Chapter 23

Other Completed 4791

BAB 23

KETUKAN pada pintu menarik perhatian Lord Vaughan. Beberapa saat kemudian, daun pintu bilik kerjanya dibuka. Klaus muncul di muka pintu. Tanpa menoleh ke belakang, Lord Vaughan bersuara.

“ Dia di mana?”

“ Bilik bawah tanah, tuan.”

“ Bagus,” balas Lord Vaughan pendek. Dia melihat kepada Lord Lyons di hadapannya. “ Kita akan gunakan dia sebagai umpan, boleh?”

Lord Lyons mengangguk. “ Kalau kita nak memancing, kita perlukan umpan yang boleh menarik perhatian buruan kita. Dia adalah umpan yang terbaik.”

“ Klaus,” Lord Vaughan melihat dari hujung matanya. “ Perhatikan dia.”

“ Baik, tuan.”

Pintu bilik itu kembali ditutup. Klaus menghilang dari pandangan.

“ Dah lama ke dia ditahan?” Lord Lyons menyoal.

“ Tengah hari tadi. Tapi, saya dah dapat kad undangan.”

“ Kad undangan?” Lord Lyons tertanya-tanya.

“ Daripada Prince Neirin,” Lord Vaughan berkata dengan nada sinis.

“ Baginda sebut pasal kehilangan gadis tu?”

Lord Vaughan menggeleng. “ Baginda kata hanya mahu berjumpa sahaja. Tapi yang pasti, ada kaitannya dengan gadis itu. Kalau tidak, kenapa tiba-tiba sahaja baginda mahu adakan pertemuan?”

“ Mungkin baginda mula rasa terdesak? Yalah, kehilangan gadis itu bermakna baginda perlu berurusan dengan keluarga Moyes, apatah lagi dengan raja Erkens.”

“ Tak mungkin. Putera mahkota kesayangan kita bukannya semudah ini untuk digoyahkan, tapi sedikit sebanyak membantu rancangan kita. Kita tengok sahaja apa yang baginda akan buat.”

“ Esok harinya, kan?”

Lord Lyons menuang wain merah ke dalam dua biji gelas. Sebiji gelas ditolak ke arah Lord Vaughan.

“ Semoga kita berjaya.”

Lord Vaughan mengangguk. Dia mengambil gelas itu lalu melagakannya dengan gelas di tangan Lord Lyons. Apa salahnya untuk dia meraikan kemenangan awalnya? Memang benar Prince Neirin ada rancangan balas, tapi dia ada cara untuk mengalahkan baginda.

“ Untuk kemenangan kita.”

Wain merah itu diteguk perlahan. Lord Vaughan membayangkan masa depan yang akan dicipta olehnya. Dia akan pastikan tiada lagi orang akan memandang rendah akan cita-citanya. Impian Prince Neirin untuk memberi peluang kepada golongan kebanyakan lebih banyak kuasa daripada sebelum ini akan dia hapuskan. Siapa mereka untuk mendapat kuasa? Mereka bukannya sesiapa. Mereka hanya rakyat biasa yang sepatutnya ditindas untuk menyokong golongan atasan.

Lord Vaughan tersenyum sinis. Dia sudah tidak sabar untuk bersemuka dengan putera mentah itu.

SUASANA di dalam bilik urusan Prince Neirin mendung sahaja. Prince Neirin sedang membincangkan sesuatu dengan John dan Bill di meja kerjanya manakala Handrien dan Leon pula sedang meneliti rangka rancangan mereka. Wajah masing-masing tegang menunjukkan tiada perkara boleh dibuat main-main ketika ini.

“ Lord Handrien,” Prince Neirin memanggil dari meja kerjanya.

“ Ya, tuanku,” sahut Handrien. Dia melihat kepada putera itu.

“ John dan Bill akan mengetuai beberapa kumpulan askar. Perkara yang selebihnya beta berharap pada kamu,” kata Prince Neirin.

“ Baiklah,” balas Handrien pendek. Dia kembali menumpukan perhatian kepada apa yang berada di hadapan matanya.

“ Ada beberapa tempat yang mungkin dijadikan tempat persembunyian Lady Lilianna,” kata Leon.

“ Tentunya sukar untuk dimasuki, kan?”

“ Besar kemungkinan.”

Sementara Prince Neirin membincangkan posisi mereka untuk keesokan hari, Handrien dan Leon menumpukan kepada pembebasan Lilianna. Prince Neirin tidak mahu mereka fokus kepada Lord Vaughan dan pengikutnya semata-mata. Keselamatan Lilianna juga perkara penting yang perlu dicapai pada esok hari.

Selepas Handrien memaklumkan akan kehilangan Lilianna kepada Prince Neirin, baginda segera menghantar utusan ke kediaman Lord Vaughan. Handrien berterima kasih kerana Prince Neirin bertindak dengan segera, apatah lagi esok adalah hari penentu sama ada Prince Neirin akan berjaya mengalahkan Lord Vaughan atau tidak. Lord Vaughan perlu dihentikan serta merta untuk memastikan tiada halangan pada hari pertabalan kelak. Tiada siapa mahukan lelaki itu menjadi pemusnah Zythor.

“ Di antara vila percutian milik Lord Vaughan, gudang di ladang Lord Vaughan, tempat penginapan yang selalu beliau gunakan ketika berburu atau rumah Lord Vaughan sendiri. Kami dapati jika Lord Vaughan ingin membicarakan seseorang atau menahan mereka, mereka akan ditahan di tempat-tempat ini.”

“ Baiklah. Tak ada berita dari Klaus?”

Leon menggeleng. “ Saya cuba hubungi Encik Klaus tapi malangnya sehingga kini tidak kelihatan bayangnya. Biasanya kita boleh dapatkan dia jika pergi kepada Lord Vaughan tapi perkara itu akan menimbulkan syak wasangka Lord Vaughan pula.”

“ Tentu dia tahu di mana Lilianna berada,” kata Handrien kerisauan.

“ Tadi tuan pergi ke tempat yang Lady Lilianna katakan sebagai tempat persembunyian Lord Beaumont, kan? Memang tiada jejak Lord Beumont di sana?”

Handrien meraup wajahnya, kepalanya digeleng.

“ Ketika saya tiba di situ, Lord Beaumont sudah tiada. Malah tiada tanda-tanda ada penghuni di sana. Saya yakin saya tak tersilap tempat. Kotej itu sama dengan gambaran yang Lilianna berikan.”

Petang tadi Handrien dan John pergi ke kawasan yang dikatakan tempat di mana Klaus menyembunyikan Lord Beaumont tetapi hampa sahaja keputusannya. Lord Beaumont langsung tidak kelihatan di mana-mana. Hanya itu sahaja kotej yang berada dalam hutan tersebut. Mereka cuba mencari Lord Beaumont dalam lingkungan kawasan itu tetapi tiada langsung bayang seorang lelaki pertengahan usia. Mustahil untuk Lord Beaumont melarikan diri tanpa pertolongan orang lain. Pergerakan lelaki itu terbatas.

“ Tuan fikir Encik Klaus bawa Lord Beaumont bersembunyi di tempat lain?”

“ Ada kemungkinan. Saya cuma harap bukannya Lord Vaughan yang jumpa Lord Beaumont dulu. Tanpa bapa Lilianna, kita tiada saksi paling utama untuk buktikan jenayah Lord Vaughan.”

Prince Neirin meminta mereka bersurai selepas hampir lewat malam mereka bermesyuarat dalam bilik itu. John dan Bill segera pulang ke kuarters mereka memandangkan mereka perlu bergerak di awal pagi manakala Leon turun ke dapur untuk mendapatkan sedikit makanan dan minuman. Hanya tinggal Prince Neirin dan Handrien sahaja di dalam bilik itu.

“ Fikirkan Lady Lilianna?” Prince Neirin mendekati Handrien yang sedang duduk berpeluk tubuh di hadapan tingkap yang terbuka. Angin malam menyejukkan bilik itu.

“ Patik harap dia tak apa-apa,” balas Handrien. Dia menjatuhkan tangannya, keluhan terpacul daripada mulutnya.

“ Lady Lilianna seorang yang berjiwa kental. Beta yakin dia tak apa-apa.”

“ Benar, patik tahu,” akui Handrien. “ Cuma kadang-kala patik tak dapat mengelak daripada risaukan dia walaupun patik tahu dia dapat mengawal dirinya dalam situasi seperti ini. Sejak akhir-akhir ini emosi dia agak kurang stabil, tambahan pula bila dapat tahu bapanya masih hidup.”

Prince Neirin meletakkan kedua-dua tangannya di belakang. Matanya tertumpu kepada dada langit.

“ Tentu susah untuk Lady Lilianna terima. Selama ini dia hidup dalam penyesalan kerana tidak mampu menyelamatkan bapanya tapi kini, rupa-rupanya bapanya masih hidup lagi. Apa yang lebih mengejutkan, lelaki yang sepatutnya membunuh bapanya adalah orang yang sama menyelamatkan nyawa bapa Lady Lilianna.”

“ Kalaulah mereka cederakan Lilianna…” Handrien berderam, “… patik tak akan lepaskan mereka.”

“ Kamu…” Prince Neirin menoleh kepada Handrien, senyuman nipis terlakar pada wajah bersihnya. “ Sayangkan dia lebih daripada sayang seorang kawan, kan?”

Handrien membalas renungan Prince Neirin. Tawanya keluar tetapi berbaur hambar.

“ Jelas sangatkah?”

“ Beta agak sahaja.”

Handrien tersenyum. “ Patik pun baru perasan.”

“ Perasan macam mana?”

“ Kalau boleh, patik nak selalu ada di samping dia, pastikan dia sentiasa selamat dan bila saya fikirkan suatu hari nanti dia akan menjadi milik seorang lelaki,” Handrien mendongak, melihat kepada bulan yang tidak ditutupi awan. “ Patik mahu diri patiklah lelaki yang dia pilih itu.”

“ Jangan risau, Lord Handrien. Beta akan pulangkan Lady Lilianna kepada kamu apabila semua perkara ini dah selesai. Sabar dahulu ya? Beta pun ada kekasih hati sendiri juga,” Prince Neirin berseloroh.

Tawa Handrien meletus. “ Baiklah, sehingga semuanya selesai. Selepas itu, tuanku kena pulangkan dia pada patik. Dah sampai masanya untuk patik beritahu dia perasaan patik.”

“ Semoga berjaya,” kata Prince Neirin dengan nada mengusik. “ Jangan risau, Lord Handrien. Lady Lilianna seorang gadis berhati tabah. Esok, dia akan pulang ke pangkuan kita semua.”

“ Patik harap begitu, tuanku.”

Handrien memejamkan matanya, berharap agar harapannya itu sampai ke tempat Lilianna berada, menjadi pelindung gadis itu sebelum mereka bertemu kembali.

DENGAN wajah yang tenang Prince Neirin berdiri menghadap tingkap yang terbuka. Angin di vila yang terletak di pinggir sebuah bukit itu menenangkan jiwanya yang sedang bergelora. Selepas ini, Lord Vaughan akan tiba. Prince Neirin dengan sengaja menetapkan tempat pertemuan mereka di sini. Vila ini adalah kepunyaan Lord Johnson, seorang ahli perniagaan yang merupakan bekas pegawai istana. Kerana Lord Johnson sudah tidak terlibat dengan urusan pentadbiran kerajaan, Prince Neirin menganggap vila ini boleh bertindak sebagai tempat pertemuan yang neutral bagi kedua-dua pihak.

“ Tuanku,” suara Leon kedengaran dari muka pintu. “ Lord Vaughan sudah tiba.”

Prince Neirin berpaling ke belakang. Lord Vaughan berdiri di hadapan pintu dengan wajah yang tidak dapat ditafsirkan.

“ Terima kasih kerana menerima jemputan beta ke sini. Silakan duduk,” Prince Neirin menunjuk ke arah sofa yang terletak di ruang bilik itu. “ Leon, tolong sediakan teh untuk kami berdua.”

“ Baiklah, tuanku,” ucap Leon sebelum meninggalkan bilik itu.

Prince Neirin duduk di sofa tunggal manakala Lord Vaughan mengambil tempat untuk duduk di sofa berkembar yang berada bertentangan dengan baginda. Mereka berdua berbalas pandangan dalam jangka masa yang lama, meneliti perasaan yang dizahirkan pada wajah masing-masing. Berbeza dengan renungan dan senyuman bersahaja Prince Neirin, Lord Vaughan membalasnya dengan renungan tajam dan senyum sinis.

“ Patik percaya ada perkara penting yang ingin tuanku tanyakan pada patik, bukan? Jika tidak, tuanku tidak akan bersusah-payah menghantar jemputan itu,” Lord Vaughan mula bersuara.

Prince Neirin melebarkan senyumannya, kepalanya diangguk. “ Beta fikir, kita ada perkara yang tak akan selesai selagi kita tak bersemuka, Lord Vaughan.”

Wajah Lord Vaughan berubah tegang. “ Ya, tuanku.”

Leon muncul dengan dulang berisi dua cawan teh panas dan sepinggan manisan. Makanan dan minuman itu diletakkan di hadapan mereka berdua. Leon meletakkan dulang itu di meja kecil yang berada di sebelah sofa yang diduduki Prince Neirin. Kedua-dua tangannya ditautkan bawah paras perutnya, Leon berdiri tegak di situ.

“ Boleh beta tanya kenapa Lord Vaughan tak setuju dengan cadangan-cadangan polisi beta jika beta ditabalkan menjadi raja baharu Zythor?” tanya Prince Neirin berterus-terang.

“ Betul tuanku tak tahu kenapa patik tak setuju?” Lord Vaughan tidak peduli untuk menyembunyikan niatnya di hadapan Prince Neirin.

Prince Neirin menarik senyum selamba. “ Beta akan lebih percaya jika beta dengar dengan sendirinya daripada mendengar cakap-cakap orang sahaja.”

“ Tuanku tak kisah jika patik berterus-terang? Atau tuanku perlukan kiasan?”

“ Beta tak suka orang berkias. Tuan boleh berterus-terang sahaja,” balas Prince Neirin mudah.

Lord Vaughan berdehem. Dia langsung tidak menyentuh teh panas yang dihidangkan di hadapannya itu.

“ Perlukah tuanku menukar polisi untuk memberi lebih banyak kuasa kepada golongan bawahan dan mengehadkan kuasa kami golongan bangsawan? Patik percaya kuasa itu lebih berguna jika diberikan sahaja kepada kami.”

“ Jadi, masalah utamanya ialah tuan tidak mahu kuasa golongan bangsawan dikurangkan?”

“ Ya,” balas Lord Vaughan pendek.

Prince Neirin menghela nafas. Daripada wajah yang selamba, riak pada muka baginda bertukar serius. “ Adakah jika kuasa tuan dikurangkan jadi bermasalah untuk tuan seludup masuk senjata api dan dadah ke Zythor?”

Lord Vaughan kelihatan terkejut di mata Prince Neirin. Baginda tidak melarikan pandangan matanya kepada muka lelaki itu. Prince Neirin tidak mahu melanjutkan perbualan mereka dengan berpura-pura bertanyakan pelbagai soalan mengenai penyeludupan itu kepada Lord Vaughan. Pokok utama pertemuan mereka harus dibicarakan sekarang juga.

“ Patik tak faham maksud tuanku,” balas Lord Vaughan, nadanya mendatar tetapi lelaki itu kelihatan seperti mahu menelan Prince Neirin hidup-hidup.

“ Beta tak mahu tuan terus hidup dengan topeng yang melindungi wajah sebenar tuan. Sebelum beta ditabalkan menjadi raja baharu Zythor, beta mahu selesaikan masalah kita sekarang juga. Sebelum beta paksa tuan, beta harap tuan dengan rela hatinya mengaku kesalahan tuan selama ini.”

“ Apa pula kesalahan yang tuanku maksudkan?” Sebelah kening Lord Vaughan diangkat.

“ Beta boleh senaraikan kesemua jenayah yang tuan dah lakukan. Ingin beta bacakan satu persatu?”

“ Tuanku ada bukti yang melibatkan patik? Patik harap tuanku tidak serkap jarang sahaja.” Nada Lord Vaughan seperti sedang menahan diri daripada menghamburkan amarah.

“ Tuan tahu bukan yang beta tak suka menuduh tanpa sebarang bukti,” balas Prince Neirin.

Mata Prince Neirin singgah pada kedua-dua tangan Lord Vaughan. Tanpa sedar lelaki itu menggengam kemas tangannya. Prince Neirin tersenyum sinis.

“ Beta tak mahu malukan tuan sebab tuan sudah lama berkhidmat untuk kerajaan. Tapi beta tak boleh berdiam diri lagi. Gunakan peluang ini untuk menyerah diri dengan baik. Beta janji beta tak akan gunakan kekerasan.”

“ Tanpa bukti di hadapan mata patik, patik tak akan menjawab tuduhan tuanku itu. Apa yang tuanku akan buat jika patik buktikan bahawa semua tuduhan tuanku itu salah?”

“ Jika salah…” Prince Neirin menguatkan semangatnya, “… beta tak akan naik takhta.”

“ Itu janji tuanku?” kata Lord Vaughan seakan-akan mencabar Prince Neirin.

Prince Neirin mengangguk. “ Beta janji.”

“ Baiklah,” Lord Vaughan kelihatan puas hati. “ Bolehlah jika tuanku ingin kemukakan bukti-bukti itu.”

Walaupun kau ada bukti, aku akan tetap hapuskan kau hari ini, bisik hati Lord Vaughan. Kau tak tahu Idalia sepatutnya sudah musnah sekarang ini.

“ Beta tak akan susah payah tunjukkan semua bukti itu. Hanya satu sahaja yang perlu beta bawa masuk ke dalam bilik ini. Leon,” kata Prince Neirin sebelum melihat kepada Leon. Leon mengangguk sebelum menuju ke muka pintu. Leon menghilang buat seketika.

Kerutan pada dahi Lord Vaughan menandakan dia tidak memahami maksud arahan Prince Neirin kepada Leon tadi. Apakah yang perlu dibawa masuk? Dokumen? Objek yang besar? Atau… manusia?

Leon kembali ke bilik itu sambil mengiringi seseorang. Prince Neirin tersengih. “ Lihatlah di belakang tuan. Beta sediakan kejutan untuk tuan.”

Perlahan-lahan Lord Vaughan memusingkan kepalanya, berwaspada dengan kejutan yang disediakan oleh Prince Neirin. Siapa tahu apakah kejutan itu. Sebaik sahaja Lord Vaughan melihat wajah orang yang diiringi Leon itu, matanya terbeliak.

“ Dah lama kita tak bertemu, Lord Vaughan.”

Lord Beaumont sedang berdiri di muka pintu. Tangan kirinya memegang tongkat, menyokong sebelah kakinya yang tidak dapat berfungsi dengan baik. Mata jernih Lord Beaumont disasarkan kepada raut wajah Lord Vaughan yang ternyata kelihatan terkejut melihat kehadirannya di situ.

“ Selamat datang, Lord Beaumont,” ucap Prince Neirin menyambut kedatangan Lord Beaumont. Matanya melirik kepada Lord Vaughan. Lelaki itu seperti dikakukan tubuhnya, hanya melihat kepada Lord Beaumont dengan wajah terkejut.

“ Lord Vaughan?” Prince Neirin memanggil. “ Tuan tak sudi menyambut kedatangan Lord Beaumont kah? Atau tuan terkejut sebab sepatutnya beliau sudah meninggal?” tambah baginda dengan nada sinis.

Lord Vaughan mengalihkan pandangannya kepada Prince Neirin. Baginda sedar lelaki itu sedang menahan amarah yang teramat. Wajah Lord Vaughan memerah. “ Tuanku mahu mempermainkan patik?”

“ Apa yang menyebabkan tuan berfikiran sebegitu?”

Prince Neirin mengambil cawan yang masih belum disentuh air teh yang sudah mula suam itu. Leon membantu Lord Beaumont untuk duduk di sofa tiga yang turut bertentangan dengan baginda. Kini Lord Vaughan sedang duduk berhadapan dengan Lord Beaumont.

“ Tuanku…” Lord Vaughan menderam.

“ Tuan takut saya beritahu semuanya kepada baginda?” Lord Beaumont bersuara tiba-tiba. “ Apa yang telah tuan lakukan pada saya?”

“ Apa maksud tuan?”

Lord Vaughan merenung kepada Lord Beaumont. Dia sedang melawan kejutan yang membuatkan dia hampir panik tadi. Melihatkan musuhnya yang sepatutnya sudah lama hancur dimamah tanah membuatkan dia bingung. Adakah hantu Lord Beaumont sedang menghantui hidupnya sekarang?

“ Lord Beaumont yang sepatutnya sudah mati dibunuh oleh tuan sedang berada di sini, bersama-sama kita. Tuan pastinya terkejut kan?” Prince Neirin bersuara.

“ Bukan saya yang bunuh tuan, Lord Beaumont,” balas Lord Vaughan berlagak tenang. “ Bukankah sepatutnya sekarang ini kita raikan kepulangan tuan? Buat apa kita masih berada di sini?”

“ Tidak,” sahut Prince Neirin. “ Sepatutnya sekarang ini kita raikan kekalahan tuan, Lord Vaughan.”

“ Tuanku?”

“ Beta tahu pada hari ini tuan dan pengikut-pengikut tuan ini membuat kekacauan di Idalia. Beta tak akan benarkan ianya berlaku.”

Lord Vaughan ketawa. “ Kekecohan?” Tawanya semakin galak. Tidak menyangka rancangannya sudah diketahui oleh Prince Neirin. Ini bukannya masa untuk dia berpura-pura lagi. Dia sudah tidak tahan lagi! Berlama-lama di sini dengan putera mentah itu dan musuh yang sepatutnya sudah lama mati!

“ Benar! Memang patik akan pastikan kerajaan ini huru-hara tapi apa yang tuanku nak buat? Tuanku tak akan dapat halang pemberontak itu. Mereka semua sudah bersiap-sedia untuk bertindak dan tuanku langsung tak tahu di mana mereka akan mulakan kekecohan ini.”

Prince Neirin bangun daripada sofa. “ Beta titahkan tuan, Lord Vaughan untuk menyerah diri sebelum beta beratkan lagi hukuman tuan!”

“ Patik tak perlukan simpati tuanku,” balas Lord Vaughan. Dia turut berdiri. “ Niat patik berada di sini adalah untuk menghapuskan tuanku. Zythor perlukan pemerintah yang lebih baik daripada tuanku. Walaupun tuanku sudah letakkan ramai askar tuanku di sini, malangnya mereka tak akan dapat menandingi jumlah pahlawan yang telah patik bawa ke sini.”

“ Tuan pasti?”

“ Pasti.” Lord Vaughan mengeluarkan sesuatu daripada pinggang seluarnya. Sepucuk pistol dihalakan kepada Prince Neirin. “ Senjata yang tuanku bersusah payah haramkan penggunaannya inilah yang akan mengambil nyawa tuanku.”

“ Macam mana tuan boleh terlalu yakin?”

“ Jika tuanku punya pengawal yang hebat, patik pula mempunyai pengawal yang lebih hebat daripada pengawal tuanku. Patik tak menunggu hari ini tanpa persiapan langsung.”

Prince Neirin ketawa. “ Pengawal yang hebat? Yang berada di belakang tuankah?”

Lord Vaughan tersentak apabila mata pisau dihala ke lehernya dari belakang. Tiba-tiba sahaja ada seseorang datang dan menahan dirinya dari belakang. Wajah yang kelihatan dari belakangnya itu dilihat. Lord Vaughan terperanjat.

“ K… Klaus?”

Klaus menghentak tangan Lord Vaughan yang memegang pistol. Pistol itu jatuh ke lantai. Dengan segera Leon mencapai pistol tersebut. Pistol itu diserahkan kepada Prince Neirin.

“ Sudah tiba masanya untuk tuan menyerah diri,” kata Prince Neirin dengan nada mendatar. “ Kesemua dokumen yang melibatkan tuan dengan kegiatan haram telah beta serahkan kepada Royal Court of Zythor. Keterangan daripada Lord Beaumont dan Klaus juga telah diambil. Hukuman akan dijatuhkan bukan sahaja kepada tuan tetapi juga kepada sesiapa sahaja yang bekerja untuk tuan. Klaus,” Prince Neirin melihat kepada Klaus yang masih tidak berganjak daripada posisinya. “ Ikat dia dan bawa masuk ke kereta kuda yang telah beta sediakan. Beta akan jumpa kamu di istana.”

“ Baiklah, tuanku.”

Prince Neirin segera keluar dari bilik itu. Lima orang pengawal baginda mengawal keadaan untuk memastikan tiada percubaan untuk melarikan diri daripada Lord Vaughan.

“ Tak guna… selama ini kau dah berpaling tadah?” Lord Vaughan mendesis, melihat kepada wajah dingin Klaus.

Dengan bantuan Leon, Klaus merantai tangan dan kaki Lord Beaumont. Soalan lelaki itu langsung tidak dijawab. Klaus menolak lelaki itu untuk berjalan keluar dari bilik itu. Lord Vaughan akan segera dibawa untuk dibicarakan.

“ TUANKU!”

Prince Neirin melompat turun daripada kuda tunggangannya. John sedang menunggu baginda di tempat pertemuan mereka. Peluh membasahi wajah pengawalnya itu.

“ Bagaimana? Semua pemberontak itu telah ditahan? Bagaimana dengan pemberontak di tempat lain?”

“ Semuanya terkawal, tuanku. Walaupun kekecohan berlaku tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Rakyat jelata juga selamat. Kami sedang merawat mereka yang tercedera. Begitu juga dengan keadaan di tempat lain,” John melaporkan keadaan kepada Prince Neirin.

“ Ada berita daripada Lord Handrien?”

John mengangguk. “ Lord Handrien telah menangkap Lord Kavanagh, Lord Lyons dan Lord Brady, sekutu utama Lord Vaughan. Mereka telah dibawa ke istana.”

“ Lady Lilianna bagaimana pula?”

“ Lady Lilianna mengikut Lord Handrien untuk menangkap mereka bertiga tadi. Ada beberapa orang askar kita turut tercedera, mengikut laporan daripada utusan mereka ke sini.”

“ Baiklah, baiklah,” Prince Neirin menarik nafas lega. “ Beta perlu pulang ke istana dengan segera. Uruskan yang selebihnya, boleh?”

“ Patik menurut perintah, tuanku.”

Prince Neirin kembali menunggang kudanya, memecut laju menuju ke istana. Baginda sudah boleh senang duduk sekarang, Lord Vaughan telah ditangkap. Begitu juga dengan pengikut-pengikutnya. Baginda bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa melibatkan sesiapa berlaku. Benar kata Lilianna tempoh hari, mereka perlu bertindak dengan segera.

Ketika Lilianna muncul di istana sebelum Prince Neirin berangkat ke vila itu untuk bertemu dengan Lord Vaughan, baginda terkejut apabila baginda dimaklumkan bahawa penculikan itu adalah idea Lilianna sendiri tanpa pengetahuan sesiapa kecuali Klaus dan bapanya sahaja. Malah Handrien turut tidak tahu. Lilianna mahu Lord Vaughan terus percayakan Klaus.

Lord Vaughan telah mengarahkan lelaki itu untuk menangkapnya sebelum hari pemberontakan itu tiba. Disebabkan penculikan itulah, rancangan Prince Neirin untuk mengadakan pertemuan dua mata dengan Lord Vaughan akan berjalan dengan lebih lancar. Lord Vaughan memang percaya tujuan pertemuan itu adalah berdasarkan penculikan Lilianna, bukannya kerana baginda sudah mengetahui mengenai rancangannya.

Pecutan kuda itu semakin laju. Prince Neirin sudah tidak sabar untuk bersemuka dengan kesemua pegawai kerajaan yang ingin belot dengannya. Kerana berniat untuk membawa kerajaan kesayangannya ini ke jalan kemusnahan, baginda tidak akan membenarkan mereka dijatuhkan hukuman yang ringan!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience