap jalan di Erkens,” balas Fred.

“ Nampaknya, memang susah untuk kita berpisah dengan tempat lahir kita, kan?”

“ Ya,” tutur Fred pendek.

“ Tapi, tak ada salahnya kalau awak nak keluar dari Zythor,” sambung Fred lagi. “ Ini adalah tempat lahir awak, tapi itu tak bermakna awak tak boleh tinggalkan Zythor dan menerokai tempat lain. Luaskan pengetahuan awak. Walaupun awak seorang perempuan, tapi bagi saya sekarang ini bukannya masa untuk layan pemikiran bahawa perempuan hanyalah untuk menjadi isteri dan ibu saya, tak lebih tak kurang. Di Erkens, peluang pendidikan untuk kaum perempuan sudah banyak diadakan. Tetapi bukannya pendidikan formal sahaja penting, pendidikan yang awak dapat daripada pengalaman-pengalaman awak itulah yang paling berharga, sebab setiap pengalaman antara setiap orang adalah berbeza walaupun ada sedikit persamaan.”

Fred diam selepas menyedari dia sudah banyak bercakap. Dia duduk bersandarkan batang pokok rendang itu. Lilianna tersenyum, terhibur dengan kata-kata lelaki itu yang boleh dijadikan pembakar semangat untuknya.

“ Saya sebenarnya teringin untuk mengembara,” kata Lilianna perlahan. “ Malah, saya dah beritahu ayah saya. Selepas saya mahir dalam seni pedang dan memanah, saya akan mulakan pengembaraan saya. Hanya tahu daripada bahan bacaan tak cukup untuk saya. Saya mahukan pengalaman yang sebenar.”

“ Wah!” Fred menoleh ke arah Lilianna. “ Ayah awak tak kisah? Untuk seorang anak gadis bangsawan belajar seni pedang dan memanah, kemudian berhajat untuk keluar mengembara. Yalah, kalau nak diikutkan itu dah keluar daripada norma kaum bangsawan, kan?”

Lilianna mengangguk. “ Anak perempuan daripada golongan bangsawan memang terikat dengan segala jenis protokol. Saya bersyukur sebab ayah beri kelonggaran kepada saya. Ayah tak kisah kalau saya betul-betul berminat nak belajar semua tu. Malah, walaupun umur saya dah 14 tahun tapi ayah masih tak terima mana-mana lamaran daripada keluarga bangsawan lain.”

“ Unik betul ayah awak,” kata Fred sambil ketawa. “ Bukan senang nak cari bapa daripada keluarga bangsawan yang berikan kebebasan pada anak perempuannya.”

“ Ya,” balas Lilianna. Matanya mula bergenang. “ Ayah memang unik.”

Fred yang menyedari perubahan pada wajah Lilianna mendiamkan diri buat seketika. Nampaknya dia ada menyentuh isu sensitif. Bagi Lilianna yang baru sahaja kehilangan bapanya dalam suatu peristiwa yang mengerikan, bukan mudah untuk gadis itu bersikap tabah.

“ Lilianna.” Fred kembali melihat pada langit biru yang terbentang luas di hadapan mereka. Melihatkan langit itu membuatkan dia merindui langit di bumi Erkens.

“ Ya?”

“ Walau di manapun kita berada, langit biru itu tetap sama.”

Angin yang menyapa lembut pipinya terasa menenangkan jiwanya yang kacau. Sebelah tangan Lilianna memegang loket pada rantai yang menghiasi lehernya. Dia bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Fred. Langit biru itu tidak akan berubah. Walaupun dia mengembara dari sempadan Zythor menuju ke sempadan Erkens, langit biru itu akan tetap sama.

“ Tuanku!”

Lilianna tersentak, terkejut dengan jeritan yang kuat itu. Dia melihat kepada salah seorang jeneral yang berada di rumah ini sedang berlari ke arahnya. Wajah jeneral itu kelihatan merah dan peluh membasahi wajahnya, kelihatannya dia seperti menghabiskan masanya dengan bersenam sahaja.

“ Tuanku!”

Jeneral itu berhenti di hadapan Lilianna dan Fred. Lilianna kaget, dia menoleh ke arah Fred yang masih duduk bersandarkan pokok rendang itu.

“ Ya, General Hopkins. Tak perlulah menjerit macam tu, beta dengar,” Fred membalas malas.

Eh?

“ Maafkan patik, tuanku Frederick. Tapi kalau boleh jangan larikan diri dari kamar peribadi tuanku. Lord Curtis sudah bising, arahkan saya cari tuanku sekarang juga,” kata General Hopkins agak termengah-mengah.

“ Kamu pun tolonglah tipu sikit Lord Curtis tu. Beta masih di sini, bukannya dah lari balik Erkens tinggalkan semua kerja pada Lord Curtis.”

“ Tuanku Frederick, tolonglah kawal perangai tuanku tu. Tuanku dah pegang takhta sebagai raja kerajaan Erkens.”

“ Itu panggilan saja kan?” Fred ketawa.

“ Ke.. kejap Fred… awak…” Lilianna kematian kata-kata. Dia mendengar sahaja perbualan di antara Fred dan jeneral itu tetapi apa yang didengarinya seperti tidak masuk akal. Fred dipandangnya dengan rasa tidak percaya.

“ Ya, kenapa Lilianna?” tanya Fred bersahaja.

“ Awak… awak… raja Erkens?”

“ Ya, kenapa?”

Lilianna terpaku di situ. Kepalanya mula terasa pening. Badannya terasa ingin rebah ke tanah pada bila-bila masa sahaja. Pandangannya juga sudah kelihatan berpinar-pinar.

Raja Erkens? Fred? Tak… aku tahu raja baru Erkens tu muda lagi tapi… Fred?

“ Awak…”

“ Eh, Lilianna! Awak nak pengsan ke?” Fred segera mendapatkan Lilianna yang sudah tersandar pada batang pokok.

Lilianna pantas menggeleng. “ Tak... tak…”

“ Lilianna!”

Pemandangan di hadapan Lilianna sudah berubah menjadi hitam. Sayup-sayup dia mendengar suara Fred dan General Hopkins memanggil-manggil namanya.

“ ERGHH…”

“ Lilianna? Awak dah sedar?”

Perlahan-lahan Lilianna membuka matanya. Dia sedang terbaring di atas katil. Handrien sedang duduk di sebuah kerusi bersebelah dengan katil tersebut. Daripada raut wajah lelaki itu, Lilianna tahu sudah lama Handrien berada di situ.

“ Saya okey.” Lilianna bangun daripada pembaringannya. Handrien membantunya membetulkan kedudukan bantal sebelum dia bersandar. “ Terima kasih, Handrien.”

“ Sama-sama. Nah, minum air dulu,” kata Handrien lalu menghulurkan segelas air sejuk kepada Lilianna. Gelas itu bertukar tangan.

“ Dah lama ke awak kat sini?” tanya Lilianna. Minuman itu dihabiskan lalu gelas yang kosong itu diletakkan di atas meja kecil di sebelah katil.

“ Baru aje,” balas Handrien sambil tersenyum sumbing. “ Awak nak makan? Sekarang dah masuk waktu makan malam. Saya boleh pergi ambilkan makanan awak.”

“ Tak apa,” Lilianna menolak lembut. “ Macam mana saya boleh pengsan? Rasanya tadi…”

Lilianna merasakan ingatannya agak kabur. Seingatnya dia sedang berehat di bawah sebatang pokok di halaman rumah agam ini sebelum seseorang datang menghampirinya. Seorang remaja lelaki yang sebaya dengan Handrien. Nama lelaki itu… Fred?

Eh?

“ Fred… tadi saya… tuanku Frederick… alamak apa yang saya dah buat? Saya tak tahu Fred… eh tuanku…”

Lilianna mula cemas apabila mengingatkan kembali apa yang berlaku kepadanya sebelum dia pengsan tadi. Tiba-tiba sahaja remaja lelaki yang dikenalinya sebagai Fred itu dipanggil sebagai… tuanku Frederick? Alamak! Adakah dia akan dihukum? Tapi, dia langsung tak tahu Fred adalah Raja baharu Erkens. Takkanlah dia akan dihukum, kan? Tapi macam mana kalau… arghh!!!

“ Lilianna, bawa bertenang. Fred…”

“ Ha ha ha.”

Baik Lilianna mahu pun Handrien mengalihkan tumpuan mereka kepada arah suara ketawa yang galak itu. Muka Lilianna mula pucat sebaik sahaja dia melihat tuanku baginda Frederick sedang berdiri di muka pintu. Dengan wajah yang jelas menunjukkan dia sedang geli hati, Raja muda itu ketawa.

“ Fred!” Handrien memberi amaran.

“ Maaf, maaf,” kata Frederick dengan sisa tawanya. Dia mengelap air mata yang bertakung disebabkan terlalu asyik ketawa. Dia masuk ke dalam kamar itu lalu menutup pintu.

“ Tu… tuanku…” Lilianna gugup tidak tahu berbuat apa-apa.

Adakah dia patut turun daripada katil? Memohon keampunan daripada raja muda itu?

“ Rileks, Lilianna, rileks. Saya tak mahu kena teranjang dengan Handrien lagi,” kata Frederick apabila melihat gadis itu cemas dengan kehadirannya di situ.

“ Err… teranjang?” Lilianna tertanya-tanya. Dia melihat kepada Handrien yang sedang mengeluh.

“ Jangan buat aku ni macam orang jahat,” kata Handrien. Frederick ketawa lagi.

“ Yalah, kau seorang saja yang berani sepak teranjang aku walaupun aku ni raja kau.”

“ Ehhh?”

Frederick menghampiri katil itu lalu mengambil tempat di birai katil. Senyuman pada wajahnya membuatkan Lilianna tenang sedikit walaupun dia masih ragu-ragu dengan kedatangan raja penakluk kerajaan Erkens itu di situ. Adakah lelaki ini cuba memikirkan hukuman yang sesuai untuknya?

“ Maaf tak berterus terang dengan awak tadi, Lilianna. Nama saya Frederick Alandair de Erkens. Mungkin rakyat di Erkens kenal saya sebagai raja baru mereka tapi saya harap awak anggap saya sebagai kawan yang sama taraf dengan awak sahajalah. Tak perlu berformal, boleh?”

“ Eh… tapi…”

“ Tak payah risau,” balas Frederick bersahaja. “ Lagi pun awak kenal saya sebagai Fred pada mulanya, kan? Bukannya sebagai King Frederick.”

“ Ikut saja cakap dia tu, Lilianna,” Handrien mencelah. Dia buat muka bosan. “ Bukannya nak dengar orang cakap apa. Layankan aje dia ni.”

“ Tak baiklah kau, Handrien. Aku nak ada kawan baru, salah ke?” Frederick ketawa.

Melihatkan kelakuan mereka berdua mengingatkan Lilianna akan hubungan rapat dua orang adik beradik. Seperti tiada jurang di antara seorang yang memegang takhta Raja baharu Erkens dengan seorang anak lelaki kaum bangsawan yang biasanya bersikap berhati-hati untuk tidak menimbulkan rasa tidak senang Raja itu. Baik Handrien mahu pun Frederick bergurau seakan-akan tiada rasa tersinggung dalam hati mereka.

“ Oh ya, Lilianna. Sebenarnya, saya datang nak beritahu awak sesuatu,” kata Frederick tiba-tiba. Tangannya menepis bantal kecil yang dilempar oleh Handrien kepadanya.

“ Sesuatu?” Lilianna tertanya-tanya. Melihatkan perubahan pada kelakuan Frederick daripada bergurau dengan Handrien kepada melihatnya dengan suatu renungan yang tidak ditafsirkan, nampaknya apa yang ingin Frederick sampaikan itu adalah sesuatu yang serius.

“ Ini pasal kes keluarga awak malam lalu.”

Lilianna memegang kemas pada gebar putih yang menyelimuti tubuhnya. Bersedia untuk mendengar apa sahaja yang bakal keluar daripada mulut Frederick. Handrien memerhatikan sahabat sejak zaman kecilnya itu. Nampaknya Frederick sudah mendapatkan maklumat yang baharu.

“ Ada dua mayat lelaki ditemui dalam hutan tidak jauh dari kawasan rumah keluarga awak. Seorang penjual herba yang terjumpa mayat mereka. Mengikut maklumat, paling awal mayat itu berada di dalam hutan itu adalah pada tiga hari lalu.”

“ Tiga… hari lalu?”

Frederick mengangguk. “ Pada malam rumah awak diserang.”

“ Tapi… apa kaitannya mereka dengan…” Lilianna terdiam, tidak tahu bagaimana mahu meneruskan soalannya.

“ Daripada kesan luka pada tubuh mereka, polis syak mereka dibunuh dengan alat tajam atau lebih tepat lagi pedang. Dua pucuk pistol ditemui berhampiran dengan mereka. Apa yang saya siasat, pihak polis syak mereka mungkin ada hubungan dengan kes keluarga awak walaupun perkara itu masih dalam siasatan.”

“ Pistol…” Lilianna cuba mengingati apakah yang berlaku pada malam itu. Tubuhnya menggigil ketika wajah bapanya yang pucat serta tubuh yang berlumuran darah muncul pada matanya. Kepalanya digeleng berulang kali, menghalau bayangan itu.

“ Ada… tiga orang pada malam itu,” kata Lilianna perlahan.

“ Tiga orang?” soal Handrien.

Lilianna mengangguk. “ Berpakaian hitam… apa yang saya ingat salah seorang daripada mereka mempunyai pedang manakala… dua orang lagi memegang pistol. Mungkinkah…”

“ Memandangkan kedua-dua mayat itu kelihatan seperti dibunuh dengan pedang, kemungkinan besar pembunuh yang menggunakan pedang itu membunuh dua orang itu. Awak kata mereka berpakaian hitam, kan? Mayat yang ditemui juga berpakaian hitam,” kata Frederick lagi.

“ Nampaknya, salah seorang sahaja yang masih hidup, yang lain dibunuh,” Handrien mencelah. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh, kelihatannya dia sedang memikirkan sesuatu.

“ Dibunuh? Tapi, kenapa?” Lilianna hairan. Matanya beralih daripada wajah Handrien kepada Frederick silih berganti. Tidak faham dengan situasi yang mengejutkannya itu.

“ Mungkin mereka dibunuh untuk memastikan siapakah dalang yang mengarahkan pembunuhan itu kekal menjadi rahsia. Pembunuh yang berpedang itu mungkin antara orang kepercayaan dalang itu, jadi untuk memastikan mereka tidak pecah mulut, dalang itu mengarahkan mereka berdua dibunuh,” Handrien menyuarakan pendapatnya.

“ Maknanya, ada seorang lagi yang masih hidup? Kalaulah… boleh tangkap dia, tak mustahil, kan?” tanya Lilianna, berharap pihak berkuasa akan dapat menjejaki pembunuh berpedang itu dan menghumbannya ke dalam penjara. Atau lebih baik lagi sekiranya pembunuh itu ke tali gantung.

Tangan Lilianna menggeletar kuat. Hatinya kuat mengatakan pembunuh yang menggunakan pedang itulah yang mencabut nyawa bapanya. Di antara mereka bertiga, hanya lelaki itu yang menggunakan pedang.

“ Tak juga.” Handrien mengeluh. “ Ada kemungkinan pembunuh yang masih hidup itu akan dibunuh juga oleh dalang itu. Tak mustahil seorang pembunuh upahan akan dibunuh oleh dalang itu sendiri untuk memastikan identitinya tidak terbongkar.”

“ Buat masa sekarang, pihak polis masih belum tahu motif pembunuhan tapi sama seperti andaian kita, mereka juga syak dalang di sebalik pembunuhan ini adalah orang daripada golongan bangsawan. Terlalu sedikit bukti yang ditinggalkan, susah untuk tujukan tuduhan itu pada mana-mana suspek yang mungkin terlibat,” kata Frederick. Dia bangun daripada birai katil itu, bergerak ke arah balkoni bilik Lilianna.

“ Awak tak ada nampak wajah mereka? Pada malam itu?” tanya Handrien.

Lilianna menggeleng. Wajah ketiga-tiga pembunuh upahan itu ditutupi dengan kain berwarna hitam. Seluruh tubuh mereka bertutup, hanya mata mereka sahaja yang kelihatan. Suara mereka juga tidak pernah didengarinya sebelum ini. Identiti mereka tersangat misteri.

“ Tak apalah, Lilianna. Kalau ada maklumat terbaru, saya akan beritahu awak. Tapi, saya nak ingatkan awak pada sesuatu.” Frederick menoleh ke belakang, melihat kepada Lilianna. Dia mengukir senyum.

“ Esok kita akan berangkat ke Larreule, ibu negeri Erkens. Awak dah beritahu Lord Moyes, datuk awak, tentang keputusan awak?” sambung Frederick.

Esok…?

Kerana terlalu leka dengan apa yang berlaku pada ketika ini, Lilianna langsung terlupa akan pelawaan Lord Moyes. Sebenarnya Lilianna risau. Risau sekiranya tempatnya bukan di Erkens. Bagaimana kalau ahli keluarga Lord Moyes yang lain tidak menerimanya? Memang benar impiannya adalah untuk mengembara, tetapi pelawaan yang datang secara mengejut ini mengelirukannya.

“ Fred?”

“ Ya?”

Lilianna tahu dia perlu membuat keputusan berdasarkan kata hatinya. Tidak mengira baik atau buruk keputusan itu kepadanya.

“ Awak kata langit di Erkens sama sahaja dengan di Zythor, kan?”

Frederick mengangguk. Senyumannya masih melekat di situ. “ Ya.”

“ Baiklah, terima kasih.”

Lilianna segera turun dari katil, melangkah menuju ke pintu bilik. Handrien yang terpinga-pinga dengan situasi yang tidak difahaminya cuba menghalang Lilianna, beranggapan ada sesuatu yang menganggu fikiran gadis itu. Handrien mengekori langkah Lilianna.

“ Lilianna!” panggil Frederick. Langkah Lilianna terhenti di muka pintu. Dia menoleh ke arah lelaki itu.

“ Lord Moyes ada di bilik tamu.”

Lilianna tersenyum. “ Terima kasih, Fred.”

Tanpa berlengah lagi Lilianna meneruskan langkahnya. Handrien tidak menurutinya. Dia melihat kepada Frederick yang masih berdiri di balkoni.

“ Jarang untuk aku tengok kau cepat mesra dengan perempuan,” getus Handrien sambil tersengih.

Frederick ketawa. “ Mungkin dia boleh jadi adik perempuan kita, kan Handrien?”

Handrien mengeluh tetapi dia masih dengan sengihnya. “ Yalah. Boleh jadi.”

Mata Handrien melekat pada hamparan langit biru yang kelihatan dari luar balkoni. Dia berdiri memeluk tubuh.

Langit yang sama?

Ya. Sentiasa.

Akhirnya Handrien ketawa kecil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience