Chapter 12

Other Completed 4791

BAB 12

BUAH epal yang telah siap dikupas kulitnya mula dipotong kecil-kecil. Berhati-hati Lilianna melakukan kerjanya itu. Buah strawberi yang sudah merah ranum turut dibelah dua. Potongan buah-buahan itu diletakkan di dalam sebuah mangkuk kaca. Lilianna mengambil garfu kecil lalu dicucuk pada buah strawberi itu. Garfu kecil itu diberikan kepada neneknya yang sedang duduk bersandarkan bantal di atas katil.

“ Terima kasih, Lilianna,” ucap Lady Moyes seraya menyambut huluran cucu perempuannya itu.

“ Buah-buah ini saya beli pagi tadi di pasar. Kedua-duanya manis, saya serahkan pada Chef Paolo sedikit untuk dijadikan pai buah untuk minum petang nanti,” kata Lilianna sambil tersenyum.

Awal pagi lagi Lilianna dan pembantunya, Emily pergi ke pasar pagi untuk membeli buah-buahan. Membebel juga Chef Paolo yang merupakan ketua tukang masak di rumah agam itu kerana Lilianna pergi ke sana. Setiap pagi akan ada pembekal bahan masakan serta buah-buahan akan datang menghantar barangan tersebut jadi sepatutnya tidak perlulah Lilianna pergi membeli buah di sana. Tetapi kerana sudah lama dia tidak berjalan-jalan di pasar pagi itu, Lilianna mengajak Emily untuk menemaninya ke sana. Alang-alang sudah berada di situ, tidak salahnya untuk dia membeli sedikit barangan di pasar pagi itu.

“ Manis, sesuai dengan citarasa nenek,” balas Lady Moyes selepas mengunyah belahan strawberi itu.

“ Saya ada tinggalkan untuk datuk juga. Datuk boleh makan sebagai pencuci mulut lepas makan malam nanti.”

“ Awal pagi lagi datuk kamu ke pinggir bandar, entahlah apa kerja dia di sana. Nenek dah suruh dia lepaskan sahaja kerja pada pembantunya tapi datuk kamu tu degil,” kata Lady Moyes separa merungut. Pening kepala memikirkan suaminya yang masih tidak betah untuk melepaskan kerjanya kepada orang lain.

Lilianna ketawa lucu. Dia sudah arif sangat dengan datuknya itu. Kedua-dua bapa saudaranya juga selalu memujuk bapa mereka untuk bersara sahaja memandangkan umur datuknya sudah lanjut tetapi datuknya degil. Dia kata usia yang sudah mencecah senja bukan penghalang untuk dirinya terus berkhidmat kepada negara.

“ Macamlah nenek tak tahu semangat patriotik datuk tu macam mana,” balas Lilianna yang masih ketawa. Ketika itulah dia baru teringatkan sesuatu.

“ Oh ya! Nenek, Louis kata Nolan nak datang melawat nenek hari ini. Katanya, Nolan dapat cuti dua hari bermula hari ini jadi sebelum dia pulang ke rumah dia nak jumpa nenek dulu.”

Nolan dan Louis adalah sepupunya, anak kepada bapa saudaranya Michael Moyes. Seperti kata Handrien dulu, Nolan kita bekerja sebagai pegawai farmasi diraja di dalam istana. Louis yang baru berusia 15 tahun pula masih bersekolah tetapi remaja lelaki itu mengatakan dia mahu menjadi seorang usahawan. Louis tidak mahu mengikut jejak langkah bapa dan abang sulungnya yang bekerja dengan pihak istana.

“ Baguslah. Nenek pun dah lama tak jumpa Nolan. Entah macam manalah rupanya.”

Lady Moyes mengunyah potongan epal pula. Kunyahannya perlahan dan teratur. Dalam keadaan dirinya yang sudah lanjut usia dan selalu sakit-sakit ini, selalu juga tubuh badannya enggan bekerjasama untuk berfungsi dengan baik. Susah pula dibuatnya sekiranya dia tercekik makanan.

“ Nolan sama sahaja seperti dahululah, nenek,” balas Lilianna. Dia turut menyuap buah-buahan yang sudah siap dipotong itu ke dalam mulutnya. “ Hari itu Nolan pergi ke utara Larreule untuk satu konvensyen akademik. Jadi dia tak sempat nak datang ke sini jenguk kita semua.”

“ Entah-entah bila Nolan dah tua nanti, dia jadi macam datuk kamu. Bekerja aje sampailah dah tua macam ni,” Lady Moyes meneka.

Lilianna tersenyum lantas menggelengkan kepalanya. Tidak mahu komen apa-apa.

Kedengaran daun pintu bilik itu diketuk perlahan sebelum pintu itu dibuka. Grace, salah seorang pembantu rumah yang ditugaskan untuk menjaga Lady Moyes muncul di muka pintu. Gadis yang berusia dalam lingkungan 20-an itu masuk ke dalam bilik itu, mengatur langkah untuk mendekati Lady Moyes dan Lilianna.

“ Lady Moyes, Lady Lilianna, Lord Nolan sedang berada di ruang tamu. Boleh saya panggil Lord Nolan ke sini? Lord Nolan mahu berjumpa dengan puan,” kata Grace penuh tertib.

“ Oh! Dia dah sampai!” Lilianna tersengih. Baru sahaja mereka berdua berbual mengenai Nolan.

“ Baiklah. Benarkan dia datang ke sini,” balas Lady Moyes lembut.

“ Baiklah. Lady Lilianna,” Grace mengalih perhatiannya kepada Lilianna pula. “ Ada tetamu untuk cik.”

“ Tetamu? Untuk saya?”

Lilianna kehairanan. Siapa pula yang datang melawatnya ini? Baru sahaja dia bertemu dengan Erik semalam. Sepatutnya lelaki itu sedang terlantar sakit sekarang. Selepas membeli barangan di pasar pagi tadi, Lilianna sempat menjenguk Erik di rumahnya. Dia turut menghulurkan sedikit buah tangan kepada Erik yang sudah semakin teruk demamnya berbanding semalam.

“ Lord Handrien tiba bersama Lord Nolan.”

“ Handrien! Serius?”

Lilianna melompat daripada kerusinya. Dia tergelak kerana neneknya dan Grace tiba-tiba sahaja menyaksikan dia berkelakuan seperti itu. Nasib baik hari ini dia mengenakan kemeja dan seluar yang selalu dipakainya ketika ingin berlatih bermain pedang, bukannya gaun labuh yang melemaskan. Tidaklah dia nampak terlalu kurang sopan pula.

“ Kamu pergilah jumpa Handrien, keluar ke bandar. Kirim salam sayang nenek pada dia,” kata Lady Moyes yang tersenyum lucu melihatkan tingkah cucu perempuan tunggalnya itu.

“ Baiklah. Saya pergi dulu, nenek.”

Kedua-dua pipi neneknya dicium sebelum Lilianna berlalu dari bilik itu. Grace mengekorinya dari belakang. Setibanya dia di ruang tamu, dia disambut dengan pertengkaran mulut di antara Nolan dan Handrien. Mereka berdua suka sangat bertikam lidah walaupun biasanya perkara itu akan kedengaran lucu dan kebudak-budakan pada telinga pihak ketiga yang mendengarnya.

“ Perlu ke kau datang sini dengan aku? Kau ada rumah sendiri untuk kau balik, kan?” kata Nolan sambil berpeluk tubuh. Matanya merenung tajam kepada Handrien yang sedang berdiri di hadapannya. Kedua-dua mereka tidak mengambil tempat duduk di sofa. Mereka berdua berdiri sahaja di tengah-tengah ruang tamu itu.

“ Sejak umur aku dua tahun lagi aku dah anggap ini rumah kedua aku. Tak ada masalah, kan?” balas Handrien selamba.

“ Ada. Sebab aku tak faham kenapa tiba-tiba ini rumah kedua kau.” Nolan memejamkan matanya.

“ Sebabnya, Lord Moyes pun sayangkan aku. Takkan itu pun kau tak tahu?” Handrien tersengih.

“ Tak pernah pula aku dengar datuk kata nak ambil kau jadi cucu angkat dia.” Nolan tayang muka bosan.

Lilianna ketawa geli hati. Daripada zaman kanak-kanak sehinggalah masing-masing dah mencapai usia awal 20-an, pantang benar kalau Handrien dan Nolan bersua muka. Kedua-duanya bukanlah tidak sukakan satu sama lain tetapi kerana perbezaan perangai mereka membuatkan mereka berdua tidak boleh berada di tempat yang sama. Nolan seorang yang suka melepaskan sahaja apa yang berada dalam fikirannya malah dia suka melayan orang lain acuh tidak acuh sahaja. Handrien pula suka mengusik Nolan kerana walaupun Nolan selalu buat muka tidak mahu melayan Handrien, tetapi Nolan tetap tidak akan membiarkan sahaja kata-kata Handrien tanpa dibalas. Lilianna sendiri tidak faham dengan perangai mereka berdua ini.

“ Lilianna,” sapa Handrien. Tawa Lilianna tadi menarik perhatian mereka berdua.

“ Sudah-sudahlah kamu berdua. Nolan, nenek nak jumpa awak di bilik.” Lilianna memberitahu Nolan.

Nolan mengangguk perlahan. Dia segera berjalan meninggalkan Handrien. “ Nasib baik aku tak perlu lama-lama duduk dengan kau. Lilianna, dah lama kita tak berjumpa. Macam dah makin kurang kau punya sifat keperempuanan.”

Lilianna ketawa lagi. Dia tunduk melihat pakaian yang tersarung pada tubuhnya itu sebelum matanya melihat kepada Nolan yang sedang berdiri di hadapannya.

“ Tak apalah kalau hilang pun. Takkan saya nak menunggang kuda sambil pakai gaun? Tak selesalah.”

“ Aku pergi jumpa nenek dulu. Kau layanlah si Handrien tu.”

Nolan mengerling sekilas kepada Handrien yang sedang tersengih melihatnya. Grace mengiringi Nolan ke arah bilik Lady Moyes. Lilianna ditinggalkan berdua di ruang tamu bersama-sama Handrien.

“ Nasib baik awak dan Nolan tak bekerja di bahagian yang sama, kalau tak saya tak tahulah apa yang jadi nanti,” kata Lilianna.

“ Kadang-kadang kalau saya terserempak dengan dia di mana-mana bahagian istana, dia akan buat pura-pura tak nampak,” cerita Handrien yang masih tersengih.

Lilianna tersenyum. Matanya memandang tepat ke wajah Handrien. “ Selamat pulang, Handrien. Dah lama tak jumpa awak.”

“ Terima kasih, Lilianna. Jom, temankan saya keluar?”

“ Baiklah. Awak tahu Erik tengah sakit? Tak nak melawat dia ke?” soal Lilianna.

Lilianna menyambut kot yang dibawa oleh Emily kepadanya. Emily sudah sedia maklum Lilianna biasanya akan keluar sekiranya Handrien datang ke sini. Kot berwarna coklat itu disarung pada tubuhnya. Suhu di luar agak rendah berikutan pertukaran musim sejuk ke musim bunga.

“ Demam? Kenapa lemah sangat si Erik tu?” Handrien menggelengkan kepalanya. “ Marilah. Boleh dia tahu saya bermurah hati untuk melawat dia yang tengah sakit ni walaupun saya sibuk.”

“ Perasan.”

Lilianna ketawa lagi. Handrien turut menyertai tawanya.

USAI melawat Erik yang masih terlantar sakit, Handrien mengajak Lilianna untuk mengambil angin petang di sekitar jalan yang dipenuhi dengan pelbagai jenis kedai di kiri dan kanannya. Sebelum itu mereka berdua singgah sebentar di sebuah bakeri untuk membeli dua cawan kopi panas dan roti untuk dijadikan minum petang mereka. Walaupun tidak sesibuk keadaan di pasar pagi tetapi orang ramai tetap berkerumun di kawasan itu, menyelesaikan urusan masing-masing.

“ Jarang si Erik tu jatuh sakit sampai macam tu sekali. Entah apalah yang dia buat sebelum ni,” gumam Handrien, teringatkan sahabatnya yang tiba-tiba sahaja demam teruk sehingga perlu terbaring sahaja di atas katil.

“ Pak Cik Thomas kata, beberapa hari lepas dia tidak cukup tidur sebab sibuk di kedai. Dari pagi sampai ke malam dia berkurung dalam bilik kerjanya. Pak Cik Thomas sendiri tak tahu kenapa Erik sibuk sangat masa tu padahal tak ada tempahan penting,” Lilianna memberitahu sekadar apa yang dia tahu.

“ Tak apalah. Erik tu dahlah selalu bekerja, memang patut pun kalau dia jatuh sakit. Benarkan tubuh dia berehat sedikit.” Handrien menghirup sedikit kopi yang masih panas itu.

“ Tak baiklah.” Lilianna menjeling ke arah Handrien. “ Teruk sangat tengok dia tadi. Sampaikan nak selimut berlapis-lapis.”

Handrien tak dapat mengelak daripada ketawa apabila melihatkan jelingan maut daripada Lilianna. “ Jangan risaulah. Lagi pun dah ada doktor rawat dia kan? Sekarang ni Erik perlukan rehat yang cukup aje. Buat masa ni kita jangan ganggu dia.”

“ Betul kata awak tu. Itulah, kalau saya tahu dia tak sihat petang semalam saya tak akan ajak dia untuk jadi lawan saya,” kata Lilianna, serba salah apabila memikirkan Erik yang tidak sihat terpaksa menggunakan sisa tenaganya untuk berlawan pedang dengannya semalam.

“ Awak selalu ajak Erik jadi lawan awak?” Handrien mengangkat keningnya sebelah. Lilianna mengangguk perlahan.

“ Kalau Erik tak sibuk, dalam seminggu ada dalam dua tiga kali kami berlawan pedang. Tak pun, saya ajak dia menunggang kuda untuk berlatih memanah dalam keadaan kuda bergerak pantas,” akui Lilianna.

Walaupun baru sahaja lima tahun usianya belajar seni pedang dan memanah, tetapi Lilianna bangga dengan kemampuannya untuk memahirkan dirinya walaupun dia masih belum sehebat Erik apatah lagi Handrien. Datuk dan neneknya juga tidak membantah walaupun kadang kala ada juga suara-suara yang tidak enak mengatakan tidak manis untuk seorang gadis bangsawan sepertinya untuk belajar kemahiran yang sepatutnya ada pada lelaki. Apatah lagi kini Lilianna lebih gemar mengenakan kemeja dan seluar panjang serta berkasut but untuk ke mana-mana daripada menyarungkan gaun beropol di tubuh langsingnya. Walaupun kemeja itu berpotongan dan mempunyai rekaan feminin tetapi masih ada mata-mata yang memandang seorang kepadanya.

“ Awak tak nak belajar menggunakan pistol?”

“ Pistol?” Lilianna mengerutkan keningnya.

“ Ya, pistol.”

Mereka berdua mengambil tempat duduk di sebuah bangku yang disediakan di sepanjang jalan itu. Handrien meletakkan cawan kertas yang masih berisi kopi panas itu di atas bangku tersebut. Dia menoleh ke arah Lilianna yang masih belum menjawab pertanyaannya. Kelihatannya seperti gadis itu sedang memikirkan sesuatu.

“ Kenapa, Lilianna?” Handrien bertanya, risau sekiranya ada apa-apa perkara sedang menganggu fikiran gadis itu.

“ Tak ada apa-apa.” Lilianna mengeluh. “ Pistol… tapi bukankah penggunaan pistol masih ketat? Tak sama seperti penggunaan pedang dan busur memanah?”

“ Ya. Undang-undang di Erkens masih menghadkan penggunaan pistol. Awak perlukan lesen khas untuk memiliki pistol, selain daripada menjalani beberapa ujian. Tapi saya rasa tak ada masalah kalau awak nak minta lesen itu. Saya tak fikir Lord Moyes akan bantah.”

“ Saya? Guna pistol?” Lilianna ketawa. “ Tak apalah, Handrien. Saya nak tumpukan pada pedang ini lagi. Lagi pun, saya fikir saya tak mahu belajar menggunakan pistol lagi. Pistol lagi mengerikan daripada pedang.”

“ Kenapa awak cakap macam tu?”

“ Dari jarak yang jauh, peluru tetap boleh mengenai mangsanya. Berbeza dengan pedang yang lebih memerlukan jarak yang dekat untuk menggunakannya,” balas Lilianna, suaranya merendah.

Walaupun pedanglah penyebab bapanya kehilangan nyawa lima tahun dahulu, tetapi dia akan menjaga semangatnya yang mahukan dirinya menjadi seperti Marie Idalia II.

“ Tak apalah. Nanti kalau awak berminat, awak boleh belajar. Tak semestinya sekarang,” pujuk Handrien.

“ Awak macam mana pula, Handrien? Awak dah belajar gunakan pistol?” tanya Lilianna ingin tahu.

Sebagai First Knight of Honour, semestinya Handrien perlu mahir dengan segala jenis seni mempertahankan diri bagi melindungi Frederick selaku King of Erkens. Takkanlah Handrien bergantung kepada kemahirannya menggunakan pedang sahaja. Anggukan Handrien menjawab pertanyaan Lilianna.

“ Tapi saya kurang guna pistol. Tak rasa seronok kalau berlawan guna senjata kecil macam tu. Lainlah kalau guna pedang. Walaupun pedang tu berat, tapi wah! Rasa macam semangat saya membuak-buak untuk menang,” kata Handrien sambil membuat gayanya yang tersendiri.

Jawapan Handrien mengundang tawa Lilianna. Handrien memang susah nak berpisah dengan pedang kesayangannya itu.

“ Jadi, bila awak akan pulang ke istana?”

Handrien kelihatan tersentak dengan soalan itu. “ Awak nak halau saya balik menghadap muka Fred ke?”

“ Bukanlah.” Lilianna ketawa lagi. “ Yalah, awak tentu sibuk kat istana. Saya syak mesti Fred yang paksa awak balik ke rumah awak, kan? Kalau tak, mesti awak ikut aje ke mana Fred pergi.”

“ Tak adalah sampai tahap dia masuk tandas saya ikut sekali,” jawab Handrien selamba. “ Tapi, ya, memang Fred halau saya balik rumah.”

“ Memang patut pun dia suruh awak balik rumah. Saya dengar datuk awak kata, awak dah lama tak balik jenguk dia kat rumah.”

“ Macamlah saya tak jumpa datuk saya kat istana.” Handrien buat muka sebelum tersengih. “ Fred suruh saya balik sebab dia nak pai daging buatan chef kat rumah saya tu. Mengada-ngada betul. Macamlah tukang masak istana tak boleh buatkan.”

“ Alasan dia aje tu. Kalau tak awak tentu degil tak nak balik,” balas Lilianna.

“ Tak adalah, Lilianna. Saya kenal Fred tu sejak kecil lagi. Hanya saya aje yang tahu perangai mengada-ngada dia macam mana. Depan orang lain mana ada dia tunjuk.”

“ Seronoknya mengata aku belakang-belakang ya?”

Baik Lilianna mahu pun Handrien terkejut dengan sapaan dari belakang mereka. Pantas mereka menoleh ke arah suara itu. Bulat mata Lilianna ketika melihat wajah Frederick sedang tersenyum sinis kepada mereka, atau lebih tepat lagi kepada Handrien yang kini sedang tayang muka tidak bersalah.

“ Fred! Awak… macam mana awak boleh ada di sini?” tanya Lilianna yang masih terkejut.

“ Hai, Lilianna. Dah lama kan kita tak berjumpa? Dari tadi telinga saya rasa gatal aje, rupanya ada orang sedang mengata saya kat sini,” balas Frederick dengan senyuman manis kepada Lilianna manakala tangan kirinya merangkul kuat leher Handrien.

“ Lepaslah!” Handrien menarik tangan Frederick yang masih tidak mahu melepaskan lehernya.

“ Err… gembira berjumpa awak. Tapi… awak buat apa di sini? Tak apa ke awak muncul tiba-tiba aje di sini?” Lilianna tersengih sahaja melihat Handrien diperlakukan sedemikian rupa. Tak dapat dia nak menolong.

“ Tak apa. Lagi pun saya pakai pakaian orang kebanyakan aje ni, tengok! Rasanya susah nak cam saya, kan?” kata Frederick. Akhirnya dia melepaskan juga rangkulan pada leher Handrien. Handrien segera bangun daripada bangku itu.

“ Apa kau buat kat sini?” Handrien mendesis. “ Susah aku kalau tiba-tiba ada orang cam kau.”

“ Kalau ada, itu masalah kau sebagai Knight aku, kan?” Frederick tayang muka bosan.

“ Tapi, betullah Fred, apa awak buat kat sini? Datang nak jenguk rakyat ke?” Lilianna masih tertanya-tanya akan kehadiran Frederick yang secara tiba-tiba itu.

“ Saya sebenarnya nak jumpa awak, Lilianna. Ingatkan nak ke rumah awak tapi pembantu awak kata awak keluar dengan Handrien. Nasib baik jumpa awak kat sini.”

“ Nak jumpa saya? Kenapa?” Lilianna makin pelik. Bunyinya seperti ada perkara penting sahaja.

Frederick mengangguk. “ Boleh kita berbual kat tempat lain? Kereta kuda saya ada di sana.”

“ Baiklah,” Lilianna bersetuju sahaja.

Lilianna mengekori sahaja langkah Frederick dan Handrien sehinggalah mereka berdua tiba di tempat yang dimaksudkan oleh Frederick. Mereka bertiga memasuki kereta kuda itu. Secara luarannya kereta kuda itu kelihatan sama sahaja seperti kereta kuda yang lain, langsung tiada tanda-tanda pemerintah Erkens berada di dalamnya. Nampaknya Frederick bersungguh-sungguh benar itu tidak mahu orang perasan akan kehadirannya.

Mereka bertiga mengambil tempat masing-masing. Handrien duduk di sebelah Frederick manakala Lilianna duduk bertentangan dengan tempat duduk mereka. Daripada air muka Handrien, Lilianna dapat mengagak lelaki itu juga tidak pasti tentang apakah Frederick ingin beritahu kepadanya.

“ Sebenarnya, Lilianna, saya nak minta tolong awak,” Frederick memulakan bicara.

Lilianna mengangguk sahaja tanpa berkata apa-apa. Dia mahu mendengar dahulu bicara Frederick.

“ Saya mahu awak ke Zythor sebagai wakil Erkens dan berada di sana selama dua bulan, boleh?”

“ Apa?”

Lilianna merenung Frederick dengan rasa tidak percaya. Adakah telinganya tidak berfungsi dengan baik? Pergi ke Zythor sebagai wakil Erkens? Kenapa dia?

“ Fred! Kau tak maksudkan…” kata-kata Handrien terhenti di situ. Dia melihat kepada Frederick yang masih kelihatan tenang dengan reaksi mereka berdua.

“ Saya ada misi untuk awak kalau awak setuju. Tapi sebelum tu, saya akan ceritakan dahulu semuanya pada awak. Awak tentukan sendiri keputusan awak. Saya tak akan paksa sebab saya fikir, misi ini berkemungkinan tak akan berjaya kalau awak pergi secara terpaksa,” sambung Frederick. Perhatiannya masih kepada Lilianna. Handrien yang turut sama terkejut seperti gadis itu tidak dihiraukan olehnya.

“ Baiklah.” Lilianna menelan liur. “ Ceritalah.”

“ Saya bawa awak pulang ke rumah, ya? Sambil-sambil tu, saya beritahu awak.”

Lilianna mengangguk sahaja.

Frederick berdehem buat seketika sebelum dia mula bercerita. Walaupun kadang kala penceritaannya akan diganggu dengan renungan tajam daripada Handrien tetapi Frederick tetap meneruskan bicaranya. Sekarang ini adalah masa yang amat penting. Dia sudah berjanji dengan Crown Prince Neirin untuk membantu menyelesaikan masalah itu. Lilianna diam sahaja sepanjang mendengar apa yang ingin diberitahunya.

“ Jadi, saya fikir awak boleh jadi calon yang sesuai,” kata Frederick menghabiskan cerita.

Lilianna tidak terus menjawab. Daripada raut wajah gadis itu Frederick dapat mengagak ada banyak perkara sedang difikirkan oleh Lilianna. Handrien turut mendiamkan diri. Membiarkan sahaja Lilianna tenggelam dalam fikirannya. Akhirnya gadis itu membuka mulut selepas sekian lama.

“ Awak nak saya pergi sebagai wakil kerajaan Erkens dengan alasan untuk belajar budaya Zythor?”

Frederick mengangguk, mengiyakan apa yang diberitahunya tadi.

“ Tapi memang tak ada orang selain saya ke?” Lilianna menyoal. “ Saya faham bila awak kata awak tak ada adik beradik yang lain dan kebanyakan saudara mara awak sama ada masih terlalu kecil atau sudah sibuk dengan kerja masing-masing. Tapi kenapa saya? Sebab saya berasal dari sana?”

Sekali lagi Frederick mengangguk. “ Itu salah satu daripada sebabnya. Awak tak nak bantu siasatan itu pun tidak mengapa. Pengawal yang akan mengiringi awak yang akan lakukan siasatan itu. Awak boleh anggap sahaja ini percutian untuk awak di sana. Saya beritahu Lord Moyes saya sekadar nak jadikan awak wakil sahaja. Datuk awak tak tahu pasal misi ini. Tolong jangan beritahu beliau, hanya saya dan Handrien sahaja tahu.”

“ Tapi, Fred,” Handrien mencelah selepas sudah lama mendiamkan diri. “ Macam mana kalau Lilianna ditimpa bahaya? Ada kemungkinan rahsia kedatangan kita terbongkar dan mereka jadikan Lilianna tahanan! Dan siapa tahu kalau ada orang kenal identiti sebenar Lilianna yang dilaporkan sudah mati di sana?”

Frederick menarik senyum apabila melihat wajah amarah Handrien. Sahabatnya itu sedang cuba mengawal amarah yang tiba-tiba sahaja ingin meletus. Dia faham akan kerisauan Handrien. Menurut siasatan, Lilianna Beaumont dilaporkan sudah mati lima tahun lepas, sejak peristiwa yang mengakibatkan kematian Lord Beaumont. Tiada sesiapa pun tahu Lilianna Beaumont berpindah ke Erkens.

“ Aku yakin kau dapat lindungi Lilianna dengan sebaik mungkin,” jawab Frederick tenang.

“ Apa?” Handrien terkejut.

Perhatian Frederick kembali kepada Lilianna. “ Awak akan ke sana dengan diiringi Handrien dan beberapa pengawal serta pembantu yang lain. Jadi, awak boleh terima tawaran saya?”

Frederick tidak mahu menggunakan kuasanya sebagai raja untuk mengarah Lilianna menolongnya. Dia mahu Lilianna menerimanya dengan senang hati, bukannya disebabkan perintah mutlaknya. Jika Lilianna tidak bersetuju, dia masih ada beberapa calon lain dalam fikirannya.

“ Sebelum itu, boleh awak jawab dahulu beberapa soalan saya?”

“ Baiklah.”

Lilianna menghembus nafas. Matanya tidak lari daripada merenung ke arah Frederick. Handrien diam menanti dia membuka mulut.

“ Bagaimana kalau sepanjang saya di sana, saya ambil langkah untuk siasat pasal kes pembunuhan bapa saya? Awak ada fikir kemungkinan itu?”

“ Ada.”

Lilianna tidak dapat menyembunyikan rasa terkejutnya dengan jawapan pendek itu. Wajah Frederick dilihat lama, seperti tidak percaya dengan balasan lelaki itu.

“ Saya tahu selama lima tahun ini awak pendam pasal perkara itu, mungkin sebab awak tak mahu dihantui apa yang terjadi tapi kalau saya jadi awak, saya tak akan biarkan perkara ini. Bila ada peluang saya akan cuba siasat dan cari dalangnya.”

“ Awak tak risau misi rahsia ini akan gagal?”

“ Saya percayakan awak Lilianna. Awak boleh pilih sama ada untuk buktikan saya tak salah untuk percayakan awak atau sebaliknya. Pilihan di tangan awak.”

“ Tapi…”

“ Lagi pun itu salah satu sebab saya nak hantar awak ke sana,” potong Frederick. “ Awak boleh gunakan peluang ini untuk cari siapa pembunuh bapa awak.”

“ Awak serius?” Lilianna makin tidak dapat menyembunyikan riak terkejut pada wajahnya.

Frederick mengangguk. Wajahnya kekal tenang.

“ Pergilah, Lilianna. Selama lima tahun ini, tidur awak tak betul-betul lena, kan?”

Lilianna terdiam. Perlahan-lahan dia mengangguk, mengiyakan telahan Frederick. Walaupun pada luarannya dia kelihatan bahagia sahaja tinggal di Erkens tetapi sejujurnya, peristiwa malam itu akan datang menghantuinya setiap kali dia ingin melelapkan mata. Ada masanya igauan itu terlampau menganggunya sehingga dia terjaga di malam hari, peluh dingin membasahi tubuhnya, nafasnya tersekat-sekat. Tetapi Lilianna tidak memberitahu perkara itu kepada sesiapa pun. Dia tidak mahu merisaukan sesiapa.

“ Datuk awak risaukan awak, Lilianna.”

Suara Frederick menghalau jauh lamunan Lilianna. Wajah tenang Frederick berubah menjadi risau.

“ Apa… maksud awak?”

Frederick mengeluh. “ Saya dengar masa Lord Moyes berbual dengan Lord Marshall.”

Handrien terkejut apabila mendengar nama datuknya disebut. Dia menoleh ke arah Frederick. Frederick mengangguk sahaja.

“ Lord Moyes kata, ada suatu malam beliau tidur lewat dan masa lalu bilik awak, beliau boleh dengar awak mengigau dalam tidur awak. Awak panggil bapa awak, merayu agar bapa awak tidak diapa-apakan. Sejak malam itu, Lord Moyes selalu jenguk awak lepas awak tidur dan beliau kata, awak masih mengigau perkara yang sama. Datuk awak ingin bincangkan perkara ini dengan awak, tapi beliau tak tahu macam mana nak mulakannya. Pada masa yang sama, Lord Moyes tak mahu risaukan isterinya.”

“ Datuk…?”

“ Ya.”

Tangannya terasa menggigil. Lilianna tidak pernah menyangka datuknya selalu menyaksikan dirinya dihantui mimpi ngeri itu. Kasihan lelaki tua itu. Pastinya sudah lama datuknya memendam sahaja hasrat untuk berbicara dengan Lilianna mengenai tidurnya di malam hari.

“ Kita dah sampai,” kata Frederick apabila kereta kuda itu berhenti daripada bergerak.

Lilianna melihat ke luar tingkap pada kereta kuda itu. Dia dapat melihat taman yang menghiasi rumah agam itu. Matahari sudah tenggelam di ufuk barat. Malam sudah menjelang tiba.

“ Saya tak minta awak terus beri keputusan, Lilianna.” Frederick melihat kepada gadis itu. Dia tidak dapat menduga apakah yang sedang gadis itu fikirkan. Tetapi riak pada wajah itu kelihatan sedih. “ Awak fikirlah dulu. Kalau boleh, berikan saya jawapan hujung minggu ini. Saya tunggu awak di istana, boleh?”

“ Baiklah…” perlahan sahaja Lilianna menjawab.

Lilianna turun daripada kereta kuda itu. Handrien masih berada di dalam kerana Frederick ingin ke Marshall Manor House pula sebelum pulang ke istana. Dia segera memaniskan wajahnya dengan senyuman apabila melihat kerisauan pada muka Handrien. Frederick pula hanya tersenyum hambar.

“ Terima kasih hantarkan saya ke sini. Selamat tinggal, Fred, Handrien. Jumpa nanti.”

“ Baiklah. Jumpa awak lain kali, Lilianna,” balas Frederick.

“ Selamat tinggal,” ucap Handrien pendek.

Sebaik sahaja kereta kuda itu bergerak menuju ke pintu pagar, tanpa berlengah lagi Lilianna segera berlari masuk ke dalam rumah. Butler Harold hanya menggelengkan kepala sewaktu melihatnya berlari. Lilianna berhenti di hadapan lelaki tua itu, wajahnya kelihatan cemas.

“ Datuk mana?”

“ Lord Moyes di bilik bacaan. Beliau baru sahaja pulang. Kenapa…”

Tanpa menunggu Butler Harold menghabiskan soalannya Lilianna segera berlari ke bilik bacaan datuknya. Dia tidak mahu berlengah-lengah lagi. Peluang sudah ada di depan matanya tetapi dia perlukan kepastian. Adakah perkara ini akan membawa kebaikan kepadanya?

Pintu bilik bacaan datuknya diketuk sebelum dibuka. Lord Moyes sedang duduk di sofa tunggal yang berada di sudut bilik bacaan itu. Sebuah buku tebal berada di tangannya. Lelaki tua itu menarik senyum apabila melihat kedatangan cucu perempuan tunggalnya.

“ Kenapa, Lilianna? Masuklah,” pelawa Lord Moyes. Buku itu diletakkan di atas meja kopi yang berada di hadapannya.

Selangkah demi selangkah Lilianna mendekati datuknya. Semakin dekat jarak mereka, semakin sukar untuk Lilianna menahan emosi yang sedang berkecamuk dalam dirinya. Dadanya terasa sesak, hatinya terasa sakit. Tangannya yang menggigil dikepal kuat.

“ Lilianna?” Senyuman pada wajah Lord Moyes pudar, dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada diri cucu perempuannya itu.

“ Datuk…” Lilianna termengkelan. Tidak tahu bagaimana untuk berbicara dengan datuknya.

“ Kenapa ni sayang?”

Lord Moyes bangun daripada duduknya. Lelaki tua itu berdiri di hadapan cucunya. Wajah Lilianna yang sudah basah dengan air mata direnung sayu. Tangannya yang sudah berkedut cuba menyapu air mata itu daripada terus mengalir.

“ Saya… boleh saya… pulang ke Zythor?” tersekat-sekat Lilianna mengucapkannya.

Ada riak terkejut pada wajah datuknya tetapi dengan segera datuknya menggantikannya dengan senyuman. Senyuman yang dirasakan janggal oleh Lilianna.

“ Kamu dah jumpa Raja?” perlahan sahaja nada suara Lord Moyes.

Teragak-agak Lilianna mengangguk.

Lord Moyes mengeluh. “ Datuk tak halang tapi… adakah kamu kuat? Datuk…”

“ Saya tahu datuk risaukan saya setiap malam, kan?” potong Lilianna. Wajah datuknya kabur pada pandangannya dek air mata yang sedang mengalir. Lilianna mengawal dirinya agar berhenti menangis. Dia tidak mahu susahkan hati lelaki tua itu lagi.

“ Kamu cucu datuk, sayang. Maafkan datuk sebab tak dapat tenangkan kamu,” kata Lord Moyes serba-salah. Tidak pernah dia melihat wajah itu dibasahi air mata kesedihan.

“ Saya takut datuk… macam mana kalau keputusan saya… akan beri kesan yang buruk? Zythor tempat kelahiran saya tapi…” Lilianna terdiam buat seketika. “ … saya takut…”

“ Kamu tak perlu pergi kalau kamu tak nak,” Lord Moyes memujuk. “ Datuk boleh sampaikan pada tuanku Frederick. Datuk tak nak kamu menderita, Lilianna. Jangan paksa diri kamu.”

Lilianna menggeleng berulang kali. “ Saya takut… tapi ini sahaja peluang saya… selagi saya tak siasat siapa pembunuh bapa saya… mimpi ngeri saya tak akan pergi, datuk…”

Diri Lilianna sudah letih dihantui mimpi ngeri itu, dihantui segala jenis penyesalan kerana melarikan diri pada saat bapanya berada di ambang maut. Walaupun bapanya sendiri berkeras agar dia melarikan diri sebelum lelaki berpakaian hitam itu mengapa-apakan dirinya, Lilianna berasa bersalah dan dia sering menyalahkan dirinya yang lemah, yang tidak kuat untuk mempertahankan bapanya sendiri.

“ Lilianna…” Lord Moyes memeluk erat cucunya itu. “ Kehilangan ibu kamu dulu buatkan datuk takut kalau… suatu hari nanti datuk akan kehilangan kamu sayang. Datuk tak nak hilang siapa-siapa lagi. Kalaulah boleh datuk selamatkan kamu, datuk sanggup korbankan diri datuk…”

Lilianna teresak-esak dalam pelukan datuknya. Selama lima tahun ini, tidak pernah walau sekalipun dia merasakan kehadirannya di rumah ini membebankan datuknya. Datuk dan neneknya amat menyayangi dirinya. Dia mula rasa bersalah kerana telah membuatkan lelaki tua itu susah hati.

“ Tapi datuk tahu, kamu perlu korbankan sesuatu kalau kamu ingin tidur dengan lena, terus bahagia dengan kami,” sambung Lord Moyes. “ Datuk percayakan kamu, Lilianna. Pergilah, pergi dan berikan penamat untuk semua mimpi ngeri kamu. Datuk akan sentiasa hulurkan bantuan kalau itu apa yang kamu perlukan.”

“ Datuk…” Lilianna menggigit bibir. “ Terima kasih.”

Lord Moyes merenggangkan pelukannya. Wajah cucunya itu direnung sayu.

“ Bila urusan kamu dah selesai, segera pulang ke sini. Datuk dan nenek akan sambut kepulangan kamu.”

Lilianna kembali menangis. Dia memeluk datuknya erat. Tangisannya yang perlahan berbunyi tadi kini kedengaran kuat. Dia ingin melepaskan segala perasaan yang menyesakkan dada dan fikirannya selama ini. Lilianna tidak mahu hidup dalam igauan itu selama-lamanya.

“ Ingat, walau apapun yang berlaku, kamu tetap cucu datuk dan nenek.”

Lilianna mengangguk sahaja tanpa membalas apa-apa. Dia gagal mengawal dirinya daripada menangis. Terasa tapak tangan datuknya membelai bahagian belakang kepalanya, sama seperti apa yang selalu bapanya lakukan kepadanya dahulu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience