Chapter 3

Other Completed 4791

BAB 3

RAMBANG mata Lilianna dibuatnya apabila melihat kepada deretan gerai-gerai yang dibuka di sepanjang jalan besar itu. Pelbagai jenis barangan dan makanan dijual di situ termasuklah bunga-bunga daripada pelbagai jenis dan warna, sesuai dengan taraf festival bunga berprestij yang dianjurkan oleh kerajaan Zythor itu. Sejak awal pagi lagi orang ramai sudah memenuhi kawasan festival berikutan tidak masuk terlepas menyaksikan perarakan pembukaan festival itu. Selepas perarakan itu selesai, King Arthur akan merasmikan pembukaan festival yang penuh dengan warna warni itu.

“ Ayah perlu ke tempat raja dulu. Lilia pergilah jalan-jalan dengan Nanny Sophie.”

“ Baiklah ayah. Ayah jangan risau, anak ayah mana ada nakal-nakal.”

Lord Beaumont membantu anak gadisnya itu turun daripada kereta kuda. Beliau tersenyum melihat penampilan Lilianna pada hari ini. Sehelai gaun biru langit dihiasi kuntuman bunga ros putih kecil menghiasi bahagian leher gaun tersebut. Rambut panjang anaknya itu dibiarkan lepas bebas. Sehelai pin reben berwarna putih dikelipkan pada bahagian sebelah kanan kepalanya.

“ Cantiknya anak ayah hari ni,” puji Lord Beaumont. Melihatkan Lilianna membuatkan beliau teringatkan mendiang isterinya. Wajah Lilianna saling tidak tumpah dengan wajah Ophelia.

“ Tengoklah anak siapa,” Lilianna berseloroh. Mereka berdua ketawa.

“ Lilia tahu kan ini warna kegemaran ibu,” kata Lord Beaumont. Tangan kanannya diletakkan pada sebelah bahu Lilianna.

Lilianna mengangguk perlahan. “ Ibu tentu sedang tengok festival ini juga, kan?”

“ Ya. Ayah yakin.”

Lord Beaumont membawa anak gadisnya itu ke bawah sebuah khemah. Nanny Sophie diam sahaja menuruti langkah mereka berdua. Ada beberapa orang kenalan bapa Lilianna sedang berbual-bual di bawah khemah tersebut. Masih tiada bayang rombongan King Arthur di mana-mana. Malah perarakan pembukaan itu masih belum bermula.

“ Lepas King Arthur rasmikan festival ini, ayah perlu ada dengan baginda untuk melawat setiap tapak dalam festival ni. Mungkin dua jam selepas itu, ayah akan datang ke sini. Lilia pun datang jumpa ayah di sini ya?”

“ Tak apalah, ayah. Ayah selesaikan kerja ayah dulu, biarkan saya bebas berjalan-jalan dalam festival ini dulu ya? Ayah nak berlambat-lambat pun tak apa.”

“ Nampak sangat tak mahu berjalan dengan lelaki tua macam ayah, kan?”

Lilianna ketawa lantas memeluk erat lengan kanan bapanya. “ Janganlah merajuk, ayah. Mana ada tua. Ayahlah lelaki paling kacak dan bergaya yang pernah Lilia jumpa!”

“ Betul sangatlah tu. Dah, Lilia jangan nak merayau jauh sangat daripada Nanny Sophie. Lilia dah ambil duit yang ayah letakkan atas meja tadi kan? Guna elok-elok.”

“ Dah.” Lilianna menunjukkan beg berwarna merah jambu yang merentangi tubuhnya. “ Terima kasih, ayah. Bolehlah saya beli makanan banyak-banyak.”

“ Bagus. Ayah pergi dulu ya?” Lord Beaumont memeluk Lilianna buat seketika. “ Nanny Sophie, tolong jagakan Lilia ya?”

Nanny Sophie mengangguk. “ Baiklah, tuan.”

Tanpa berlengah lagi Lord Beaumont segera meninggalkan kawasan khemah itu. Muzik sudah dimainkan oleh kumpulan pemuzik diraja. King Arthur sudah dalam perjalanan ke sini. Kedua-dua sisi jalan raya utama untuk acara perarakan itu sudah dipenuhi dengan orang ramai. Masing-masing kelihatan teruja dan tidak sabar menantikan perarakan itu untuk bermula.

“ Nanny! Cepat! Cepat! Kita kena duduk depan sekali!” Lilianna menggesa. Nanny Sophie tersenyum.

“ Ya, kita geraklah ni.”

Lilianna memegang tangan kanan Nanny Sophie dan membawa pengasuhnya itu keluar dari bawah khemah itu. Mereka berdua terpaksa berhimpit-himpit dengan orang ramai untuk ke bahagian paling hadapan di sisi jalan tersebut. Kemas pegangan tangan Lilianna pada Nanny Sophie, risau sekiranya mereka berdua terpisah dalam kesesakan itu.

“ Nanny, tengok!”

Lilianna menunjuk kepada sekumpulan penari yang sedang mempersembahkan tarian rakyat sebagai pembukaan perarakan itu. Mereka mengenakan gaun longgar paras betis berwarna putih. Selendang merah jambu yang dihiasi dengan corak bunga berada di antara bahu mereka. Lilianna terpegun melihat pergerakan penari-penari tersebut yang lincah menarikan tarian yang diiringi muzik rancak itu. Matanya tertumpu pula kepada deretan pentas bergerak, seperti mana yang dipanggil oleh Lilianna berikutan keadaan asalnya seakan-akan sebuah pentas berbentuk segi empat tepat dan mempunyai roda di bawahnya.

Pentas bergerak pertama itu bertemakan The Garden of Fae, nama yang tertera pada bahagian tepi pentas tersebut. Ada seorang gadis jelita duduk di atas sebuah singgahsana, pakaiannya seperti pakaian Queen Titania yang dilihat oleh Lilianna sewaktu mengikut bapanya pergi melihat pertunjukan pentas The Midsummer’s Night Dream pada musim panas yang lepas. Ada beberapa orang lelaki dan perempuan memakai pakaian pari-pari, menari-nari di atas pentas tersebut. Hiasan pada pentas bergerak itu sesuai dengan tema yang dibawa olehnya.

Mata Lilianna tidak bergerak daripada melihat perarakan yang berterusan di hadapannya. Setiap pentas bergerak itu membawa tema yang berlainan tetapi berkaitan dengan festival bunga ini. Malah ada membawa akuarium besar dengan tema taman laut di dalamnya. Lilianna tidak habis-habis bersorak, gembira kerana berpeluang menyaksikan perarakan pada tahun ini.

Walaupun sebenarnya Lilianna berharap pada tahun ini, dia akan dapat menonton perarakan ini di samping bapanya.

“ Lilianna!”

Lilianna tersentak. Dalam keriuhan orang ramai bersorak kepada perarakan itu, telinganya dapat menangkap seruan namanya. Lilianna menoleh ke sebelah, kepada Nanny Sophie yang sedang khusyuk melihat perarakan tersebut. Matanya meliar melihat ke kiri dan kanan apabila sekali lagi kedengaran namanya diseru, melawan kekuatan sorakan orang ramai di kawasan itu.

“ Lilianna!”

Lilianna terpegun apabila jauh di seberang jalan yang bertentangan dengan tempatnya berdiri, dia melihat suatu wajah yang dikenalinya. Handrien! Remaja lelaki yang ditolongnya pada malam semalam. Handrien sedang berdiri di bahagian hadapan jalan itu, sedang melambai-lambai kepadanya. Lilianna menarik senyum, membalas lambaian itu. Malangnya pandangannya kepada Handrien terputus berikutan dihalang oleh pentas bergerak yang sedang berarak di hadapannya.

Mata Lilianna mencari-cari kelibat Handrien sebaik sahaja pentas bergerak itu hilang daripada pandangannya. Dia sedikit hampa apabila Handrien sudah tiada di situ. Walaupun dia baru sahaja mengenali remaja lelaki itu, tetapi Lilianna gembira kerana dalam kelompok orang ramai sebegini tetapi Handrien mampu mengecam dirinya.

“ Lilianna!”

Tumpuan Lilianna beralih kepada bahagian kirinya. Handrien sedang berdiri di sebelahnya, dengan wajah yang dihiasi dengan senyuman. Lilianna terkejut, tidak menyangka dia akan dapat melihat Handrien di sisinya.

“ Awak?”

Handrien mengangguk. “ Saya sangkakan salah orang, rupanya memang betul awak, Lilianna.”

“ Dah lama ke awak sampai?” Lilianna sedikit menjerit, melawan suara-suara yang kuat bergema di sekelilingnya.

“ Dah! Jom kita berjalan!”

“ Apa?”

Handrien menunduk sedikit bagi menyamakan kedudukan mulutnya dengan telinga Lilianna. Lilianna tergamam, segan apabila remaja itu berbisik pada telingannya.

“ Ini kali pertama saya di festival ini. Awak tak sudi jadi pemandu pelancong saya ke?”

“ Betul?”

Handrien yang kembali berdiri tegak, mengangguk. Lilianna turut sama mengangguk. Dia melihat kepada Nanny Sophie yang berdiri di sebelah kanannya. Nampaknya Nanny Sophie tidak perasan akan kehadiran Handrien. Khusyuk betul Nanny Sophie melihat perarakan yang masih belum selesai itu.

“ Sekejap!”

Lilianna mengeluarkan satu pin rambut miliknya daripada beg silang yang dibawa olehnya tadi. Pin rambut itu diletakkan ke dalam beg yang dibawa oleh Nanny Sophie. Selepas memastikan pin itu sudah selamat masuk ke dalam beg tangan itu, Lilianna menoleh kepada Handrien.

“ Jom,” kata Lilianna.

Handrien mengangguk. Sebelah tangannya mencapai tangan kanan Lilianna sebelum mereka berdua mula meloloskan diri daripada kalangan orang ramai itu. Lilianna tersenyum malu, tidak pernah dia setuju untuk ke mana-mana dengan sesiapa sahaja rakan lelaki yang baru dikenalinya. Tetapi melihatkan Handrien, dia bersetuju sahaja dengan pelawaan remaja lelaki itu tanpa banyak soal.

“ Penatnya! Festival kat sini memang selalu sesak macam ni?”

Handrien bertanya sebaik sahaja mereka berdua berjaya keluar dari kelompok orang awam yang masih belum selesai melihat perarakan itu. Lilianna yang berdiri di sebelahnya mengangguk. Gadis itu membetulkan lipatan gaun yang dipakainya.

“ Awak tak pernah ke sini?” Lilianna kehairanan. Jarang dia bertemu orang yang tidak pernah ke festival bunga Zythor ini memandangkan festival ini memang terkenal di seluruh Zythor. Malah rakyat kerajaan Zythor yang tinggal di sempadan kerajaan ini pun pernah tiba di sini.

“ Ya, tak pernah. Sebab itulah saya perlukan pemandu pelancong. Jadi, apa yang menarik di sini?”

Lilianna diam sejenak, berfikir untuk seketika. “ Kita mulakan dari sanalah.”

Jarinya menunding kepada suatu kawasan jalan raya yang dipenuhi dengan deretan gerai di kiri dan kanannya. Mereka berdua menuju ke kawasan itu, tidak mempedulikan keriangan orang ramai dengan perarakan yang sudah tiba di penghujungnya itu. Lilianna membawa Handrien ke gerai pertama yang dilihatnya, sebuah gerai yang menjual manisan.

“ Awak lapar ke?” Handrien bertanya apabila melihat Lilianna berhenti di gerai itu.

“ Awak nak aiskrim apa?” soal Lilianna tanpa membalas pertanyaan Handrien. Wajah Handrien direnung.

“ Aiskrim?”

“ Awak tak pernah makan ke?” Lilianna kehairanan. Handrien terdiam. Dia berdehem buat seketika.

“ Pernah tapi…” Handrien melihat kepada aneka aiskrim yang berada di gerai itu. “ Sekarang ni masih rendah suhunya walaupun dah masuk musim bunga. Awak nak makan aiskrim?”

“ Sejuk atau tidak bukan penghalang saya makan aiskrim,” Lilianna ketawa. “ Atau awak nak wafel madu? Wafel madu liar Idalia terkenal, tahu? Hanya madu asli sahaja digunakan.”

“ Ikut awaklah.”

Lilianna memesan sebekas aiskrim strawberi dan wafel madu untuk mereka berdua. Handrien leka menyaksikan kemeriahan festival musim bunga tersebut. Pelbagai jenis bunga dipamerkan, berserta produk berasaskan bunga yang bermutu tinggi.

“ Saya hairanlah dengan awak ni,” kata Lilianna tanpa ragu. Mereka berdua masih berada di gerai manisan itu, menunggu wafel itu untuk siap. Aiskrim yang dipesan Lilianna sudah selamat berada di tangannya.

“ Hairan? Kenapa?” Handrien mengalihkan tumpuannya kepada Lilianna.

“ Yalah. Selama awak hidup, awak tak pernah ke festival bunga ini? Awak tinggal di mana, Handrien? Orang yang tinggal di sempadan Zythor pun sanggup bersusah-payah untuk ke sini.”

Handrien terdiam. “ Err… saya sebenarnya…”

Tawa Lilianna membuatkan Handrien diam. Wafel madu yang diletakkan di dalam beg kertas dihulurkan kepadanya oleh Lilianna. Wajah polos itu sedang mengukir senyum.

“ Awak tak beritahu saya pun tak apa. Nah, wafel awak.”

“ Kejap, saya nak ambil duit.” Handrien menyeluk saku seluarnya, ingin mengambil dompet tetapi dengan pantas Lilianna menghalang.

“ Memandangkan ini kali pertama awak ke festival ni, saya belanja awak wafel ni. Tapi, sebagai balasannya awak kena temankan saya ronda seluruh kawasan festival ini, boleh?”

Handrien tersengih. Bungkusan wafel itu diambil daripada tangan Lilianna.

“ Baiklah. Lagi pun saya memang nak awak jadi pemandu pelancong saya, kan?”

Lilianna mengangguk. Dia tersenyum lagi.

“ Umur awak berapa?” soal Lilianna tiba-tiba.

“ Saya? 17 tahun.”

“ Apa?” Lilianna kaget. “ Perlu ke saya panggil awak abang?”

Handrien ketawa. Kepalanya digeleng perlahan. “ Tak perlu. Awak pula umur berapa?”

“ 14 tahun.”

“ Muda tiga tahun aje daripada saya. Tapi kalau awak nak panggil abang pun boleh.”

“ Tak apalah, terima kasih. Dah, jom kita pergi tempat lain pula.”

Handrien ketawa, lucu mendengar respon Lilianna. Mereka berdua beredar dari gerai itu, menuju ke gerai-gerai yang lain. Kemeriahan festival itu menaikkan lagi semangat Lilianna untuk menunjukkan apa yang terbaik di festival itu kepada Handrien. Berada di samping Handrien membuatkan Lilianna merasakan dia sedang berjalan dengan seorang abang. Handrien lebih tua daripadanya, malah remaja lelaki itu juga agak matang. Selain menghabiskan duit dengan membeli makanan, Lilianna turut mengajak Handrien bermain permainan yang diadakan di festival itu.

“ Wah!”

Lilianna berhenti di hadapan sebuah gerai. Langkah Handrien turut terhenti di hadapan gerai itu, mengikut Lilianna. Mata Lilianna tertumpu kepada suatu aksesori berbentuk pedang yang diperbuat daripada kayu. Aksesori itu bersaiz ibu jarinya sahaja. Handrien kenal akan bentuk pedang itu. Dia melihat kepada Lilianna.

“ Itu figura pedang… Marie Idalia II, kan?” Handrien bertanya.

Lilianna mengangguk. Dia tersenyum malu.

“ Awak tahu kan bandar Idalia ini sempena nama srikandi itu?”

Teragak-agak Handrien mengangguk. “ Jadi, kenapa awak nampak gembira sangat dengan aksesori bentuk pedang Marie Idalia ini?”

“ Sebenarnya, dah lama saya menganggumi Marie Idalia II. Hampir seratus tahun dahulu, dialah penggerak utama askar Zythor ketika berperang dengan Erkens. Walaupun dia perempuan, tapi dia berjaya mengalahkan tentera yang lebih kuat daripadanya. Tanpa dia, Zythor mungkin sudah ditawan oleh Erkens.”

“ Awak…” Wajah Handrien berubah kelam. “ Jadi awak kagum dengan Marie Idalia sebab… dia tumpaskan Erkens? Sebab tanpa dia, Zythor akan musnah di bawah Erkens? Itu maksud awak?”

“ Tak adalah.” Lilianna menggeleng. Dia mengukir senyum. “ Saya kagum dengan Marie Idalia sebab, walaupun dahulu peperangan antara Zythor dan Erkens tak dapat dielakkan, tapi Marie Idalia tak akan menyerang secara melulu. Marie Idalia akan sentiasa cuba untuk wujudkan keamanan di antara Zythor dan Erkens sebab bagi dia, dia tidak mahu ada pertumpahan darah yang sia-sia. Selagi peperangan itu boleh dielakkan, selagi itu Marie Idalia akan cuba berdamai dengan Erkens.”

“ Oh… saya…”

“ Awak tahu ada satu sejarah rahsia pasal Marie Idalia?”

“ Rahsia?”

Lilianna mengangguk. “ Tak ramai yang tahu pasal sejarah ini, sebab kerajaan khuatir ada yang akan mengatakan Marie Idalia seorang yang belot. Sebenarnya, Marie Idalia pernah arahkan orang-orang bawahannya rawat rakyat Erkens yang cedera dalam peperangan itu. Malah, ada juga tentera-tentera Erkens yang dirawat walaupun tindakannya itu sebenarnya ditentang keras oleh orang bawahannya.”

“ Sebab itu awak kagum dengan Marie Idalia?”

Lilianna menarik senyum. “ Saya kagum dengan pendirian Marie Idalia. Tidak kira kawan atau lawan, tapi Marie Idalia akan tetap cuba berdamai dengan mereka. Bagi saya, dialah srikandi yang terbaik Zythor pernah ada. Persengketaan antara dua kerajaan tak menjadi penghalang untuknya menjadi seorang manusia yang tidak lupa bahawa musuh juga berdarah merah sama sepertinya.”

“ Lilia…”

Sekali lagi kata-kata Handrien disekat lantaran Lilianna tiba-tiba sahaja ketawa.

“ Sebenarnya, saya teringin nak belajar seni pedang. Nampaknya, saya kena paksa ayah saya untuk segera carikan guru pedang untuk saya.”

Handrien menggelengkan kepalanya. Terhibur dengan apa yang diceritakan oleh gadis itu.

“ Encik, berikan saya aksesori ini,” kata Handrien kepada penjual di gerai itu. Penjual lelaki itu segera membalut aksesori pedang itu di dalam sebuah beg kertas. Beg kertas itu dihulurkan kepada Handrien.

“ Nah, untuk awak.”

“ Eh, tapi awak tak perlu…”

“ Ambil. Anggaplah ini upah sebab bawa saya jalan-jalan di festival ini,” tegas Handrien.

“ Tapi…”

Handrien tersengih. “ Kalau tak pun, anggaplah pedang ini sebagai penguat semangat awak. Awak nak jadi srikandi seperti Marie Idalia kan? Jadi, lepas ini bila awak dah mula belajar seni pedang jangan lupa akan semangat awak itu.”

Tangan kanan Lilianna diambil lalu Handrien letakkan di atas tapak tangan gadis itu. Lilianna merenung kepada wajah remaja lelaki yang baru dikenalinya itu. Dia mengukir senyum, terharu dengan apa yang Handrien katakan kepadanya.

“ Terima kasih, Handrien.”

“ Sama-sama.”

Bunyi alat muzik dimainkan berhampiran dengan mereka menarik perhatian Lilianna dan Handrien. Sekumpulan manusia mengelilingi arah alat muzik itu dimainkan. Lilianna segera menyimpan hadiah pemberian Handrien itu di dalam beg tangannya sebelum menarik Handrien ke arah bunyi muzik itu.

“ Apa tu?” Handrien bertanya sebaik sahaja mereka tiba di tempat itu.

Beberapa orang awam sedang menari di atas hamparan kelopak-kelopak bunga yang terdiri daripada pelbagai warna. Pergerakan kaki mereka menyebabkan kelopak-kelopak bunga itu berterbangan di sekitar mereka. Wajah masing-masing menggambarkan keseronokan.

“ Itu tarian rakyat! Jom kita cuba. Awak tentu belum pernah menari, kan?”

“ Eh, tak apalah. Saya okey je…”

Belum sempat Handrien sepenuhnya membantah cadangan yang dirasakan mendadak itu, Lilianna sudah menariknya ke tengah-tengah hamparan kelopak bunga itu. Kedua-dua tangannya dipegang oleh gadis itu. Berpusing-pusing dibuatnya Handrien kerana mengikut langkah tarian Lilianna.

“ Lilianna!”

“ Apa?”

Lilianna masih dengan tariannya. Sambil kaki dan tubuhnya bergerak serirama dengan alunan muzik tradisional itu, tangannya tidak lupa untuk turut sama bergerak mengikut tariannya. Kedua-dua tangan Handrien dilepaskan. Sorakan penonton di kawasan tarian itu semakin lama semakin kuat. Apatah lagi dengan kehadiran gadis bangsawan yang tidak segan silu menari bersama-sama rakyat biasa. Kelopak bunga berterbangan di sekitar tubuh gadis itu.

“ Menarilah, Handrien! Ikut sahaja gerak tubuh awak!”

Handrien yang pada mulanya teragak-agak untuk turut serta menari, diagah oleh beberapa orang lelaki yang sedang menari di hamparan kelopak bunga tersebut. Mahu tidak mahu Handrien menari juga, membiasakan tubuhnya seiring dengan irama muzik dan pergerakan tarian yang sedang dipamerkan oleh Lilianna. Senyumannya terukir sebelum senyuman itu bertukar kepada ketawa. Lilianna turut sama ketawa melihatkan Handrien yang kelihatan kekok.

“ Wah!”

Lilianna berhenti sejenak lalu merenung ke langit. Kelopak bunga berwarna merah dan putih turun dari langit seperti titisan hujan membasahi bumi. Peristiwa itu menambahkan kemeriahan festival musim bunga tersebut. Orang ramai mula menari di bawah hujan kelopak bunga tersebut, tidak terhad kepada mereka yang sedang menari tadi sahaja. Tiada kesedihan pada hari ini. Hanya kegembiraan sahaja dirasakan oleh mereka yang mengunjungi festival bunga tersebut.

“ Handrien! Menari lagi!”

Lilianna kembali menari apabila menyedari irama muzik sudah semakin rancak. Handrien tidak menari kembali sebaliknya dia memerhatikan sahaja gadis muda yang baru sahaja dikenalinya itu. Melihatkan hujan kelopak bunga turun dari langit membuatkan Lilianna kelihatan seperti pari-pari yang sedang menari di sebuah taman bunga.

Tepukan gemuruh bergema sebaik sahaja muzik habis dimainkan. Lilianna agak tercungap-cungap, mula terasa penat setelah menggunakan terlalu banyak tenaga ketika menari tadi. Handrien menghulurkan sebotol minuman yang baru dibelinya kepada gadis itu.

“ Terima kasih.”

Mereka berdua duduk di atas pinggiran kolam air pancut besar yang terletak tidak jauh dari kawasan itu. Hujan kelopak bunga tadi menyebabkan kolam itu turut sama dipenuhi dengan kelopak bunga. Cantik sahaja pada mata mereka.

“ Leka betul awak menari tadi,” kata Handrien, dia cuba menahan sengih.

“ Puas hati saya! Dah lama saya tak menari seperti ini,” balas Lilianna. Wajah putihnya kemerah-merahan kerana kepenatan. Peluh menitik daripada dahi gadis itu.

“ Ayah awak tak kisah awak ikut sama menari tarian rakyat? Yalah, biasanya anak gadis bangsawan dikawal rapi perlakuannya. Perlu sentiasa bersopan santun.” Handrien menyuarakan apa yang dihairankan olehnya. Ketika melihat Lilianna menari tadi, dia merasakan ini bukan kali pertama gadis itu berbuat sedemikian.

Lilianna menggeleng perlahan. “ Itu anak gadis bangsawan lain. Saya berbeza tau, ayah saya tak kisah asalkan saya tak buat perkara yang memalukan dia. Lagi pun, apa salahnya saya menari tarian rakyat di tempat awam sebegini? Orang daripada keluarga bangsawan pun manusia juga kan? Tarian rakyat lagi menyeronokkan daripada tarian waltz.”

Kata-kata gadis itu membuatkan Handrien ketawa. Tidak menyangka dia akan mendengar seorang gadis bangsawan berkata sedemikian rupa. Lilianna bukanlah gadis bangsawan yang dijaga rapi seperti mawar berduri. Dia seorang gadis yang bebas, tidak terikat dengan satu fahaman sahaja. Nampaknya bapa Lilianna juga memainkan peranan dalam peribadinya yang bagaikan burung layang-layang itu.

“ Kenapa ketawa?”

“ Tak apa-apa.” Handrien mematikan tawanya. Suatu perkara terlintas dalam mindanya. “ Lilianna?”

“ Ya?”

“ Tadi sebelum kita beredar dari perarakan itu, kenapa saya tengok awak masukkan sesuatu dalam beg pengasuh awak?”

“ Oh, itu.” Lilianna meletakkan botol minuman itu di sebelahnya. “ Biasanya, kalau saya pergi dari sisi pengasuh saya tanpa sempat beritahu dia, saya akan tinggalkan satu barang saya dalam beg dia. Simbol sebagai saya akan pergi merayau, minta dia jangan risaukan saya. Yalah, kalau saya beritahu terus tentu pengasuh saya tak beri.”

“ Lepas tu, awak tak kena marah ke?”

Lilianna tersengih. “ Mestilah kena bebel. Tapi pengasuh saya pun tak boleh buat apa, sebab saya memang suka tiba-tiba aje merayau ke sana sini…. Alamak!”

“ Kenapa?” Handrien tergamam apabila tiba-tiba sahaja gadis itu kelihatan terkejut.

“ Sekarang… dah berapa jam sejak perarakan tadi?” Wajah Lilianna berubah pucat. Dia merenung Handrien cemas.

“ Dah hampir tiga jam. Kenapa?”

“ Alamak!”

Lilianna melompat daripada duduknya. Kedua-dua tangannya diletakkan pada kepalanya, wajahnya kelihatan semakin cemas. Handrien bangun daripada pinggiran kolam air pancut tersebut, semakin hairan dengan perubahan pada wajah gadis itu.

“ Lilianna, kenapa…”

“ Saya patut jumpa ayah saya dua jam lepas perarakan tu! Habislah! Ayah tentu risau!”

Punyalah seronok Lilianna bergembira di festival itu dengan Handrien sehinggakan dia terlupa akan pesanan ayah yang akan bertemu dengannya kembali di bawah khemah tadi.

“ Ayah awak… marah?”

Pantas Lilianna menggeleng. “ Ayah takkan marah cuma… saya tak suka buat ayah risau. Tentu ayah tercari-cari saya tadi. Nampaknya saya perlu pergi sekarang.”

“ Tak apalah,” kata Handrien, cuba menenangkan Lilianna. “ Saya pun perlu pergi sekarang. Dah lama saya luangkan masa di festival ini. Terima kasih, Lilianna. Sudi temankan saya.”

“ Awak pun sama,” balas Lilianna. Wajahnya sudah kembali tenang. “ Nanti, kita akan jumpa lagi okey? Kat mana rumah keluarga awak? Mungkin saya kenal ahli keluarga awak?”

“ Oh itu…” Handrien terdiam. Dia tersenyum hambar. “ Kalau ada jodoh, kita akan jumpa lagi. Selamat tinggal, Lilianna.”

“ Handrien?”

Handrien mengusap kepala Lilianna sebelum segera beredar dari tempat itu. Lilianna agak tergamam dengan perlakuan Handrien. Kelihatannya seperti ada sesuatu sedang disembunyikan oleh lelaki itu. Melihatkan belakang tubuh Handrien yang sedang berjalan menjauhi dirinya, menuju ke suatu arah, membuatkan Lilianna merasakan lelaki itu terasa asing daripadanya. Lilianna menggeleng berulang kali.

“ Jangan risau. Kita akan jumpa lagi.”

Tanpa berlengah Lilianna turut beredar dari kawasan kolam air pancut itu. Dia perlu segera mendapatkan ayah. Lilianna tidak mahu ayah panik mencarinya, apatah lagi dia tidak memberitahu Nanny Sophie ke manakah dia pergi tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience