Chapter 6

Other Completed 4791

BAB 6

DULANG yang berisi semangkuk bubur, segelas susu dan air sejuk itu dibawa Handrien ke bilik Lilianna. Setibanya dia di bilik itu, dilihatnya gadis itu sedang duduk bersandarkan kepala katil. Pandangannya dilontar ke luar tingkap. Bagi Handrien tiada apa yang menarik di luar sana memandangkan cuaca pada hari ini mendung. Hujan renyai-renyai sedang turun tanpa berhenti. Tapi mungkin bagi Lilianna, cuaca di luar sana sama seperti apa yang sedang bergolak dalam hatinya.

“ Mari makan, Lilianna,” tegur Handrien.

Handrien mengambil tempat duduk di birai katil. Dulang makanan itu diletakkan di atas ribanya. Lilianna mengalihkan sedikit kedudukannya. Mangkuk yang berisi bubur itu dicapai tatkala dihulurkan oleh Handrien. Tanpa berkata apa-apa gadis itu menikmati bubur yang dibawa olehnya.

Selepas kejadian semalam, Lilianna terus membisu sebaik sahaja dia sedar pada pagi tadi. Tatkala Doktor Brown memeriksa keadaannya, dia hanya menjawab soalan doktor itu dengan anggukan atau gelengan. Kedua-dua mata itu seakan-akan sudah hilang sinarnya. Tetapi Handrien agak lega kerana Lilianna tidak lagi menunjukkan tanda-tanda ingin melarikan diri dari kawasan rumah agam ini.

Hanya separuh sahaja bubur itu dihabiskan oleh Lilianna. Handrien sabar sahaja sewaktu menghulurkan minuman kepada gadis itu. Dia tidak ingin memaksa gadis itu untuk terus makan sekiranya Lilianna tidak mahu. Sekurang-kurangnya Lilianna tidak menolak makanan seperti semalam. Seperti tadi, Lilianna menyambutnya tanpa berkata-kata.

Banyak soalan yang ingin ditanya oleh Handrien tetapi dia terpaksa menahan dirinya terlebih dahulu. Memastikan Lilianna kembali pulih adalah tanggungjawabnya juga, bukan tanggungjawab Doktor Brown sahaja. Dalam keadaan Lilianna yang sedemikian, keadaan hanya akan bertukar dengan lebih buruk sekiranya dia memaksa gadis itu untuk bersuara.

Usai Lilianna menghabiskan minumannya, Handrien segera mengemas apa yang patut di atas dulang itu. Sebelum dia beredar dia ingin menyerahkan sesuatu kepada Lilianna. Wajah Lilianna dipandang lama.

“ Saya ada nak berikan sesuatu pada awak.”

Lilianna merenungnya tanpa riak. Tetapi gadis itu tetap menadah kedua-dua tangannya. Tangan Handrien menyeluk saku seluarnya sebelum meletakkan barangan itu dalam tadahan gadis tersebut. Mata Lilianna kelihatan bergenang sebaik sahaja dia melihat apakah barang pemberian Handrien itu.

Rantai berloket bulat dan aksesori rambut berbentuk pedang.

“ Pembantu rumah serahkan selepas mereka bersihkan tubuh awak malam itu. saya lupa nak berikan pada awak semalam. Barang tu…” Mata Handrien tertumpu pada barangan itu sebelum beralih kepada wajah Lilianna. “ … penting pada awak kan?”

Dalam diam gadis itu mengangguk perlahan. Kedua-dua mata gadis itu dipejam rapat sebelum air mata Lilianna mengalir menuruni lekuk pipi. Lilianna mengenggam erat kedua-dua barangan itu lalu dibawa rapat ke dada. Lilianna menangis dalam diam. Handrien mengetap bibirnya geram. Memikirkan siapakah yang bertanggungjawab membuat gadis yang dikenalinya sebagai seorang yang ceria kepada gadis yang murung sebegini.

“ Saya ada, Lilianna. Awak tak berseorangan.”

Handrien terus beredar dari bilik itu, merasakan Lilianna tidak mahu diganggu oleh sesiapa. Pada saat dia melangkah keluar dari muka pintu, Handrien yakin dalam sayup-sayup dia mendengar Lilianna mengucapkan terima kasih kepadanya.

Handrien turun ke tingkat bawah. Lord Moyes yang baru tiba dari Idalia menjadi tumpuan Handrien. Lelaki yang berpangkat datuk kepadanya itu adalah salah seorang pembantu raja Erkens sejak zaman pemerintah mendiang bapa Frederick lagi. Kebolehan yang lelaki tua itu miliki dalam urusan pentadbiran membuatkan beliau selalu disanjung tinggi oleh rakan sekerjanya.

“ Lord Moyes,” sapa Handrien.

Lord Moyes menghentikan langkahnya. “ Handrien. Tuanku Frederick berada di kamar baginda?”

“ Ya. Tuanku baginda baru pulang dari melawat kawasan pertanian utama di pinggir Idalia. Tuan mahu berjumpa dengan tuankukah?”

Lord Moyes mengangguk. “ Ada sedikit perkara yang perlu saya bincangkan dengan tuanku. Kamu tiada kerjakah hari ini?”

“ Tak ada. Tuanku Frederick arahkan saya tinggal di rumah sahaja.”

“ Kamu tentu bosan, kan?” Lord Moyes ketawa perlahan. “ Nanti kalau ada masa, saya teringin nak tengok kehebatan kamu bermain pedang. Datuk kamu selalu bising, katanya kamu masih belum mahir. Tapi saya fikir kebolehan kamu setaraf permainan pedang datuk kamu ketika muda.”

Handrien tergelak tatkala mendengar komen Lord Moyes mengenai datuknya. Lord Moyes adalah sahabat baik datuknya, Lord Marshall sejak mereka berdua mula menjawat jawatan dalam pentadbiran kerajaan. Perangai kedua-duanya sama sahaja tidak berubah sejak dahulu lagi. Gemar mengusik.

“ Datuk memang macam tu. Takkanlah dia nak banggakan cucunya sendiri,” balas Handrien.

Lord Moyes masih lagi dengan tawanya. “ Baiklah. Kamu janji dengan saya, Handrien. Suatu hari nanti, hiburkan saya dengan seni pedang kamu.”

“ Baiklah, Lord Moyes.”

Lelaki tua itu meneruskan langkahnya. Walaupun umurnya sudah mencecah 80-an tetapi beliau masih mampu untuk berjalan tanpa menggunakan tongkat. Malah lelaki yang sudah berusia itu juga sering kali menyertai sukan-sukan yang dianjurkan oleh istana setiap kali ada festival diadakan. Jika datuknya mahir dalam seni pedang, dahulu Lord Moyes pula terkenal dengan kebolehannya dalam seni memanah. Bak kata neneknya, datuk dan Lord Moyes adalah dua jejaka yang menjadi kegilaan gadis-gadis bangsawan sewaktu mereka dalam pencarian suami untuk meneruskan keturunan bangsawan mereka.

“ Oh ya, Handrien.” Lord Moyes berhenti berjalan, tumpuannya kembali kepada Handrien yang masih belum meninggalkan kawasan itu. “ Bagaimana dengan gadis yang kamu selamatkan itu? Saya dengar dia cuba nak melarikan diri semalam. Adakah emosi dia tak stabil?”

“ Pasal itu…” Handrien mengeluh. “ Nampaknya begitulah. Mungkin impak bapanya mati sebab pembunuhan membuatkan dia tak tentu arah. Tapi hari ini saya lihat emosinya sudah bertambah stabil.”

“ General Hopkins ada beritahu juga pasal kes yang berlaku di pinggir Idalia tapi saya tak dengar butiran yang lebih mendalam. Kamu syak itu keluarganya?”

“ Ya. Saya dah pasti, tuan. Cuma setakat ini dia masih belum ceritakan apa-apa pada saya.”

“ Mungkin saya patut jenguk dia. Yalah, memandangkan dia lebih muda daripada kamu, nampaknya dia boleh dianggap sebagai cucu,” tutur Lord Moyes. “ Siapa namanya? Kamu tahu?”

Handrien mengangguk. “ Lilianna Beaumont.”

Lord Moyes terdiam. Wajahnya berubah riak saat mendengar nama itu. Kening Handrien hampir bertaut, hairan dengan perubahan pada wajah Lord Moyes. Kenapa lelaki tua itu kelihatan terkejut saat mendengar nama penuh Lilianna?

“ Lord Moyes? Tuan tak apa-apakah?”

Lord Moyes berdehem perlahan. “ Tak… tak ada apa-apa. Saya akan pergi jenguk dia nanti. Baiklah, Handrien. Saya mahu jumpa tuanku Frederick. Jumpa nanti.”

“ Baiklah.”

Handrien melihat pemergian Lord Moyes dengan suatu perasaan syak wasangka. Jelas pada matanya bagaimana muka Lord Moyes berubah selepas dia memberitahu nama Lilianna. Adakah lelaki tua itu mengenali gadis itu? Tapi mustahil. Mereka berdua tinggal di kerajaan yang berlainan. Mungkin nama itu mengingatkan Lord Moyes pada seseorang yang pernah dikenalinya. Mungkin.

Kakinya diatur ke koridor luar. Hujan masih turun renyai-renyai. Entah bilalah hujan ini akan berhenti. Nampaknya, cuaca pada hari ini seiring dengan perasaan Lilianna.

“ HANDRIEN.”

Sapaan oleh suara yang dikenali Handrien itu membuatkan dia terus menoleh. Tidak jauh dari kedudukannya, Lilianna sedang berdiri dengan wajah yang kelihatan keletihan. Tetapi ada satu senyuman nipis pada wajah pucat itu. Handrien segera berhenti daripada latihan seni mempertahankan dirinya. Pedang yang berada di tangan tangannya dimasukkan ke dalam sarung.

“ Lilianna, awak dah sihat?” tanya Handrien gusar.

Perlahan sahaja gadis itu mengangguk. “ Saya menganggu awak ke?”

Pantas Handrien menggeleng. “ Marilah duduk,” ajak Handrien sambil menunjuk ke arah satu set kerusi taman yang terletak tidak jauh daripada mereka. Lilianna mengikuti langkah Handrien.

Handrien mempelawa Lilianna duduk di sebuah kerusi sebelum dia mengambil tempat bertentangan dengan gadis itu. Wajah gadis itu direnung lama. Walaupun Lilianna tidak seceria seperti sebelumnya tetapi suatu perasaan lega membuatkan Handrien sudah mampu duduk dengan tenang. Handrien sebenarnya terkejut apabila mendengar Lilianna muncul di hadapannya sedangkan pada tengah hari tadi gadis itu masih belum mahu bercakap dengannya.

“ Awak turun dari tingkat atas, kaki awak dah tak apa-apa ke?” tanya Handrien risau. Setahunya sebelah kaki Lilianna terseliuh. Tentu sukar untuk gadis itu berjalan menuruni tangga untuk tiba di kawasan taman di rumah agam ini.

“ Masih sakit sikit, tapi saya boleh tahan sakitnya.”

“ Baguslah kalau macam tu,” Handrien mengukir senyum.

Lilianna mengangguk sahaja. Wajahnya berubah muram.

“ Kenapa, Lilianna?”

“ Saya sebenarnya… rasa bersalah dengan awak,” tutur Lilianna perlahan. Wajahnya ditundukkan daripada melihat kepada Handrien. “ Saya dah susahkan awak dengan semua ini.”

“ Jangan risau. Bagaimana kalau orang lain yang jumpa awak malam tu? Saya risau awak diapa-apakan sahaja, Lilianna. Lagi pun awak bukannya orang lain. Kita dah berkawan, kan?”

“ Ya tapi… apa yang jadi malam tu…” Lilianna terdiam. Tidak pasti adakah dia ingin meneruskan kata-katanya. Sudah berhari-hari dia menyimpan semuanya sendiri, kecuali malam semalam ketika dia cuba untuk melarikan diri dari rumah agam ini. Semakin lama apa yang disimpannya itu membuatkan dadanya terasa sesak.

“ Awak nak ceritakan apa yang jadi?” lembut tutur kata Handrien. Wajah Lilianna direnung.

Teragak-agak Lilianna mengangguk. Kedua-dua tangannya digenggam kuat.

“ Malam tu… ada… tiga orang pembunuh upahan…”

Lilianna meneruskan ceritanya. Walaupun penceritaannya banyak tersekat lantaran peristiwa pahit itu akan membuatkan dia tidak tentu arah, tetapi Lilianna menggagahkan diri untuk menghabiskan ceritanya. Jika tidak Lilianna tidak tahu bilakah pula dia akan mempunyai kekuatan untuk meluahkan semuanya kepada Handrien.

Lilianna tahu Handrien risaukan dirinya. Walaupun mereka baru sahaja berkenalan tetapi Lilianna dapat melihat keikhlasan Handrien sepanjang dirinya dirawat di rumah agam itu. Lilianna juga rasa bersalah kerana meledakkan kemarahannya kepada Handrien malam semalam.

“ Jadi… awak larikan diri sebab ayah awak?”

Perlahan sahaja Lilianna mengangguk. Kepalanya tunduk merenung kaki meja taman itu.

“ Awak ada suspek yang awak fikirkan? Yang hantar pembunuh upahan tu?”

Lilianna menggeleng. “ Ayah baik dengan semua rakan sekerjanya, raja juga selalu guna pendapat ayah jadi saya tak tahu… kalau-kalau ada orang yang tak senang dengannya.”

“ Awak nak teruskan hidup awak macam mana?”

Soalan Handrien membuatkan Lilianna terdiam. Dia masih belum memikirkan soal itu lagi. Baru sahaja beberapa hari peristiwa hitam itu menyebabkan dia kehilangan bapanya. Lilianna masih dihantui dengan perasaan terkejut, kadang-kala dia tidak dapat mempercayai apakah yang telah terjadi. Pertanyaan Handrien membawanya kembali ke alam realiti.

Dengan keadaan bapanya yang telah tiada, rumah agam keluarganya dibakar dan kemungkinan dirinya akan dijadikan sasaran pembunuh-pembunuh itu sekiranya dia bebas di luar, bagaimana dia dapat meneruskan hidupnya di Idalia? Adakah dia perlu berpindah ke kawasan yang jauh dari Idalia? Mungkin perkampungan kecil di sempadan Zythor akan menjadi kediaman baharunya?

“ Saya… tak tahu,” akui Lilianna. “ Buat masa sekarang, mungkin saya akan lari dari Idalia. Saya tak mahu… ditangkap pembunuh itu kalau saya masih tinggal di sini. Nampaknya, satu-satunya pilihan saya adalah memulakan hidup baru di sempadan Zythor.”

“ Awak yakin itu apa yang bapa awak harapkan untuk awak?” Handrien menduga.

Apa yang dinyatakan oleh Lilianna itu tiada salahnya tetapi untuk seorang gadis yang berasal daripada keluarga bangsawan untuk memulakan hidup di sebuah kawasan kampung seorang diri, Handrien yakin Lilianna tidak dapat membiasakan dirinya pada permulaan itu. Walaupun Lilianna agak lasak dan lincah berbanding anak-anak gadis bangsawan yang lain, tetapi Handrien tidak dapat menolak kemungkinan bahawa gadis itu tidak biasa hidup berdikari.

“ Apa yang ayah saya harapkan adalah untuk satu teruskan hidup, kan?” balas Lilianna. Wajah yang muram pada mulanya sudah mampu untuk tersenyum nipis. “ Pada awalnya memang susah, tapi kalau saya terus menangisi nasib saya, macam mana saya nak jalani masa depan saya? Dalam sekelip mata, hidup saya berubah. Tapi ianya tak bermakna saya tak boleh tukar arah hidup saya, kan?”

Handrien terdiam. Dia ketawa perlahan mengenangkan kebodohan dirinya. Dia tidak perlu terlalu risaukan gadis itu seperti sekarang. Lilianna agak tidak stabil pada mulanya tetapi jelas di hadapannya gadis itu sedang menguatkan semangat untuk tidak lagi meratapi apa yang telah meragut kehidupannya yang asal. Gadis itu baru sahaja berusia 14 tahun, tetapi dalam masa yang singkat sahaja gadis itu berjaya mengawal dirinya walaupun Handrien sedar, jauh di sudut hati gadis itu ada suatu perasaan ragu-ragu.

Bukankah elok sekiranya dia menyokong apa sahaja yang Lilianna putuskan?

“ Lilianna?”

Dan bukankah lebih elok sekiranya dia boleh membantu Lilianna?

“ Ya?”

Wajah gadis itu direnung lama. Minda Handrien masih mencongak perkara yang tiba-tiba sahaja terlintas dalam fikirannya.

“ Awak mahu ke kerajaan Erkens? Tinggalkan Zythor untuk mulakan hidup baru awak?”

“ Apa?”

Handrien tidak terkejut dengan reaksi pada wajah Lilianna, sebaliknya dia terkejut dengan cadangan yang lancar sahaja keluar daripada bibirnya pada saat fikirannya masih memikirkan baik buruknya cadangan itu. Walau bagaimanapun Handrien tidak menarik balik kata-katanya. Dia terus mendiamkan diri, menunggu giliran Lilianna untuk membalas kata-katanya.

“ Tinggalkan… Zythor?”

Handrien mengangguk berulang kali. “ Kalau awak nak, awak boleh masuk dalam keluarga saya. Saya yakin datuk saya tak kisah. Dan awak boleh belajar seni pedang dan memanah yang awak idamkan.”

“ Tapi, Handrien…” Lilianna terkebil-kebil. “ Jangan susahkan diri awak. Saya boleh terus tinggal di sini. Saya boleh bersembunyi daripada mereka.”

“ Itu tak bermakna keselamatan awak terjamin. Awak yakinkah mereka tak akan cuba cari awak? Kalaulah betul pembunuh upahan itu dihantar oleh orang penting pentadbiran Zythor yang cemburukan bapa awak, saya yakin mudah sahaja untuk mereka cari awak walaupun awak bersembunyi di sempadan Zythor,” Handrien cuba menyakinkan Lilianna.

“ Mustahil, Handrien.” Lilianna menggelengkan kepalanya. “ Macam mana saya nak tinggalkan tempat ini kalau darah ibu bapa saya, darah saya, tumpah di bumi Zythor?”

“ Erkens tempat tumpah darah kamu juga, Lilianna.”

Baik Lilianna mahu pun Handrien menoleh ke arah suara yang tiba-tiba sahaja mencelah perbualan mereka. Handrien tersentak apabila menyedari Lord Moyes sedang berdiri tidak jauh daripada mereka. Kelihatannya lelaki tua itu sudah lama berada di situ, barang kali semua perbualan di antaranya dengan Lilianna sudah didengari lelaki itu.

“ Lord Moyes? Apa tuan buat di sini?” Handrien segera bangun daripada kerusinya.

Lilianna pula masih duduk, kelihatan tertanya-tanya dengan kehadiran lelaki tua yang pernah datang menjenguknya pada petang tadi. Ketika itu Lilianna sedang berehat di dalam bilik selepas menjalani pemeriksaan harian oleh Doktor Brown. Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Lord Moyes itu datang bersama-sama seorang pembantu rumah yang membawa minum petang. Tiada apa yang dibualkan oleh mereka, kecuali lelaki tua itu mengharapkan agar dia cepat sembuh.

Sekiranya kehadiran lelaki tua itu menghairankan Lilianna, dia lebih hairan dengan soalan yang ditujukan kepadanya oleh Lord Moyes tadi.

“ Lilianna, kamu tak nak pulang ke tempat asalmu?” Mata Lord Moyes melekat pada wajah Lilianna.

“ A… apa?”

Lilianna bangun daripada kerusi. Soalan Lord Moyes membuatkan dia bingung.

“ Tempat asal… saya?”

Anggukan Lord Moyes membuatkan Lilianna makin keliru. Apakah yang lelaki tua ini ingin katakan kepadanya? Tiba-tiba sahaja Lord Moyes muncul dan mengatakan tempat asalnya adalah Erkens.

“ Tempat asal ibu kamu, Lilianna.”

Mata Lilianna membulat. Wajah tua Lord Moyes dipandang dengan rasa tidak percaya. Renungan lelaki tua itu kepadanya langsung tidak goyah, seolah-olah ingin menyakinkan Lilianna dengan apa yang didengarinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience