Chapter 14

Other Completed 4791

BAB 14

SUDU dan garfu yang digunakan ketika bersarapan Lilianna letakkan di atas pinggan. Dia sudah kenyang selepas berjaya menghabiskan bahagian makanannya. Handrien yang duduk di sebelahnya pula sedang menghabiskan jus oren segar yang masih berbaki di dalam gelas. Caleb yang makan bersama-sama mereka juga masih menyuap saki baki sarapannya.

“ Lord Caleb, maafkan saya kerana menganggu.”

Seorang lelaki berpakaian formal muncul di ruang makan.Tiga pasang mata melihat kepada wajah lelaki muda itu. Caleb menghentikan suapannya. Dia mengisyaratkan lelaki itu untuk mendekatinya. Lelaki itu menghampiri Caleb sebelum membongkok sedikit untuk membisikan sesuatu di telinga Caleb yang masih duduk di tempatnya.

Jelas wajah Caleb berubah terkejut buat seketika. Perubahan itu mengundang tanda tanya Lilianna. Dia melihat sahaja Caleb bangun daripada kerusi.

“ Maafkan saya, Lady Lilianna. Tiba-tiba sahaja Tuanku Putera Mahkota Neirin mencemar duli dengan hadir di sini. Tuanku putera baru sahaja sampai dan kini sedang menunggu Lady Lilianna di ruang tamu. Izinkan saya iring cik untuk menghadap tuanku putera.”

Lilianna terkejut dengan kenyataan itu. Kenapa tiba-tiba sahaja putera itu muncul di sini? Bukankah sepatutnya mereka bertemu di istana Zythor pada tengah hari ini?

“ Baiklah,” pendek sahaja Lilianna menjawab. Dia tiada pilihan selain daripada bertemu putera itu walaupun dia sebenarnya gugup dengan kemunculan tiba-tiba lelaki kedua terpenting kerajaan Zythor itu.

“ Lilianna,” Handrien memanggil perlahan.

“ Tak apa, Handrien.”

Lilianna dan Handrien segera mengekori Caleb yang membawa mereka ke ruang tamu yang dimaksudkan lelaki itu. Lilianna menautkan kedua-dua tangannya, ditenangkan jiwanya yang tengah bergemuruh. Caleb mengetuk pintu ruang tamu itu sebelum mempelawa mereka berdua masuk ke dalam.

“ Baginda tuanku Putera Mahkota Neirin, patik bawakan Lady Moyes menghadap tuanku.”

“ Terima kasih, Lord Caleb,” sahut suatu suara. “ Selamat datang ke kerajaan Zythor, Lady Moyes.”

Lilianna merenung kepada seorang lelaki yang kemas dengan sut hitam yang biasa dipakai lelaki bangsawan lain. Walaupun lelaki muda itu kelihatan sama sahaja seperti kebanyakan lelaki bangsawan yang pernah ditemuinya tetapi ada aura istimewa pada diri lelaki itu. Lilianna segera memberi tunduk hormat. Handrien yang berdiri di sebelahnya turut berbuat demikian.

“ Patik berbesar hati menerima kehadiran tuanku di sini.” Lilianna kembali berdiri tegak. “ Nama patik Lady Lilianna Rosalyn Moyes. Gembira bertemu tuanku. Ini pengiring patik, Lord Handrien Marshall.”

“ Beta dah pernah berjumpa dengan Lord Handrien,” lelaki itu tersenyum. “ Beta dikenali sebagai The Crown Prince of Zythor, Neirin Edward de Zythor. Selamat bertemu, Lady Lilianna.”

Lilianna mengangguk sedikit. Ini adalah kali pertama dia bertemu dengan bakal pemerintah kerajaan Zythor ini. Walaupun dahulu dia sering ke istana menemani bapanya untuk majlis makan malam tetapi putera mahkota ini amat jarang memunculkan diri. Ada khabar mengatakan Prince Neirin sakit pada zaman kecilnya.

“ Maafkan patik, tuanku. Tapi boleh patik tahu kenapa tuanku muncul di sini?” Lilianna memberanikan dirinya untuk bertanya. “ Sepatutnya kami menghadap tuanku pada tengah hari ini.”

Prince Neirin tidak terus menjawab soalan itu. Baginda hanya mengukir senyum sahaja sebelum mengalih perhatiannya kepada Caleb.

“ Beta hanya singgah sebentar sahaja di sini. Tak perlu sediakan apa-apa untuk beta.”

“ Baiklah, tuanku.”

“ Lady Lilianna, sudi untuk menaiki kereta kuda beta? Dah tentu, bersama-sama Lord Handrien.”

“ Naik bersama tuanku?”

Prince Neirin mengangguk. “ Beta boleh perkenalkan kerajaan kesayangan beta ini kepada cik dari mula lagi.”

Lilianna menoleh kepada Handrien, Handrien mengangguk sahaja tanpa bersuara. Selepas itu, kereta-kereta kuda yang diletakkan di bangsal kuda segera dikeluarkan. Handrien memberi arahan kepada para pemandu dan pengawal tersebut untuk mengekori kereta kuda yang akan dinaiki olehnya dan Lilianna. Memandangkan kereta kuda Lilianna hanya akan digunakan oleh Emily, Handrien menyuruh dua orang pembantu yang lain menaiki kereta kuda itu.

“ Maaf sebab buat cik terkejut,” kata Prince Neirin apabila mereka sudah memulakan perjalanan. “ Tapi beta fikir lebih baik kalau beta beritahu dari awal lagi. Kita kesuntukan masa.”

“ Ini… pasal misi itukah?”

Prince Neirin mengangguk. Baginda melihat kepada Handrien yang duduk bersebelahan dengan Lilianna. “ Baginda King Frederick dah beritahu Lady Lilianna?”

Handrien menggeleng. “ Baginda Raja fikir lebih baik sekiranya tuanku yang sampaikan pada Lady Lilianna.”

“ Baiklah.” Prince Neirin menarik nafas. “ Apa yang beta nak beritahu ini adalah suatu misi yang tersangat sulit. Buat masa ini, hanya beta, pembantu kanan beta, baginda King Frederick dan Lord Handrien sahaja yang tahu. Memandangkan baginda King Frederick memilih kamu, Lady Lilianna, untuk membantu beta, beta memilih untuk percayakan kamu.”

Lilianna tidak mencelah percakapan itu. Dia mahu mendengar dengan teliti dahulu akan apa yang ingin putera itu ingin katakan kepadanya. Frederick sudah memaklumkan bahawa ini adalah misi sulit tetapi dia tidak memberitahunya dengan jelas. Dia hanya tahu Prince Neirin mahu menyiasat dalang yang ingin menggulingkan King Arthur yang sedang sakit.

“ Perkara ini sebenarnya sudah berlaku beberapa bulan sebelum ini, tapi sekarang baru beta dapat petunjuk yang jelas. Ada satu kumpulan daripada House of Lords yang tidak mahu beta mengambil alih takhta ayahanda beta, Yang Mulia Raja Athur.”

“ Walaupun perkara ini masih belum diketahui umum, sebenarnya ayahanda beta mahu memberi takhta baginda pada hari keputeraan beta yang ke 22, iaitu tiga bulan dari sekarang. Rancangan beta selepas diangkat sebagai raja adalah untuk menurunkan kadar cukai berdasarkan pendapatan rakyat di kerajaan ini, termasuklah di jajahan Zythor yang lain. Beta juga berhasrat untuk masukkan lebih banyak tenaga muda dan merombak sistem House of Lords yang menekan rakyat jelata.”

“ Malangnya ada golongan yang tidak puas hati dengan cadangan beta. Mereka mengatakan jika perkara ini diteruskan, rakyat jelata tidak akan lagi menghormati golongan aristokrasi di kerajaan ini.”

Prince Neirin berhenti daripada bersuara. Baginda memerhatikan Lilianna dan Handrien silih berganti.

“ Mereka cuma tidak mahu kuasa aristokrat mereka dihadkan dan kepentingan yang selalu ada untuk mereka diganti untuk kesenangan rakyat. Ini bermakna mereka mahu sembunyikan sesuatu daripada pengetahuan kita,” Handrien mula bersuara. “ Jika tidak kenapa mereka membantah perkara ini?”

“ Benar, Lord Handrien. Golongan ini diketuai seorang aristokrat walaupun beta masih belum ada bukti kukuh untuk menahan mereka. Tetapi Leon, pembantu kanan beta, ada menyiasat dalam kalangan rakyat yang tinggal di kawasan mereka. Menurut mereka, kadar cukai mereka dinaikkan sesuka hati walaupun tanpa dekri yang sah. Jika mereka tidak membayar cukai itu pada tempoh yang ditetapkan, walaupun lewat sehari, harta benda mereka akan dirampas.”

“ Tapi…” Lilianna tunduk merenung tangannya yang diletak elok di atas paha. “ Bukankah mereka sudah kaya raya dengan hasil estet mereka? Perlukah rampas apa yang rakyat jelata miliki?”

“ Tamak, Lilianna,” Handrien bersuara mendatar. “ Sebab itu orang kaya semakin kaya dan orang miskin semakin miskin.”

“ Betul tu, Lady Lilianna. Sebab itulah kita perlu siasat perkara ini dengan lebih menyeluruh lagi. Beta tidak mahu masih ada rakyat yang ditindas golongan aristokrat.”

“ Bagaimana pula dengan dakwaan mereka ingin menggulingkan ayahanda tuanku?”

“ Ketua mereka mendesak beta mencari bakal isteri tapi jelas, mereka mahu beta mengahwini anak gadis ketua mereka.”

Bijak, fikir Lilianna. Dengan mengahwinkan anak gadis daripada golongan itu kepada bakal raja kerajaan ini, lebih mudahlah untuk mereka masuk campur dengan urusan kerajaan ini.

“ Boleh saya tahu siapa dalang di sebalik semua ini?”

Prince Neirin memejamkan matanya buat seketika. Jelas pada mata Lilianna wajah itu sedang melindungi kepenatan yang sedang ditanggung oleh putera muda itu. Lingkaran hitam kelihatan di bawah mata Prince Neirin membuatkan Lilianna berfikir mungkin putera ini bersengkang mata di malam hari.

“ Lord Cornelius Vaughan. Beliau di antara menteri penting ayahanda beta dan mempunyai banyak pengaruh di dalam istana. Kadang-kala sukar untuk ayahanda membantah cadangannya kerana pengaruhnya semakin meningkat naik. Jika tidak dibendung, pemberontakan mungkin boleh berlaku.”

“ Lord Cornelius Vaughan…” Lilianna menyebut nama itu. Seingatnya, mendiang bapanya pernah menyebut nama itu dahulu.

“ Lilianna,” Handrien memanggil perlahan. “ Awak kenal siapa dia?”

Lilianna menggeleng. Buat masa ini dia masih belum boleh mengingati apa-apa tetapi fikirnya, ada sesuatu yang penting pernah disebut oleh bapanya mengenai lelaki yang dipanggil Lord Vaughan itu.

“ Lady Lilianna, sebenarnya saya ada soalan untuk cik,” kata Prince Neirin, kembali bersuara.

Lilianna cepat-cepat menghalau cebisan fikiran yang sedang berlegar dalam mindanya. Dia kembali memfokuskan kepada Prince Neirin. “ Tuanku nak bertanyakan apa?”

“ Sebenarnya, saya tahu identiti sebenar cik,” balas Prince Neirin. “ Cik adalah anak tunggal kepada Lord Henry Beaumont, Lady Lilianna Beaumont yang disahkan hilang pada lima tahun lalu, kan?”

Mata Lilianna membulat. Dia tidak dapat menyembunyikan perasaannya yang terkejut apabila tiba-tiba sahaja Prince Neirin menyebut mengenai nama asalnya. Lilianna mengepal kedua-dua tangannya yang masih diletakkan di atas paha, cuba melawan gigilan pada tangannya itu.

“ Maksud tuanku…”

“ Maaf, sebenarnya bila baginda King Frederick memberitahu pasal cik, beta arahkan Leon untuk menyiasat latar belakang cik. Kemudian, baginda sendiri berikan maklumat mengenai cik apabila kami buntu kerana hanya mendapat tahu bahawa cik dibawa masuk ke dalam keluarga Moyes pada lima tahun lalu. Menurut baginda, Lady Lilianna pada asalnya adalah penduduk di Zythor dan anak kepada Lord Beaumont.”

“ Fred… baginda sendiri?” Lilianna kehairanan. Kenapa tiba-tiba sahaja Frederick memberitahu Prince Neirin mengenai maklumat itu?

Memang benar Lilianna tidak mahu menyembunyikan identiti sebenarnya kerana dia yakin kawan-kawannya dahulu pasti mengecam dirinya jika dia diperkenalkan oleh Prince Neirin di majlis yang akan diadakan nanti. Tetapi Lilianna tidak menyangka Frederick akan terlebih dahulu memaklumkan putera itu kerana Frederick ada mengatakan biarlah identiti sebenar Lilianna menjadi kejutan pada majlis itu.

“ Sebab beta sedang menyiasat punca kebakaran di Beaumont Manor House yang berlaku lima tahun dahulu.”

“ Apa? Kenapa…”

Kepala Lilianna mula terasa pening. Dia tidak penah menduga putera itu akan melakukan perkara ini. Kenapa tiba-tiba sahaja kes itu disiasat sedang setahu Lilianna, House of Lords di Zythor menutup siasatan itu kerana tiada bukti yang boleh digunakan untuk menyiasat. Siasatan itu tidak menunjukkan bukti terbaharu selepas sekian lama. Lilianna tahu itu pun daripada General Hopkins yang selalu ke Zythor atas urusan diplomatik di atas Erkens dan Zythor.

“ Beta masih belum ada bukti yang kukuh tapi…” Prince Neirin berhenti daripada bersuara. Kelihatannya baginda sedang berhati-hati daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya. “ … banyak perkara mengenai kejadian itu kelihatan aneh dan suatu hari, beta terima surat layang. Tiga keping tapi dihantar pada waktu yang berlainan. Beta mula terima surat pertama seminggu selepas beta mula menyiasat perkara ini.”

“ Apakah isi surat layang itu?” Handrien menyoal sebelum sempat Lilianna membuka mulut. Lilianna menoleh kepada Handrien, terkejut apabila melihat wajah serius Handrien.

“ Beta akan tunjukkan pada kamu berdua. Tapi yang jelas… penghantar surat itu tahu apakah yang berlaku pada malam itu.”

Lilianna tidak dapat menyuarakan apa-apa. Apa yang didengarinya amat mengejutkan dia. Selepas lima tahun, barulah petunjuk mengenai pembunuh bapanya muncul. Apakah maksud di sebalik semua ini? Adakah telinganya tidak berfungsi dengan baik dan dia tersalah dengar? Siapakah penghantar surat-surat itu?

Lilianna tersentak apabila melihat tapak tangan Handrien diletakkan atas tangannya yang masih dikepal kuat. Tapak tangan Handrien yang lebih besar daripada tapak tangannya, melekat kemas atas tangannya. Dapat Lilianna rasakan jaminan daripada lelaki itu bahawa semuanya akan baik-baik sahaja.

SUASANA riuh rendah menyambut kedatangan Lilianna dan rombongannya. Kelihatannya pekerja-pekerja di istana ini sedang sibuk menguruskan sesuatu. Mereka berlari-lari anak dari sana ke sini sambil membawa barang yang banyak dalam pelukan mereka. Beberapa orang lelaki sedang memasang sesuatu pada deretan tiang-tiang tinggi yang berada dalam istana itu. Kedengaran juga arahan yang bercampur dengan perbualan mereka.

“ Ada festival ke?” Lilianna bertanya sambil mencuri pandang daripada tingkap kereta kuda itu.

“ Ada perlawanan akan diadakan pada esok hari,” jawab Prince Neirin.

“ Perlawanan?”

Prince Neirin mengangguk.

Baru sahaja Lilianna ingin bertanya dengan lebih lanjut, kereta kuda itu berhenti. Pintu dibuka dari luar. Seorang lelaki muda berpakaian kot hitam berekor panjang muncul di hadapan mereka.

“ Selamat kembali, tuanku.”

“ Terima kasih, Leon.”

Prince Neirin terlebih dahulu mempersilakan Lilianna untuk turun. Leon yang berada di luar membantu Lilianna. Baru sahaja Lilianna menjejakkan kakinya di luar, terus matanya meliar melihat suasana di sekelilingnya. Tanpa sedar dia menarik senyum. Akhirnya dia kembali di bumi Zythor.

“ Selamat datang Lady Moyes serta rombongan. Saya telah arahkan kamar untuk cik disediakan. Cik boleh ke sana untuk berehat terlebih dahulu atau jika cik mahu, saya boleh bawa cik untuk menjamu selera,” ucap Leon teratur. Dua orang gadis yang memakai uniform pembantu rumah sedang berdiri di belakangnya.

“ Terima kasih. Boleh saya tahu, ada perlawanan apa pada esok hari? Kenapa sibuk seperti ini?”

“ Kalau nak kata perlawanan, bagi saya mungkin pertandingan lebih sesuai,” jawab Leon dengan senyuman. “ Pertandingan untuk lihat siapakah yang sesuai menjadi bakal isteri untuk putera mahkota kami.”

“ Eh?”

“ Tak ada apa-apalah, Lady Lilianna. Selepas ini beta terangkan dengan lebih lanjut. Mungkin lebih baik jika cik dibawa ke kamar untuk berehat terlebih dahulu,” Prince Neirin mencelah.

“ Baiklah…”

“ Leon, tolong iring Lady Lilianna dan Lord Handrien. Selepas itu tunjukkan bilik untuk ahli rombongan mereka yang lain.” Prince Neirin melihat kepada orang kanannya itu. Leon memberi tunduk hormat.

“ Menjunjung titah, tuanku.”

Lilianna berpaling kepada pembantu-pembantu yang sedang berdiri tidak jauh daripadanya. Wajah masing-masing menunjukkan kepenatan selepas hampir lima jam berada di dalam kereta kuda itu tanpa berhenti di mana-mana.

“ Kamu semua pergilah berehat dahulu. Dapatkan rehat yang cukup, ya? Kita jumpa nanti,” ucapnya lembut.

“ Baiklah, Lady Lilianna.”

Dua orang gadis yang berada bersama-sama Leon tadi meminta mereka mengekorinya. Muncul beberapa orang lelaki untuk membawa barang Lilianna dan Handrien ke bilik mereka. Lilianna dan Handrien masih berdiri di situ bersama-sama Prince Neirin dan Leon.

“ Cik mahu saya bawak cik meninjau kawasan ini?” tanya Leon.

“ Eh? Tak apalah. Saya mahu melihat-lihat sahaja,” kata Lilianna yang terkejut kerana tiba-tiba sahaja Leon bersuara ketika dia sedang leka melihat-lihat persiapan yang sedang dilakukan itu.

“ Awak tak penatkah, Lilianna?” Handrien membuka mulut.

Lilianna menggeleng. “ Saya gembira, akhirnya saya kembali juga ke sini,” ucapnya perlahan.

“ Jadi…”

“ Maafkan patik kerana menganggu, tuanku!”

Lilianna menoleh ke arah suara itu. Bukan dia sahaja, tumpuan Handrien, Prince Neirin dan Leon turut beralih ke arah suara garau tersebut. Seorang lelaki gempal yang berada di pertengahan usia sedang berdiri di hadapan Prince Neirin. Wajah berkedut itu kelihatan merah. Sepasang matanya tajam melihat pada wajah putera muda tersebut.

“ Ya, Lord Vaughan. Ada apa-apa yang boleh beta tolong?”

“ Patik cari tuanku sempena pertandingan pada esok pagi. Bukankah tuanku sepatutnya hadir mesyuarat pada jam 9 pagi tadi? Ke mana tuanku menghilang?” lelaki itu bertanya dengan wajah yang masih merah.

“ Maaf, Lord Vaughan. Beta ada urusan di luar pagi tadi,” Prince Neirin menjawab dengan nada biasa, tidak terikut-ikut dengan nada amarah lelaki yang berdiri di hadapannya itu.

“ Tak apalah. Patik cuma mahu pastikan dengan tuanku. Tuanku yakin ingin masukkan dua acara terakhir yang tuanku beritahu minggu lepas?”

“ Ya. Kenapa? Ada masalahkah?”

“ Bukan. Cuma… tuanku sepatutnya tahu yang tiada gadis yang mahir dengan kedua-dua acara itu. Jadi, bukankah tidak sesuai kalau kita masukkan acara-acara itu?”

“ Tak apa. Beta tetap mahukan kedua-dua acara itu dimasukkan. Lagi pun, tak seronoklah tanpa sedikit cabaran, kan?” Prince Neirin ketawa perlahan.

“ Itu…” Lord Vaughan tidak jadi meneruskan kata-katanya. Tangan besarnya membetulkan kolar kemejanya. “ Baiklah. Jika itu apa yang tuanku mahukan.”

“ Jadi, beta serahkan sahaja kepada kamu ya? Beta percaya kamu akan lakukan yang terbaik. Oh ya, sebelum beta terlupa.” Prince Neirin melihat kepada Lilianna. “ Kenalkan, ini Lady Lilianna Rosalyn Moyes, wakil dari Kingdom of Erkens untuk tinggal di sini selama dua bulan. Kita diamanahkan oleh baginda King Frederick untuk menunjukkan keindahan budaya dan hidup di Zythor.”

Lord Vaughan kelihatan terkejut apabila bertentang mata dengan Lilianna. Kelihatannya lelaki tua itu baru sedar akan kehadiran Lilianna dan Handrien. Lelaki tua itu berdehem sebelum bersuara.

“ Selamat datang ke Kingdom of Zythor, Lady Moyes. Maafkan saya kerana menganggu masa cik dengan tuanku putera tadi.”

“ Tak apa, Lord Vaughan. Terima kasih,” balas Lilianna.

“ Jadi, saya minta diri dulu.” Lord Vaughan melihat kepada Prince Neirin. “ Patik undur diri dahulu.”

“ Baiklah. Jumpa pagi esok.”

Lord Vaughan segera berpaling dan berjalan meninggalkan mereka. Langkahnya pendek-pendek tetapi pantas, seakan-akan tidak mahu berlama-lama berada di kawasan itu. Hairan pula Lilianna melihat gaya lelaki tua itu. Itukah lelaki yang dikatakan dalang untuk menggulingkan kerajaan ini?

“ Tuanku, boleh tuanku beritahu patik pasal pertandingan yang dikatakan untuk mencari bakal isteri tuanku itu?” Lilianna bersuara ketika dia, Handrien, Prince Neirin dan Leon berjalan di lobi bangunan di istana itu.

“ Beta terpaksa usulkan pasal pertandingan itu,” keluh Prince Neirin. “ Pada bulan lepas, Lord Vaughan dan pengikutnya mendesak beta untuk mencari bakal isteri. Jika sebelum ini alasan beta diterima, tetapi pada kali itu beta tak boleh berikan alasan lagi. Jadi, beta usulkan pasal pertandingan ini.”

“ Apa format pertandingan ini?” soal Handrien pula.

“ Perkara-perkara yang perlu ada pada seorang isteri. Tiada bezanya walaupun bakal isteri seorang putera. Beta letakkan beberapa acara seperti menggubah bunga, memasak, pengetahuan pasal kerajaan ini. Perkara remeh seperti itu. Siapa yang terbaik akan dicalonkan sebagai tunang beta.”

“ Bukankah perkara itu tidak berapa sesuai? Memandangkan pemenangnya akan jadi bakal isteri kepada putera mahkota kerajaan ini?” Lilianna bingung.

“ Itulah. Sebenarnya beta fikir mahu berpakat dengan pemenang itu, mahu palsukan sahaja pertunangan kami. Tapi kasihan pula gadis yang akan menang kalau beta buat macam tu. Nanti keluarga gadis itu pula yang menanggung malu,” jawab Prince Neirin, nadanya seperti lemah tidak berdaya. Kusut memikirkan masalah yang tidak akan selesai dengan baiknya.

“ Memang tiada cara lainkah selain daripada adakan pertandingan ini?” Lilianna terus menyoal.

Prince Neirin menggeleng. “ Jika beta tak usulkan pertandingan ini, mereka sendiri akan pilih bakal isteri untuk beta. Memandangkan ayahanda beta sedang gering, besar kemungkinan ayahanda akan serahkan sahaja hal ini kepada bonda dan House of Lords. Bonda pula ikut sahaja pilihan House of Lords. Beta tak mahu anak gadis Lord Vaughan menjadi pilihan mereka.”

Lilianna menghela nafas. Tidak disangka rumit juga masalah putera muda itu. Serba salah sahaja jadinya. Ketika baginda masih menyiasat Lord Vaughan dan pengikutnya, jika baginda ditunangkan dengan anak kepada dalang pemberontakan itu pastinya kedudukan Prince Neirin seperti telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja baginda boleh digulingkan jika baginda tersalah langkah.

“ Apa pula dua acara terakhir yang tuanku katakan tadi?” Suara Handrien kembali kedengaran selepas menyepi buat seketika tadi, menyoal Prince Neirin.

“ Itu… dua acara yang beta percaya sukar untuk dimenangi oleh sesiapa walau anak gadis Lord Vaughan sendiri pun.”

“ Kenapa?”

“ Beta masukkan acara lawan pedang dan memanah. Peratus markah yang paling banyak berada di kedua-dua acara itu. Memandangkan acara lain kebiasaannya tiada masalah dilakukan oleh seorang anak gadis bangsawan, jadi beta letakkan dua acara itu untuk mencabar mereka.”

“ Lawan pedang dan… memanah?” Lilianna terdiam. Mindanya ligat memikirkan sesuatu. Senyumannya terukir. Lilianna melihat kepada putera muda itu.

“ Tuanku kata tuanku mahu berpakat dengan pemenang itu kan tapi risau jika memalukan keluarga gadis yang memenangi pertandingan esok?” Lilianna bertanya bagi mendapatkan kepastian. Senyumannya tidak lekang daripada wajahnya.

“ Ya. Kenapa, Lady Lilianna?” Prince Neirin kelihatan bingung.

Handrien melihat pada wajah lembut itu. “ Lilianna, takkanlah…”

“ Saya ada idea untuk tuanku. Saya harap tuanku sudi mendengarnya. Saya fikir tuanku boleh duduk dengan senang hati masa pertandingan esok jika semuanya berjalan dengan lancar.”

Kening Prince Neirin bertaut. “ Idea?”

Lilianna mengangguk. Senyumannya melebar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience