Chapter 9

Other Completed 4791

BAB 9

SELENDANG putih yang membaluti tubuhnya dipeluk erat. Sekarang ini kereta kuda yang dinaikinya sedang melalui kawasan pergunungan menuju ke sempadan Erkens. Cuaca yang sejuk membuatkan Lilianna sedikit menggigil. Matanya melihat kepada pemandangan di luar tingkap kecil kereta kuda itu. Dari kejauhan dia dapat melihat suatu kawasan tasik yang besar, berada di kawasan lapang di gunung itu.

“ Seronok kalau dapat mandi di tasik tu,” kata Handrien tiba-tiba. Lilianna menoleh kepadanya. Mereka berdua berbalas senyuman.

“ Awak pernah mandi di situ?” tanya Lilianna.

“ Pernah. Kawasan ini dah dekat dengan sempadan Erkens, jadi bila saya pergi ke gunung untuk berlatih saya akan singgah di tasik itu. Airnya sejuk dan menyegarkan.”

“ Berlatih di gunung?”

Handrien mengangguk.

“ Takkanlah… awak berlatih dengan lawan beruang dalam hutan?” Lilianna tertanya-tanya, teringatkan kisah-kisah pengembara yang pernah dibaca olehnya.

Soalan Lilianna membuatkan Handrien ketawa. Tidak sanggup membayangkan dirinya berlawan dengan beruang yang entah wujud atau tidak di gunung ini. Bukannya tiada beruang atau binatang buas lain di dalam hutan pergunungan ini tetapi dia jarang bertemu dengan binatang-binatang itu semua.

“ Lilianna! Dari mana awak dapat idea tu?” Handrien ketawa lagi.

Lilianna mencebik. Pipinya mula memerah. “ Saya… tanya aje. Manalah saya tahu awak berlatih macam mana dalam hutan ni.”

Handrien mematikan tawanya, tidak mahu terus mengusik gadis itu. Senyumannya melebar. “ Biasanya, saya akan ke hutan ini dalam masa tiga hari, atau paling lama seminggu. Berburu binatang liar seperti rusa dan arnab, cuba untuk hidup dalam hutan. Tak teruk pun, yang paling saya seronok bila waktu malam tiba. Saya dapat tidur bawah hamparan bintang. Bintang kat kawasan hutan ini cantik.”

“ Takkanlah awak pergi seorang aje kan?”

“ Biasanya saya bawa kawan-kawan saya yang lain. Fred pun pernah pergi, kami bermalam dalam hutan selama dua hari. Balik aje ke istana, teruk kami berdua kena marah dengan Leon,” Handrien ketawa lucu saat mengingati kembali kejadian itu.

“ Leon?”

“ Pembantu Fred sejak dia kecil. Leon dah macam abang kami, umur dia baru 26 tahun tapi mulut dia suka membebel macam orang tua.”

Lilianna menarik senyum. Nampaknya, sedikit demi sedikit dia akan mengetahui kisah lama Handrien mahu pun Frederick. Melihatkan mereka berdua, rasa cemas Lilianna untuk memulakan hidup baru di bumi yang tersangat asing padanya berkurangan. Sekurang-kurangnya dia sudah mempunyai kawan-kawan.

Handrien berjanji akan membantunya menyesuaikan diri di Erkens, mengajarnya apa yang patut seperti budaya di Erkens. Frederick juga ada berjanji perkara yang sama dengannya tetapi Lilianna tidak begitu mengharapkan Frederick memandangkan Frederick akan kembali sibuk dengan tugasnya sebagai pemerintah Erkens. Apatah lagi sejak kerajaan ini sudah mula menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Zythor.

“ Lilianna?”

Lilianna tersentak daripada lamunannya. Dia melihat kepada Handrien lalu tersenyum malu. “ Ya? Kenapa, Handrien?”

“ Kita dah masuk sempadan Erkens, cuma untuk tiba di Larreule akan ambil masa satu hari lagi. Awak tak apa-apa ke? Awak tak biasa dengan perjalanan jauh macam ni kan?” Raut wajah Handrien menunjukkan kerisauannya.

“ Tak apa, lagi pun bukannya selalu saya naik kereta kuda untuk perjalanan macam ni,” balas Lilianna.

Sebenarnya Lilianna sudah merasa pening kepala tetapi dia tidak mahu menyusahkan semua orang hanya kerana dirinya seorang. Empat buah kereta kuda menyertai perjalanan pulang ke Erkens itu. Di kereta kuda yang pertama terdiri daripada Frederick dan tiga orang Lord yang berkhidmat untuknya, kereta kuda yang kedua terdiri daripada pembantu-pembantu Lord tersebut manakala dia dan Handrien berada di kereta kuda ketiga. Doktor Brown dan pembantu-pembantunya pula menaiki kereta kuda keempat. General Hopkins, General Hamilton dan pengawal-pengawal keselamatan yang lain pula menunggang kuda untuk memastikan keselamatan perjalanan itu.

Perjalanan daripada Idalia menuju Larreule mengambil masa hampir seminggu sekiranya tiada sebarang halangan dalam perjalanan itu. Setiap kali malam menjelang tiba, mereka akan berhenti berehat di mana-mana rumah tumpangan yang ditemui di tengah jalan tetapi memandangkan sejak semalam mereka berada di kawasan hutan pergunungan, beberapa buah khemah didirikan oleh delegasi itu untuk dijadikan sebagai tempat mereka berehat.

“ Tidurlah,” kata Handrien tiba-tiba.

“ Tidur?”

Handrien mengangguk. “ Sejak kita mulakan perjalanan kita pagi tadi, awak tak tidur langsung. Awak tak rasa penat ke? Awak nampak tak selesa aje, Lilianna.”

Lilianna tersengih. “ Tak apalah. Lagi pun kita dah nak sampai Larreule, kan? Saya boleh tidur di rumah…”

Rumah?

“ Lilianna, kenapa?”

Lilianna menggeleng. Pandangannya dilarikan kepada lantai kereta kuda itu. Dia teringatkan pertemuannya dengan Lord Moyes enam hari yang lalu, selepas Frederick bertanyakan keputusannya untuk berhijrah ke Erkens atau tidak. Pada malam itu…

DENGAN berhati-hati Lilianna membuka pintu bilik tamu. Dia melihat ke dalam. Kosong. Tiada sesiapa di dalam. Lilianna mengeluh. Nampaknya Lord Moyes sudah meninggalkan bilik tamu ini. Mungkinkah lelaki tua itu sudah kembali ke kamar peribadinya? Tetapi untuk dia pergi ke kamar Lord Moyes, dia merasakan dia akan menganggu privasi lelaki tua itu.

“ Lilianna, kenapa berdiri di luar?”

Pantas Lilianna menoleh ke belakang lantaran terkejut dengan teguran itu. Lord Moyes sedang berdiri di belakangnya. Pada wajah tua itu terukir senyuman, melembutkan riak pada wajah itu. Lilianna tersengih.

“ Saya… datang nak jumpa tuan.”

“ Mari masuk. Kamu nak teh?”

Lilianna duduk di sebuah sofa sementara menunggu Lord Moyes membuat teh. Ada sebuah pantri di sudut bilik tamu itu. Untuk menghilangkan rasa cemasnya, Lilianna mengalihkan perhatiannya kepada sebuah potret yang tergantung pada dinding bilik tamu itu. Potret sebuah taman bunga yang cantik, seperti cantiknya sebuah taman bunga yang pernah dilawati Lilianna dengan bapanya dahulu. Melihatkan potret itu menimbulkan dua rasa dalam hatinya. Gembira dan juga sayu.

“ Silakan, Lilianna,” kata Lord Moyes lantas menyedarkan Lilianna daripada memori itu. Lelaki tua itu meletakkan secawan teh panas di atas meja kopi. Lord Moyes mengambil tempat di sofa yang bertentangan dengan Lilianna, hanya meja kopi itu sahaja yang memisahkan mereka.

“ Minumlah. Teh chamomile boleh menenangkan perasaan kita,” kata lelaki tua itu lembut sebelum menghirup sedikit teh panas itu.

Lilianna tersenyum malu. Dia turut menyisip teh itu, cubaannya untuk mengalih rasa cemasnya kepada perkara lain. Seperti tidak percaya sahaja dia datang untuk bertemu dengan Lord Moyes selepas segala kekeliruan yang melibatkan mendiang ibunya. Bukannya dia tidak mempercayai lelaki tua itu tetapi apa yang dibongkarkan oleh Lord Moyes dirasakan terlalu berat untuk diterimanya. Cawan itu diletakkan kembali di atas meja.

“ Kamu nak berikan saya jawapan untuk pelawaan saya?” Lord Moyes bertanya tenang.

Lilianna tersentak. Kedua-dua tangannya memegang kemas kepala lututnya. Wajah tua itu direnung. Lilianna cuba menenangkan dirinya. Dia berada di sini bukanlah untuk memalukan dirinya sendiri dengan menunjukkan kerapuhan hatinya sebaliknya dia ingin menyampaikan perasaannya kepada Lord Moyes.

“ Sebelum itu saya ada beberapa soalan untuk tuan.”

“ Silakan.” Lord Moyes masih kelihatan tenang.

Lilianna menarik nafas lalu dihembus perlahan. Terasa jantungnya berdegup kencang. Dia mula membuka mulut. Matanya tidak lari daripada wajah tua itu.

“ Adakah saya ada tempat dalam keluarga tuan sekiranya saya bersetuju pergi ke Erkens?”

“ Kenapa kamu tanya soalan yang sudah pasti jawapannya? Saya tidak akan pelawa kamu ke Erkens sekiranya niat saya untuk biarkan kamu merempat di jalanan?”

Jawapan Lord Moyes tidak secara terus tetapi Lilianna tahu maksud di sebalik jawapan itu. Lilianna tidak kisah sekiranya lelaki tua itu ingin membuangnya sekiranya Lord Moyes tidak dapat menerima dirinya. soalan tadi hanyalah soalan pembukaan daripada Lilianna. Apa yang akan diajukan kepada lelaki tua itu selepas ini adalah soalan utama daripadanya. Jawapan Lord Moyes adalah penentu sama ada dia akan meninggalkan tempat kelahirannya, Zythor dan berpindah ke Erkens yang dikatakan tempat tanah tumpah darah mendiang ibunya, Ophelia.

“ Tapi saya berbeza dengan anak-anak gadis bangsawan lain. Saya tidak suka kebebasan saya disekat. Saya gemar bergaul dengan orang kebanyakan, saya juga berminat dengan aktiviti-aktiviti yang kebanyakan lelaki suka. Jika ada anak gadis bangsawan yang ingin mahir dengan seni pedang dan ilmu mempertahankan diri, saya tergolong dalam golongan itu walaupun isu ini dianggap tidak sesuai malah mencemarkan nama golongan gadis bangsawan yang lain. Ini diri saya yang sebenar, saya bukan seperti kebanyakan anak gadis bangsawan yang meluangkan masa mereka dengan menenun, menikmati keindahan bunga di taman atau menzahirkan bakat mereka dalam bidang seni. Kalau tuan boleh terima diri saya ini, saya berbesar hati untuk menerima pelawaan tuan pergi ke Erkens.”

Lilianna menghela nafas. Lega dapat meluahkan semua perkara yang ingin dia nyatakan kepada Lord Moyes. Seperti tadi, Lord Moyes masih dengan wajah tenangnya. Tetapi Lilianna dapat melihat lelaki tua itu kelihatan kagum dengan dirinya. Senyuman pada wajah tua itu melebar.

“ Jika kamu anggap diri kamu dalam golongan minoriti seperti itu, anak saya Ophelia juga sama seperti kamu, Lilianna.”

Lilianna tercengang. Apakah maksud Lord Moyes? Sehinggakan nama mendiang ibunya dibangkitkan juga dalam perbincangan ini?

“ Kamu mesti ingat kan apa yang saya beritahu sebelum ini? Ophelia gemar ke kawasan perkampungan kecil di sempadan Erkens untuk memberi barang keperluan dan merawat orang yang sakit di sana?”

Lilianna mengangguk. Lord Moyes telah memberitahunya mengenai perkara itu. Disebabkan itulah, ibunya terpisah dengan keluarganya di Erkens.

Lord Moyes memejamkan matanya buat seketika. “ Melihatkan kamu, Lilianna, mengingatkan saya pada Ophelia. Wajah kamu bukan sahaja saling tidak tumpah dengan Ophelia, tetapi juga jiwa yang ada pada kamu. Sama seperti kamu yang sukakan kebebasan, Ophelia juga tidak suka terikat dengan norma golongan bangsawan walaupun dia dibesarkan dengan kesemua pengetahuan dan etika yang perlu ada bagi seorang gadis yang mempunyai darah bangsawan.”

“ Ophelia tidak dilahirkan sebagai seorang bayi yang sihat. Tubuhnya lemah sejak kecil tetapi itu tidak menghalang dirinya untuk berkeras dan berpendirian tetap dengan apa yang dipercayai olehnya sebagai perkara yang benar. Sejak kecil lagi Ophelia gemar keluar dari rumah untuk melihat kehidupan golongan kebanyakan walaupun sering kali dilarang oleh ibunya.”

Ophelia, ibunya. Ingatan yang dimiliki Lilianna mengenai ibunya samar-samar sahaja. Dia baru sahaja berusia empat tahun pada tahun ibunya meninggal dunia. Apa yang Lilianna ingat, sejak hari itu, bapa akan selalu datang menemaninya di bilik sehinggalah dia tertidur kerana Lilianna tidak henti-henti menangis rindukan ibunya.

“ Saya tak akan kongkong hidup kamu, Lilianna. Saya yakin Ophelia akan marahkan saya kalau saya berbuat begitu pada anaknya. Lagi pun, saya tak mahu cucu perempuan tunggal saya hidup dalam kongkongan,” Lord Moyes tersenyum lembut seraya menghabiskan bicaranya.

Keikhlasan pada wajah tua itu dapat dilihat oleh Lilianna. Malah hatinya tersentuh dengan penerimaan Lord Moyes terhadap dirinya. Selama dia hidup, Lilianna fikir dia hanya mempunyai datuk dan nenek daripada keluarga belah bapanya sahaja. Dia langsung tidak menyangka datuk daripada belah ibunya masih lagi hidup. Walaupun mereka baru sahaja bertemu tetapi lelaki tua itu dengan senang hati menerimanya.

“ Terima kasih.”

Air mata Lilianna mengalir juga. Dia masih mempunyai tempat untuknya pulang, tempat yang akan membuatkan dia merasakan dia diperlukan dan disayangi lagi.

“ Tapi kadang-kadang kamu perlu luangkan masa dengan datuk kamu ini juga, Lilianna. Janganlah tinggalkan datuk tua ini seorang diri sementara kamu berseronok di luar sana,” kata Lord Moyes. Dia menyapu air mata Lilianna dengan sehelai sapu tangan. Lilianna mengangguk. Dia menarik senyum.

“ HANDRIEN?”

“ Ya?” sahut Handrien agak kehairanan. Tiba-tiba sahaja Lilianna bersuara setelah sekian lama hilang dalam fikirannya.

“ Kalau saya nak awak ajarkan saya seni pedang dan memanah, boleh?” Lilianna melihat kepada Handrien.

“ Serius?” Handrien terkejut.

Lilianna mengangguk. Terlihat ketegasannya pada wajah lembut itu.

Handrien tahu Lilianna bukanlah seperti gadis bangsawan biasa. Malah gadis itu sendiri pernah menyuarakan hasratnya untuk belajar seni mempertahankan diri tetapi Handrien terkejut dengan soalan yang tiba-tiba sahaja diajukan oleh gadis itu. Handrien ketawa perlahan.

“ Awak tahu kan lebih ramai lagi guru yang lebih berbakat daripada saya?” Handrien sengaja menduga.

Lilianna tersenyum. “ Tapi tak salah kan kalau saya nak pilih awak?”

Handrien menjongketkan kedua-dua bahunya. Senyumannya meleret.“ Entahlah.”

Kali ini Lilianna pula yang ketawa. Geli hati dengan sikap acuh tak acuh Handrien, seakan-akan mengatakan dialah insan terbaik untuk mengajar dirinya, mencabar Lilianna untuk merisik kepakaran lain.

Sebelum matahari berganti dengan bulan, delegasi Erkens berhenti di sebuah pekan kecil untuk berehat dan mengisi perut. Lilianna tidak melepaskan peluang itu untuk meninjau suasana di pekan itu walaupun pergerakannya terhad kerana Frederick selaku raja kerajaan ini turut berada bersama-sama mereka. General Hopkins dan General Hamilton terpaksa bertegas dengan beberapa orang penduduk yang ingin bertemu dengan Raja mereka.

Akhirnya, Frederick memutuskan untuk meluangkan masa bersama-sama penduduk pekan itu untuk beberapa ketika menyebabkan mereka terpaksa bermalam di situ. Nampaknya mungkin pada tengah hari esoklah mereka akan tiba di Larreule. Seorang utusan sudah bertolak ke istana untuk memaklumkan mengenai perkara itu.

“ Fred memang macam tu,” kata Handrien lalu menyuap makanan ke dalam mulutnya.

Lilianna dan Handrien makan malam di ruang makan di sebuah rumah tumpangan. Frederick, General Hopkins dan beberapa orang askar yang lain sedang berada di tengah ruang makan itu. Frederick tidak mahu pertemuan itu berlaku secara formal. Walaupun ditegah oleh General Hopkins atas faktor keselamatan, tetapi akhirnya dia terpaksa mengalah dengan kemahuan Frederick yang mahu penduduk pekan itu yang mahu bertemu dengannya duduk semeja dengan Frederick di ruang makan itu. Tidak mahu terlibat dengan situasi itu, Handrien mengheret Lilianna menemaninya makan di sebuah meja yang terletak di hujung ruang makan tersebut.

“ Tapi, macam mana kalau tiba-tiba ada orang cuba serang dia?” Lilianna bertanya.

Lilianna tidak bermaksud untuk berfikiran buruk mengenai penduduk yang kelihatan ikhlas ingin bertemu dengan raja yang disanjung mereka. Dia cuma memikirkan kemungkinan sekiranya ada pihak yang tidak senang dengan Frederick. Seperti mana Frederick disayangi seluruh rakyat Erkens, ianya tidak bermaksud lelaki itu tiada musuh.

“ Jangan risau. General Hopkins ada dengan dia. Lagi pun, apa yang Fred lakukan ini dapat tarik perhatian rakyat jelata. Yalah, kalau saya jadi mereka, tentu saya fikir bagusnya raja baru kami sanggup duduk semeja semata-mata untuk dengar masalah rakyat,” kata Handrien. Dia mencuri pandang ke arah Frederick yang masih leka dengan suasana sibuk di meja itu. Nampaknya makan malam lelaki itu masih belum terusik. Frederick juga sudah kelihatan keletihan.

“ Awak pun tentu fikir Fred seorang raja yang berkebolehan, kan? Yalah, kalau tidak takkan awak bersahabat baik dengan dia,” duga Lilianna.

“ Ya tapi saya tak akan sesekali puji dia depan-depan,” balas Handrien bersahaja. Lilianna tersengih.

Usai makan malam, Handrien membawa Lilianna ke bilik gadis itu ditempatkan untuk malam itu. Ketua di pekan ini mempelawa Frederick dan kesemua mereka untuk menginap di tempatnya yang jauh lebih selesa tetapi kerana tidak mahu menyusahkan ketua pekan itu, Frederick menolak. Apatah lagi mereka perlu bertolak ke Larreule di awal pagi. Kesemua bilik di tingkat tiga dikhaskan untuk ahli delegasi itu.

“ Datuk awak mana?”

“ Datuk…” Lilianna menggelengkan kepalanya. Dia sebenarnya masih segan untuk memanggil Lord Moyes dengan panggilan datuk walaupun sudah berkali-kali lelaki tua itu mengingatkannya untuk tidak lagi memanggilnya tuan.

“ Kenapa, Lilianna?”

“ Saya cuma terfikir…” Lilianna melihat kepada tombol pintu biliknya. Handrien masih berdiri di sebelah. “ Lord Moyes menerima kehadiran saya dengan hati yang terbuka. Tapi, bagaimana pula dengan ahli keluarganya yang lain?”

“ Kenapa awak fikir macam tu?” Handrien bertanya dengan nada lembut. “ Bukankah awak anak kepada satu-satunya anak perempuan Lord Moyes?”

“ Saya tahu tapi…”

“ Lilianna.”

Lilianna menoleh kepada Handrien. Handrien mengeluh perlahan.

“ Awak jangan risau. Saya kenal bagaimana keluarga Lord Moyes. Dua orang anak lelakinya, yakni bapa saudara awak, sama sahaja seperti Lord Moyes. Mereka berhati mulia. Cuma, mungkin ada masalah sikit dengan cucu-cucu Lord Moyes.”

“ Cucu?” Lilianna tergamam mendengar kenyataan itu. Yalah, takkanlah lelaki tua itu tidak mempunyai cucu lain selain daripadanya.

“ Nampaknya Lord Moyes tak beritahu awak lagi. Baiklah, mari saya ceritakan semua perkara yang saya tahu pasal mereka. Tapi, takkanlah kita nak berdiri kat depan pintu bilik awak aje?” Handrien melihat kepada pintu bilik yang masih belum dibuka itu. “ Kita pergi balkoni sanalah, nak?”

Lilianna mengangguk sahaja tanpa banyak soal. Dia mengekori Handrien yang sedang berjalan menuju ke arah balkoni yang terdapat di bahagian tengah tingkat tiga rumah tumpangan itu. Angin malam terasa menyegarkan mereka. Handrien menyilangkan kedua-dua tangannya lalu direhatkan atas pagar balkoni. Lilianna yang duduk di sebelah Handrien berdiri sambil memeluk selendang yang membaluti tubuhnya.

“ Kedua-dua anak lelaki Lord Moyes bekerja dalam pentadbiran Erkens. Lord Andrew Moyes dan Lord Michael Moyes. Kedua-dua berkahwin dengan dua orang wanita bangsawan, tapi pasal itu saya tak jelas sangat sebab keluarga mereka tidak tinggal bersama-sama Lord Moyes dan isterinya. Lord Moyes mempunyai tiga orang cucu, semuanya lelaki. William Moyes adalah cucu sulungnya, berumur 20 tahun, sekarang bekerja dalam ketenteraan. Nolan Moyes pula sebaya dengan saya, dia kini salah seorang aprentis untuk farmasi diraja dan Louis Moyes berumur 10 tahun, masih bersekolah. William anak tunggal Lord Andrew manakala Nolan dan Louis anak kepada Lord Michael.”

“ Awak betul-betul tahu pasal keluarga Moyes, ya?” getus Lilianna perlahan.

Handrien tersengih. “ Datuk saya dan Lord Moyes memang sahabat baik, selalu sangat saya ke rumah utama mereka. Lagi pun, dulu saya dan Nolan berada di sekolah yang sama.”

“ Tadi awak kata mungkin saya ada masalah dengan cucu-cucu Lord Moyes. Kenapa?”

“ Oh, masalah… sebenarnya tak ada apa sangat pun. Cuma si William tu suka menyendiri, buat hal sendiri. Jarang sangat lelaki tu nak bercampur dengan orang. Nolan pula agak keras kepala. Dia bijak, antara aprentis yang mendapat nama di farmasi diraja cuma yalah, kadang-kadang susah nak berunding sesuatu dengan dia. Kalau yang okey pun si Louis tu. Walaupun Louis tu kecil lagi budaknya, tapi dia budak baik. Tak senakal kawan-kawannya yang lain.”

Lilianna termenung jauh. Tidak dapat membayangkan pertemuannya dengan ahli-ahli keluarga Lord Moyes yang mungkin akan terjadi tidak lama lagi. Lord Moyes ada mengatakan bahawa dia mahu Lilianna diperkenalkan sebagai ahli keluarga Moyes terbaru secara elok kepada ahli keluarganya yang lain.

“ Janganlah risau, Lilianna,” kata Handrien sambil tersenyum. Dia faham kenapa gadis itu risau akan penerimaan keluarga Lord Moyes akan dirinya. Memang benar Lilianna adalah cucu kandung Lord Moyes, tetapi gadis itu tidak pernah tahu mengenai kewujudan keluarga belah mendiang ibunya sehinggalah baru-baru ini. Memang patutlah sekiranya Lilianna berasa risau.

“ Buat masa ini William sibuk dengan tugasnya sebagai tentera, begitu juga dengan Nolan yang masih belum mendapatkan lesen ahli farmasi diraja. Kalau awak bertemu dengan mereka pun, saya yakin awak boleh sesuaikan diri dengan mereka. Mereka kan keluarga baru awak.”

Keluarga baru…

Lilianna menarik senyum. Dia memegang loket pada rantai yang menghiasi lehernya.

“ Ya. Keluarga baru saya…”

Tapi mereka tetap tak dapat gantikan tempat ibu dan ayah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience