Chapter 7

Other Completed 4791

BAB 7

MEMBISU sahaja Lilianna sejak dia diminta mengambil tempat duduk di bilik tamu oleh Lord Moyes. Handrien yang berdiri bersandarkan dinding tidak jauh daripada kedudukan sofa yang diduduki Lilianna juga mendiamkan diri. Lord Moyes duduk di sofa tunggal yang berhadapan dengan Lilianna.

“ Maaf, buat kamu terkejut,” lembut Lord Moyes bersuara, memecahkan kesunyian di dalam bilik itu.

“ Tak apa…” Lilianna merenung kepada wajah lelaki tua itu. “ Tapi, apa yang tuan maksudkan tadi? Ibu saya… berasal dari Erkens?”

Lord Moyes mengangguk. Dia mengeluarkan sesuatu daripada saku kot yang menyarungi tubuhnya.

“ Saya tahu saya tak patut terkejutkan kamu dengan perkara ini memandangkan kamu masih belum sihat sepenuhnya, tapi saya tidak mahu menangguhkan lagi perkara ini. Apatah lagi selepas saya dengar perbualan kamu dengan Handrien tadi.”

Handrien berdiri memeluk tubuh. Sama seperti Lilianna, dia juga terkejut dengan apa yang keluar daripada mulut Lord Moyes tadi. Dia menemani Lilianna di dalam bilik tamu ini kerana gadis itu meminta agar jangan meninggalkan dia. Pastinya Lilianna tidak kuat untuk menerima apa yang bakal diberitahu oleh Lord Moyes. Tetapi Handrien tidak akan masuk campur sekiranya dia tidak diperlukan. Biarlah Lord Moyes menerangkan dahulu apa yang patut kepada Lilianna. Lebih baik dia berdiam diri dahulu.

“ Ibu kamu, bernama Ophelia?” tanya Lord Moyes.

Lilianna mengangguk cemas. Bagaimana Lord Moyes tahu nama mendiang ibunya? Apakah hubungan antara lelaki tua ini dengan mendiang ibunya? Ibunya berasal dari Erkens? Mustahil!

“ Adakah ini orangnya?” Lord Moyes menunjukkan sekeping gambar kepada Lilianna, benda yang dikeluarkan daripada sakunya sebentar tadi.

“ Itu…” Lilianna kematian kata-kata. Matanya terpaku pada gambar yang berada di tangan Lord Moyes.

Seorang wanita cantik sedang tersenyum gembira di sebelah Lord Moyes. Walaupun wanita di dalam gambar itu lebih muda beberapa tahun daripada wajah ibu yang diingatinya, tetapi Lilianna yakin wanita itu adalah ibunya. Setelah diperhatikan, Lilianna perasan wanita itu juga mempunyai tahi lalat kecil di bawah mata kirinya, sama seperti ibu!

“ Ini ibu saya. Kenapa ibu… boleh ada dengan tuan dalam gambar itu?” Lilianna menyoal. Dalam keadaannya yang masih bingung dengan situasi sekarang tetapi dengan segera Lilianna menepis perasaan itu. Dia lebih berminat untuk tahu rahsia di sebalik gambar itu daripada melayan perasaannya.

“ Baiklah,” balas Lord Moyes pendek.

Lord Moyes merehatkan kedua-dua tangannya pada tangan sofa. Anak matanya tidak lari daripada melihat pada wajah ingin tahu Lilianna. Melihatkan wajah itu amat mengingatkannya pada Ophelia. Perempuan ketiga yang disayanginya sepenuh hati selepas ibu dan isterinya. Dia tidak mahu melengah-lengahkan perkara ini lagi. Selepas hampir 20 tahun berlalu, biarlah dia menyingkap kebenarannya.

“ Ophelia Isabelle Moyes adalah anak perempuan kandung saya.”

Lilianna tergamam dengan pernyataan daripada Lord Moyes. Tubuhnya terasa kaku, tidak dapat bergerak. Matanya membulat melihat kepada wajah tenang Lord Moyes. Tubuh Lilianna mula menggigil.

“ Anak… anak tuan?”

Dengan wajah yang masih tenang Lord Moyes mengangguk.

Bukan Lilianna seorang sahaja yang terkejut dengan berita itu, Handrien juga. Seperti tidak percaya dia melihat kepada Lord Moyes. Ophelia? Handrien cuba mencungkil memori lama yang tersimpan jauh di dalam mindanya. Dia langsung tidak dapat mengingati wanita yang bernama Ophelia.

Siapakah wanita itu? Masa kecilnya banyak dihabiskan dengan menemani datuknya ke rumah Lord Moyes. Tidak pernah pula dia melihat wanita yang didakwa sebagai anak kandung Lord Moyes itu. Setahu Handrien, Lord Moyes hanya mempunyai dua orang anak lelaki sahaja.

“ Tapi ibu saya… kalau benar ibu saya anak kandung tuan kenapa ibu saya berada di Zythor? Sedangkan lebih daripada 10 tahun dahulu tiada rakyat Erkens dibenarkan masuk ke kerajaan Zythor? Mustahil ibu saya berada di sini pada zaman peperangan 50 tahun dahulu?”

Lilianna mahukan kebenaran. Mustahil ibunya yang berasal dari Erkens dapat berada di Zythor dan berkahwin dengan bapanya yang sememangnya lahir di Zythor. Konflik antara dua kerajaan ini tidak semudah yang disangkakan walaupun sejak beberapa tahun kebelakangan ini baik Zythor mahu pun Erkens sudah mula mengusulkan jalan perdamaian.

“ Kamu tahu asal usul ibu kamu?” Walaupun dihujani pertanyaan demi pertanyaan oleh Lilianna tetapi Lord Moyes masih mampu mengekalkan ketenangannya.

“ Ibu saya anak yatim sejak kecil, bekerja sebagai pembuat kek di sebuah bakeri sebelum berkahwin dengan bapa. Ayah kata, ibu berasal dari Grandvelle, sebuah bandar kecil di selatan Idalia. Tuan yakin tuan tak tersalah orang?”

Lord Moyes tidak terus menjawab soalan itu. Dia sedang menganalisis gadis yang didakwa cahaya mata kepada anak perempuannya itu. Lilianna tidak tahu kisah sebenar. Pastinya ibu dan bapa gadis itu tidak mahu memecahkan rahsia itu. Rahsia yang kelihatan kecil tetapi boleh mengancam keluarga mereka.

“ Saya yakin itu anak saya. Baiklah, saya akan ceritakan semua perkara yang saya tahu. Kamu dengar dahulu, ya?”

Lilianna mengangguk sahaja. Kedua-dua tangannya mencengkam bahagian gaun yang menutupi lututnya. Dia langsung tidak mempedulikan Handrien yang turut berada di dalam bilik tamu itu. Lilianna perlu fokus dalam hal ini. Dia perlu tahu adakah benar atau tidak perkara yang akan diberitahu oleh lelaki tua yang baru sahaja dikenalinya tengah hari tadi.

“ Kamu ingat pemberontakan Zythor yang berlaku di sempadan Erkens 16 tahun yang lalu? Yang melibatkan perkampungan lombong emas terbiar di sana?”

Lilianna mengangguk. Masakan dia boleh melupakan kejadian itu. Walaupun dia masih belum lahir ketika itu tetapi bapanya selalu menceritakan peristiwa itu kepadanya. Pada hari perjanjian damai antara kedua-dua kerajaan itu diadakan, tiba-tiba sahaja sekumpulan pemberontak berasal dari Zythor menyerang kampung itu yang terletak di sempadan Erkens. Walaupun impaknya tidak sebesar The Great War pada 50 tahun dahulu tetapi kerana peristiwa itulah, perjanjian damai itu terpaksa ditarik balik.

“ Pada hari itu, anak saya Ophelia pergi ke perkampungan itu. Itu adalah aktiviti mingguannya. Dia ke sana untuk membantu penduduk-penduduk kampung yang terbiar di sana. Orang tua, orang yang sakit tenat dan kanak-kanak yang tidak dapat meninggalkan kampung itu, Ophelia ke sana untuk menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan. Dia ke sana dengan menyamar, pada waktu itu saya juga tidak tahu dia kerap ke sana sebab pada ketika itu, ada berita mengatakan wabak penyakit menular di kampung itu sejak lombong emas di sana sudah tidak berfungsi lagi.”

“ Sempadan di antara Erkens dan Zythor di kawasan itu hanya dipisahkan oleh hutan yang jarang diterokai manusia ketika itu. Pemberontak Zythor muncul dan membuat huru-hara di kampung itu. Askar Erkens yang berkawal di situ cuba menghalang kumpulan pemberontak itu tapi malangnya, muncul pula askar Zythor. Salah faham berlaku bila tiga orang askar Zythor dibunuh oleh askar Erkens ketika usaha menahan kumpulan pemberontak yang masih berleluasa. Di situlah bermulanya percikan api yang memulakan peperangan kecil itu.”

“ Pada masa yang sama, anak saya, Ophelia berada di situ. Dia menyorok bersama-sama beberapa orang anak kecil tapi malangnya dia dijadikan tebusan oleh kumpulan pemberontak itu. Pada masa itu kebanyakan askar Erkens telah berundur atas permintaan raja yang tidak mahu memburukkan lagi keadaan. Ophelia berjaya melarikan diri daripada pemberontak itu tapi malangnya dia terjatuh ke dalam gaung. Pada masa itulah, bapa kamu menyelamatkan dia. Ketika itu, bapa kamu datang untuk membantu membebaskan tahanan pemberontak.”

“ Ophelia lupa siapakah asal dirinya kecuali namanya yang berada di gelang pemberian mendiang isteri saya kepadanya. Memandangkan hubungan Erkens dan Zythor terjejas balik disebabkan peristiwa itu walaupun ianya berpunca daripada kemalangan, mustahil untuk Ophelia kembali kepada keluarga kami. Sejak itu, Ophelia tinggal di Zythor tanpa mengetahui dari mana dia berasal.”

Lord Moyes mendiamkan diri selepas lama bercakap. Apa yang diceritakannya seperti kisah cinta tragis yang dimainkan oleh penglipur lara tetapi daripada anak matanya, Lilianna tahu lelaki itu tidak bercakap bohong. Sukar untuknya menghadamkan kesemua maklumat baharu yang diterima olehnya.

“ Tuan kata sejak hari itu ibu saya tinggal di Zythor. Tapi bagaimana tuan boleh tahu apakah yang berlaku pada ibu saya? Tentunya tuan tidak berada di tempat kejadian, kan?

Lord Moyes menggeleng. “ Benar kata kamu, saya tidak berada di tempat kejadian. Rutin Ophelia pergi ke kampung itu juga saya ketahui selepas dia hilang. Saya dimaklumkan oleh salah seorang pembantu saya yang pernah mengikut Ophelia ke sana. Memang mustahil untuk saya tahu apakah yang berlaku pada Ophelia. Tetapi bapa kamu tahu puncanya.”

“ Ayah?” Lilianna tergamam. Takkanlah…

“ Maksudnya, tuan pernah berjumpa dengan bapa saya?” soal Lilianna lagi.

Anggukan Lord Moyes mengiyakan pertanyaan Lilianna. Lilianna tersandar pada sandaran sofa, kepalanya sudah sarat dengan apa yang didengarinya. Matanya terasa berpinar-pinar. Lilianna memicit dahinya, cuba menghilangkah rasa sakit yang mula menguasai kepalanya.

“ Lilianna, kita sambung kemudian?” Handrien segera mendapatkan gadis itu. Bahu Lilianna dipegang. Sedari tadi dia hanya mendiamkan diri tetapi Handrien sedar, berat perkara yang perlu diterima oleh Lilianna ketika ini.

“ Tak apa…” Lilianna menggeleng. Dia melihat kepada Lord Moyes yang tidak berganjak daripada kedudukannya. “ Tuan boleh teruskan.”

Handrien mengeluh. Dia melepaskan pegangannya pada bahu Lilianna sebelum berdiri di sebelah sofa itu. Wajah Lilianna dan Lord Moyes dipandang silih berganti. Handrien tidak menyangka dirinya akan terlibat dalam perkara yang melibatkan sejarah lama keluarga Lord Moyes.

“ Pada masa itu umur kamu baru setahun, Lilianna.”

Setahun?”

“ Saya berpeluang ke Zythor sebagai wakil Erkens di atas permintaan King Arthur yang mahukan pertemuan dengan wakil raja Erkens. Pada masa itu masih ada rakyat yang memberontak dan tidak setuju dengan cadangan untuk berdamai dengan Erkens walaupun ada segolongan yang bersetuju. Pertemuan itu dihadiri bapa kamu di rumahnya. Raja menjadikan kediaman keluarga kamu sebagai tempat perjumpaan yang dikaburi sebagai majlis makan malam bersama-sama kumpulan pedagang kecil Zythor. Pada malam itulah, saya bertemu kembali dengan Ophelia.”

“ Sebaik sahaja saya nampak dia, saya tahu itu anak saya Ophelia yang hilang sejak peristiwa yang menimpa kampung itu. Tetapi dia menyambut saya seperti dia langsung tak mengenali saya. Saya cuba memerhatikan kelakuannya. Saya terpaksa terima, dia bukannya berpura-pura tidak mengenali saya sebaliknya semua memorinya dahulu hilang daripada mindanya.”

“ Selepas mesyuarat dengan King Arthur, saya bertemu dengan bapa kamu, Lord Henry Beaumont. Saya tak berselindung, saya terus beritahunya bahawa Ophelia itu adalah anak kandung saya. Pada mulanya saya fikir untuk bawa dia pulang ke Erkens untuk pulihkan ingatannya, tetapi saya dapat lihat Ophelia bahagia di samping bapa kamu. Saya terpaksa terima dia sudah berkeluarga walaupun saya kesal kerana tak dapat kembali ke Erkens dengan anak perempuan yang dah lama saya nanti-nantikan. Saya minta dengan bapa kamu untuk jaga dia dengan baik. Sebelum pulang, saya ingin berjumpa dengan Ophelia. Sebab ini mungkin kali terakhir saya bertemu dengannya. Ketika itu, kamu menyorok di belakang ibu kamu, Lilianna.”

Tanpa sebarang kata Lilianna mengalirkan air matanya. Hatinya terasa sebak apabila melihat suatu senyuman hambar terukir pada wajah tua itu. Pada masa itu dia teringatkan wajah ibunya yang selalu dilihatnya pada gambar. Senyuman yang takkan disaksikannya lagi pada saat ibunya meninggal 10 tahun dahulu.

“ Walaupun sekali sahaja, saya berpeluang untuk peluk cucu perempuan saya,” tutur Lord Moyes perlahan. “ Kamu cucu saya, Lilianna. Izinkan saya jaga kamu? Seperti mana pentingnya Ophelia dalam hidup saya, kamu juga penting, cucuku.”

Akhirnya Lilianna tidak dapat menahan lagi esakannya. Tanpa perasaan malu dia menangis semahu-mahunya di hadapan lelaki yang mendakwa dirinya sebagai datuk kandungnya itu. Dia kehilangan bapa dan ibunya, adakah ini hadiah untuknya meneruskan hidup selepas ketiadaan ahli keluarganya? Air mata Lilianna membasahi bahu Lord Moyes sewaktu lelaki tua itu memeluknya. Tanpa sedar, air mata lelaki tua itu turut mengalir, menitik pada ubun-ubun rambut cucunya.

CAHAYA bulan purnama menerangi kawasan rumah agam itu. Lilianna berdiri di balkoni, matanya menerawang pada langit malam. Selendang putih menyelimuti dirinya yang hanya bergaun tidur. Awal pagi sudah menjengah tetapi dia tidak dapat melelapkan mata. Malam yang paling panjang dirasakan olehnya.

Selepas bertemu dengan Lord Moyes tadi, Handrien mengiringinya kembali ke kamar tidur. Tanpa menyuarakan apa-apa Handrien menemaninya di sepanjang jalan menuju ke kamar itu. Sampai sahaja di hadapan pintu bilik, lelaki itu mengucapkan selamat malam. Handrien beredar selepas dia selamat masuk ke dalam bilik tidur itu.

Terlalu banyak perkara menimpanya sejak malam itu.

Ketika Lilianna masih terkapai-kapai dengan kehidupannya yang berubah selepas menyaksikan bapanya ditikam sebelum melarikan diri, tiba-tiba sahaja dia dikejutkan dengan berita bahawa dia masih mempunyai keluarga lain selain daripada keluarga di sebelah bapanya. Bapanya adalah anak tunggal. Kini tinggal datuk Lilianna sahaja selepas neneknya meninggal beberapa tahun yang lalu. Kini, waris keluarga Beaumont terletak pada saudara-maranya yang lain.

Lilianna tidak berkeinginan untuk pulang kepada datuknya. Walaupun dia cucu kesayangan lelaki tua itu, tetapi apabila memikirkan bahaya yang mungkin akan menimpa datuknya pula sekiranya dia masih menjadi sasaran pembunuh itu membuatkan dia tidak senang duduk. Lebih baik datuk tua itu bersedih di atas ‘kematiannya’ daripada berada dalam bahaya disebabkan olehnya.

Bagaimana sekiranya dia menerima pelawaan Lord Moyes?

Sekiranya Lilianna pergi ke Erkens, dia yakin pembunuh upahan itu tidak akan dapat mencarinya di sana. Dia juga boleh mendapat ahli keluarga baharu. Ini adalah satu pilihan yang lebih baik daripada terpaksa meneruskan hidup seorang diri di sebuah perkampungan kecil di sempadan Zythor. Ayah tentu mahukan yang terbaik untuk dirinya, walau di mana sahaja dia berada.

Masih ada dua hari sahaja lagi sebelum Lord Moyes dan Handrien pulang ke Erkens. Keputusan perlu dibuat dengan segera. Lilianna tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada di depan matanya.

“ BODOH!”

PANG!

Tamparan Lord Vaughan kuat mengenai pipi Klaus. Lelaki berpakaian serba hitam itu hanya diam tidak bertindak apa-apa. Pandangannya kosong ke hadapan. Wajah Lord Vaughan yang merah menahan marah tidak sedikit pun menimbulkan ketakutan kepadanya. Riak pada wajahnya tetap sama seperti tadi. Kosong.

“ Sampai sekarang kau tak dapat bawa bukti kau dah bunuh mereka?”

“ Maafkan saya, Lord Vaughan. Tapi kebakaran itu dah hancurkan mayat mereka. Mustahil untuk tuan dapatkan bukti yang dapat menyakinkan tuan.”

Lord Vaughan berdiri bercekak pinggang. Wajah Klaus direnungnya tajam seperti mahu ditelan hidup-hidup. Klaus berdiri tegak di hadapannya, seakan-akan tidak terkesan dengan kemarahannya.

“ Kau tahu aku tak akan percayakan sesuatu tanpa bukti, kan?”

Klaus membongkokkan tubuhnya. Kedua-dua tangannya rapat pada sisi tubuhnya.

“ Maafkan saya sekali lagi, tuan. Harap tuan dapat bertenang. Saya dah pastikan mereka tidak bernafas lagi. Bukti tidak menjamin apa-apa, tuan.”

Lord Vaughan berpusing membelakangi Klaus. Matanya tertumpu pada bulan purnama yang kelihatan di luar tingkap. Tidurnya tidak pernah lena sejak malam itu. Malam di mana dia mengarahkan Klaus dan dua orang pembunuh upahan yang lain memecah masuk ke dalam rumah agam Lord Beaumont untuk menamatkan riwayat lelaki yang menjadi punca dia sering diperlekehkan oleh Raja itu. Benih kebencian yang pada asalnya kecil sahaja, akhirnya bercambah seperti jalaran pokok pada istana lama.

“ Kamu yakin Lord Beaumont dan anaknya benar-benar dah mati?”

“ Ya, tuan,” tanpa nada Klaus menjawab.

Lord Vaughan menoleh kepada lelaki itu. Wajah Klaus dingin seperti ais, tiada perasaan terukir pada wajah itu. Intonasi suaranya mendatar sahaja. Tiada sesiapa dapat membaca apakah yang sedang bermain dalam fikiran lelaki itu. Seorang lelaki yang suka bersendirian. Seperti serigala yang tidak terikat dengan mana-mana kumpulan serigala yang lain.

“ Baiklah, aku percaya,” balas Lord Vaughan. “ Pihak istana sudah bising dengan kejadian itu. Siasatan sudah dijalankan malah raja turut campur tangan dalam hal ini. Sembunyikan diri kau sehingga aku panggil kau kembali ke sini.”

“ Baiklah, tuan.”

Klaus segera beredar dari bilik kerja Lord Vaughan. Pintu bilik ditutup rapat. Dia berdiri membelakangi pintu itu. Tapak tangan kanannya melekat pada luka yang menghiris kulit melepasi keningnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience