Chapter 22

Other Completed 4791

BAB 22

LORD VAUGHAN meletakkan gelas berkaki tinggi yang masih berisi wain putih di atas meja kopi di hadapannya. Matanya menerkam kepada wajah dua orang lelaki yang sedang duduk bertentangan dengannya. Kedua-dua mereka tunduk sahaja merenung lantai.

“ Kamu berdua hilang jejak mereka?”

Teragak-agak mereka berdua mengangguk.

Lord Vaughan mengeluh kuat. Tangan kanannya digenggam, dia tidak mahu sabarnya hilang.

“ Keluar.”

Tanpa berlengah lagi lelaki-lelaki itu bangun lalu menuju ke pintu. Tidak mahu berlama-lama di situ kerana Lord Vaughan mungkin akan berubah fikiran dan mengamuk.

“ Tak perlu risau, Lord Vaughan,” Lord Kavanagh bersuara. Lelaki yang sebaya dengan Lord Vaughan itu menyisip baki wain putih dalam gelasnya. “ Rancangan kita tak akan tergugat walaupun putera mentah tu jumpa anak lelaki Simmons.”

“ Simmons memang tahu apa yang berlaku 21 tahun yang lalu,” Lord Lyons pula membuka mulut. “ Walaupun dia beritahu anak dia pasal perkara itu, mereka tak ada bukti untuk libatkan kita. Tanpa bukti, Prince Neirin akan berada di jalan mati walaupun baginda beria-ria mahu kurangkan kuasa kita di istana.”

“ Betul tu,” Lord Brady menyokong. “ Buat masa ini, kita perlu fokus pada upacara pertabalan yang akan berlangsung minggu depan. Kalau kita tak kukuhkan rancangan kita, tipis peluang kita untuk singkirkan Prince Neirin daripada takhta.”

“ Bagaimana persiapan di istana? Pastinya pihak istana sudah buat persiapan untuk upacara itu,” kata Lord Vaughan mendatar.

“ Mereka dah mulakan persiapan. Rakyat jelata juga sudah dimaklumkan mengenai pertabalan itu,” balas Lord Lyons.

“ Licik juga putera mahkota kita tu,” kata Lord Kavanagh dengan nada sinis. “ Baginda sanggup pergi sendiri ke Sherside semata-mata untuk cari Simmons. Tidak memberi sahaja tugas itu kepada orang suruhannya.”

“ Baginda nak pastikan dengan matanya sendiri. Tentu baginda tak senang duduk di istana selagi tak jumpa Simmons. Malangnya nasib, Simmons dah mati,” Lord Brady ketawa.

“ Bagaimana dengan Mayor Davis? Dia masih simpan senjata api itu dalam gudang?” Lord Vaughan melihat kepada Lord Lyons.

“ Si bodoh tu,” Lord Kavanagh ketawa. “ Kalaulah kita tak periksa mana dia simpan senjata api itu semua, sampai sekarang benda tu ada dalam gudang pejabat datuk bandar. Silap hari bulan, Prince Neirin pergi ke sana dan jumpa senjata api tu.”

“ Jangan risau, Lord Vaughan. Saya dah beri amaran pada dia, pastikan hal macam itu tak berlaku lagi,” kata Lord Lyons cuba menenangkan saki baki amarah pada diri lelaki itu.

“ Bagus. Sekarang ini masalah kita satu sahaja, selain daripada rancangan itu.”

“ Maksud tuan, anak Lord Beaumont?” Lord Brady meneka.

Lord Vaughan mengangguk. “ Buat masa ini, dia banyak luangkan masa dengan penyokong Prince Neirin. Tapi, kenapa dia baru muncul sekarang? Tiba-tiba sahaja dia datang ke sini dan buat kacau masa penilaian itu. Dan, lepas itu barulah identiti sebenar dia didedahkan.”

“ Mungkin selama ini dia menunggu masa untuk pulang ke sini?” Lord Kavanagh menuangkan wain putih ke dalam gelasnya. “ Tapi tak sangka, diambil jadi cucu angkat oleh ketua keluarga Moyes? Bukan calang-calang tuah yang ada padanya.”

“ Cucu angkat?” Lord Lyons memandang pelik kepada Lord Kavanagh. “ Bukankah dia anak kepada anak perempuan Lord Moyes yang hilang dahulu?”

“ Apa maksud kamu?” Lord Vaughan mengerutkan dahinya. “ Anak kenapa anak Lord Moyes? Jadi, dia cucu kandung lelaki itu?”

“ Saya pun baru dapat tahu, tuan,” balas Lord Lyons. “ Saya berurusan dengan seorang pedagang dari Erkens dan bertanya pasal keluarga Moyes. Menurut pedagang itu, lima tahun yang lalu Lord Moyes mengumumkan kepulangan cucu perempuannya, iaitu anak kepada anak perempuannya yang menghilang ke Zythor hampir dua dekad yang lalu. Rupanya, Ophelia Isabelle, mendiang isteri Lord Beaumont yang dikatakan anak yatim piatu itu adalah satu-satunya anak perempuan Lord Moyes. Beliau sendiri mengesahkan perkara itu.”

“ Kalau kita tak berhati-hati, kita turut akan buat sengketa dengan kerajaan Erkens. Keluarga Moyes antara keluarga bangsawan paling disegani di sana. Raja Erkens juga punya hubungan baik dengan keluarga Moyes,” Lord Lyons menyambung.

“ Lord Handrien Marshall yang mengiringi anak Lord Beaumont itu juga bukan calang-calang orang. Selain berasal daripada keluarga yang mempunyai taraf sama seperti keluarga Moyes, dia juga merupakan First Knight of Honour kepada King Frederick. Mengikut maklumat, Lord Handrien dan King Frederick bersahabat baik sejak kecil. Keluarga Marshall pula rapat dengan keluarga Moyes.”

Lord Vaughan memejamkan matanya, pening mendengarkan apa yang Lord Lyons katakan itu.

“ Macam mana…” Lord Vaughan menderam. “ Macam mana putera mentah itu dapat kumpul orang yang punya kuasa belakang dia? Kita tak boleh biarkan perkara ini berlarutan. Buruk padahnya kalau kita biarkan sahaja mereka.”

“ Tuan ada rancangan?” tanya Lord Kavanagh.

“ Pertama sekali…” Lord Vaughan melihat ke kanan melalui ekor matanya. “ Klaus.”

Klaus berjalan mendekati Lord Vaughan. Sedari tadi dia hanya berdiri beberapa tapak di belakang sofa yang diduduki oleh Lord Vaughan.

“ Kau kata dia tahu aku yang arahkan pembunuhan ayah dia?”

“ Ya, tuan,” Klaus mengiyakan.

“ Nampaknya, kita perlu uruskan dia dulu.”

“ Baiklah.”

“ JADI, Lord Beaumont masih bersembunyi?”

Lilianna mengangguk, mengiyakan pertanyaan Prince Neirin. “ Kecederaan pada kaki ayah patik tak boleh sembuh dengan sepenuhnya. Ayah perlukan bantuan tongkat ketika berjalan, jadi ayah tak boleh bertindak terburu-buru. Apatah lagi tanpa bantuan sesiapa.”

Lilianna sudah menceritakan semuanya kepada Prince Neirin kecuali beberapa perkara lagi. Seperti biasa, mereka semua bertemu di bilik kerja baginda. Sebelum Lilianna membuka kisah mengenai bapanya, terlebih dahulu Prince Neirin menceritakan kejadian yang berlaku di Sherside.

“ Lord Beaumont tidak mahu datang ke istana? Beta boleh sembunyikan beliau di sini. Ada banyak tempat yang boleh dijadikan tempat persembunyian seseorang,” usul Prince Neirin.

“ Bagus juga cadangan tuanku itu,” Lilianna menarik senyum. “ Nanti patik bincangkan dengan ayah patik. Kiranya, anak Encik Simmons juga bersembunyi di sini?”

Prince Neirin mengangguk. “ Ada sebuah bilik rahsia dalam kamar peribadi beta. Noah bersembunyi di situ. Buat masa ini kita betul-betul perlu pastikan tiada sesiapa pun di antara orang Lord Vaughan tahu di manakah beta sembunyikan Noah.”

“ Bagaimana pula dengan catatan Encik Simmons yang tuanku katakan tadi? Boleh kami baca juga?” Handrien membuka mulut.

Prince Neirin mengeluarkan sebuah buku bersaiz kecil daripada kocek dalam kemejanya. Buku itu dihulurkan kepada Handrien. Handrien terus membuka buku itu. Lilianna yang duduk di sebelahnya melihat kepada permukaan kertas yang penuh dengan catatan itu.

“ Tuanku dah baca catatan ini kan?” Lilianna bertanya.

“ Ya. Kamu mahu beta beritahu isinya?”

Lilianna mengangguk. “ Terima kasih, tuanku.”

Biarlah Handrien yang membaca dahulu catatan itu, Lilianna tidak mahu membuang masa menunggu dia menghabiskan bacaannya.

“ Catatan itu ada kaitan dengan kejadian pemberontakan yang berlaku 21 tahun yang lalu, pada hari kerajaan Zythor dan kerajaan Erkens sepatutnya menandatangani perjanjian damai. Seperti yang kita dah pastikan, Encik Simmons adalah salah seorang askar yang terlibat untuk menangkap kumpulan pemberontak itu. Catatan itu bermula sebelum kejadian pemberontakan itu berlaku sehinggalah Encik Simmons berhenti menjadi askar dan berpindah dari Idalia.”

“ Sebelum?” Lilianna berasa pelik dengan kenyataan itu. “ Bukannya bermula selepas kejadian itu?”

“ Tidak, Lady Lilianna,” balas Prince Neirin. “ Encik Simmons tahu apakah punca pemberontakan itu berlaku.”

Lilianna membetulkan duduknya, matanya tidak lari daripada wajah Prince Neirin. Dengan sabar dia menanti putera itu menyambung ceritanya.

“ Memang patutlah Lord Vaughan bertindak dengan memberi arahan untuk membunuh Lord Beaumont. Bukan sahaja disebabkan kebenciannya pada Lord Beaumont, tetapi secara tidak langsung Lord Beaumont tahu yang kumpulan pemberontak itu berada di bawah Lord Vaughan.”

“ Lord Vaughan menghantar kumpulan pemberontak itu ke sempadan Erkens agar Erkens menarik balik penjanjian damai dengan Zythor atas kepentingan dirinya sendiri. Menurut catatan Encik Simmons, Lord Vaughan membantu seorang seorang pedagang Zythor menyeludup masuk opium dari Erkens. Jika perkara itu terbongkar, bukan sahaja Lord Vaughan akan dihukum oleh kerajaan Zythor tetapi juga kerajaan Erkens kerana perkara itu melibatkan kedua-dua kerajaan.”

“ Opium?” Lilianna terkejut. “ Tiada orang yang perasankah penggunaan opium yang tidak terkawal?”

“ Dalam tempoh lima bulan selepas kejadian itu, memang ada penularan penggunaan opium walaupun bukan untuk tujuan kesihatan. Kerajaan Zythor mengalami kesukaran untuk mencari ketua pengedar opium itu sehinggalah Lord Beaumont memerangkap kesemua suspek yang terlibat dengan ketua pengedar itu, sekaligus mendedahkan identiti sebenar ketua pengedar itu.”

“ Encik Simmons yang tahu Lord Vaughan mempunyai kaitan dalam penyeludupan opium, terus berhenti kerja kerana tidak mahu menjadi sasaran Lord Vaughan. Encik Simmons tahu pun secara tidak sengaja. Ketika dia mengawal gudang yang menempatkan barang-barang rampasan perang, dia menemui berkotak-kotak opium berada dalam gudang itu yang disamarkan sebagai kotak yang menyimpan barangan seramik yang berharga. Lord Vaughan sedang membincangkan sesuatu dengan pedagang itu. Encik Simmons sempat bersembunyi sebelum Lord Vaughan perasan kehadiran dia di situ. Beberapa hari selepas itu, pemberontakan itu berlaku dan Encik Simmons menyertai kumpulan askar yang diketuai Lord Beaumont untuk menangkap mereka.”

Prince Neirin berhenti daripada berkata-kata. Baginda mengambil cawan yang berisi teh daripada meja kopi di hadapan. Terlalu lama bercakap membuatkan tekaknya dahaga.

“ Jadi, Lord Vaughan nak bunuh Lord Beaumont sebab beliau yang tangkap ketua pengedar itu?” Handrien membuka mulut buat pertama kalinya. Buku itu ditutup lalu diletakkan di atas meja. “ Lilianna, awak tahukah?”

“ Sedikit…” balas Lilianna. “ Ayah tak ceritakan semuanya lagi semalam.”

“ Itu adalah salah satu sebabnya. Tapi mungkin sebab Encik Simmons memberitahu Lord Beaumont mengenai perkara itu selepas kejadian pemberontakan itu. Disebabkan perkara itu, Lord Beaumont menyuruh Encik Simmons segera menyembunyikan diri dan lari dari Idalia. Lord Beaumont jugalah yang menangkap ketua pengedar itu. Tapi malangnya, bukti tidak boleh disabitkan kepada Lord Vaughan jadi, Lord Beaumont tidak menyebut mengenai perkara itu dan sehinggalah lima tahun lalu, Lord Vaughan mula bertindak. Lady Lilianna,” Prince Neirin memaku pandangannya kepada Lilianna. “ Beta percaya ada perkara yang ingin kamu katakan.”

“ Ada, tuanku,” Lilianna mengangguk. “ Memang Lord Vaughan langsung tak tahu yang ayah patik tahu dialah dalang di sebalik pemberontakan itu. Ayah diamkan kerana tiada bukti yang kukuh dan tidak mahu cetuskan lagi kacau bilau di Zythor kerana menurut ayah, sejak kejadian itu hubungan Zythor dan Erkens kembali renggang.”

“ Ayah diamkan perkara itu sehinggalah lima tahun yang lalu, ketika King Frederik datang ke Zythor untuk memulakan hubungan diplomatik antara kerajaan Erkens dan Zythor. Pada masa itu Lord Vaughan membantah kepada King Arthur. Ayah tak mahu perkara yang sama berulang jadi ayah sebutkan sesuatu pasal pemberontakan itu. Tidak sangka pula, selepas itu Lord Vaughan…” Lilianna menelan liur, “ … cuba bunuh ayah.”

“ Memang patutlah kalau Lord Vaughan beria-ria kata tak perlu lanjutkan siasatan mengenai kes Lord Beaumont, dia tak mahu tembelangnya pecah,” getus Prince Neirin.

“ Awak kata nak serahkan sesuatu pada Prince Neirin, kan?” Handrien mencelah, mengingatkan Lilianna mengenai perbincangan mereka petang tadi.

“ Ya.” Lilianna mengeluarkan sesuatu daripada beg kain yang dibawa masuk ke dalam bilik itu tadi. Buku bersaiz portret berada di tangannya. “ Ayah patik minta patik sampaikan buku ini kepada tuanku.”

Prince Neirin mengambil buku itu. Muka surat pertama dibuka.

“ Ini…”

“ Dokumen yang mengaitkan Lord Vaughan dengan kegiatan haramnya. Ayah patik ambil masa untuk mencari dan mengumpul dokumen ini.”

“ Bagaimana Lord Beaumont dapat kumpulkan semua dokumen ini?”

“ Melalui pertolongan lelaki yang selamatkan ayah patik.”

“ Dari tadi lagi cik menyebut ‘lelaki itu’, cik tak tahu nama diakah?” Prince Neirin menyuarakan kemusykilannya. Sejak awal Lilianna membuka cerita mengenai bapanya, gadis itu langsung tidak menyebut nama orang yang menyelamatkan bapanya itu dan dari mana lelaki itu datang.

“ Sebenarnya…” Lilianna teragak-agak. Patutkah dia memberitahu siapa Klaus? Lilianna masih belum memberitahu Prince Neirin bahawa lelaki penyelamat itu adalah lelaki sama yang dihantar untuk membunuh bapanya. “ Identiti sebenar lelaki itu akan mengejutkan kita. Patik sendiri terkejut bila dapat tahu siapakah dia.”

“ Kenapa? Kamu kenal orang itu?”

Lilianna menggeleng. “ Lelaki itu… adalah lelaki yang ingin membunuh ayah patik.”

“ Apa?”

Lilianna sudah menjangka reaksi daripada Prince Neirin. Respon daripada baginda sama sahaja seperti respon Handrien tadi. Jika mereka terkejut, apatah lagi dirinya ketika bapanya memberitahu dia semalam.

“ Maknanya, lelaki tu orang Lord Vaughan?” Prince Neirin cepat menangkap perkara yang terselindung.

“ Ya, tuanku. Tapi dia memang ingin tolong kita. Dokumen ini dialah yang kumpul.”

“ Siapa nama lelaki itu?”

Prince Neirin cuba mengingati wajah-wajah pengawal Lord Vaughan. Lelaki itu jarang menukar pengawal utamanya. Siapa pula yang berpaling tadah? Tidak sangka Lord Vaughan langsung tidak menyangka selama ini dirinya dikhianati hidup-hidup oleh orangnya sendiri.

“ Tuanku kenal Klaus?”

“ Dia?”

“ Kenapa…?”

Prince Neirin menggeleng kepalanya berulang kali, langsung tidak mempercayai apa yang didengarinya.

“ Klaus adalah pengawal paling kanan Lord Vaughan,” Prince Neirin bersuara rendah. “ Beta tak percaya yang dia… Lord Vaughan paling percayakan lelaki tu. Setahu beta, kebanyakan kerja haram Lord Vaughan diuruskan oleh Klaus. Cik yakin lelaki itu Klaus?”

Lilianna mengangguk, menunjukkan keyakinannya. “ Patik tak berapa kenal Klaus tapi… patik tak akan lupakan dia. Mata sedingin ais itu…” Ingatan pada malam itu terbentang pada pandangannya. “ … berulang kali patik merayu, minta dia lepaskan ayah… jangan cederakan ayah lagi tapi…” Lilianna menundukkan kepala, matanya dipejam rapat.

“ Tak apa, Lilianna,” kata Handrien rendah. Handrien tidak mahu Lilianna mengingati perkara itu lagi. “ Tuanku, masih ada sembilan hari sebelum pertabalan tuanku untuk naik takhta. Dalam tempoh sembilan hari ini, kita mesti lumpuhkan gerakan pengikut Lord Vaughan. Tuanku ada rancangan?”

“ Kita perlu cari di mana tempat mereka letakkan posisi pemberontak yang berada di bawah mereka. Lebih senang jika kita serang mereka di posisi masing-masing daripada biarkan mereka berkumpul dalam jumlah yang besar. Dah tentu, jumlah sebenar mereka pun kita tak pasti lagi.”

“ Kalau macam tu…” Handrien mula memerah otak. “ Kita kena menyiasat lagi. Cari semua lokasi itu. Sekarang ini bukti yang kukuh dah ada, tambah pula dengan kehadiran Noah dan Lord Beaumont sebagai saksi dan mangsa Lord Vaughan dahulu. Kita boleh tekan mereka sehingga mereka mengalah.”

“ Patik tahu mana lokasi mereka…”

Handrien melihat kepada Lilianna. “ Awak tahu? Klaus yang…”

Lilianna mengangguk. “ Kita kena mulakan segera, tuanku. Menurut Klaus, Lord Vaughan akan bertindak tiga hari dari sekarang.”

“ Baiklah, kita perlu rangka kedudukan dan strategi kita. Bantu beta, Lady Lilianna.”

“ Patik menurut perintah, tuanku.”

SENYUMAN Lilianna yang tercetus tiba-tiba menarik perhatian Handrien. Dari tadi lagi gadis itu tersenyum seorang diri, seperti mengingati perkara yang lucu.

“ Kenapa?” Handrien sudah bosan tertanya-tanya.

“ Kenapa apa?” Lilianna bertanya kembali.

Handrien mengeluh. “ Awak tu, asyik senyum seorang diri sahaja dari tadi.”

“ Saya tengah gembira, salah ke?”

Handrien tersengih. “ Yalah. Tapi kita tengah tengok pameran ni, kawal sikit perangai awak tu. Nanti orang lain sangka awak tak siuman pula.”

“ Baiklah.” Lilianna tarik muka.

“ Tapi kan,” Handrien melihat ke sekelilingnya. Ramai orang sedang berkunjung dari satu meja kepada meja yang lain di dalam galeri itu. “ Perlu ke kita berada di sini? Sepatutnya kita tengah sibuk dengan perkara lain sekarang ni.”

“ Sibuk dengan itu ya juga, tapi jangan lupa Fred hantar saya ke sini sebagai apa,” balas Lilianna. Dia mengambil sebiji pasu yang diperbuat daripada tanah liat yang berada di hadapannya. Ukiran pada pasu bersaiz sederhana itu dilihat. “ Pameran kali ini menunjukkan kesemua perkara dan hasil seni penduduk Zythor dari serata dunia. Rakyat Erkens pun tertarik untuk lihat pameran ini. Saya ada nampak beberapa orang Lords dan Ladies kenalan datuk dan nenek saya tadi.”

Sudah dua hari berlalu sejak Lilianna dan Prince Neirin mendedahkan maklumat yang diperoleh mereka. Buat masa ini, Prince Neirin dan Leon sedang giat merancang secara sulit dengan bantuan dua orang pengawal utama Prince Neirin dan kumpulan yang diketuai Lord Campbell. Walaupun secara jujurnya mereka semua berada dalam keadaan debaran menanti hari esok yang akan menjadi perhitungan mereka dengan Lord Vaughan, Lilianna tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil diplomat Erkens ke Zythor.

“ Awak berminat ke dengan pasu tu?” tanya Handrien selepas melihat Lilianna lama meneliti pasu yang berada dalam tangannya itu.

“ Nak belikan untuk datuklah,” kata Lilianna. “ Datuk suka kumpul pasu macam ni. Dah hampir penuh almari dalam bilik kerjanya dengan koleksi peribadi datuk.”

“ Eloklah. Lord Moyes memang gemar benda-benda macam ni. Datuk saya pula suka kumpul sapu tangan. Entah datang dari manalah minat pelik datuk saya tu.”

Lilianna ketawa perlahan. Dia sendiri sudah maklum dengan hobi datuk Handrien itu. Sama seperti datuknya, datuk Handrien juga gemar mengumpul barangan yang biasanya diminati oleh kaum wanita. Ketika Lilianna mengetahui datuknya minat mengumpul pasu, disangkakan dia tersalah dengar dan menganggap koleksi pasu itu adalah milik neneknya. Ternyata dia salah. Kemudian, sewaktu dia ke Marshall Manor House di atas undangan Lord Marshall, dia tidak dapat menyembunyikan kejutannya apabila Lord Marshall menunjukkan koleksi sapu tangan miliknya yang terdiri daripada pelbagai jenis warna, kain, corak dan tempat sapu tangan itu didapati.

“ Yang peliknya nenek kita berdua tak minat pula benda-benda begini,” kata Lilianna. “ Encik, berikan saya satu pasu sebegini.”

Lilianna menunggu penjual yang menjaga meja pameran itu mengambil pasu tanah liat seperti yang diminta olehnya. Matanya melilau ke tempat lain. Rasanya dia sudah boleh mendapatkan buah tangan kepada mereka semua. Selepas ini untuk nenek, Emily, Butler Harold, Chef Paolo, adik-adik Emily juga, Grace…

“ Ini dia, cik,” penjual itu muncul dengan sebiji pasu yang sama seperti yang dipamerkan tadi dengan sebuah kotak kayu. Lilianna memeriksa pasu itu buat seketika sebelum penjual itu membalutnya dengan kertas tebal. Pasu itu diletakkan ke dalam kotak tersebut. “ Terima kasih, sila berkunjung lagi.”

“ Sama-sama,” balas Lilianna.

“ Awak tak nak belikan apa-apa ke untuk datuk dan nenek awak? Untuk Fred ke?” Lilianna bertanya apabila mereka sedang meninjau meja pameran yang lain.

“ Nantilah. Lagi pun, saya tak nak susahkan diri bawa barang lagi,” balas Handrien dengan muka bosan.

“ Mengada. Sekejap, Handrien.” Lilianna berhenti melangkah ketika mereka tiba di kawasan rehat dalam galeri tersebut.

“ Kenapa?”

Lilianna tersengih. “ Saya mahu ke tandas sekejap. Boleh tolong pegangkan barang saya sekejap?”

Handrien pura-pura tarik muka. “ Baiklah. Tapi jangan lama sangat. Saya tunggu di sini,” katanya sambil mengambil barangan Lilianna.

“ Baiklah. Saya pergi tak lama.”

“ Eh, awak,” cetus Handrien tiba-tiba. Mata Handrien tertumpu pada perhiasan di rambut Lilianna yang disanggul rapi.

“ Kenapa?”

Handrien tersenyum. “ Tak… tak ada apa-apa.”

Melihatkan aksesori pedang pemberiannya kepada Lilianna pada lima tahun yang lalu dijadikan hiasan sanggul gadis itu membuatkan dia tersenyum sendirian.

“ Tunggu, ya?” ucap Lilianna.

Segaris senyuman menghiasi wajah itu. Lilianna melihat kepada Handrien sejenak sebelum dia berpaling dan melangkah ke arah laluan yang menuju ke tandas. Handrien terpaku di tempatnya. Ada sesuatu pada senyuman dan lirikan mata gadis itu yang membuatkan Handrien merasakan seperti Lilianna akan pergi buat selama-lamanya daripada dirinya.

Apakah perasaan ini?

Handrien menggelengkan kepalanya berulang kali. Tidak mahu melayan perasaannya yang entah mengapa membuatkan dia berfikiran yang bukan-bukan. Handrien duduk di bangku yang disediakan di ruang untuk berehat di situ. Lenguh juga kakinya kerana berjalan sahaja dari tadi.

Pandangan Handrien ditebarkan ke arah setiap sudut galeri tersebut yang mampu dicapai matanya. Orang ramai berpusu-pusu masuk ke dalam galeri bagi melihat pelbagai jenis barangan yang dipamerkan. Walaupun kebanyakannya terdiri daripada rakyat kelas pertengahan, tetapi terdapat juga keluarga bangsawan meninjau-ninjau pameran tersebut. Pameran seperti inilah antara salah satu tempat di mana dia boleh melihat golongan tidak mengira darjat berada di satu tempat yang sama. Kalaulah semua perkara boleh dibuat bersama-sama, tidaklah golongan atasan memandang rendah kepada golongan bawahan manakala rakyat jelata melihat kumpulan aristokrasi sebagai sombong.

Jam poket diambil daripada kocek kemejanya. Dahi Handrien berkerut, rasanya sudah lama Lilianna ke tandas. Tapi kenapa gadis itu tidak muncul-muncul lagi ni?

Handrien bangun daripada duduknya. Dia mula tidak sedap hati. Kakinya diatur ke arah laluan yang menghubungkan ruang pameran dengan kawasan tandas. Laluan itu cerah sahaja tetapi sunyi kerana tidak ramai orang ke sini.

“ Lilianna?” Handrien memanggil.

Matanya dihala ke kiri dan kanannya. Langsung tiada bayang orang lain di laluan itu kecuali dirinya.

“ Lilianna?” Handrien memanggil lagi.

Ketika itulah, mata Handrien tertumpu pada suatu objek di atas lantai. Handrien tersentak. Dia kenal akan objek itu.

Aksesori rambut Lilianna!

Langkah Handrien bertukar kepada larian. Aksesori berupa pedang itu diambil. Handrien menoleh ke kiri dan ke kanan. Apakah maksudnya ini?

“ Lilianna!”

Sepi.

Aksesori itu disimpan dalam poket seluarnya. Handrien berlari ke arah tandas wanita. Tanpa mempedulikan larangan bagi lelaki daripada memasuki tempat itu, Handrien masuk juga ke dalam. Tandas itu kosong tanpa sesiapa.

“ Lilianna!”

Pintu setiap kubikel ditolak tetapi masih tiada bayang-bayang gadis itu. Tingkap tandas itu kecil, mustahil Lilianna dibawa pergi melalui tingkap itu. Handrien meramas rambutnya. Dia mengeluh kasar. Tanpa berlengah lagi Handrien berlari keluar dari tandas tersebut. Dia tidak boleh berlengah-lengah lagi.

Lilianna diculik!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience