Chapter 21

Other Completed 4791

BAB 21

SEPERTI mimpi sahaja dirasakan oleh Lilianna tatkala dia menjejak kaki memasuki perkarangan kediaman lamanya. Kebakaran telah memusnahkan sebahagian besar rumah itu. Dinding rumah yang pada asalnya berwarna kuning lembut, digantikan dengan warna hitam arang. Halaman rumah yang sentiasa kemas dan bersih dijaga oleh tukang kebun kini sudah tiada lagi. Rumput sudah setinggi lalang, pastinya sudah lama tidak ditebas.

Lilianna menyelinap keluar ketika Emily sedang mandi. Awal-awal lagi Lilianna berpesan jangan menganggunya di dalam kamar tidurnya dengan alasan dia tidak berapa sihat pada malam ini. Lilianna mengambil kesempatan untuk keluar ketika penjaga kandang kuda istana masuk ke dalam bangunan untuk makan malam. Walaupun lelaki misteri itu mengatakan dia boleh membawa Handrien, tetapi Lilianna memilih untuk datang seorang diri.

Apa sahaja yang akan diberitahu oleh lelaki misteri itu, Lilianna merasakan dia memerlukan masa untuk menerimanya dengan baik. Dia tidak mahu tumpuannya terganggu oleh perkara lain.

“ Kau tepati masa.”

Lilianna berpaling ke belakang, terkejut kerana tiba-tiba sahaja lelaki misteri itu muncul di kawasan itu.

“ Apa yang encik nak beritahu saya?” Lilianna masih menggunakan bahasa formal untuk bercakap dengan lelaki itu walaupun jelas pada pendengarannya lelaki itu tidak berbuat demikian.

“ Ikut aku,” ucap lelaki itu pendek.

“ Ke mana?”

“ Jumpa ayah kau.”

Tubuh Lilianna terpaku di tempatnya. Matanya membulat melihat kepada wajah lelaki itu yang masih dilindungi dengan kain berwarna hitam. Dia tidak dapat mempercayai apa yang didengarinya itu. Setitis air matanya mengalir. Perlahan-lahan tubuh Lilianna mula menggeletar.

Ayah…?

“ A… apa?”

“ Ikut aku.”

Lelaki itu terus berjalan meninggalkan Lilianna. Dengan segera Lilianna mengesat matanya yang sudah basah. Langkah perlahannya bertukar kepada larian bagi menyaingi pergerakan lelaki itu yang pantas seperti angin pada hari hujan ribut.

“ Apa maksud awak?” Lilianna bertanya, suaranya tenggelam timbul.

“ Kau tak akan dapat jawapannya selagi kita tak sampai ke sana?”

“ Ke sana?”

Lilianna memaksa dirinya untuk bertenang, memikirkan perkara yang baik-baik sahaja. Dia perlu berhati-hati. Bagaimana kalau lelaki ini menipunya agar kata-katanya dipatuhi oleh Lilianna? Lilianna sendiri tidak tahu siapakah lelaki misteri ini. Lelaki ini mungkin dihantar oleh Lord Vaughan untuk memerangkapnya. Namun jauh di sudut hati Lilianna, dia berharap berita yang didengarinya itu adalah benar.

Lilianna dapat melihat sinar harapan untuk dirinya.

Lelaki itu mengarahkan Lilianna menunggang kuda memandangkan tempat yang ingin dibawanya itu agak jauh dari sini. Tanpa banyak soal Lilianna menurut sahaja. Ketika mengekori lelaki itu dari belakang, mata Lilianna fokus pada tubuh lelaki itu. Melihatkan lelaki itu buat pertama kalinya pada siang hari tadi mendatangkan rasa nostalgik kepadanya.

Siapakah lelaki itu? Lilianna bertanya lagi di dalam hatinya.

Lelaki itu membawa Lilianna melalui jalan yang sempit dikelilingi pokok di kiri dan kanan jalan. Hanya cahaya bulan purnama sahaja yang membantu mereka melihat dalam kegelapan kawasan sekeliling mereka. Kawasan itu juga sunyi sahaja. Langsung tiada bunyi yang lain kecuali bunyi huf kaki kuda berlari di atas jalan.

Sampai di satu selekoh lelaki itu membelok ke kiri, Lilianna turut berbuat demikian. Dia tidak tahu sampai bila dia harus mengikut lelaki itu. Adakah orang tinggal di kawasan yang sunyi seperti ini? Malah tiada langsung kelihatan rumah atau bangsal didirikan di kawasan itu.

Selepas hampir setengah jam mereka menunggang kuda sejak memasuki selekoh itu, lelaki itu memperlahankan kudanya. Lilianna memerhati setiap objek yang boleh dilihatnya sehinggalah matanya terpaku pada sebuah kotej yang terlindung di balik semak samun. Lelaki itu melompat turun daripada kudanya. Tali kuda diikat pada sebatang pokok.

“ Ini ke tempatnya?” Lilianna berbisik sendirian.

Kuda tunggangannya diikat bersebelahan kuda milik lelaki itu. Pandangan matanya ditebar ke sekitar kawasan kotej usang itu. Tiada apa-apa yang mencurigakan. Lelaki itu sudah hampir mendekati pintu masuk kotej tersebut. Lilianna mengekori dari belakang. Walaupun Lilianna mengikuti langkah lelaki itu tetapi dia tetap menjaga jarak di antara mereka berdua, risau sekiranya lelaki itu tiba-tiba sahaja bertindak untuk mengapa-apakannya.

Tangan kiri Lilianna diletakkan di bahagian pahanya yang dilindungi mantel labuh yang dipakai olehnya. Ada sebilah pisau diletakkan di situ. Pada bila-bila masa sahaja, Lilianna bersedia untuk menarik pisau itu dan mencederakan lelaki itu jika situasi memaksanya berbuat demikian.

Pintu kotej itu dibuka. Tanpa bersuara lelaki itu masuk ke dalam. Mata Lilianna meliar melihat ke kiri dan kanannya sewaktu memasuki kotej tersebut. Kelihatannya kotej itu mempunyai peralatan asas sahaja untuk didiami. Lelaki itu menghilang ke dalam satu-satunya bilik yang berada di dalam kotej itu. Lilianna segera mengekorinya dalam debar menanti apakah yang menantinya di dalam bilik tersebut.

Pintu bilik itu sengaja lelaki itu biarkan terbuka luas. Lilianna menjenguk ke dalam. Lelaki itu sedang berdiri berhadapan dengan sebuah katil. Seseorang sedang berbaring di atas katil itu. Degupan jantung Lilianna semakin kencang. Adakah itu…

Lelaki itu beralih ke tepi katil, menampakkan seorang lelaki pertengahan umur sedang duduk bersandarkan kepala katil.

Kakinya yang lemah secara tiba-tiba membuatkan Lilianna hampir terjatuh. Pantas tangannya berpaut pada daun pintu itu. Mata Lilianna sudah panas dengan air mata. Dia ingin mengatakan sesuatu tetapi suaranya tersekat di kerongkong. Tidak berkelip Lilianna melihat kepada wajah lelaki yang sudah berusia itu.

“ Lilia?”

Empangan air mata Lilianna pecah juga.

Dia kenal akan wajah itu.

Dia kenal akan suara itu.

Dia kenal akan panggilan itu.

“ Ayah!”

Lilianna meluru mendapatkan bapanya. Tubuh kurus itu dipeluk erat. Merasakan kehangatan tubuh lelaki kesayangannya itu membuatkan Lilianna yakin bahawa ini bukanlah mimpi. Bapanya masih lagi hidup, masih lagi bernafas di muka bumi ini. Lilianna membenamkan wajahnya pada dada bapanya, menghamburkan tangisannya tanpa henti.

“ Lilia, anakku…”

Suara yang penuh kasih sayang itu berbunyi lagi di telinganya. Setelah lima tahun Lilianna menyangka dia tidak akan dapat mendengar lagi suara itu.

“ Ayah…”

“ Lilia, tak sudi tengok muka ayah ke?”

Lilianna menggeleng. Bukannya dia tidak mahu melihat wajah itu, tetapi dia takut. Takut sekiranya ini adalah mimpi semata-mata dan sebaik sahaja dia bertentang mata dengan bapanya, lelaki itu akan menghilang. Walaupun dia dapat merasakan tangan bapanya sedang mengusap rambut panjang miliknya, tetapi Lilianna masih takut. Dia tidak kuat untuk bermain dengan permainan mimpi seperti ini.

“ Pandang ayah, sayang,” lembut suara Lord Beaumont menuturkan ayat.

“ Ayah masih hidup… kan? Ini bukan mimpi… kan ayah?”

Lord Beaumont menghela nafas. Dia merenggangkan pelukan pada tubuh anaknya itu. Sebelah tangannya diletakkan pada pipi Lilianna, diangkat agar anak gadisnya itu melihat kepada dirinya.

“ Ini bukan mimpi, anakku,” Lord Beaumont mengukir senyum. “ Ayah memang masih hidup.”

“ Tapi…” Lilianna melihat pada wajah yang sudah dimamah usia walaupun baru sahaja lima tahun mereka terpisah. “ Bagaimana ayah selamat? Malam itu… apa yang jadi? Siapa yang selamatkan ayah?”

“ Dia yang selamatkan ayah.”

Lord Beaumont melihat kepada lelaki misteri itu. Lelaki itu berdiri sahaja tanpa bersuara. Lilianna turut mengalih perhatiannya daripada bapanya kepada lelaki itu.

“ Siapa… awak?”

Lelaki itu menanggalkan kain yang menutupi sebahagian besar wajahnya. Lilianna mengecilkan matanya, cuba mengingati wajah itu. Setiap inci pada wajah lelaki itu diteliti oleh Lilianna. Akhirnya mata Lilianna terpaku pada parut yang berada pada kening sebelah kanan lelaki itu.

Pada ketika itulah cebisan memori pada lima tahun yang lalu muncul dalam minda Lilianna.

Matanya terkunci pada wajah dingin itu, bibirnya menggeletar.

Lelaki itu…

“ Klaus,” Lord Beaumont memanggil lelaki itu. “ Boleh tinggalkan kami berdua dahulu?”

Klaus mengangguk. Tanpa berlengah lagi dia keluar dari bilik itu. Pintu bilik itu ditutup.

“ Ayah… dia…” Lilianna melihat kepada bapanya dengan panik pada wajahnya. “ Dia… lelaki tu…”

Lord Beaumont mengangguk. “ Sabar, Lilia. Bawa bertenang. Dia tak akan apa-apakan kita.”

“ Tapi kenapa…” Perasaannya mula kacau bilau. “ Apa yang jadi? Kenapa lelaki tu ada di sini?”

“ Lilia, bawa bertenang…” Lord Beaumont memujuk lagi.

“ Malam itu…” Air mata Lilianna mengalir lagi. “ Dia tikam ayah… macam mana…”

Lord Beaumont menarik nafas. “ Bawa bertenang. Ayah akan ceritakan semuanya pada kamu. Macam mana ayah boleh selamat, kenapa ayah bersembunyi dan apa yang kamu perlu lakukan.”

Lilianna mengangguk perlahan, daripada renungan bapanya itu dia tahu bapanya akan menceritakan sesuatu yang penting dan perlu diberi perhatian sepenuhnya.

“ Lilia, dengar dahulu apa yang ayah nak cakap. Bila ayah dah tamat bercerita, baru Lilia tanya soalan, boleh?” Lord Beaumont membetulkan sandarannya pada kepala katil. “ Ayah tahu Lilia ada banyak perkara yang Lilia nak tanya pada ayah, tapi lebih elok kalau Lilia bawa bertenang dan dengar dahulu, ya?”

Dalam keterpaksaan Lilianna mengangguk. Dia perlu mengawal dirinya daripada bertindak melulu.

“ Klaus yang selamatkan ayah pada malam itu, Lilia,” Lord Beaumont membuka cerita. “ Ayah tahu Lilia terkejut kerana dialah orang yang cederakan ayah, yang terlibat dalam pembunuhan pekerja-pekerja kita tapi tanpa dia, ayah tak akan berada di sini, di depan anak ayah.”

“ Kecederaan ayah terlampau teruk sehingga ayah pengsan, koma untuk beberapa hari. Selepas ayah sedarkan diri, ayah dapati ayah berada di sebuah bilik. Bukannya di sini tapi di tempat lain. Klaus bawa seorang doktor untuk rawat ayah. Pada mulanya doktor itu kata ayah tiada harapan, tapi ayah akhirnya selamat dan sembuh walaupun ayah mengambil masa yang lama untuk sembuh.”

Ketika mulutnya ringan sahaja ingin melontarkan soalan, dengan segera Lilianna menutup mulutnya kembali. Biarlah ayah ceritakan dahulu kepadanya. Dia masih ada banyak peluang untuk bertanya selepas ini. Sabarlah wahai hati.

“ Ayah tak dapat bergerak dengan baik dan perlu berbaring sahaja. Pada masa itu Klaus masih belum memberitahu ayah kenapa dia selamatkan ayah selepas dia cuba bunuh ayah. Jadi, ayah agak berwaspada dengannya. Ayah tak tahu apakah niatnya, jujur ayah cakap.”

“ Selepas hampir lima bulan berada di rumah yang langsung ayah tak tahu berada di mana, Klaus pindahkan ayah ke tempat lain pula. Di kawasan pergunungan di mana ada sebuah perkampungan di sana. Ayah dirawat lagi di sana dan dijaga dengan baik oleh penduduk kampung. Klaus pindahkan ayah kerana dia tidak mahu lokasi ayah disembunyikan sebelum ini diketahui orang lain.”

“ Ayah tahu kamu masih hidup, Lilianna,” Lord Beaumont menahan dirinya daripada mengalirkan air mata. “ Ayah dapat rasakan yang anak ayah ini selamat berada di tempat lain walaupun ayah sangat risaukan kamu. Tiada siapa yang tahu betapa risaunya ayah pasal anak ayah ini. Di mana kamu tinggal, siapa yang ada dengan kamu, cukup makan tak…”

Lilianna tersedu-sedan, dia kembali menyembamkan wajah pada dada bapanya. Dia tidak cukup kuat untuk melihat air mata bapanya mengalir disebabkan dirinya. Sungguh. Dia tidak kuat.

“ Ayah bersyukur sangat bila dapat tahu Lilia pulang ke rumah ibu kamu, Lilia…” Lord Beaumont menelan liur, menenangkan dirinya yang sudah dibanjiri emosi. “ Datuk kamu layan kamu dengan baik, kan?”

Lilianna mengangguk. “ Ya…” Lilianna bersuara juga akhirnya, tidak dapat menahan dirinya lagi. “ Datuk dan nenek layan saya dengan baik. Tapi… macam mana ayah tahu?”

“ Klaus yang tolong siasat perkara itu.”

Lilianna bungkam, masih pelik dengan penglibatan lelaki itu dalam hal ini.

“ Ayah bersembunyi di mana-mana sahaja tempat asalkan tiada siapa tahu ayah masih hidup lagi. Ayah tunggu kepulangan kamu, Lilianna. Ayah harapkan pertolongan kamu dalam hal ini. Kalau ayah seorang, ayah tak yakin ayah boleh lakukannya atau pun tidak.”

“ Lakukan apa?”

“ Bantu Prince Neirin jatuhkan Lord Vaughan,” Lord Beaumont berkata tegas.

“ Apa?” Lilianna termengkelan. “ Jadi betullah… Lord Vaughan terlibat dalam…”

Lord Beaumont mengangguk, tidak menunggu Lilianna menghabiskan soalannya.

“ Ayah yang hantar surat layang itu?”

Lilianna teringatkan segala petunjuk yang membawa Prince Neirin menyiasat kes yang melibatkan bapanya dan bagaimana mereka memutuskan bahawa Lord Vaughan adalah dalang di sebalik kejadian itu. Adakah ini rancangan bapanya?

“ Klaus yang tolong ayah sampaikan. Ayah sudah tak boleh bergerak bebas macam dulu lagi, Lilia. Pergerakan ayah sudah terbatas.” Lord Beaumont memegang paha kirinya.

“ Kenapa dengan kaki ayah?” Lilianna bertanya sayu. Apakah lagi yang berlaku pada malam itu?

“ Ada besi panas tercucuk pada paha ayah,” Lord Beaumont melihat kepada pahanya. “ Masa itu Klaus sedang lawan dua orang pembunuh yang ada di rumah kita juga.”

Dua orang lagi… Ya…. Pada malam itu, selain daripada lelaki bernama Klaus itu, ada lagi dua orang lelaki yang menggunakan pistol.

“ Ayah tahu pasal upacara pertabalan Prince Neirin pada minggu depan. Kamu perlu jatuhkan Lord Vaughan sebelum hari itu. Ayah tak mahu Lord Vaughan berjaya buat huru-hara pada hari penting itu.”

“ Lord Vaughan dah rancang sesuatu?”

Lord Beaumont mengangguk. “ Klaus ada maklumatnya. Sudah bertahun-tahun ayah tunggu saat ini, sebelum Prince Neirin ditabalkan menjadi raja baharu kerajaan kita.”

“ Kenapa ayah tunggu sehingga hari ini?” Lilianna hairan dengan rancangan bapanya. “ Kalau ayah tunjukkan yang ayah masih hidup, Lord Vaughan akan dihukum!”

“ Tak semudah itu, Lilia,” Lord Beumont mengeluh. “ Kalau ayah tak betul-betul bersedia, kemungkinan besar ayah pula yang dihukum. Sebab itulah, ayah rancangkan semuanya dan curi perhatian Prince Neirin sebab dari awal lagi ayah tahu baginda memang sangsi dengan kes lima tahun lalu itu cuma suara baginda didiamkan oleh Lord Vaughan dan pengikut-pengikutnya.”

“ Jadi…” Lilianna menelan air liur. “ Apa rancangan ayah?”

Lord Beaumont mendiamkan diri buat seketika. Wajah anak gadisnya yang berubah serius direnung lama. Lilianna bukan lagi kanak-kanak seperti dirinya pada lima tahun yang lepas. Anak gadis kesayangannya ini sudah besar, sudah tahu bertindak sendiri tanpa disuruh.

Lord Beaumont kembali bersuara, memberitahu rancangannya.

MATA Handrien tidak lepas-lepas daripada merenung Lilianna. Dia merasakan ada sesuatu yang sedang disembunyikan oleh gadis itu. Sejak pulang dari melawat galeri seni petang tadi, Lilianna hanya duduk bersendirian. Malah semasa mereka bersarapan tadi sehinggalah mereka berada di dalam kereta kuda untuk pulang ke istana, Lilianna banyak mengelamun. Seperti ada sesuatu sedang menganggu fikiran gadis itu.

Handrien tidak mahu terus bertanyakan pada Lilianna. Lilianna bukanlah seorang gadis yang suka memendam rasa. Tetapi hari ini perlakuan Lilianna amat berlainan dengan kebiasaannya. Punyalah panjang soalan yang ditanya oleh Handrien tetapi sepatah sahaja balasan gadis itu. Handrien pun dah naik pening memikirkan perubahan sikap gadis itu pada hari ini.

“ Lilianna,” Handrien berjalan mendekati Lilianna yang sedang berdiri menghadap tingkap di ruang tamu kamar peribadinya. Hanya mereka berdua sahaja berada di situ. Emily pergi ke dapur untuk membawa minum petang ke sini.

Lilianna menoleh kepadanya tetapi pandangan gadis itu kelihatan kosong.

“ Kenapa ni? Awak ada masalah?”

Lilianna menggeleng sahaja tanpa menjawab pertanyaan itu.

Handrien mengeluh. Tidak pasti sama ada untuk membiarkan Lilianna bersendirian dahulu buat sementara waktu atau terus bertanyakan soalan kepada gadis itu. Bukan sikapnya untuk memaksa orang.

“ Tak apalah,” kata Handrien. “ Saya pulang ke bilik saya dahulu. Cari saya di sana kalau awak perlukan apa-apa.”

Lebih baik dia membiarkan sahaja Lilianna duduk bersendirian. Mungkin gadis itu perlukan ketenangan untuk menyelesaikan apa sahaja yang sedang menganggu fikirannya.

Handrien berpusing, mengangkat kaki menuju ke daun pintu untuk keluar dari bilik tersebut. Dia dapat merasakan mata Lilianna terpaku pada tubuhnya tetapi Handrien tidak berhenti daripada berjalan. Biarlah gadis itu tenang dahulu walaupun dia tidak tahu apakah punca Lilianna berdiam diri sahaja.

Masuk sahaja ke dalam biliknya, Handrien mengambil tempat duduk di sofa tunggal. Prince Neirin sudah pulang dari Sherside tetapi mereka tidak akan berjumpa sehinggalah pada malam ini kerana baginda sedang berehat selepas melalui perjalanan yang memenatkan.

Handrien sudah mengumpul maklumat yang diperlukan mengenai Lord Vaughan. Mayor Davis yang dilantik sebagai datuk bandar baharu Anville pernah bekerja bersama-sama Lord Vaughan dalam suatu urusan yang melibatkan pembahagian hartanah di antara Mayor Davis dan adik kandungnya. Mengikut siasatan, Mayor Davis menyerahkan suatu bahagian tanah kepada Lord Vaughan selepas urusan itu.

Mayor Davis tidaklah selicik yang Handrien sangka. Jika Lord Vaughan dan pengikut-pengikutnya yang lain mempunyai seribu satu cara untuk menyembunyikan kegiatan haram mereka, tetapi Handrien mendapati kini Mayor Davis sedang menjalankan urus niaga haram dengan seorang pembekal senjata api dari kerajaan Royston, sebuah kerajaan kecil yang berjiran dengan Zythor. Senjata-senjata api itu juga hanya disimpan di gudang pejabat datuk bandar, memudahkan Handrien jika mahu berpakat dengan Prince Neirin untuk mengadakan sesi pemeriksaan mengejut pada gudang itu.

Tetapi selain daripada itu, Handrien masih belum mempunyai apa-apa untuk dijadikan alat untuk memerangkap Lord Vaughan dengan perbuatannya sendiri.

Di manakah kelemahan lelaki itu terletak?

Lamunan Handrien terganggu apabila bunyi ketukan pada muka pintu menyapa telinganya. Handrien melihat pintu tersebut. Daun pintu dibuka dari luar, Lilianna muncul di hadapannya.

“ Lilianna?”

Lilianna merenung kepada dengan pandangan yang suka ditafsirkan oleh Handrien. Itu bukanlah pandangan kosong seperti mana Lilianna berikan kepadanya sepanjang hari ini. Ada emosi pada renungan mata itu. Lilianna berdiri sahaja di muka pintu tanpa mengatakan apa-apa.

“ Kenapa, Lilianna?” Handrien bangun daripada duduknya, tetapi dia tidak berganjak dari sofa itu.

“ Masuklah.”

Setapak demi setapak Lilianna mendekati Handrien, langkahnya perlahan sahaja. Lebih perlahan daripada sebelum ini. Kepala Lilianna tunduk, merenung lantai marmar yang dipijak olehnya. Handrien melihat kepada gadis itu dengan wajah risau. Lilianna jarang murung sebegini.

“ Kenapa, Lilianna?” Handrien bertanya lagi, kali ini nadanya lebih lembut.

Handrien mempelawa gadis itu untuk duduk selepas Lilianna tidak menjawab pertanyaannya. Lilianna berdiri sahaja di hadapannya. Hanya beberapa tapak sahaja yang memisahkan mereka berdua. Tangan kanan Lilianna diangkat, memegang lengan kiri Handrien. Wajahnya masih tunduk ke bawah.

“ Lilianna?”

“ Ayah…”

“ Kenapa? Awak tahu apa-apa pasal ayah awak?”

Jemari halus Lilianna yang berpaut pada lengannya terasa menggeletar. Mata Handrien beralih daripada wajah itu kepada jemari halus itu silih berganti. Dia dapat melihat Lilianna sedang berusaha kuat untuk menahan air matanya daripada keluar. Lilianna menggigit kuat bibirnya, wajahnya memerah.

“ Awak tahu, kalau awak nak menangis saya boleh pinjamkan sapu tangan saya. Atau, awak boleh basahkan kemeja saya, saya tak kisah,” ucap Handrien.

Lilianna menangis juga. Dia kalah dengan desakan perasaannya sendiri. Handrien tersenyum pahit. Tubuh gadis itu dipeluk, disandarkan wajah itu dadanya. Handrien tidak bertanya apa-apa lagi, dia membiarkan sahaja Lilianna menangis semahu-mahunya. Terasa kekok dirinya apabila berkelakuan sebegitu pada Lilianna. Teragak-agak dia meletakkan tapak tangannya pada kepala gadis itu, mengusap rambut panjang Lilianna.

“ Maaf…” Lilianna teresak.

Handrien menggeleng. “ Tak apa. Awak dah tak apa-apa?”

Lilianna mengangguk. Dia menjauhkan dirinya daripada tubuh Handrien. Wajahnya sembap dengan air mata. Sehelai sapu tangan dihulurkan oleh Handrien kepadanya. Lilianna menggunakan sapu tangan itu untuk mengesat air matanya.

“ Awak nak teh?”

Lilianna mengangguk lagi.

Handrien menyuruh Lilianna duduk sementara dia menyediakan teh panas kepada gadis itu. Perapian yang ada di dalam bilik itu digunakan untuk memanaskan air di dalam cerek. Mereka tidak bercakap sehinggalah Handrien selesai membuat minuman untuk mereka berdua.

“ Minumlah. Tenangkan diri awak dahulu.”

Secawan teh dihulurkan kepada gadis itu. Lilianna mengambilnya lalu mengucapkan terima kasih. Perlahan dia menyisip teh yang masih panas itu. Handrien mengambil tempat di hadapan Lilianna. Dia turut menghirup teh tersebut.

“ Awak tahu sesuatu pasal bapa awak, kan?” Handrien bertanya. Cawan teh diletakkan di atas meja.

Perlahan sahaja Lilianna mengangguk. Matanya yang merah kerana menangis tadi dilarikan daripada melihat terus kepada Handrien.

“ Sebelum tu, boleh awak beritahu ke mana awak pergi tengah malam semalam?”

Perubahan pada wajah Lilianna membuatkan Handrien yakin sikap pelik gadis itu pada hari ini berkaitan dengan sebab kenapa Lilianna menyelinap keluar istana malam semalam. Handrien menunggu masa sahaja untuk bertanya pada gadis itu.

“ Awak tahu?”

“ Emily kata awak tak nak diganggu dalam bilik tidur, saya fikir awak memang tak sihat. Kemudian, masa saya turun ke bawah saya tengok kuda yang awak tunggang sebelum ini tiada di bangsal. Dah tentu, penjaga bangsal tidak perasan akan ketiadaan kuda itu. Kemudian, saya pergi ke bilik awak dan nampaknya awak tiada pun dalam bilik tu.”

Lilianna memegang cawan itu lalu direhatkan pada pahanya, beralaskan gaun yang menyarungi tubuh itu. Lilianna mengunci pandangan mereka berdua, Handrien melihat kepada mata Lilianna yang merah.

“ Saya pergi jumpa ayah saya?” tutur Lilianna perlahan.

“ Awak ke kubur semalam?” Handrien hairan.

Lilianna sanggup menyelinap keluar pada tengah malam tanpa pengetahuan sesiapa hanya untuk menziarah kubur mendiang bapanya? Tak masuk akal langsung.

“ Tak, bukan macam tu,” Lilianna menggeleng. “ Ayah saya masih hidup, Handrien.”

Handrien melawan pandangan Lilianna, mencari sesuatu yang menandakan gadis itu sedang bergurau dengannya. Lilianna tidak mengalah, lama dia membalas renungan Handrien. Melihatkan pada raut wajah Lilianna dan pandangan pada mata itu, Handrien tahu gadis itu tidak membohonginya.

“ Macam mana awak tahu bapa awak masih hidup?”

Lilianna menghirup kembali teh yang masih berbaki dalam cawan. Gadis itu kelihatan sedikit cemas.

“ Awak ingat masa kita pergi memburu semalam?”

Handrien mengangguk. Baru sahaja semalam mereka ke hutan semata-mata untuk berburu. Handrien tidak akan lupa, apatah lagi selepas itu Lilianna muncul dengan wajah yang pucat selepas berpisah sebentar dengan kumpulan pemburuan itu.

“ Ada seorang lelaki datang jumpa saya,” Lilianna melarikan pandangannya daripada muka Handrien, melekat kepada lukisan permandangan di sebuah gunung yang dilekatkan pada dinding di belakang Handrien. “ Lelaki itu kata kalau saya nak tahu apa yang jadi pada ayah saya, saya perlu jumpa dia tengah malam itu juga.”

“ Semata-mata lelaki itu cakap macam itu, awak pergi jumpa dia seorang diri tanpa beritahu saya?”

Handrien cuba mengawal kemarahannya yang tiba-tiba sahaja menguasai fikirannya. Dia bukannya sengaja ingin naik marah kepada Lilianna tetapi apabila mendengar cerita sebenar, dia tidak boleh berdiam diri. Bagaimana jika ada perkara buruk menimpa gadis itu semalam?

“ Lelaki itu kata saya boleh bawa awak… dia… tahu pasal awak,” Lilianna merendahkan suaranya, jelas gadis itu dapat menghidu api kemarahan Handrien yang jarang menyala.

“ Tapi awak tak ajak saya temankan awak? Apatah lagi beritahu saya ke mana awak pergi semalam?” Nada Handrien meninggi daripada kebiasaan. Wajah gadis itu direnung tajam.

“ Saya tahu tapi itu pilihan saya, Handrien,” balas Lilianna. Renungan Handrien dibalas. “ Saya tak bersedia untuk bawa awak dan biarkan awak dengar apakah yang lelaki tu nak beritahu saya.”

“ Apa maksud awak?”

Lilianna kembali menunduk. “ Sejak malam itu, saya fikir ayah saya dah tiada. Saya sendiri saksikan bagaimana darah pada tubuh ayah saya mengalir, seperti tiada kesudahan. Dan… bila tiba-tiba lelaki itu datang secara tiba-tiba dan kata dia tahu maklumat pasal ayah saya…” Lilianna termengkelan. “ … saya tak pasti saya mahu awak atau sesiapa sahaja ada dengan saya waktu itu. Saya nak tumpukan pada apa yang lelaki itu ingin katakan dan saya… tak mahu awak tengok saya jika saya kecewa… dengan lelaki itu...”

Suasana di antara mereka mula sepi. Baik Handrien mahu pun Lilianna mendiamkan diri. Hanya bunyi jarum jam bergerak sahaja yang kedengaran. Handrien tidak melepaskan pandangannya daripada gadis itu walaupun Lilianna hanya menundukkan wajahnya, tidak mahu bertentang mata dengannya.

“ Jadi,” Handrien menghela nafas, memulakan kembali perbualan mereka. “ Lelaki itu bawa awak jumpa bapa awak?”

Lilianna mengangguk, dia masih belum mengangkat wajahnya. “ Lelaki tu yang selamatkan ayah saya pada malam itu… walaupun sebenarnya dialah yang cederakan ayah saya.”

“ Apa?”

Handrien seperti tidak mempercayai apa yang sedang didengarinya. Adakah telinganya tidak berfungsi dengan baik pada hari ini? Lelaki yang menyelamatkan bapa Lilianna daripada ambang maut adalah lelaki yang sama ingin membunuh bapanya?

“ Saya tak tahu apakah niat dia. Walaupun saya tak dapat maafkan dia sebab buat ayah cedera parah, tapi tanpa dia ayah tak akan selamat.”

“ Selama ini ayah awak bersembunyi?” Handrien meneka.

“ Ya,” Lilianna mengiyakan. “ Ayah tahu Lord Vaughan dalang di sebalik kejadian itu, tapi tanpa bukti yang kukuh, ayah risau Lord Vaughan akan hapuskan dia untuk selama-lamanya. Ayah ambil masa untuk rangka rancangan demi menjatuhkan Lord Vaughan. Sebab itu ayah hantar surat layang itu melalui lelaki itu.”

“ Surat layang itu daripada bapa awak?”

Handrien menggeleng kepalanya, menganggap dia sedang bermimpi dan Lilianna masuk ke dalam mimpinya untuk menganggu lenanya.

“ Ayah tak tahu saya akan dihantar ke sini sebagai wakil Erkens, cuma ayah laksanakan rancangan ini sebab Prince Neirin dijangka menggantikan King Arthur pada hari keputeraan baginda pada tahun ini juga. Dah tentu, ayah sendiri terkejut bila dapat tahu King Arthur awalkan pertabalan itu.”

“ Tadi awak kata lelaki yang selamatkan bapa awak tu jugalah orang yang sama cuba bunuh dia dahulu. Maksudnya, lelaki itu orang bawahan Lord Vaughan?”

Lilianna menggeleng. Handrien mengeluh. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tidak menyangka rupa-rupanya orang kepercayaan Lord Vaughan yang membantu mereka selama ini. Sudah tentu lelaki itu tidak tahu akan pembelotan itu.

“ Apa lagi yang awak dapat tahu semalam?

Lilianna berdehem, matanya melekat pada mata Handrien.

“ Ada sesuatu saya perlu serahkan pada Prince Neirin. Dan kita perlu bertindak sebelum majlis pertabalan pada minggu depan kalau kita nak rancangan ini berjaya.”

Handrien mengangguk sahaja. Dia nampak kesungguhan pada diri gadis itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience