Chapter 20

Other Completed 4791

BAB 20

BUSUR yang berada di tangan Handrien diambil. Jari Lilianna diletakkan pada bahagian pemegang busur itu, ditarik sehingga ke penghung busur, merasai kelicinan kayu yang digunakan untuk membuat busur itu. Ketegangan tali busur itu juga diperiksa.

“ Betul awak tak nak bawa pedang awak tu?” Handrien bertanya sambil membelek pedang miliknya yang dikeluarkan daripada sarung yang tergantung pada pinggang sebelah kirinya.

“ Letak aje dalam kereta kuda tu,” kata Lilianna tanpa melihat kepada Handrien. Matanya lebih tertumpu kepada busur di tangannya. “ Lagi pun kita nak memburu, bukannya berlawan dalam hutan itu kan?”

Handrien mengeluh. Kepalanya digeleng. “ Baik, puan.”

Pada hari ini Leon membawa Lilianna dan Handrien menyertai sekumpulan kaum lelaki bangsawan berburu di dalam hutan. Cadangan itu dikemukakan oleh Lord Campbell yang menyatakan minatnya melihat gadis bangsawan seperti Lilianna mahir menggunakan busur ketika acara penilaian tempoh hari.

Ketika Lilianna meminta pendapat Leon, Leon bersetuju kerana Lord Campbell adalah penyokong Prince Neirin. Lelaki tua itu sudah lama membantu King Arthur mempersiapkan Prince Neirin untuk menjadi pemerintah Zythor yang seterusnya. Pada saat ketiadaan Prince Neirin di Zythor, Leon memperkenalkan mereka yang taat setia kepada putera itu. Bermula daripada Samuel dan pembantu-pembantu yang selalu mengiringnya kepadalah Lord Campbell dan kumpulan pemburuannya.

“ Seronoknya! Dah lama saya gian nak memburu,” tutur Lilianna dengan senyuman yang tidak lengkang daripada wajahnya. Kali terakhir dia masuk ke dalam hutan untuk memburu adalah sebulan yang lepas bersama-sama datuknya dan kawan-kawan Lord Moyes yang lain.

“ Tapi jangan lupa untuk berhati-hati,” Handrien menjegilkan matanya kepada Lilianna. “ Jangan lupa yang awak tu mungkin jadi sasaran orang lelaki tua tu sekarang,” tambah Handrien sambil memperlahankan suaranya.

Lilianna menjongketkan bahunya sambil menggeleng.

Sejak merasakan dirinya diperhatikan oleh seseorang ketika berada di Lunola Street tengah hari semalam, makin galak pesanan Handrien agar Lilianna berhati-hati walaupun berada di dalam kawasan istana. Naik rimas Lilianna dibuatnya walaupun dia tahu niat Handrien itu baik. Lilianna cuma tidak berkenan dengan mulut Handrien yang tiba-tiba sahaja kalah bebelan Butler Harold jika ada pekerja bawahannya buat silap walaupun sedikit.

“ Kamu dah biasa masuk hutan untuk berburu kan, Lady Lilianna?” Lord Campbell bertanya. Beliau sudah lengkap dengan pakaian yang sesuai untuk berburu. Topi berwarna hitam melindungi kepalanya.

Lilianna mengangguk. “ Biasanya saya ikut datuk berburu, tuan.”

“ Biasanya anak gadis belajar etika yang betul dan bersedia untuk berkahwin sahaja, tapi nampaknya datuk kamu tak kisah ya dengan minat kamu?” suara Lord Jenkins, salah seorang sahabat Lord Campbell.

“ Datuk dan nenek tak kisah walaupun minat saya ni tak boleh diterima sangat oleh kawan-kawan sebaya saya yang lain. Tapi tak mengapalah asalkan datuk dan nenek benarkan. Lagi pun apa salahnya untuk seorang perempuan belajar mempertahankan diri mereka sendiri? Saya percaya ini bukan masa untuk perempuan hanya belajar etika keperempuanan sahaja.”

“ Suatu pendapat yang menarik,” puji Lord Campbell. “ Benar. Kita boleh bilang berapa orang sahaja perempuan yang terlibat dalam dunia akademik dan profesional kerana masyarakat masih berpegang pada pendapat zaman dahulu, memikirkan perempuan tidak layak untuk belajar dengan mendalam dan hanya perlu fikirkan pasal rumah tangga sahaja.”

“ Saya percaya kamu pernah dengar nama Marie Idalia II, Lady Lilianna?” Lord Jenkins tersenyum.

“ Beliau adalah idola saya, Lord Jenkins.”

“ Patutlah,” Lord Campbell kelihatan gembira, “ Mungkin kamu patut jadi Marie Idalia untuk zaman ini, Lady Lilianna.”

Lilianna mengulum senyum. Berbunga-bunga hatinya mendengar kata-kata itu. Sejak dahulu lagi dia menyanjungi dan menganggumi Marie Idalia II. Baginya bukan mudah untuk seorang perempuan bangkit dan menjadi tunjang utama menggerakkan askar-askar Zythor yang terdiri daripada lelaki pada abad lalu ketika kerajaan Zythor dan Erkens masih berperang. Walaupun 100 tahun sudah berlalu, tapi sentimen masyarakat mengenai penglibatan perempuan dalam bidang yang didominasi golongan lelaki masih tidak berubah.

“ Kalau Lord Beaumont masih hidup, saya yakin beliau pasti berbangga dengan kamu,” ucap Lord Campbell.

“ Tuan kenal ayah saya?” Lilianna terkejut.

Anggukan Lord Campbell mengiyakan pertanyaan Lilianna. “ Walaupun kami tak rapat mana kerana dia bertugas di bahagian lain, tapi kami selalu bertemu dalam mesyuarat am. Bapa kamu seorang yang berwawasan tapi masih mengekalkan sifat baik yang ada pada dirinya. Sebab itu, saya terkejut bila mendapat berita mengenai peristiwa malang itu.”

Leon yang menjadi penunjuk arah mula melaung, memberikan arahan kepada kumpulan itu. Perbualan di antara Lilianna dan Lord Campbell terhenti di situ. Panggilan daripada Leon menyelamatkan Lilianna daripada terpaksa mengawal riak pada wajahnya ketika Lord Campbell menyentuh mengenai kejadian itu.

Selain daripada Lilianna, Handrien, Lord Campbell dan Lord Jenkins, masih ada lima orang lelaki lain yang menyertai mereka. Ketiga-tiganya adalah anak-anak kepada Lord Campbell dan Lord Jenkins. Ada yang lebih tua daripada mereka, ada juga yang kelihatan sebaya dengan Handrien.

Mereka mula bergerak memasuki ke dalam hutan. Busur masing-masing dipegang kemas. Sama seperti di Erkens, penggunaan pistol ketika berburu masih diharamkan lagi, sama seperti kegunaan harian. Sesiapa yang ingin menggunakan pistol perlu melalui satu penilaian yang panjang dan ketat arahannya.

Selepas hampir sekian lama berjalan, mereka tiba di suatu kawasan yang mempunyai dua simpang. Handrien melihat ke arah Lilianna. “ Awak nak pilih yang mana satu?”

“ Nak berpecah ke?”

Handrien menjongketkan bahu.

“ Kalau sesiapa mahu berpecah dari sini, silakan,” Lord Campbell bersuara. “ Tak seronok untuk berburu jika kita terikat dengan suatu kumpulan besar, kan?”

“ Tuan mahu ke mana?” Lilianna berhenti beberapa tapak daripada lelaki itu.

“ Saya dan Lord Jenkins akan ke sebelah kanan.”

“ Saya ikut tuan sahaja. Lagi pun bukankah tuan mengajak saya untuk berburu bersama-sama?”

Tawa Lord Campbell pecah. “ Baiklah, baiklah. Mari kita bergerak.”

Lilianna dan Handrien mengikuti Lord Campbell dan Lord Jenkins yang kembali berjalan. Leon turut menyertai mereka. Anak-anak Lord Campbell dan Lord Jenkins memilih untuk berpecah. Katanya mereka tidak mahu menganggu sekiranya ada apa-apa perbincangan penting.

“ Jadi, saya dengar kamu menolong Prince Neirin untuk menjatuhkan Lord Vaughan,” tanya Lord Campbell tanpa melihat kepada Lilianna, suaranya diperlahankan.

Lilianna mengangguk, pandangannya terus ke hadapan.

“ Sokonglah Prince Neirin mengikut kemampuan kamu, Lady Lilianna.” Lord Campbell berhenti lalu duduk mencangkung, sebelah lututnya diletakkan di atas tanah. Tangan kirinya menyapu permukaan tanah, menepis daun-daun kering yang sudah lama gugur daripada pokok-pokok di dalam hutan itu. Lilianna menghentikan langkahnya di belakang Lord Campbell.

“ Kesetiaan saya dan Lord Jenkins terletak pada keturunan yang memerintah Zythor sejak sekian lama. Kerana kami, keluarga kami, adalah akar yang menyokong mereka sehinggalah mereka menjadi sebatang pokok yang besar dan tidak kalah kepada angin ribut,” Lord Campbell bangun, tangan kirinya yang sedikit kotor disapu pada kain yang tergantung di pinggangnya. “ Kamu tahu kan, seorang raja diibaratkan sebatang pokok. Semakin kuat dan tinggi kekuasaan baginda, semakin kuat dan kukuh pokok tersebut. Tetapi, walaupun pokok itu sudah berdiri dengan teguh, dia tetap perlukan akar yang turut sama kuat, yang mampu menyokongnya daripada tumbang.”

“ Sebab itulah, saya, Lord Jenkins dan penyokong-penyokong setia King Arthur menerima keputusan baginda untuk menabalkan Prince Neirin lebih awal daripada masa yang sepatutnya. Kami ingin terus menyokong baginda untuk mengekalkan keamanan di Zythor. Era untuk Zythor meneruskan peperangan dengan Erkens sudah berlalu. Takkanlah kita nak ulang sejarah yang tidak membawa kebaikan kepada Zythor?”

Lord Campbell menutup mulutnya, pandangan matanya dihala ke suatu arah. Lilianna mendiamkan diri sahaja seperti tadi, fikirannya menganalisa setiap kata-kata yang diucapkan lelaki itu. Seperti apa yang Leon katakan, Lord Campbell tidak termakan dengan ketamakan Lord Vaughan dan pengikutnya.

“ Tapi kami tidak juga menyokong Prince Neirin semata-mata baginda adalah waris yang mempunyai darah baginda King Arthur semata-mata,” Lord Jenkins menghalau sepi yang tiba selepas Lord Campbell berhenti daripada bercakap. “ Seperti apa yang Lord Campbell katakan tadi, akar yang kuat akan menyokong pokok yang kuat. Kami nampak potensi yang ada pada diri Prince Neirin. Jika Prince Neirin dilihat tidak mampu dan tidak berminat untuk memegang tampuk pemerintahan, kami akan membantah juga cadangan King Arthur.”

“ Zythor adalah salah sebuah kerajaan yang sentiasa menjadi tumpuan di seluruh dunia. Walaupun kami bertindak seperti akar yang menyokong pokok tersebut, kami mahukan pokok yang juga boleh berdiri teguh dan melindungi dirinya sekiranya kami di bawah ini ditimpa masalah. Prince Neirin mempunyai ciri-ciri kepimpinan, sifat elit yang ada pada golongan monarki tapi baginda juga boleh duduk semeja bersama-sama golongan kebanyakan. Prince Neirin mampu memerintah setiap lapisan masyarakat di kerajaan ini dan Zythor akan lebih gemilang.”

Lord Jenkins menarik nafas, beliau sudah mengatakan apa yang ingin diluahkan kepada gadis itu.

“ Prince Neirin akan menjadi seorang raja yang hebat,” Lilianna melihat kepada wajah Lord Campbell dan Lord Jenkins silih berganti, raut wajahnya memaparkan ketegasan pada kata-katanya. “ Saya sendiri kenal dengan seorang pemerintah yang mempunyai perwatakan dan kualiti seperti yang ada pada Prince Neirin. Jadi, saya yakin baginda akan mampu membawa Zythor lebih jauh ke hadapan.”

Wajah Frederick muncul di hadapan matanya ketika Lilianna menuturkan ayat itu. Melihatkan Prince Neirin seperti melihat Frederick sendiri. Walaupun Frederick lebih selamba dalam setiap pergerakannya, berbeza dengan Prince Neirin yang lebih terikut dengan caranya memimpin dan memberi arahan tetapi mereka berdua mempunyai perwatakan dan wawasan yang sama. Kedua-duanya mahu membawa kerajaan yang diperintah mereka ke masa hadapan yang lebih baik. Untuk diri mereka sendiri, keluarga, kawan-kawan dan yang paling penting untuk rakyat yang berada di bawah mereka.

“ Saya akan membantu Prince Neirin mengikut kemampuan saya… tidak! Saya akan naikkan lagi kemampuan saya untuk memastikan Prince Neirin berada di tempat baginda sepatutnya berada. Walaupun kini saya tinggal di Erkens, tapi Zythor adalah tanah kelahiran saya. Darah Zythor dan Erkens mengalir dalam tubuh saya. Impian saya adalah untuk melihat dua kerajaan ini sentiasa aman dan bersaing dengan sihat.”

Lord Campbell dan Lord Jenkins saling berpandangan sebelum tawa mereka meletus. Lilianna terpinga-pinga, hairan dengan perubahan pada situasi yang dianggap serius olehnya. Tiba-tiba sahaja mereka berdua ketawa. Apakah yang melucukan?

“ Kenapa?”

Lord Campbell tersengih. “ Tak… bukan…” Nampaknya lelaki tua itu mempunyai kesukaran untuk berhenti daripada ketawa, “ Saya kagum dengan awak, Lady Lilianna. Tujuan saya mengajak awak ke sini bukan sahaja untuk berburu, tapi untuk lihat layakkah awak terlibat dalam situasi ini. Seperti yang awak tahu, masa depan Zythor terletak pada penyelesaian konflik dalaman ini. Terima kasih kerana menyakinkan kami yang awak layak. Bukan apa, kami hanya risaukan Prince Neirin. Kami ingin elak sesuatu yang tak elok terjadi padanya.”

“ Maksudnya…” Lilianna mengerutkan keningnya, “ Tuan fikir saya mungkin dihantar oleh Lord Vaughan untuk menyiasat apakah tindakan baginda ketika ini?”

Lord Campbell mengangguk sekilas, tidak berniat langsung untuk menyembunyikan keraguannya terhadap Lilianna.

“ Maafkan saya, Lady Lilianna. Kami hanya mengambil langkah untuk berjaga-jaga,” Lord Jenkins mencelah. “ Kami harap cik tidak ambil hati.”

“ Tak mengapa.” Lilianna menggeleng. “ Saya faham.”

“ Kami tak akan teragak-agak untuk hulurkan bantuan kepada Prince Neirin jika baginda perlukan kami.”

Lilianna mengangguk, dia tidak dapat menafikan keikhlasan yang ditunjukkan oleh mereka berdua.

Selepas selesai berbicara, mereka kembali meneruskan perjalanan. Fokus mereka hanyalah pada keadaan sekeliling, mencari kelibat haiwan buruan di dalam hutan itu. Menurut Leon, terdapat banyak pelanduk dan rusa di dalam hutan ini, termasuklah babi hutan yang sering kali mengganas. Mereka perlu berhati-hati untuk mengelak daripada bersemuka dengan babi hutan tersebut.

“ Lilianna!”

Lilianna melihat ke arah Handrien. “ Kenapa?”

“ Awak nak ke mana tu?”

Lilianna sudah berjalan ke arah yang bertentangan dengan kumpulan mereka. Kedudukan mereka agak berselerakan tetapi Lilianna seorang sahaja yang melangkah lebih jauh daripada mereka.

“ Saya nak pergi ke arah sana,” Lilianna menunjuk ke hadapannya, hanya kelihatan semak samun dan pokok-pokok sahaja, “ Sekejap sahaja. Awak tunggu ajelah di situ.”

“ Saya ikut,” Handrien mula berjalan mendekati Lilianna.

“ Tak boleh,” Lilianna menggeleng. Handrien terpaku di situ. “ Awak asyik ikut saya ke sini sahaja. Pergilah berseronok juga, jangan risaukan sangat saya ni. Awak pun suka aktiviti ni kan?”

“ Tapi…”

“ Pergi,” Lilianna tersengih. “ Awak tak percayakan saya ke? Bukankah awak sendiri mengakui saya dah boleh pertahankan diri saya kalau ada apa-apa terjadi?”

“ Itu…” Handrien mengeluh. “ Baiklah. Tapi kalau jadi apa-apa, jerit panggil nama saya.”

“ Baiklah. Pergi aje ke sana.”

Lilianna mengangkat kakinya untuk meneruskan perjalanan. Dia mahu melihat apakah yang berada di sebalik semak samun itu? Lagi pun Lilianna lebih gemar bergerak secara bersendirian jika dia pergi berburu kerana tidak mahu fokusnya lari apabila berada bersama-sama orang lain.

Suasana hutan yang sepi itu sesekali dipecahkan oleh bunyi burung sedang mengicau atau ketika angin berderu kuat dan menyebabkan daun-daun saling bergerak. Perlahan sahaja Lilianna mengatur langkah, risau terpijak sesuatu yang boleh membahayakan atau tergelincir jatuh pada bahagian tanah mencuram ke bawah. Lilianna melihat ke kiri dan kanan. Tidak pula kelihatan walau seekor pelanduk di sekitarnya. Di mana pula mereka bersembunyi?

Lilianna berhenti sejenak dan menoleh ke belakang. Tiada langsung bayang Handrien atau mereka yang menyertai aktiviti pemburuan itu. Nampaknya dia sudah berjalan jauh daripada mereka. Tidak mengapalah. Bukannya dia tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan mereka kembali. Lilianna kembali berjalan.

Ketika Lilianna melalui sebatang pokok tinggi berbanir besar, bunyi semak samun seperti dilalui sesuatu menyapa pendengarannya. Pantas fokusnya beralih pada bunyi tersebut. Anak panah yang disangkut di belakang tubuhnya diambil. Lilianna membetulkan kedudukan busurnya, bersedia untuk melepaskan anak panah tersebut jika diperlukan.

Selangkah demi langkah kaki Lilianna bergerak ke arah semak samun itu. Dia perlu berwaspada. Dia tidak tahu adakah binatang buruannya yang bersembunyi di sebalik semak tersebut atau pun ada orang yang tidak diingini. Hutan ini dikatakan menjadi pangkalan penyamun bersembunyi. Benar atau tidak cerita itu tidak pula Lilianna ketahui.

Mata Lilianna terpaku pada sesuatu yang kelihatan berwarna coklat perang dari balik semak. Dia menarik senyum. Bertuah juga dirinya pada hari ini. Seekor pelanduk sedang bersembunyi di situ. Lilianna menghalakan anak panah ke arah pelanduk itu. Dia sudah bersedia untuk memanah. Selepas ini bolehlah dia kembali kepada Handrien. Sekurang-kurangnya dia perlu membawa pulang seekor haiwan buruan untuk dijadikan hidangan.

Satu…

Dua…

Tiga…

Emph!

Mata Lilianna terbeliak apabila tiba-tiba sahaja pinggangnya diraih dari belakang. Bahagian mulutnya dipekup oleh suatu tangan yang kasar. Orang yang berada di belakangnya itu adalah seorang lelaki. Lilianna cuba meronta, ingin menggunakan pengetahuannya jika berada dalam situasi sebegitu tetapi awal-awal lagi lelaki itu mengunci pergerakannya. Berdasarkan ketangkasan pergerakan lelaki itu dan kebolehannya untuk menyembunyikan kehadirannya, Lilianna tahu lawannya bukanlah calang-calang orang.

“ Diam kalau kau mahu tahu apakah yang berlaku lima tahun yang lalu.”

Rontaan Lilianna terhenti. Suara garau itu mengatakan sesuatu yang mengejutkan dirinya. Kenapa lelaki itu tahu apakah yang berlaku pada lima tahun yang lalu? Atau lelaki ini hanya ingin mengumpan dirinya?

“ Kau nak tahu apa yang jadi pada bapa kau, kan?”

Lilianna mengangguk. Mindanya ligat berfikir bagaimana untuk melepaskan dirinya daripada lelaki itu.

“ Jangan menjerit,” lelaki itu bersuara lagi. “ Aku tahu kau hebat tapi jangan fikir kau boleh tandingi aku. Sebelum sempat kau menjerit, mata pedang aku akan putuskan urat nadi pada leher kau. Ingat.”

Lilianna mengangguk lagi. Lelaki itu tidak kelihatan main-main. Silap hari bulan, mata pedang lelaki itu akan terbenam pada dada kirinya.

Lelaki itu membebaskan Lilianna daripada pegangannya. Dia memusingkan tubuh gadis itu untuk berhadapan dengannya. Lilianna ingin melihat pada wajah lelaki itu, tetapi ada kain berwarna hitam menutupi wajahnya, hanya membenarkan sepasang mata hitam yang kelihatan dingin kelihatan. Pakaian lelaki itu juga serba hitam. Sebilah pedang berada di pinggang lelaki tersebut.

“ Jumpa aku di rumah lama kau tengah malam ini.”

Nada lelaki itu sama seperti matanya, dingin seperti ais.

“ Kenapa?” Lilianna memberanikan dirinya untuk bertanya.

“ Kau akan tahu. Kalau kau tak percayakan aku, kau boleh bawa pengawal kau itu.”

Lilianna menelan liur. Nampaknya lelaki misteri ini tahu mengenai Handrien. Adakah dia yang memerhatikan setiap pergerakannya tengah hari semalam?

“ Aku tak mahu takutkan kau, tapi ini sahaja caranya untuk pastikan tiada orang tahu pasal aku. Kau akan dapat jawapan mengenai kemusyiklan kau selama ini. Selamat tinggal.”

Lelaki itu berpaling membelakangi Lilianna sebelum berjalan pantas tanpa bunyi untuk beredar dari tempat itu. Lilianna mengetap bibir, dia tidak puas hati dengan penjelasan singkat lelaki itu. Busur yang terjatuh di atas tanah tadi diambil. Lilianna segera berlari mendapatkan lelaki itu yang kian jauh meninggalkannya.

“ Tunggu!” Lilianna melaung, dia berhenti tidak jauh daripada kedudukan lelaki misteri tersebut. Langkah lelaki itu berhenti. Tetapi dia tidak menoleh ke belakang, melihat ke arah gadis itu.

“ Encikkah… penghantar surat layang itu?”

Lelaki itu tidak mengatakan apa-apa lalu menyambung kembali jalannya. Sekelip mata sahaja tubuh tinggi lelaki itu hilang dari pandangan.

Pernafasan Lilianna seakan disekat oleh sesuatu. Dia terduduk di atas tanah. Busur terlepas daripada tangannya. Tangan kirinya menahan tubuhnya daripada menyentuh tanah. Tangan kanannya digenggam lalu menumbuk dada kirinya. Degupan jantungnya rancak membuatkan Lilianna tidak keruan. Lilianna mengangkat wajah, melihat ke arah lelaki itu menghilang. Imej di hadapannya bertindih-tindih, menyukarkan dirinya untuk melihat. Kepalanya digeleng perlahan. Dahinya yang berpeluh dikesat dengan lengan kemejanya.

Tak boleh… dia perlu kembali dengan segera.

Lilianna mengambil busur itu lalu berdiri dengan perlahan. Tubuhnya tidak begitu seimbang menyebabkan dia hampir terjatuh lagi sekali. Lilianna mengetuk kepalanya berulang kali. Matanya dipejamkan buat seketika.

Entah mengapa, melihatkan lelaki misteri itu membuatkan hatinya tersayat.

Siapakah dia?

HIRISAN daging rusa yang sudah siap dibakar diletakkan di atas sehelai daun bersaiz besar. John membelek-belek daging yang masih dibakar pada nyalaan kayu api. Bill dan Noah baru muncul dari sungai selepas membersihkan diri masing-masing. Declan yang juga menyertai mereka berdua mengikut dari belakang dengan beberapa ekor ikan tercucuk pada kepala kayu yang tajam.

“ Wah! Kenyanglah kita malam ni,” kata John ketika Declan menyerahkan ikan-ikan itu kepadanya.

“ Jika ada yang lebih, kita boleh bungkus dengan daun tu. Buat bekalan untuk hari esok.”

Mereka sedang berada di dalam sebuah hutan. Sherside sudah ditinggalkan jauh di belakang. Sewaktu mereka ingin keluar dari bandar pelabuhan itu, nyaris-nyaris mereka diekori beberapa orang penyamun yang mungkin merupakan orang bawahan Lord Vaughan. Tindakan pantas Declan yang tahu selok belok kawasan itu membuatkan mereka berjaya mengelirukan kumpulan penyamun itu.

Malam sudah menjelang tiba. Jika mereka meneruskan perjalanan pada malam ini juga, mereka semua dijangka tiba di Idalia menjelang pagi. Tetapi Prince Neirin tidak mahu mengambil risiko. Selepas ini mereka perlu melalui laluan curam yang digunakan sebagai jalan singkat untuk ke Idalia. Prince Neirin risau sekiranya mereka tidak dapat melihat dengan baik dan terjatuh dari gaung yang curam itu.

“ Tuanku, makanan dah siap,” kata Bill, melihat kepada Prince Neirin yang tidak sudah-sudah membaca catatan Encik Simmons dari tadi lagi.

“ Tak mengapa. Kamu semua makan dahulu,” jawab Prince Neirin tanpa mengalih perhatiannya daripada muka surat yang sedang dibacanya.

“ Tuanku, makan dahulu,” panggil John pula. “ Kami tak mahu tuanku kekurangan tenaga. Sudahlah kita hanya makan tumbuh-tumbuhan hutan sahaja tengah hari tadi. Jangan paksa diri tuanku.”

Prince Neirin menghela nafas, baginda menyimpan catatan itu ke dalam kemejanya.

“ Baiklah.”

Prince Neirin menyertai mereka yang berkumpul mengelilingi kayu api tersebut. John dan Bill membahagi-bahagikan hirisan daging yang masih panas lagi. Mereka tidak banyak bercakap sepanjang menikmati keenakan daging itu. Kesemuanya penat selepas hampir seharian berada di atas kuda masing-masing.

“ Noah,” seru Prince Neirin perlahan, matanya singgah pada Noah yang sedang mengunyah daging.

“ Ya, tuanku.”

“ Kenapa bapa kamu bawa kamu sekeluarga berpindah ke Sherside?”

Prince Neirin mempunyai banyak jawapan untuk soalan itu tetapi baginda mahukan jawapan yang sebenarnya daripada Noah. Hanya Noah sahaja tempatnya menyuarakan soalan yang bermain dalam fikirannya.

Noah mendiamkan diri, kepalanya menunduk. “ Sebab, kami sekeluarga sudah tidak selamat lagi tinggal di Amberwood.”

“ Tidak selamat?”

Noah mengangguk. “ Empat tahun lepas, ada orang datang cari ayah tapi nasib ayah baik, penduduk kampung yang dengar pasal perkara itu terus beritahu ayah. Mereka risau sebab orang itu nampak macam… orang jahat… menakutkan. Entahlah, patik sendiri tidak tahu rupa orang itu.”

“ Kemudian, ayah pergi cari orang itu kembali. Patik ingat lagi pada petang itu hujan lebat, ayah keluar rumah untuk berjumpa dengan orang tu. Menjelang malam, baru saja ayah balik ayah terus arahkan kami kemaskan apa yang patut.”

“ Kamu keluar dari Amberwood pada malam itu juga?”

“ Ya, tuanku. Ibu tak setuju pada mulanya, tapi sebab ayah berkeras kami turutkan sahaja. Sebelum tengah malam, kami keluar dari Amberwood.”

“ Bagaimana keadaan bapa kamu selepas pulang bertemu dengan orang itu?”

“ Biasa sahaja, cuma ayah patik nampak penat.”

“ Tiada kecederaan?”

“ Apa maksud tuanku bapa patik cedera?” Noah mengangkat wajah, merenung kepada Prince Neirin dengan kerutan pada dahinya.

“ Kalaulah orang itu datang untuk mengapa-apakan bapa kamu, tentu ada pergelutan berlaku antara mereka. Tapi kamu kata bapa kamu pulang seperti biasa. Betul bapa kamu tidak cedera di mana-mana?”

Noah menggeleng. “ Tiada. Ayah kata… orang itu kenalan lamanya tapi ayah tak beritahu siapa.”

“ Ada sesiapakah yang tahu kamu semua berpindah pada malam itu?” Prince Neirin memikirkan sesuatu. Ada perkara yang terlintas dalam fikirannya.

“ Tiada seorang pun yang tahu. Ayah hanya tinggalkan surat di peti surat jiran terdekat kami, mengatakan kami terpaksa berpindah tanpa memberitahu sesiapa. Malam itu, kami menghilang tanpa dapat dikesan. Hanya beberapa barang sahaja kami bawa dala karavan kami.”

“ Bapa kamu terus bawa kamu sekeluarga ke Sherside?”

“ Tak. Pada mulanya ayah bawa kami ke kawasan bukit, bersembunyi di sana. Ayah tak mahu beritahu sebab apa, cuma ayah beritahu kita perlu bersembunyi buat sementara waktu.”

“ Tapi… takkanlah kamu tak bertanya dengan lebih lanjut lagi?”

“ Ya. Suatu hari ibu menangis, merayu ayah beritahu apakah yang berlaku. Ayah mengalah, ayah kata ada musuhnya sewaktu dia berkhidmat sebagai tentera yang mencari kami sekeluarga.”

Sebelah kening Prince Neirin terangkat. “ Musuh dalam anggota tentera?”

“ Saya tak pasti ayah beritahu perkara benar atau tidak sehinggalah…” Noah melihat kepada dada Prince Neirin. “ Saya baca catatan itu.”

Prince Neirin menyentuh buku itu yang berada di sebalik kemejanya. Baginda menarik nafas panjang.

“ Beta ada satu soalan lagi untuk kamu, Noah.”

Mata Prince Neirin mengunci pandangan Noah.

“ Kamu tahu siapa orang yang datang cari bapa kamu pada malam itu? Beta fikir dia datang sampaikan maklumat bahawa ada orang sedang memburunya. Jika tidak, kenapa tiba-tiba sahaja bapa kamu ambil keputusan untuk pergi menyembunyikan diri pada malam itu juga.”

“ Patik… tak pasti, tuanku. Ayah tak pernah cerita pasal lelaki tu.”

Prince Neirin mengeluh. “ Tak apalah. Kamu sambunglah makan. Lepas ini kamu semua berehat, awal pagi esok kita mulakan perjalanan. Kalau boleh beta mahu tiba sebelum tengah hari. Makin lama kita meninggalkan istana, makin beta tak sedap hati.”

“ Baiklah, tuanku.”

Prince Neirin mengambil satu hirisan daging rusa yang sudah suam itu lalu digigit. Jasadnya berada di sini, tersembunyi di dalam hutan yang tebal tetapi jiwanya sudah terbang pulang ke Idalia.

Bagaimanakah keadaan di sana?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience