Chapter 15

Other Completed 4791

BAB 15

REBEN pada bahagian belakang gaun biru muda itu dikemaskan oleh Emily sebelum dia mengemaskan kedudukan ropol pada gaun yang tersarung pada tubuh langsing Lilianna itu. Lilianna yang sedang berdiri di hadapan cermin sedang mengemaskan dandanan rambutnya yang dilakukan oleh Emily tadi. Rambut panjang paras pinggulnya disanggul rapi. Suatu perhiasan berbentuk bunga berwarna putih menghiasi sanggul itu.

“ Terima kasih,” ucap Lilianna sebaik sahaja mendapati dirinya sudah bersedia untuk hari ini.

“ Cik serius nak masuk pertandingan ini?” Emily bersuara risau.

“ Apa salahnya? Kalau saya menang saya boleh jadi tunangan putera raja,” kata Lilianna sambil ketawa.

Emily mengukir senyum. “ Kalau cik betul-betul nak kahwin dengan putera raja, cik tak akan berkelakuan seperti ini.”

“ Maksud awak?”

“ Cik seperti mahu berseronok sahaja dan saya tahu cik bukan gadis yang mahukan hidup sebagai seorang puteri.”

Lilianna tersenyum. “ Entahlah.”

Pintu bilik Lilianna diketuk dari luar. Segera Lilianna menyarungkan sarung tangan putih pada kedua-dua tangannya. Sarung tangan itu hanya menutupi sehingga paras atas pergelangan tangannya. Pintu bilik itu dibuka. Handrien yang berpakaian uniform pengawal mengikut pangkatnya sedang berdiri di situ.

“ Boleh saya iring Lady Lilianna ke pentas?” ujar Handrien sambil menghulurkan tangan kanannya.

Lilianna ketawa. Dia menyambut huluran itu. “ Baiklah, Knight.”

Lilianna, Handrien dan Emily berjalan ke arah lapangan di mana pertandingan itu akan diadakan. Dari jauh lagi kedengaran bunyi alatan muzik dimainkan. Lapangan itu sudah dipenuhi dengan golongan bangsawan wanita. Kebanyakannya terdiri daripada ibu dan anak gadis yang mungkin menyertai pertandingan itu.

“ Lady Lilianna.”

Leon muncul di hadapan mereka.

“ Kenapa, Leon? Saya sudah terlambatkah?”

Leon menggeleng. “ Saya datang menjemput cik untuk berkumpul bersama-sama peserta lain. Lord Handrien dan Cik Emily boleh menunggu di bahagian penonton.”

“ Baiklah.” Lilianna melihat kepada Handrien. “ Jumpa awak lepas ni.”

“ Semoga berjaya,” ucap Handrien.

“ Lakukan yang terbaik, cik,” kata Emily teruja.

Lilianna tersengih. Dia berjalan mengikuti Leon. Leon membawanya ke bawah sebuah khemah. Terdapat kerusi empuk disediakan untuk para peserta. Kebanyakannya sudah diduduki gadis-gadis yang kelihatan anggun dengan gaun cantik dan mewah pada tubuh mereka.

“ Semoga berjaya, Lady Lilianna,” bisik Leon.

“ Terima kasih.”

Leon berjalan meninggalkan kawasan itu menuju ke arah khemah cantik di mana Prince Neirin duduk. Seorang wanita anggun yang kelihatan sudah berusia duduk di sebelahnya. Melihatkan tiara yang berada di atas kepala wanita itu, Lilianna mengandaikan itu adalah ibu putera tersebut.

Mata Lilianna melihat ke sekitarnya. Gadis-gadis yang berada di bawah khemah itu bersama-samanya tidak banyak bercakap. Wajah masing-masing tegang sahaja. Pastinya memfokuskan teknik dan kemahiran yang dimiliki untuk memenangi kedudukan sebagai bakal isteri Prince Neirin. Lilianna menarik senyum. Dia hanya akan lakukan yang terbaik.

Lord Vaughan kelihatannya sedang berbual-bual dengan seorang gadis jelita. Gadis bergaun kuning itu mungkin anak gadis yang ingin dijadikan tunangan Prince Neirin seperti mana pernah baginda katakan semalam. Kalaulah gadis itu berkahwin dengan Prince Neirin, mereka memang sama cantik sama padan. Tiada cacat cela. Selepas beberapa ketika, gadis itu berjalan ke arah khemah sambil diiringi seorang gadis pembantu.

“ Selamat pagi. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih di atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan.”

Suara yang digemakan dengan alat pembesar suara itu menarik perhatian mereka yang berada di lapangan itu. Leon sedang berdiri di luar khemah di mana Prince Neirin berada. Lelaki itu memulakan ucapan dengan memulikan kehadiran Prince Neirin dan ibunya sebelum terus kepada tujuan pertandingan itu. Penilaian, bak kata Leon. Penilaian untuk Prince Neirin melihat sendiri calon-calon gadis untuk menjadi bakal isterinya. Sempat pula Leon menekankan untuk menikmati keindahan pagi di musim bunga ini.

“ Baiklah, tanpa membuang masa lagi kita mulakan penilaian untuk kemahiran menggubah bunga. Silakan, para gadis.”

Seorang pembantu istana menghampiri setiap seorang gadis bangsawan itu untuk membawa mereka kepada meja yang disediakan. Lilianna didatangi seorang gadis yang kelihatan sebaya dengannya. Sekuntum senyuman dilemparkan kepada gadis berwajah manis itu. Senyumannya berbalas.

“ Lady Lilianna, mari saya iring cik ke meja,” lembut gadis itu bersuara.

“ Baiklah.”

Lilianna diduduki di sebuah meja bulat yang mempunyai kuntuman pelbagai jenis bunga di hadapannya. Setiap gadis bangsawan itu juga duduk di meja bulat yang sama sepertinya. Tiada beza pada jenis bunga mereka juga. Lilianna sabar menantikan arahan untuk memulakan tugasnya.

“ Maafkan patik kerana menganggu, tuanku!”

Lilianna menoleh ke arah suara itu. Dia mengeluh perlahan. Lord Vaughan sedang berdiri di hadapan Prince Neirin. Apa lagi yang lelaki itu tidak puas hati?

Leon yang baru sahaja ingin memberi arahan seterusnya, menurunkan pembesar suaranya. Dia turut melihat kepada Lord Vaughan.

“ Kenapa, Lord Vaughan? Ada masalah teknikalkah?” tenang sahaja Prince Neirin bertanya.

“ Bukan begitu, tuanku. Patik hanya hairan, kenapa wakil daripada King Frederick turut menyertai penilaian ini?” kata Lord Vaughan seraya menunjuk ke arah Lilianna.

Lilianna dapat merasakan berpuluh-puluh pasang mata sedang tertumpu kepadanya. Dia melarikan pandangannya kepada Handrien. Lelaki itu sedang tersenyum sinis, seperti mengejek tindakan Lord Vaughan pada waktu ini.

“ Beta percaya tiada halangan untuk Lady Lilianna menyertai penilaian ini jika beliau mahu turut serta. Lagi pun, syarat utama House of Lords berikan adalah gadis itu mesti berasal daripada keluarga bangsawan. Tiada pula disebut mengenai dari mana dia berasal.”

“ Ya, patik tahu, tuanku. Cuma…”

“ Lord Vaughan, jangan rosakkan keseronokan pada pagi ini. Beta percaya gadis-gadis perawan di sana sudah tidak sabar untuk mula menggubah bunga. Sila kembali ke tempat duduk anda. Leon!” Prince Neirin melihat kepada Leon. “ Teruskan.”

Lord Vaughan kembali ke tempat duduknya dengan wajah sedang menahan marah. Lilianna menahan dirinya daripada ketawa. Leon sudah kembali bersuara. Sebaik sahaja Leon memberi arahan untuk bermula, tangan Lilianna mula lincah bergerak di atas meja itu, mencapai bunga yang diperlukan dan juga gunting.

Sejak usianya tujuh tahun lagi Lilianna belajar teknik menggubah bunga. Semuanya diajar oleh Nanny Sophie yang memang mahir dengan gubahan bunga. Pada mulanya Lilianna belajar kerana ingin menghadiahkan gubahan bunga yang cantik kepada ibunya yang sering terlantar sakit di atas katil tetapi pada masa itu usianya masih tiga tahun, masih terlalu muda untuk belajar teknik yang sepatutnya. Jadi dia hanya menghadiahkan kuntuman bunga sahaja kepada ibunya. Selepas ibunya meninggal dunia, Lilianna menghadiahkan pula kuntuman bunga itu kepada bapanya yang sedang bersedih. Beberapa tahun selepas itu barulah dia sudah layak untuk mula belajar teknik menggubah bunga.

Beberapa lama kemudian Leon memberi isyarat berhenti. Lilianna meletakkan gunting di atas meja. Dua orang pakar gubahan bunga akan pergi kepada setiap meja untuk menilai gubahan itu. Selepas hampir bosan menunggu akhirnya tiba juga giliran Lilianna. Dia segera berdiri tatkala dua orang pakar itu tiba di mejanya. Seorang memakai gaun berwarna jingga manakala seorang lagi mengenakan gaun berwarna biru gelap.

“ Lady Lilianna Rosalyn Moyes?” Salah seorang daripada mereka bertanya.

“ Ya, saya.” Lilianna memberi tunduk hormat.

Kedua-dua wanita itu melihat kepada gubahannya yang diletakkan di tengah meja. Lilianna diam sahaja sewaktu pakar-pakar itu meneliti hasil tangannya. Wanita yang berpakaian gaun biru gelap itu melihat kepadanya.

“ Boleh cik beritahu dari mana cik belajar teknik menggubah bunga?” tanyanya dengan nada mendatar.

Lilianna mengukir senyum. “ Daripada pengasuh saya dahulu.”

“ Apa yang cik fikirkan masa menggubah bunga ini?” Wanita bergaun jingga itu bertanya.

“ Harmoni sebuah keluarga,” jawab Lilianna. Dia tidak dapat melupakan memori ketika dia menghadiahkan gubahan bunganya kepada kedua-dua ibu bapanya. Wajah gembira dan bangga mereka akan sentiasa diingatinya sehingga hari ini.

Kedua-dua wanita itu saling berpandangan sebelum mencatat sesuatu pada buku yang dibawa mereka. Selepas itu mereka bergerak untuk menilai di meja yang lain pula. Lilianna menarik nafas lega. Dia kembali duduk. Matanya melekat kepada gubahan bunga itu. Dia tidak dapat mematikan senyumannya.

Penilaian daripada wanita-wanita tadi tidak akan diberitahu sehinggalah tamat kesemua acara. Selepas itu mereka bergerak ke sebuah dewan di mana terdapat meja panjang dan kek-kek cawan kosong di atas dulang. Mereka diminta untuk menghias kek-kek cawan itu mengikut kreativiti masing-masing. Melihatkan acara ini membuatkan Lilianna terfikir, Prince Neirin benar-benar mahu mempermainkan Lord Vaughan dan pengikutnya. Pastinya Lord Vaughan mengandaikan acara ini tidak layak untuk gadis yang akal dikahwini baginda.

Tetapi tidak mengapa, Lilianna akan melakukan setiap tugasan dengan sebaik mungkin. Dia dihantar ke sini untuk membantu Prince Neirin. Jika dia bernasib baik, baginda akan terus membantunya untuk mencari siapakah pembunuh bapanya itu.

Selepas tugasan menghias kek, mereka bergerak pula ke perpustakaan diraja yang besar itu. Di situ mereka dinilai dengan pengetahuan mengenai sejarah kerajaan ini. Walaupun Lilianna belajar semua perkara itu tetapi dia sudah lupa hampir kesemua sejarah Zythor. Terpaksalah dia bersengkang mata semalam meniliti kembali fakta-fakta sejarah yang dilupainya. Tetapi tidak mengapalah, berdasarkan riak pada wajah gadis-gadis bangsawan itu Lilianna meneka bahawa mereka juga tidak mahir dalam subjek ini.

Sebuah dewan menjadi destinasi mereka selepas penat memerah otak menjawab soalan-soalan sejarah tadi. Setiap gadis akan didatangi seorang lelaki budiman berpakaian kot hitam. Mereka dikehendaki untuk menari waltz di dalam dewan itu. Lilianna tersenyum apabila mendapati pasangannya itu mahir menari. Dia mengikut sahaja rentak lelaki itu. Sempat juga Lilianna mencuri pandang ke arah Handrien dan Emily yang sedang menonton.

Adakah dia tersalah lihat atau memang Handrien sedang merenungnya dengan wajah tidak puas hati?

USAI menyalin gaunnya kepada kemeja, seluar dan but yang selalu dipakainya ketika bermain pedang, Lilianna segera kembali ke lapangan tadi. Emily membantunya menanggalkan gaun yang membataskan pergerakannya itu. Kebanyakan gadis bangsawan yang menyertai penilaian itu masih belum kembali. Hanya ada beberapa orang gadis sahaja di bawah khemah. Lilianna mengambil tempat duduknya sementara Emily beredar ke tempat duduk penonton.

“ Gementar?”

Lilianna mendongak, melihat kepada pemilik suara itu.

“ Handrien!”

Handrien ketawa seraya menghulurkan pedang kesayangan Lilianna kepadanya.

“ Saya yakin awak boleh gunakan pedang apa-apa pun tapi tentu awak mahu beraksi dengan pedang awak ini, kan?” kata Handrien.

“ Terima kasih.” Lilianna mengambil pedang itu lalu diletakkan di atas ribanya. Walaupun pedang itu berat tetapi pada saat dia memegang pedang kesayangannya itu Lilianna merasakan hatinya berbunga.

“ Orang lain dah ada pedang masing-masing, takkan awak seorang nak guna pedang yang pihak penganjur sediakan.”

“ Saya tahu awak akan bawa pedang saya ini,” balas Lilianna mudah.

Sememangnya pedang dan busur miliknya disimpan oleh lelaki itu. Tetapi dia hanya memerlukan pedangnya sahaja. Dia boleh menggunakan busur yang akan diberikan oleh penganjur untuk acara memanah selepas ini.

Lapangan itu beransur-ansur penuh dengan gadis-gadis bangsawan yang sudah menukar pakaian mereka. Lilianna sedar kebanyakannya seperti takut-takut melihat pedang yang dibawa pembantu masing-masing. Kasihan juga mereka. Kerana tidak mahu terikat dengan gadis yang tidak berkenaan, mereka terpaksa mengikut acara yang diusulkan oleh Prince Neirin ini.

“ Ini adalah acara yang paling ditunggu-tunggu untuk hari ini!”

Leon membuat pengumuman seperti ingin menarik perhatian orang di festival sahaja. Lilianna tergelak.

“ Menurut baginda Prince Neirin, baginda mahukan permaisurinya mahir dalam seni mempertahankan diri. Mungkin kemahiran itu membolehkan permaisuri baginda berjuang bersama-sama baginda di barisan hadapan pertahanan…” Keluhan dilepaskan oleh gadis-gadis itu, terkejut dengan kata-kata Leon. “ Tidak, tidak. Saya bergurau sahaja. Prince Neirin hanya mahu melihat sesuatu yang unik, yang jarang dimiliki oleh gadis-gadis bangsawan…”

Selepas Leon selesai dengan kata-katanya, Lilianna memfokuskan pada lapangan kosong di hadapan. Tiga orang pengawal lelaki berdiri di tengah-tengah lapangan itu. Terdapat pedang kayu di tangan mereka. Itu adalah kelonggaran yang diberikan untuk mereka memandangkan kebanyakan gadis bangsawan itu baru sahaja belajar bermain pedang pada minggu lalu, ketika Prince Neirin baru sahaja memasukkan acara ini dalam penilaian tersebut. Mereka dikehendaki merampas loceng yang tergantung di pinggan pengawal-pengawal itu. Hanya tiga orang gadis sahaja akan dibenarkan ke hadapan pada satu-satu masa. Tiga nama dipanggil mengikut susunan nama di atas kertas yang dipegang oleh Leon. Berdasarkan kertas itu, Lilianna tahu namanya berada di bawah sekali.

Mata Lilianna tertumpu sepenuhnya pada pergerakan ketiga-tiga pengawal itu. Mereka bertindak dengan perlahan kerana jelas pada mata Lilianna bahawa ketiga-tiga gadis itu tidak mahir menggunakan pedang. Malah ada yang tidak dapat mengangkat pedangnya dengan betul kerana tidak terbiasa dengan berat besi itu. Masa kian berlalu tetapi tiada seorang pun di antara mereka bertiga berjaya merampas loceng tersebut.

Tiga pusingan sudah berlalu dan Lilianna sudah tidak senang duduk. Pada pusingan keempat itulah muncul anak gadis Lord Vaughan di tengah-tengah lapangan itu. Lilianna tidak tahu sama ada untuk kasihankan gadis itu atau tidak. Nampaknya tiada siapa mempersoalkan pilihan pakaiannya. Gaun labuh yang mempunyai belahan di paras paha dikenakan dengan seluar ketat putih serta berkasut but hitam. Lilianna sedar sukar untuk gadis itu bergerak dengan baik jika dia belum mahir mengendalikan pedangnya. Silap hari bulan gadis itu boleh terjatuh. Lilianna sudah pernah mengalami kejadian seperti itu pada awal pembelajarannya.

Tetapi mungkin gadis itu sudah mahir? Disebabkan itulah dia memilih pakaian itu? Menarik, fikir Lilianna sambil tersenyum. Daripada melihat kepada pergerakan pengawal-pengawal itu, Lilianna menumpukan perhatiannya kepada gadis itu.

Kedua-dua tangan gadis itu memegang pada pemegang pedang itu dan berjalan dengan perlahan-lahan untuk mendekati pengawal yang menjadi sasarannya. Tidak berkelip mata Lilianna melihat gadis itu. Adakah anak Lord Vaughan itu ada teknik yang istimewa?

Tetapi pada saat Lilianna melihat gadis itu terjatuh dan terlanggar pengawal itu, Lilianna mula tepuk dahi. Tepukan kedengaran apabila audiens melihat gadis itu berjaya merampas loceng pada pinggang pengawal itu sewaktu terjatuh tadi. Lilianna menggelengkan kepalanya. Tidak menyangka teknik gadis itu hanyalah pura-pura terjatuh. Dia mencuri pandang pada Lord Vaughan yang masih menepuk tangan. Nampak sangat lelaki itu berasa bangga kerana setakat ini tiada siapa pun berjaya merampas loceng itu.

“ Untuk pusingan keempat dan terakhir, saya persilakan Lady Katherine Ava Harris dan Lady Lilianna Rosalyn Moyes.”

Hanya tinggal diri Lilianna dan gadis bernama Katherine itu sahaja. Lilianna bangun daripada kerusinya dan memegang kemas pedang miliknya di tangan kanan. Tanpa membuang masa lagi dia berjalan ke arah pengawal berambut perang yang berdiri di tengah-tengah di antara dua pengawal yang lain. Melihatkan aksi pengawal berambut perang itu tadi, Lilianna tahu pengawal itu seorang yang mahir mengendalikan pedangnya berbanding dua orang pengawal yang lain. Katherine pula memilih pengawal yang berada di sebelah kanan pengawal berambut perang itu.

Lilianna menarik nafas. Dia menenangkan dirinya. Matanya melihat kepada loceng yang sedang bersinar di pinggang kiri pengawal berambut perang itu sebelum beralih kepada wajah tanpa ekspresi lelaki itu. Kalau boleh dia mahu berlawan dengan lelaki itu dalam jangka masa yang panjang, tetapi memandangkan dia perlu memendekkan masa untuk penilaian ini, dia perlu bertindak dengan lebih cepat berbanding pengawal itu.

“ Mula!”

Pengawal itu terundur ke belakang apabila tiba-tiba sahaja Lilianna mengajukan mata pedangnya betul-betul beberapa sentimeter daripada mata pengawal itu. Membulat mata pengawal itu dengan tindakan yang tidak dijangka daripada gadis itu. Lilianna menarik senyum, tidak terusik dengan kejutan pada wajah pengawal itu.

Suasana di sekitar mereka juga sepi. Katherine yang menyaksikan kejadian itu terlopong. Pedangnya jatuh di atas tanah. Pengawal yang menjadi sasaran Katherine juga tergamam. Mata mereka tertumpu kepada Lilianna dan pengawal berambut perang itu.

“ Maaf, saya dah menang.”

Tepukan gemuruh mula kedengaran.

Mata pengawal itu kian membulat apabila menyedari rantai yang mengikat loceng di pinggangnya itu berada di hujung mata pedang. Kelam kabut pengawal itu melihat ke bawah, memastikan ketiadaan loceng itu ti pinggangnya lagi. Apabila pengawal itu membetulkan kedudukan dengan berdiri dengan tegak, Lilianna dapat melihat senyuman pada wajah itu.

“ Tahniah, Lady Lilianna. Saya fikir cik juga tak mahir bermain pedang. Tak sangka cik terus fokuskan pada loceng itu sebelum mengangkatnya ke atas, bertentangan dengan saya,” ucap pengawal itu tertib.

Lilianna membalas senyuman itu. “ Awak tak patut kurangkan waspada awak walaupun untuk kaum wanita. Kalau boleh saya mahu berlawan dengan awak, tapi mungkin lain kali. Boleh?”

Pengawal itu membongkok sedikit. “ Boleh sahaja, Lady Lilianna. Bila-bila masa cik mahu, cik boleh minta pembantu cari saya, Lucas Gray.”

“ Terima kasih, Lucas.”

Lilianna melihat ke arah tempat duduk Handrien. Dia tidak dapat menyembunyikan rasa gembiranya. Loceng yang kini berada di tangan kirinya ditayang kepada lelaki itu. Handrien mula tergelak, barangkali terhibur dengan tindakan gadis itu.

Jika Lilianna mula mencuri tumpuan pada acara pedang tadi, pada acara memanah yang baru sahaja bermula itu pun sudah banyak mata-mata sedang merenung ke arahnya. Lilianna sedaya upaya menumpukan perhatiannya kepada enam orang gadis yang sedang memanah di hadapannya. Mereka dikehendaki memanah pada burung-burung yang baru dilepaskan dari sangkar. Hanya tiga anak panah sahaja diberikan kepada setiap orang.

Hanya dua orang sahaja daripada mereka berjaya memanah burung-burung itu, itu pun seekor bagi setiap gadis itu sahaja. Dua ekor burung yang berjaya dipanah itu segera diambil oleh pengawal yang bertugas. Menurut Leon, daging burung itu akan dipanggang untuk dijadikan makanan kepada singa belaan Prince Neirin. Tapi perlukah dipanggang? Fikir Lilianna. Mengada-ngada betul singa tu.

Selepas enam orang gadis itu keluar dari lapangan dengan wajah sedih, mereka berlima, termasuklah Lilianna mula mengambil tempat masing-masing. Lilianna mengambil busur dan anak panah yang diberikan oleh seorang gadis pembantu. Matanya melihat kepada burung-burung yang masih terperangkap di dalam sangkar besar. Selepas Leon mengarahkan sangkar itu dibuka, barulah burung-burung itu dilepaskan.

“ Baiklah, Ladies sekalian sudah boleh bermula. Peringatan, jika anda sudah menjatuhkan ketiga-tiga sasaran anda walaupun masa masih belum tamat, anda sudah boleh keluar dari kawasan itu.”

Lilianna mengangkat busurnya dan dihala ke udara. Matanya difokuskan pada seekor burung sahaja. Tangan kanannya menunggu arahan untuk melepaskan anak panah itu. Selepas yakin dengan kedudukannya, Lilianna melepaskan anak panah tersebut. Burung yang menjadi sasarannya tadi terjatuh di atas tanah.

Pembantu itu menghulurkan anak panah yang kedua. Lilianna tidak mengambil masa yang lama untuk mengunci kedudukan sasaran baru dengan anak matanya sebelum anak panah itu melayang dan mengenai burung itu. Sebelum sempat burung itu jatuh menimpa tanah, Lilianna mula mensasarkan anak panah ketiga kepada sasaran yang terakhir. Burung yang menjadi mangsa terakhirnya itu jatuh mengiringi burung yang kedua.

Lilianna menjatuhkan tangan kirinya yang memegang busur. Dia menarik nafas, akhirnya selesai sudah penilaian ini. Dia sudah kepenatan kerana dari pagi tadi lagi dia perlu ke sana sini untuk melakukan tugasan yang dikehendaki. Busur itu diserahkan kepada pembantu itu. Lilianna beredar dari lapangan itu untuk duduk di bawah khemah. Dia tidak mempedulikan renungan daripada penonton yang terpegun dengan kemahirannya itu.

“ Cik, tahniah,” ucap Emily yang sedang menunggunya di bawah khemah peserta itu. Segelas air dihulurkan kepada Lilianna yang baru melabuhkan punggung di atas kerusi. “ Minumlah air dahulu.”

“ Terima kasih, Emily.”

Lilianna meneguk minuman itu. Sapu tangan yang berada di tangan Emily diambil. Dia mengesat peluh yang membasahi wajahnya. Walaupun suhu masih lagi rendah tetapi Lilianna dapat merasakan hangat sinaran cahaya matahari.

“ Terima kasih saya, mewakili pihak Crown Prince Neirin, ucapkan kepada Ladies yang sudi menyertai penilaian ini. Memandangkan sudah masuk waktu makan tengah hari, saya ingin menjemput para hadirin di lapangan ini untuk menjamu selera di Dewan Besar. Silakan ikut pengiring anda, terima kasih.”

Lilianna masih tidak bangun daripada kerusi walaupun orang sudah berpusu-pusu meninggalkan kawasan itu. Dia tidak mahu bersegera ke Dewan Besar itu kerana dia tahu, sekali lagi dia akan menjadi bahan renungan mereka. Jika bukan kerana ingin menolong Prince Neirin, dia tidak akan melakukan perkara ini.

“ Lilianna, awak tak mahu pergi ke?” soal Handrien yang baru muncul di situ.

Lilianna ukir senyum. “ Sekejap lagilah. Saya penat. Boleh saya duduk sekejap?”

Handrien menggelengkan kepalanya. “ Apa-apa ajelah awak ni.”

Handrien mengambil tempat di sebelah Lilianna.

“ Habis juga penilaian ni. Tapi awak yakinkah awak boleh menang dalam penilaian ni? Bukan calang-calang orang saingan awak tadi walaupun awak ada kelebihan dalam dua acara terakhir,” soal Handrien.

“ Saya terima sahaja keputusannya. Lagi pun, bukannya saya bersedia untuk masuk penilaian ini pun. Harap-harap dua acara terakhir tadi dapat tampung kekurangan untuk acara sebelum ini walaupun…” Lilianna terdiam. Dia mengeluh. “… saya kasihankan mereka sebenarnya.”

“ Mereka? Gadis-gadis tadi?”

Lilianna mengangguk. “ Mereka susah payah berusaha untuk dapat penilaian yang terbaik tapi tiba-tiba sahaja saya muncul dan buat mereka risau.”

“ Awak tahu kan kalau kita tak buat semua ni, Prince Neirin akan dipaksa untuk bertunang dengan anak Lord Vaughan?”

“ Saya tahu, tapi…” Lilianna mengeluh tadi. Mindanya teringatkan anak gadis Lord Vaughan tadi. Gadis itu cantik dan mempunyai auranya yang tersendiri tapi sayangnya, sikap tamak bapanya membuatkan dia terheret sama. “ … mereka semua ada kelebihan masing-masing.”

“ Sudahlah, jangan cakap lagi pasal hal ini,” Handrien bersuara tegas. Dia melihat kepada Lilianna di sebelahnya. “ Hidup kita akan lebih aman kalau kita tak bebankan otak kita dengan semua perkara remeh yang terjadi pada setiap masa.”

“ Ada ke cakap macam tu,” Lilianna tarik muka.

Handrien tersengih. “ Awak jangan lupa, malam ini kita boleh tengok isi kandungan surat layang tu. Awak dah buat yang terbaik untuk hari ini, tak kisahlah apa keputusannya.”

“ Terima kasih,” Lilianna tersenyum girang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience