Chapter 16

Other Completed 4791

BAB 16

SUSUK tubuh tinggi Prince Neirin sedang bersandar pada meja kerjanya ketika Lilianna dan Handrien dibawa masuk oleh Leon ke dalam bilik yang dikhaskan untuk putera itu melakukan urusannya. Tekun putera muda itu membaca kertas yang berada di tangan kanannya. Leon mengumumkan kedatangan mereka berdua.

“ Maaf,” Prince Neirin meletakkan kertas itu di atas meja. “ Beta tak perasan. Silakan duduk.”

Selepas kepenatan kerana terlibat dengan penilaian sejak pagi tadi, Lilianna berehat sahaja di dalam kamarnya sehinggalah tiba waktu untuk makan malam. Dia dan Handrien makan berdua sahaja tanpa ditemani sesiapa melainkan pembantu-pembantu di istana ini. Selesai sahaja makan malam, Leon membawa mereka untuk bertemu dengan Prince Neirin.

“ Sebelum kita mulakan, beta nak minta maaf,” Prince Neirin bersuara. Baginda sudah duduk di atas sofa tunggal. Lilianna dan Handrien duduk sebelah menyebelah di atas sofa panjang yang bertentangan dengan sofa tunggal itu. “ Beta tak dapat temankan kamu berdua makan, walaupun kamu tetamu di istana ini.”

“ Tak mengapa, tuanku,” balas Lilianna. “ Jadi, tuanku boleh tunjukkan surat-surat itu?”

Prince Neirin mengangguk. Baginda mengisyaratkan agar Leon mengambil surat-surat layang yang dikatakan olehnya sebelum ini. Leon menghulurkan sebuah kotak kayu yang bersaiz seperti sebuah buku kulit keras. Kotak kayu itu diletakkan oleh Prince Neirin di atas meja.

“ Ini…” Prince Neirin mengeluarkan sekeping kertas yang berlipat lalu dibuka. Kertas itu diletakkan di atas meja. “ Surat pertama, beta jumpa surat ini terselit di bawah bantal sewaktu beta ingin beradu. Surat ini tiba seminggu selepas beta arahkan Leon mula menyiasat kes Lord Beaumont.”

Lilianna dan Handrien melihat kepada dakwat hitam yang membentuk tulisan di atas kertas itu. Tulisannya kemas terletak di tengah-tengah kertas tersebut.

Berhati-hati dengan apa yang tuanku lakukan sekarang.Risaukan pandangan orang di sekeliling tuanku.

“ Tapi…” Lilianna melihat pula kepada wajah Prince Neirin. “ Mesejnya tidak jelas jika ini adalah surat pertama itu. Patik fikir, tuanku masih belum libatkan surat layang ini dengan kes bapa patik?”

“ Betul. Pada mulanya, beta kaitkan isi surat ini dengan siasatan sulit terhadap Lord Vaughan. Sehinggalah beta dapat surat yang kedua.” Prince Neirin membuka pula sekeping lagi kertas yang berlipat. “ Surat ini beta dapat pada tengah malam, ketika beta berada di Beaumont Manor House yang musnah dalam kebakaran lima tahun lepas.”

Lilianna tersentak apabila mendengar mengenai kediamannya dahulu. Sehingga kini dia masih belum pergi menjenguk rumah itu walaupun dia tahu rumah itu kekal seperti malam kejadian itu. Tiada usaha baik pulih dilakukan terhadap kawasan rumah itu kerana datuknya tidak mahu kawasan itu diganggu. General Hopkins lah yang bermurah hati untuk menyampaikan berita mengenai keluarga bapanya di sini.

“ Macam mana tuanku dapat surat yang kedua ini?” Handrien bertanya.

“ Pada masa itu beta dan Leon sedang berada di luar rumah itu. Surat ini diikat pada sebatang anak panah yang tiba-tiba sahaja muncul di hadapan beta. Beta cuba jejaki pemanah itu tetapi tiada sesiapa pun yang beta temui. Surat ini tiba tiga minggu selepas surat pertama diterima.”

Tulisan yang sama tertera pada kertas itu.

Ethan Simmons

“ Siapa Ethan Simmons?” Handrien mengangkat wajah, merenung kepada Prince Neirin.

“ Buat masa sekarang, beta hanya dapat tahu Ethan Simmons adalah askar yang terlibat dengan peleraian konflik pemberontakan yang berlaku di sempadan Erkens. Kamu berdua tahu pasal perang kecil itu?”

“ Tahu…” Lilianna menelan liur. “ Kejadian tu…”

Kejadian yang menemukan ibu bapanya.

“ Lord Beaumont mengetuai sekumpulan askar ke sana untuk membebaskan tahanan pemberontak di sana. Mengikut rekod, Lord Beaumont ada bertemu dengan ketua askar kerajaan Erkens sebelum itu untuk memastikan insiden pemberontakan itu tidak berlaku secara dirancang. Pada hari itu sepatutnya perjanjian damai antara kerajaan Zythor dan Erkens sepatutnya diadakan, tapi perjanjian itu terpaksa dibatalkan kerana pemberontakan yang berlaku.”

“ Tuanku fikir bapa patik tahu perkara yang tidak sepatutnya dan rahsiakan hal itu? Sebab itu bapa patik dibunuh untuk tutup rahsia itu selama-lamanya?” Lilianna panik tiba-tiba.

“ Ada kemungkinan walaupun beta hairan kenapa selepas 16 tahun berlalu barulah Lord Beaumont dibunuh mereka.”

“ Jadi…”

“ Bagaimana dengan keberadaan Encik Simmons?” tanya Handrien, mencelah perbualan itu. Tidak mahu emosi Lilianna terganggu dengan kejutan itu.

“ Buat masa ni beta cuma tahu Encik Simmons berhenti kerja tidak lama selepas perang kecil itu. Khabarnya, dia berada di Amberwood, sebuah pekan kecil di negeri Riseville, bekerja sebagai petani di sana.”

“ Tuanku dah dapat petunjuk mengenai kaitan Encik Simmons dengan kes Lord Beaumont?”

“ Petunjuk itu ada di surat yang ketiga.”

Prince Neirin mengeluarkan surat terakhir itu daripada kota kayu tersebut. Surat itu diserahkan kepada Handrien. Lilianna masih membisu, dia melihat kepada isi surat yang berada di tangan Handrien.

Apabila perkara yang tidak sepatutnya diketahui, tindakan seterusnya adalah untuk mendiamkan sesiapa sahaja yang terlibat.

“ Surat itu diterima seminggu selepas surat yang kedua itu tetapi bukan beta yang menerimanya. Surat itu tiba di tempat Leon.”

“ Benar, Lady Lilianna,” Leon bersuara buat pertama kalinya. “ Surat itu berada dalam poket uniform saya. Saya tidak tahu siapa yang letak surat itu kerana kot itu saya tanggalkan ketika saya ingin mandi di kamar mandi yang dikongsi oleh kami para pekerja. Saya tidak cam siapakah yang berada di dalam kamar mandi itu selain saya pada waktu itu.”

“ Ini… merujuk kepada siapa?” Handrien mengerutkan keningnya.

“ Sama ada kepada Encik Simmons atau Lord Beaumont sendiri. Masih tak banyak petunjuk untuk kita buat masa ini, tapi beta fikir jika kita berjaya cari Encik Simmons, kita akan dapatkan maklumat yang penting.”

“ Maksudnya, tuanku masih belum menemui Encik Simmons secara persendirian?” Lilianna membuka mulut. Dia mengepal kedua-dua tangannya, meminta dirinya agar bertenang.

Prince Neirin menggeleng. “ Beta sudah ke sana tiga hari yang lalu tapi malangnya, Encik Simmons sudah tiada di Amberwood. Penduduk di sana kata keluarga Simmons berpindah dari Amberwood sejak empat tahun yang lalu. Tiada sesiapa pernah melihat mereka lagi sejak hari itu.”

“ Tapi berdasarkan maklumat terbaharu kami,” Leon mencelah. “ Ada orang ternampak anak Encik Simmons, Noah Simmons di Sherside, sebuah bandar pelabuhan di Riseville. Sherside terletak di selatan Amberwood.”

“ Besar kemungkinan Encik Simmons tidak keluar dari negeri itu, cuma berpindah tempat sahaja.”

“ Tuanku masih belum dapatkan hubungan dengan Noah Simmons?”

“ Penyiasat persendirian beta masih memerhatikan keadaan di sana, melihat jika semua ahli keluarga Simmons, termasuklah Encik Ethan Simmons berada di sana.”

“ Nampaknya banyak lagi petunjuk yang kita perlukan untuk selesaikan kes ini,” Lilianna bersuara perlahan. “ Walau apapun, terima kasih, tuanku.” Lilianna melihat kepada Prince Neirin. “ Sungguh, patik sangat berterima kasih. Kalaulah patik cuba siasat semua ini seorang diri, mungkin patik tidak ke mana-mana.”

“ Tak mengapa, Lady Lilianna,” Prince Neirin mengukir senyum. “ Memang dari awal lagi beta ingin siasat perkara ini tapi malangnya, ayahanda beta sudah ditekan dengan House of Lords untuk tutup sahaja kes ini.”

“ Tapi, selain daripada tuanku fikir kes ini banyak keraguan, apa lagi sebab tuanku fikir untuk buka kembali kes ini?” tanya Lilianna ingin tahu. Pastinya putera itu mempunyai sebab lain juga, bukannya disebabkan keraguan dan kejanggalan dalam kes pembunuhan bapanya itu.

“ Sebab… mayat Lord Beaumont tidak ditemui.”

Lilianna terkaku di tempatnya. Dia ingin bertanyakan sesuatu tetapi mulutnya tidak mahu mengikut arahan daripada mindanya. Matanya terpaku sahaja pada wajah Prince Neirin. Nafasnya terasa sesak, turun naik seakan-akan dia berada di tempat yang sempit dan kekurangan udara. Handrien yang melihatkan keadaan itu segera menyokong belakang tubuh Lilianna dengan tangan kirinya manakala tangan kanannya dihala kepada mulut gadis itu. Tapak tangannya menutup mulut Lilianna.

“ Apa…” Prince Neirin tergamam.

“ Dia mula berventilasi,” kata Handrien perlahan. Perhatiannya masih kepada Lilianna. Nasib baik keadaan Lilianna sudah tidak seteruk tadi. Nampaknya ventilasi itu hanya bersifat sementara kerana kejutan tadi. Lilianna sudah mula bernafas dengan normal walaupun nafasnya kedengaran mengah.

“ Saya panggil doktor!” Leon kelihatan panik.

“ Tak mengapa, Lilianna tiada serangan panik. Hanya kejutan mengenai apa yang tuanku katakan tadi buat dia jadi sebegitu. Pastinya dia tidak menyangka untuk mendengar mengenai hal itu.”

“ Kita bersurai dahulu untuk malam ini,” kata Prince Neirin seraya bangun daripada duduknya. “ Lagipun pada petang esok pada jam 2 petang ada majlis untuk mengumumkan keputusan penilaian tadi. Lady Lilianna perlu hadir juga kerana dia menyertai penilaian tadi.”

“ Baiklah. Kami berdua berundur dahulu, tuanku,” Handrien membantu Lilianna untuk berdiri. Gadis itu bersandar pada tubuhnya, membiarkan Handrien memeluk tubuhnya untuk mengelak dia daripada terjatuh.

“ Maafkan beta, Lady Lilianna. Beta tak bermaksud untuk terkejutkan cik,” Prince Neirin kelihatan serba salah.

“ Tak mengapa, tuanku,” Lilianna bersuara lemah. Senyumannya diukir untuk menenangkan hati putera itu tetapi hambar sahaja senyumannya. “ Terima kasih kongsikan maklumat ini. Nanti kita bincangkan lagi pasal perkara ini boleh?”

Prince Neirin mengangguk. “ Baiklah. Selamat malam. Leon, tolong iring mereka.”

“ Silakan, Lady Lilianna, Lord Handrien.”

Leon membuka pintu bilik itu, menunggu mereka berdua keluar sebelum menutup pintu itu. Prince Neirin kembali duduk selepas mereka bertiga beredar. Surat-surat itu kembali disimpan ke dalam kotak kayu tersebut. Pada ketika itulah mata Prince Neirin perasan akan sesuatu yang berada di bawah sofa panjang itu. Baginda membongkok untuk mengambil benda tersebut.

Sampul surat berwarna putih berada di tangannya.

Berhati-hati Prince Neirin membuka penutup sampul surat tersebut. Sekeping kertas dikeluarkan. Apabila kertas itu dibuka daripada lipatannya, tulisan yang amat dikenali olehnya tertulis rapi di tengah-tengah kertas tersebut. Prince Neirin mengerutkan keningnya.

Siapakah yang menghantar surat-surat ini?

PADA jam 10 pagi keesokan harinya selepas bersarapan, Lilianna dibawa meneroka taman-taman yang berada di sekitar kawasan istana itu. Itu pun kerana tugas yang diamanahkan oleh Frederick adalah untuk belajar dan memerhatikan kebudayaan dan apa-apa sahaja yang menarik di Zythor memandangkan dia adalah wakil Erkens. Walaupun secara dalamannya Lilianna ke sana untuk membantu Prince Neirin menyiasat apa-apa yang mencurigakan mengenai Lord Vaughan dan pengikutnya.

“ Awak nak berehat?” Handrien bertanya selepas hampir satu jam mereka dibawa melihat taman-taman tersebut. Handrien dan Emily turut menemani Lilianna, selain daripada pembantu-pembantu istana itu.

“ Lady Lilianna mahu duduk? Kita boleh berehat sekejap di patio sana,” ujar Monica, pembantu kepada Madam Scarlett yang merupakan ketua kepada semua pembantu wanita di istana ini.

“ Tak mengapa. Teruskan sahaja,” Lilianna menolak.

“ Cik Monica, maafkan kami. Lady Lilianna sebenarnya perlukan rehat sebentar,” kata Handrien sebaik sahaja Lilianna selesai bercakap.

Lilianna melihat kepada Handrien dengan kerutan pada dahinya. Tumpuan Handrien masih kepada Monica yang kelihatan kekok tiba-tiba. Teragak-agak wanita itu mengangguk.

“ Baiklah. Rasanya saya dah boleh beredar dari sini memandangkan selepas ini masa makan tengah hari. Silakan ke patio. Lady Lilianna boleh berehat dahulu di sana. Selepas ini saya akan menghantar orang untuk menjemput Lady Lilianna untuk makan,” kata Monica seraya menunjukkan ke arah patio yang disebutkan itu dengan kedua-dua tangannya.

“ Baiklah…” Lilianna menurut sahaja.

Lilianna dan Handrien duduk di patio yang dimaksudkan. Monica beredar dari taman itu tetapi dia meninggalkan dua orang pembantu istana untuk berada bersama-sama Lilianna. Emily berdiri di sebelah kerusi Lilianna, enggan duduk walaupun sudah diminta berbuat demikian.

“ Kenapa tiba-tiba awak suruh saya rehat ni?” Lilianna memandang dengan wajah pelik kepada Handrien yang duduk di hadapannya.

“ Selepas apa yang jadi semalam, awak tak tidur dengan baik kan?” Handrien membalas. “ Saya dah tanya Emily. Dia kata awak tak tidur sehinggalah lewat malam.”

Emily menundukkan wajahnya, risau sekiranya ditegur oleh Lilianna.

“ Bukankah saya dah beritahu awak untuk terus tidur aje malam semalam?” Handrien menyambung sebelum sempat Lilianna mengatakan apa-apa. “ Nasib baik keadaan awak tak teruk semalam, kalau tak saya perlu segera panggil doktor.”

“ Saya tak apa-apalah,” balas Lilianna rendah, tidak tahu bagaimana untuk menghentikan Handrien daripada mula membebel. Dia dah masak sangat dengan Handrien. Lelaki itu jarang membebel tapi bila anginnya datang, sabar ajelah tadah telinga dengar bebelannya.

“ Kalaulah malam ni awak jadi macam tu juga, saya bawa awak balik ke bilik terus. Tak payah dengar apa-apa lagi,” kata Handrien dengan wajah tegas.

Lilianna mengeluh. Dia menundukkan wajahnya, merenung kasut berwarna biru muda yang tersarung di kakinya. Ingatannya kembali kepada peristiwa di bilik urusan milik Prince Neirin semalam. Dia sangat terkejut apabila mendengar putera itu mengatakan mayat bapanya tidak ditemui. Lilianna tahu kebakaran itu telah memusnahkan hampir keseluruhan kawasan rumahnya dan mungkin tiada pakar pun dapat mengecam mayat bapanya tetapi entah mengapa, Lilianna merasakan dunianya gelap mendengarkan kenyataan itu.

Bapanya sudah dikebumikan bersama-sama mangsa kebakaran yang lain, kan? Mustahil mayat bapanya hilang dari tempat itu. Buat apa pembunuh itu bersusah payah melarikan mayat bapanya. Mengingatkan keadaan bapanya pada malam itu, Lilianna tahu sukar untuk membohongi dirinya, mengatakan bapanya masih hidup kerana berjaya melarikan diri daripada lelaki berbaju hitam itu.

Tetapi bagaimana kalau apa yang dikatakan oleh Prince Neirin semalam benar? Tentu putera itu telah mengkaji kemalangan itu sebelum berani membuat kenyataan sedemikian. Jika ya, kenapa bapanya hilang dari kawasan itu? Adakah ada orang melalui kawasan rumahnya dan membantu bapanya?

“ …anna…”

“ Lilia…”

“ Lilianna!”

“ Huh?”

Pantas Lilianna mengangkat wajahnya, melihat kepada jari Handrien yang sedang dilambai-lambai betul-betul di hadapan wajahnya. Lilianna menggeleng perlahan.

“ Kenapa?”

Handrien mengeluh. Dia melihat kepada jam yang berada di tapak tangannya. “ Dah hampir setengah jam awak mengelamun. Kenapa? Awak tak sihat? Awak langsung tak dengar apa saya cakap tadi.”

“ Tak… tak adalah,” laju Lilianna menafikan.

Setengah jam? Lamanya!

“ Apa yang awak cakapkan tadi?” Lilianna bersuara rendah. Dia agak serba salah kerana membuatkan Handrien bercakap sendirian.

“ Jangan lupa jam 2 petang ini ada majlis kecil-kecilan untuk umumkan keputusan penilaian semalam dan malam ni, jam 8 malam, kita akan terlibat dengan majlis tari menari untuk raikan kedatangan awak sebagai wakil diraja kerajaan Erkens. Jadual awak agak padat hari ini.”

“ Oh… itu…”

Handrien tersengih. “ Saya rasa lepas majlis petang ini awak teruslah kembali ke bilik awak dan berehat. Saya fikir majlis tari-menari malam ini akan ambil masa hingga tengah malam. Khabarnya hampir kesemua keluarga bangsawan yang tinggal di Idalia dan pinggir ibu kota ini akan tiba, mungkin untuk memberi imej yang baik kepada kita.”

“ Semua?” Lilianna hairan.

Handrien mengangguk. “ Mungkin ada kawan-kawan lama awak dalam kalangan tetamu. Awak dah bersedia untuk jumpa mereka?”

“ Saya…” Lilianna cuba mengukir senyum walaupun senyumannya tidak kelihatan ikhlas seperti kebiasaan. “ Saya ikut aje apa yang berlaku. Tak ada gunanya untuk saya menafikannya lagi. Lagi pun, awak tahu kan apa alasan saya.”

Handrien melepaskan keluhan. Dia menarik sengih, melihat pada wajah Lilianna yang tidak sepenuhnya menzahirkan keyakinan gadis itu. “ Saya tahu dan saya faham.”

Sebelum mereka bertolak ke Zythor, Handrien dan Frederick pernah bertanyakan soalan itu. Bagaimana jika ada kawan-kawan lama Lilianna mengecam dirinya? Adakah Lilianna mahu bersembunyi daripada mereka atau berterus-terang sahaja, mengakui bahawa dia adalah Lilianna yang hilang lima tahun yang lalu?

Lilianna memilih untuk berhadapan sahaja dengan kawan-kawannya itu. Walaupun sukar untuk dia menjelaskan sebab sebenar kenapa dia menghilang ke Erkens, tetapi Lilianna fikir itu adalah peluang terbaik untuknya mendapatkan maklumat mengenai kes yang melibatkan bapanya itu. Bagi Lilianna, jika mereka terkejut dan menyebarkan berita mengenai dirinya yang muncul selepas lima tahun berlalu, pastinya berita itu akan tiba di telinga dalang yang mengarahkan pembunuh bapanya itu.

Lilianna pertaruhkan nyawanya sendiri kerana kemungkinan besar, dalang itu akan kembali untuk menghapuskannya kerana Lilianna adalah satu-satunya saksi kejadian itu.

“ Awak tak perlu lakukan semua ini seorang diri awak,” Handrien bersuara. “ Awak tak berseorangan, Lilianna. Awak ada pilihan untuk tanggung beban ini seorang diri atau pun bergantung pada orang lain. Tapi saya harap, awak pilih untuk belajar berkongsi beban awak.”

Habis sahaja Handrien mengatakan apa yang dia mahu Lilianna fahamkan, dia bangun daripada kerusi yang berukir cantik itu. Matanya jatuh kepada Lilianna yang sedang merenung kosong di hadapannya. Handrien menarik senyum hambar.

“ Mari kita masuk ke dalam. Tak perlulah Cik Monica susah payah hantar orang untuk jemput kita.”

“ Baiklah,” pendek sahaja Lilianna membalas.

Handrien mengiringi Lilianna masuk ke dalam bangunan. Gadis itu sepi sahaja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience