Chapter 4

Other Completed 4791

BAB 4

LEHER bapanya dipeluk dari belakang. Lord Beaumont menoleh ke belakang, melihat kepada Lilianna yang sedang tersengih-sengih kepadanya. Buku yang sedang dibacanya ditanda sebelum diletakkan di atas meja di hadapannya. Lord Beaumont menarik Lilianna untuk duduk di sebelahnya. Lilianna menurut sahaja tanpa banyak bicara.

“ Kenapa tak tidur lagi? Malam dah larut kan?”

Gaun tidur sudah tersarung pada tubuh anak gadisnya itu. Lord Beaumont sendiri sudah menukar pakaian rasminya kepada pakaian kasual di rumah. Beliau baru sahaja pulang dari bertemu dengan dua orang pegawai yang mengiringi King Frederick ke sini. Ada beberapa urusan diplomatik perlu diuruskan olehnya.

“ Saja. Rasa nak bermanja dengan ayah malam ni,” balas Lilianna bersahaja. Dia ketawa mengekeh apabila hidungnya ditarik oleh bapanya.

“ Tak apalah. Malam ni Lilia temankan ayah sekejap, selepas tu masuk tidur, ya?”

“ Baik!”

Lord Beaumont menuangkan teh panas ke dalam sebiji cawan yang masih belum digunakan. Memang kebiasaannya untuk membaca buku sambil menikmati teh panas. Walaupun beliau penat dengan urusan sehariannya pada hari ini, daripada berada di festival musim bunga tadi sehinggalah bertemu dengan pegawai-pegawai Erkens, Lord Beaumont tidak dapat melelapkan mata.

“ Pagi tadi, Lilia kata Lilia bawa kawan baru Lilia jalan-jalan di festival tu?”

Teh panas itu diteguk perlahan. Lilianna turut berbuat demikian. Cawan teh itu dipegang oleh kedua-dua tangannya. Wajah bapanya direnung. Senyuman kecil dihadiahkan kepada bapanya.

“ Dia kata dia tak pernah datang ke festival itu. Pelik kan, ayah? Seumur hidup dia selama 17 tahun ini, dia tak pernah pergi ke festival bunga Zythor. Hairan juga saya,” Lilianna mula bercerita.

Selepas Handrien beredar dari kawasan kolam air pancut tadi, Lilianna bergegas menuju ke khemah yang sepatutnya menjadi tempat pertemuannya dengan bapanya. Benar telahannya, ayah agak risau walaupun sebenarnya lelaki itu sudah arif benar dengan sikap anak gadisnya yang suka berjalan ke sana ke mari itu. Lilianna tidak sempat menceritakan apa yang dilakukan olehnya bersama-sama Handrien kerana ayah perlu segera pergi ke tempat lain pula.

“ Umur dia 17 tahun?”

Lilianna mengangguk. “ Saya jumpa dia di majlis malam semalam, di luar Dewan Utama. Tak sangka boleh terserempak dengan dia masa perarakan tadi.”

“ Dewan Utama?” Lord Beaumont kehairanan. Nampaknya kawan baharu anaknya ini anak orang bangsawan yang dijemput King Arthur untuk ke majlis malam itu. “ Siapa namanya?”

“ Handrien. Tapi saya tak tahu dia dari keluarga mana. Dia tak macam orang dari sini, entahlah dia asal dari mana. Tapi tak ada masalah, ayah,” Lilianna cuba menenangkan bapanya yang mungkin sudah risau akan perkenalannya dengan Handrien. “ Handrien seorang yang baik. Tengok! Dia belikan saya ini.”

Lilianna menunjukkan sesuatu pada bahagian sebelah kanan rambutnya. Rambutnya diikat sedikit di situ dan satu aksesori menghiasi bahagian ikatan tersebut. Lord Beaumont melihat kepada aksesori rambut terbaharu anak gadisnya itu. Sebatang pedang kecil yang diperbuat daripada kayu bergantungan di situ.

“ Ini…”

“ Replika pedang Marie Idalia II,” kata Lilianna agak teruja. “ Saya ubah suai sedikit untuk dijadikan aksesori rambut. Cantik tak ayah?”

Lord Beaumont tersengih. Kepala Lilianna diusap. “ Lilia ni, tak habis-habis dengan Marie Idalia tu.”

“ Bila ayah nak carikan guru untuk saya?”

“ Bila ayah dah selesaikan urusan dengan delegasi Erkens tu, ayah akan carikan ya?”

“ Yayy! Terima kasih ayah!”

Lilianna mencium sebelah pipi bapanya. Lord Beaumont tersenyum. Matanya tidak lepas daripada melihat kepada aksesori rambut itu. Ketika Lilianna menyebut nama Handrien, ada sesuatu terlintas pada fikirannya. Nama itu pernah didengari olehnya. Takkanlah…

“ Lilia.”

“ Ya, ayah.”

Lilianna memerhatikan bapanya yang mencapai sesuatu daripada poket jubah tidurnya. Ada sesuatu yang berkilau dalam genggaman tangan bapanya. Lord Beaumont membuka tapak tangannya, menunjukkan suatu rantai kepada Lilianna. Loket berbentuk bulat itu mempunyai ukiran L pada permukaannya.

“ Rantai ni…”

“ Ayah belikan rantai ini untuk Lilia di festival tadi. Lupa pula ayah nak berikan. Tengok ni,” kata Lord Beaumont seraya membuka loket tersebut kepada dua bahagian. Lilianna tersentak. Matanya berair tatkala melihat apa yang terisi di dalam loket itu.

“ Ayah letakkan gambar keluarga kita masa Lilia bayi lagi.”

Lord Beaumont membantu Lilia memakai rantai itu. Tangan kanan Lilia memegang loket tersebut, wajah ayahnya dipandang sayu. Lord Beaumont tersenyum hambar. Beliau menarik anak gadisnya ke dalam pelukan. Kepala Lilia diusap perlahan.

“ Ayah… terima kasih…”

“ Lilia rindukan ibu, kan?” Perlahan sahaja suara Lord Beaumont menyapa pendengaran Lilianna. “ Maafkan ayah, Lilia. Sejak akhir-akhir ni ayah terlampau sibuk dengan kerja. Ayah fikir, rantai ini boleh jadi tanda agar Lilia ingat, ayah mahu pun ibu, sentiasa ada dengan Lilia.”

Lilianna mengangguk. Dia memeluk bapanya erat.

Wajah ibunya yang sedang tersenyum manis tatkala mendukung dia yang masih bayi membuatkan Lilianna sebak. Dia hanya mempunyai sedikit memori yang dikongsi bersama-sama ibu. Ibu pergi terlalu cepat. Pada saat dia masih memerlukan kasih sayang ibunya, ibu pergi tanpa dapat dihalang lagi.

“ Esok, kita pergi festival bunga itu lagi ya?” usul Lord Beaumont. Dia meleraikan pelukannya.

“ Ayah tak ada kerja ke?” Lilianna kehairanan. Wajah bapanya direnung.

“ Untuk puteri ayah yang seorang ni, ayah sanggup buat apa saja. Lagi pun, siang tadi kita tak sempat nak berjalan berdua, kan? Kita dah lama tak menari di tempat awam. Lilia tentu pergi tarian rakyat tadi kan?”

“ Ya! Lilia ajak Handrien sekali tadi,” Lilianna ketawa. “ Baiklah. Ayah kena janji, esok ayah ada temu janji dengan Lilia seorang aje di festival bunga itu ya?”

“ Ayah janji,” Lord Beaumont turut ketawa. Dahi anaknya dicium. “ Dah, pergi tidur.”

“ Baiklah.” Lilianna bangun daripada sofa itu. “ Selamat malam, ayah.”

“ Selamat…”

ARGHHH!

BANG!

Lilianna terpegun di tempatnya berdiri. Wajahnya berubah pucat. Lord Beaumont segera mematikan lampu di dalam bilik bacaan itu. Lilianna ditarik ke arah bawah meja besar yang terdapat di sudut bilik tersebut.

“ Ayah… itu… bunyi pistol… kan?”

Kedua-dua bahu anak gadisnya itu dipegang erat. Lord Beaumont merenung cemas pada wajah pucat itu.

“ Lilia, tunggu di sini. Ayah keluar pergi tengok apa yang jadi, boleh?”

“ Tak nak! Lilia nak ikut ayah!” Lilianna semakin cemas. “ Ayah tak boleh tinggalkan Lilia di sini!”

“ Lilia!” Wajah Lord Beaumont berubah tegang. Pegangannya pada bahu Lilianna dikemaskan.

“ Tunggu ayah di sini. Ayah akan pergi jenguk sekejap, jangan bergerak dari sini…”

“ Tapi…”

“ Dengar cakap ayah, Lilianna!”

Lilianna terdiam. Tidak pernah dia melihat wajah bapanya tegang sebegitu rupa. Teragak-agak dia mengangguk. Lord Beaumont melepaskan pegangan pada bahu Lilianna, beliau segera menuju ke pintu bilik bacaan yang tertutup itu. Lilianna memerhatikan pemergian bapanya dengan suatu rasa yang menggerunkan.

“ Ayah…” Lilianna gusar selepas beberapa ketika. Bagaimana kalau bapanya ditimpa bahaya? Dia tidak boleh terus menyorok di sini. Tanpa membuang masa lagi Lilianna keluar dari tempat persembunyian. Walaupun dia takut dengan bunyi tembakan yang didengarinya tadi, dia tidak sanggup membiarkan bapanya berseorangan.

Dengan berhati-hati dia mengintai dari celah pintu yang terbuka. Tiada sesiapa di situ. Dengan langkah yang perlahan Lilianna keluar dari bilik bacaan itu. Sebelah tangannya rapat diletakkan pada dinding, berjalan untuk ke hujung koridor. Dia tidak nampak bayang sesiapa di situ. Lilianna tidak tahu tindakannya itu hanya untuk dikejutkan dengan sesuatu di koridor tertutup itu.

Lilianna terundur ke dinding ketika matanya jatuh kepada tubuh seorang pengawal rumah agam itu yang berlumuran darah. Darah merah tidak berhenti keluar daripada luka yang kelihatan seperti ditembak pada abdomen lelaki itu. Lilianna menekup mulutnya, terasa loya melihat darah yang membasahi lantai koridor.

Siapakah… siapakah yang menceroboh rumah ini? Perompak?

“ Ayah… ayah…”

Tanpa arah Lilianna meninggalkan koridor itu. Dia tidak boleh takut. Pastinya ayah dalam bahaya sekarang! Kebanyakan lampu di rumah agam itu sudah terpadam, membuatkan dia terkial-kial bergerak dalam kegelapan. Bayang penghuni lain di dalam rumah itu juga tidak kelihatan. Di manakah semua orang? Takkanlah…

Bunyi tapak kaki sedang menuju ke arahnya membuatkan Lilianna kaget. Dia menoleh ke belakang, tiada sesiapa di situ tetapi bunyi tapak kaki itu masih lagi kedengaran. Tanpa berfikir panjang Lilianna masuk ke dalam sebuah bilik yang berada berdekatan dengan kedudukannya. Dia menyorok di sebalik meja yang terletak bersebelahan dengan pintu masuk tersebut. Kedua-dua tangannya ditekup pada mulut, risau dia akan mengeluarkan bunyi yang akan menarik perhatian. Peluh dingin membasahi dahinya.

Tap.

Tap.

Tap.

Bunyi tapak kaki itu berhenti betul-betul di hadapan pintu bilik itu. Tubuh Lilianna semakin rapat pada dinding dan meja yang menjadi tempatnya berlindung. Daun pintu itu dibuka perlahan. Lilianna dapat melihat bayang seorang lelaki berdiri di hadapan muka pintu. Lelaki itu masuk ke dalam bilik tersebut. Langkahnya terhenti di tengah bilik.

Dia… dia cari aku? Pembunuh…

Lilianna mengetap bibir. Tidak pernah dia menggigil ketakutan seperti ini selama dia hidup. Apatah lagi memikirkan dia akan menjadi mangsa bunuh perompak yang memecah masuk dan membunuh pengawal rumahnya. Lilianna ingin memejam matanya, tetapi dia risau lelaki itu tiba-tiba sahaja berdiri di hadapannya sekiranya dia tidak peka dengan situasi di sekitarnya.

Tolong… keluar dari sini… tolonglah…

Krak!

Kedengaran bunyi objek jatuh di luar bilik. Walaupun gema bunyi itu agak jauh dari tempat itu tetapi nampaknya ianya sudah cukup untuk menarik perhatian lelaki itu. Lelaki itu segera berlari keluar dari bilik tersebut, pastinya mengejar bunyi yang didengari olehnya.

Lilianna menarik nafas, dadanya masih terasa sesak. Selepas memastikan tiada bunyi lain kedengaran berhampiran dengan kawasan itu, dengan berhati-hati Lilianna keluar dari persembunyiannya. Mata Lilianna meliar memerhati ke luar bilik, memastikan tiada siapa di luar. Jika diikutkan hati, dia mahu terus bersembunyi sahaja tetapi dia perlu mencari bapanya yang tidak diketahui hilang ke mana. Lilianna cekalkan juga hatinya untuk keluar dari bilik tersebut.

Langkahnya menuju ke arah koridor yang menghubungkan kawasan tengah rumah agam itu dengan bahagian belakang. Sedaya upaya Lilianna mengelak daripada berjalan di tempat yang cerah, risau pergerakannya akan disedari oleh sesiapa.

“ Argh!”

Lilianna terkejut ketika lengannya ditarik dari hujung koridor. Dia ingin menjerit tetapi suatu tangan menekup mulutnya kuat, menghalangnya daripada bercakap. Lilianna cuba melepaskan diri daripada lembaga itu tetapi lembaga itu lebih kuat menahannya pada dinding.

“ Lilia… ini ayah!” Separuh berbisik suara itu kedengaran. Lilianna tercungap.

“ Ayah!”

Tubuh ayahnya dipeluk erat. Lord Beaumont menepuk-nepuk bahu Lilianna, tahu anaknya berada dalam ketakutan. Tubuh kecil itu menggigil kuat.

“ Lilia, dengar,” Lord Beaumont bersuara. “ Ayah yakin, ada pembunuh upahan dalam rumah ni. Hampir kesemua pengawal kita dah dibunuh. Ayah tak jumpa lagi Nanny Sophie dan mana-mana pembantu rumah kita. Buat masa sekarang, ayah nak bawa Lilia keluar dari sini dulu. Kita minta bantuan dari luar.”

“ Tapi… bagaimana kalau Nanny…” Lilianna tidak dapat meneruskan kata-katanya. Bayangan Nanny Sophie terlantar berlumuran darah seperti pengawal lelaki yang ditemuinya tadi menyesakkan dadanya.

“ Jangan risau, sayang.” Lord Beaumont memegang kedua-dua pipi anaknya. “ Ayah yakin mereka selamat. Apa yang penting, Lilia keluar dahulu dari rumah ini.”

Teragak-agak Lilianna mengangguk. Fikirannya buntu untuk memikirkan apa-apa lagi. Dia masih terkejut dengan bunyi tembakan pistol dan mayat pengawal yang ditemuinya tadi. Tiba-tiba sahaja malam yang dianggap biasa seperti malam-malam sebelum ini bertukar malam tragedi untuknya.

“ Mari,” Lord Beaumont bersuara perlahan. Tubuh Lilianna dipeluk rapat. Mereka berdua meninggalkan kawasan koridor itu, menuju ke pintu belakang rumah agam tersebut. Rumah agam milik Lord Beaumont itu terletak di pinggir kota Idalia malah rumah-rumah penduduk yang lain berada jauh dari kedudukan rumah agam tersebut. Agak sukar untuk mereka meminta bantuan.

“ Jumpa mereka?”

Pantas Lord Beaumont menyorokkan dirinya dan Lilianna di balik sebuah tiang besar ketika mereka melalui ruang belakang. Jantung Lilianna berdegup kencang, semakin takut apabila mendengar suara yang tidak dikenalinya itu. Dia cuba melihat kepada pemilik suara itu.

Tiga orang lelaki berpakaian serba hitam sedang berdiri tidak jauh dari kedudukan mereka. Lilianna tidak dapat melihat wajah mereka berikutan topeng yang dipakai mereka bertiga. Matanya dapat menangkap pucuk pistol yang berada di tangan dua orang daripada tiga lelaki misteri itu. Lelaki ketiga pula mempunyai pedang di tangannya.

“ Menyusahkan betul!” Salah seorang daripada mereka membentak. “ Cepat, periksa tingkat atas.”

“ Baik!”

Ketiga-tiga lelaki berpakaian serba hitam itu menuju ke tingkat atas rumah agam tersebut. Lilianna merasakan kakinya kaku, menghalang dirinya untuk bergerak. Seolah-olah ada mata-mata lain sedang memerhatikannya dan bapanya sekarang.

“ Ayah…” Lilianna cuba menahan dirinya daripada menangis. Lord Beaumont menggeleng perlahan.

“ Cepat, kita keluar dari sini.”

Dengan langkah penuh hati-hati, mereka berdua meninggalkan kawasan itu menuju ke bahagian belakang rumah agam tersebut. Pintu belakang sudah berada dalam pandangan mereka tetapi mereka tidak boleh bertindak terburu-buru. Pada bila-bila masa sahaja salah seorang daripada pembunuh-pembunuh itu akan menemui mereka.

“ Ayah… pintu pagar belakang tak kunci, kan?”

Lord Beaumont mengangguk walaupun dia sendiri tidak pasti. Dalam situasi sebegini dia harus bertindak dengan cepat. Pintu taman belakang dibuka. Bulan terlindung di balik gumpalan awan menyebabkan kawasan rumah agam itu gelap. Sukar untuk mereka bergerak dalam keadaan ini.

“ Cepat, keluar dari sini.”

Lilianna mengangguk tetapi langkahnya terhenti apabila melihat bapanya tidak bergerak dari pintu itu. Wajah bapanya direnung. Lilianna panik apabila melihat ada cecair pekat keluar daripada mulut bapanya. Walaupun dalam keadaan yang gelap sebegini tetapi Lilianna yakin cecair itu adalah darah.

“ Ayah… kenapa?”

“ Cepat! Pergi!”

Kasar Lord Beaumont menolak Lilianna dari pintu itu. Lilianna jatuh di atas rumput yang basah. Matanya bulat apabila melihat ada sesuatu yang bersinar dari perut bapanya. Mata pedang! Lilianna terkaku di tempatnya, terkejut apabila matanya menangkap susuk tubuh seseorang. Seorang lelaki berpakaian serba hitam sedang berdiri di belakang bapanya. Mata pedang itu ditarik keluar daripada tempat tikaman pada tubuh Lord Beaumont. Lord Beaumont terdorong ke hadapan, jatuh di sebelah anaknya.

“ Ayah! Ayah! Tidak… jangan…”

Lilianna naik histeria. Darah membuak-buak keluar daripada tempat tikaman pedang lelaki misteri itu. Lord Beaumont cuba bangun daripada jatuhnya, dadanya sudah terasa sesak. Dia melihat kepada lelaki itu yang sedang berjalan menghampiri mereka.

“ Lepaskan anak saya…”

“ Ayah… jangan! Kita lari dari sini!”

Lilianna cuba membantu bapanya untuk berdiri tetapi tubuhnya tidak dapat menampung berat tubuh bapanya. Kaki kanannya juga terasa sakit. Ketika ditolak oleh bapanya tadi, tanpa sedar kakinya terseliuh. Kesakitan kakinya diabaikan. Keselamatan ayahnya lebih penting!

Lord Beaumont menolak anaknya ke belakang. Lilianna menggeleng kepalanya berulang kali, mencuba lagi untuk membantu si bapa. Air mata mula membasahi pipinya. Tanpa bapanya dicapai tetapi Lord Beaumont tetap tidak berganjak.

“ Ayah… kita pergi dari sini… cepat!”

“ Pergi! Lilianna!”

Lelaki misteri itu berdiri tidak jauh daripada mereka. Tidak kelihatan tanda-tanda dia akan mengapakan-apakan mereka. Lelaki itu berdiri sahaja sambil memerhatikan mereka berdua. Lord Beaumont mengengsot ke arah lelaki itu, kedua-dua tangannya memeluk sebelah kaki lelaki itu.

“ Tolong… lepaskan anak saya… cuma dia…”

“ Ayah!”

Tangisan Lilianna semakin menggila. Berulang kali kepalanya digeleng laju. Lilianna cuba melepaskan pelukan tangan bapanya pada kaki lelaki pembunuh itu. Dia tidak mahu menjadikan bapanya korban untuknya terus hidup. Tidak!

“ Argh!”

Lord Beaumont tertunduk menahan sakit kerana disepak oleh lelaki itu. Tubuhnya sudah semakin lemah. Beliau tahu nyawanya akan pergi meninggalkan dirinya, beliau tidak dapat diselamatkan lagi. Tapi, hanya sekali. Hanya sekali sahaja lagi untuk beliau selamatkan puteri kesayangannya. Lilianna tidak patut mendapat nasib yang sama sepertinya.

“ Ayah!”

“ Pergi… Lilia…”

“ Tak nak! Tak nak! Ayah kena ikut saya!”

Perhatian Lilianna beralih kepada lelaki misteri itu. Sebelah tangannya mencapai batu tajam yang berada di atas tanah. Tanpa disangka-sangka Lilianna melompat ke arah lelaki itu sebelum menghentak kuat kepala lelaki itu dengan batu tajam itu. Lilianna ditolak ke belakang, dia terjatuh di sebelah bapanya. Tubuh lelaki itu agak terhoyong-hayang lantaran hentakan yang kuat pada kepalanya.

“ Ayah… ayah…” Lilianna segera merapati bapanya.

“ Lilia…” Lord Beaumont menggunakan sisa-sisa tenaganya untuk mendekati Lilianna yang sudah tidak mampu menahan tangisannya. Tangan kanannya diletakkan pada sebelah pipi Lilianna. Pipi yang sembap itu diusap perlahan. Kedua-dua tangan Lilianna diletakkan pada tangan itu. Tidak mahu berpisah daripada sentuhan bapanya.

“ Pergi. Ayah tak akan… maafkan Lilia kalau… Lilia terus berada di sini… teruskan hidup… pergi… sayang… ayah tak akan maafkan Lilia… tolong… teruskan hidup…”

“ Ayah…”

“ Ingat pesanan ayah!” Nafas Lord Beaumont sudah tercungap-cungap. “ Tolong… pergi… ayah dan ibu mahu… Lilia teruskan hidup… pergi!”

“ Tapi…”

“ Pergi!”

Lilianna kaget. Pandangan mata bapanya menunjukkan bahawa lelaki itu amat tegas dengan kata-katanya kali ini. Lilianna tiada pilihan lain lagi. Bapanya berkeras mengarahkannya lari dari tempat itu. Lari daripada tubuh bapanya yang sudah semakin lemah. Lari meninggalkan rumah yang sentiasa menjadi tempat kepulangannya.

Mata Lilianna singgah pada wajah lelaki misteri itu. Dia hanya berdiri sahaja di hadapan mereka tanpa mengambil sebarang tindakan. Ada darah mengalir pada wajah lelaki itu. Pastinya akibat serangan mengejut Lilianna tadi. Dalam kegelapan malam itu, Lilianna masih dapat melihat renungan pada mata lelaki itu. Dingin tanpa perasaan.

Kenapa? Kenapa dia tak buat apa-apa? Bukankah dia mahu… bunuh ayah dan aku?

“ Pergi!”

Desakan bapanya mengejutkan Lilianna. Lilianna mengangguk perlahan. Walaupun hatinya berat untuk meninggalkan bapanya tetapi Lilianna terpaksa. Kata-kata bapanya tadi membuatkan dia terjerat. Lilianna memeluk tubuh bapanya erat. Tidak mempedulikan darah yang mengotori pakaian ayahnya meninggalkan kesan pada gaun tidurnya.

Mungkinkah ini pelukan terakhir?

“ Ayah dan ibu… sayangkan Lilia… teruskan hidup…”

“ Lilia… sayangkan ayah.”

Lord Beaumont mengucup dahi anak perempuannya itu. Sebaik sahaja Lilianna melepaskan pelukannya, Lord Beaumont terus merapati lelaki misteri itu. Walaupun tenaganya sudah semakin menghilang tetapi sisa-sisa tenaganya itu akan digunakan untuk memastikan anaknya selamat. Lord Beaumont cuba menolak lelaki itu jauh daripada mereka.

“ Pergi!”

Lilianna terpegun. Kakinya terus berlari meninggalkan kawasan itu. Tetapi lariannya terhenti pada saat suara bapanya kuat menjerit memecah kesunyian malam. Lilianna melihat ke belakang. Lelaki misteri itu mengangkat pedangnya yang berlumuran darah ke udara. Tubuh bapanya perlahan-lahan terjatuh ke atas tanah.

“ A… ayah…”

Ayah… dah tiada?

Tanpa sedar kakinya mula bergerak untuk mendapatkan bapanya. Langkah Lilianna mula longlai. Dia kehilangan kata-kata. Dia tidak mahu mempercayai apa yang disaksikan olehnya sekarang.

Ini mimpi buruk kan? Ayah?

Lilianna terkaku pada saat matanya berlaga dengan pandangan lelaki misteri itu. Bibirnya diketap kuat. Jika diikutkan hatinya dia mahu membenamkan mata pedang itu pada tubuh lelaki itu, membiarkan lelaki itu mati dengan terseksa tetapi ini bukanlah masa yang sesuai untuk dia membalas dendam. Dia perlu teruskan hidup!

Lilianna kembali berlari untuk keluar dari kawasan itu. Kesakitan pada kakinya yang terseliuh tidak dihiraukan. Lariannya membawa dia jauh dari kawasan rumah agam tempat dia membesar selama ini. Lilianna terus berlari tanpa menoleh lagi. Dia perlu teruskan hidup! Itu amanah terakhir bapanya!

“ Argh!”

Tubuhnya terjatuh di atas tanah. Lilianna memejamkan matanya. Kepalanya terasa pening. Tubuhnya sudah semakin lemah. Dia cuba bangun tetapi usahanya sia-sia sahaja. Lilianna terus terbaring di atas tanah. Dia tidak pasti di manakah dia berada sekarang. Bunyi tapak kaki kuda kedengaran menghampirinya. Pandangan Lilianna semakin kabur. Hanya suatu cahaya merah keemasan sahaja yang dilihat olehnya sebelum suasana di sekelilingnya berubah menjadi gelap.

“ Tolong…”

LANGIT malam yang tidak diterangi bulan menjadi renungan matanya. Malam ini sepatutnya bulan purnama, tetapi gumpalan awan sedang melindungi bulan, menyorokkan keindahan bulan pada malam seperti ini. Suasana di luar juga sepi, hanya dicemari dengan bunyi tapak kaki kuda berjalan di atasnya.

“ Kau fikir apa? Asyik sangat aku tengok.”

Dia mengalihkan pandangan daripada langit malam, merenung pula kepada seorang remaja lelaki yang sedang duduk berhadapan dengannya. Dia tersengih.

“ Aku? Bukankah sepatutnya beta?” katanya sengaja mengusik.

Remaja lelaki itu tersenyum sinis. “ Jangan nak main-main. Kau antara orang yang aku larang bercakap bahasa dalam, faham?”

“ Yalah, yalah, King Frederick Alandair de Erkens. Nama manjanya, Fred.”

Frederick ketawa. Dia turut melomparkan pandangan ke luar kereta kuda tersebut. Dua orang jeneralnya, General Hopkins dan General Hamilton sedang menunggang kuda bagi memastikan tiada bahaya mendatang. Hanya dirinya dan sahabat sejak usianya sehari lagi duduk di dalam kereta kuda itu.

“ Lord Marshall sepatutnya sudah selesai bertemu dengan semua gabenor di Erkens. Nampaknya kerja aku akan bertambah lagilah bila kita dah balik nanti,” Fred mengeluh.

“ Tak payah sebutlah pasal datuk aku tu. Kerjanya memang akan selesai, sampaikan makan tidur pun tak dihiraukan bila kau atau raja terdahulu serahkan kerja.”

“ Datuk kau memang berkebolehan dalam urusan pentadbiran. Tapi kau nak ikut jejak langkah bapa kau untuk jadi Knight, kan Handrien?”

“ Aku nak jadi Knight untuk dapatkan gaji yang lumayan aje. Bukannya untuk lindungi kau,” balas Handrien bersahaja.

Frederick ketawa. “ Kalaulah datuk kau dengar kau cakap macam tu kat aku, tentu kau dah kena kurung dalam rumah. Paling teruk, dalam kurungan bawah tanah.”

“ Jangan risau. Aku dah arif sangat dengan semua lorong rahsia kat rumah datuk aku tu.”

“ Tuanku Frederick.”

Frederick melihat ke luar. General Hamilton sedang melihat kepadanya. Wajah lelaki itu agak berkerut.

“ Kenapa, jeneral?”

“ Maafkan patik, tapi nampaknya ada halangan di jalan. Kami ingin berhentikan kereta kuda ini dahulu.”

“ Halangan? Pokok tumbangkah?”

“ Kelihatannya seperti manusia.”

“ Manusia?” Frederick hairan. Dia mengalih pandangan kepada Handrien yang turut kelihatan hairan.

“ Baiklah. Hentikan kereta kuda ini.”

“ Baiklah, tuanku.”

Kereta kuda itu dihentikan. Handrien menjenguk dari tingkap kereta kuda tersebut. General Hamilton sudah turun daripada kudanya. Kelihatan susuk tubuh manusia terbaring di atas tanah. General Hamilton menuju kepada manusia yang kelihatannya terbaring tidak sedarkan diri itu.

“ Aku turun sekejap, nak lihat siapakah mangsa tu,” kata Handrien. Frederick mengangguk. Tanpa berlengah lagi Handrien segera turun dari kereta kuda tersebut. Dia segera mendekati General Hamilton yang sedang memangku mangsa. Handrien duduk bercangkung di sebelahnya.

“ General Hamilton? Macam mana?”

“ Budak perempuan, Handrien. Nampaknya dia dah pengsan,” kata General Hamilton. Dia menyelak rambut yang menutupi wajah gadis muda itu.

“ Budak perempuan? Siapa…” Suara Handrien tersekat apabila melihat wajah itu. Handrien memerhatikan wajah itu dengan teliti, memastikan dia tidak tersalah orang.

“ Saya kenal… gadis ni.”

General Hamilton melihat kepada Handrien. Dahinya berkerut. “ Kamu kenal?”

Handrien mengangguk. “ Apa-apa pun kita pelu selamatkan dia dulu. Ada kesan darah pada pakaian dia. Mungkin dia mengalami kecederaan.”

“ Tapi raja…”

“ Tak apa. Saya beritahu nanti. Yang penting kita bawa dia untuk dirawat dulu.”

Handrien terus mendukung gadis muda itu. Dia mengerutkan dahi, hairan bagaimana mereka boleh bertemu dalam keadaan sebegini. Keadaan gadis itu juga membuatkan dia risau. Kesan darah yang mengotori pakaian gadis itu bukannya berasal daripada luka biasa. Hanya luka yang dalam dan membahayakan organ dalaman sahaja akan mengeluarkan darah sebegini. Tetapi nampaknya pernafasan gadis itu lancar sahaja.

“ To… long…”

Gadis itu mengguman perlahan dalam separa sedar. Handrien mengeluh. Memikirkan nasib gadis itu.

Lilianna, apakah yang terjadi?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience