Chapter 11

Other Completed 4791

BAB 11

“ ADUH!”

Lilianna terkaku di tempatnya sebelum dia sedar apakah yang telah berlaku. Tanpa berlengah lagi dia segera berlari ke arah seorang lelaki yang sedang terduduk di atas tanah. Lilianna duduk berlutut di sebelah lelaki itu. Wajahnya mula menampakkan kerisauan.

“ Erik! Awak tak apa-apa?”

Erik menggeleng perlahan. Kepalanya terasa pening sedikit.

“ Saya tergelincir. Maaf, Lilianna,” kata Erik. Sebelah tangannya menyapu peluh yang berada di dahi. Lilianna tersengih.

“ Macam mana awak boleh tergelincir ni? Dah, jom kita berehat dulu,” kata Lilianna seraya bangun daripada duduknya. Dia menghulurkan tangannya kepada Erik, ingin membantu lelaki itu untuk berdiri.

“ Entahlah. Sejak dua tiga hari ni, saya rasa macam tak sedap badan,” balas Erik.

Pedang yang terlepas daripada tangannya tadi diambil dari tanah. Dia mengekori Lilianna untuk duduk di sebuah bangku yang berada tidak jauh daripada kedudukan mereka.

“ Awak tak sihatlah ni. Kenapa tak berehat aje kat rumah?” Lilianna membebel pendek. Botol yang penuh berisi air dihulurkan kepada Erik. Erik menyambut hulurannya itu.

“ Tapi kan saya dah janji nak lawan pedang dengan awak?” Erik meneguk minuman itu. Tekaknya yang haus sejak tadi mula berasa lega. Tetapi, tekaknya mula berasa sakit apabila bersentuhan dengan minuman itu. Benar kata Lilianna, dia sendiri merasakan tubuhnya sedang memberi isyarat agar dirinya mula berehat secukupnya.

“ Lain kali pun boleh kita berlawan pedang tu. Maaf Erik, susahkan awak datang rumah saya masa awak tak sihat macam ni. Saya minta pemandu hantarkan awak balik ya?”

Lilianna serba salah kerana Erik datang ke rumahnya pun kerana dia beria-ria untuk berlawan pedang dengan Erik. Kalaulah dia perasan Erik tidak sihat, awal-awal lagi dia akan memaksa lelaki itu untuk pulang ke rumah.

“ Tak payahlah. Saya larat untuk berjalan lagi,” bantah Erik. Bukannya dia tidak sihat sampai perlu merangkak untuk pulang ke rumahnya. Kakinya masih boleh berfungsi seperti biasa, masih mampu untuk menampung berat badannya untuk berjalan.

“ Tak boleh. Awak kena pulang dengan pemandu saya hari ini. Kalau tak, saya akan minta Pak Cik Thomas untuk benarkan awak bermalam di sini.”

Erik mengeluh. Wajah Lilianna dipandang. “ Yalah, yalah. Saya pun tak larat nak bertekak dengan awak.”

Lilianna tersengih. Mudah sahaja untuk memujuk Erik. Dia tidak perlukan masa yang lama untuk memujuk lelaki itu kerana Erik bukanlah seorang yang suka membuang tenaga untuk membalas cakap orang lain.

Erik adalah anak lelaki bongsu Pak Cik Thomas. Beza umur mereka hanya setahun sahaja. Kerana usia mereka yang dekat, Lilianna mula berkawan baik dengan Erik. Tambahan lagi Erik adalah sahabat Handrien. Walaupun masih muda, tetapi Erik mewarisi kepakaran bapanya dalam membuat senjata. Sehingga kini, kedai mereka selalu dikunjungi mereka yang ingin membaik pulih senjata mereka atau membeli senjata yang baharu.

Selain mahir dalam membuat senjata, Erik juga merupakan seorang yang mahir menggunakan pedang untuk berlawan. Disebabkan itulah Lilianna selalu meminta tolong lelaki itu untuk membantunya bagi menajamkan lagi kemahirannya bermain pedang.

“ Handrien dah lama tak ke kedai. Awak ada jumpa dia, Lilianna?” Erik bertanya.

“ Dah hampir dua minggu saya tak berjumpa dengan dia. Handrien perlu iring raja ke selatan jajahan Erkens. Ada masalah sikit kat sana dan raja nak tengok sendiri, tak mahu sekadar hantar utusannya sahaja. Patutnya mereka dah balik tapi mungkin Handrien sibuk lagi agaknya,” kata Lilianna. Dia menyampaikan apa yang dia tahu sahaja.

“ Dua bulan lepas mereka ke Zythor, ada urusan diplomatik di sana. Balik saja ke Erkens, terus sibuk dengan urusan lain,” getus Erik, memikirkan kesibukan Handrien kerana menjadi pengawal utama raja.

Lilianna ketawa perlahan. “ Nak buat macam mana. Dia First Knight Raja. Bukan calang-calang posisi yang Handrien dapat itu.”

“ Memang dari kecil lagi si Handrien mahu berkhidmat sebagai Knight kepada King Frederick. Tapi dia bermula dari bawah, berusaha bersungguh-sungguh sebab dia tak mahu dia dapatkan jawatan itu kerana dia sahabat baik baginda dari kecil lagi. Orang yang pertikaikan dia kerana fikir dia dapat jadi First Knight sebab baginda pun malu sebab Handrien memang hebat. Memang patutlah dia dianugerahkan pangkat sebagai First Knight of Honour.”

Apa yang dikatakan oleh Erik itu tiada salahnya. Walaupun Lilianna tidak mengenali Handrien sejak kecil seperti mana Frederick dan Erik mengenali Handrien, tetapi dia dapat melihat kehebatan dan kesungguhan lelaki itu dalam mengejar cita-citanya.

“ Awak macam mana pula?” Erik menoleh kepada Lilianna di sebelahnya. “ Handrien sudah sibuk dengan kerjanya, saya pula nanti akan warisi kedai ayah sebab abang-abang saya tak minat dengan perniagaan ini. Saya terfikir, apakah cita-cita awak. Selama saya kenal awak, awak tak pernah beritahu apa-apa pun.”

Soalan Erik itu tidak terus dijawab Lilianna. Dia mendongak lalu merenung langit yang sudah menampakkan warna jingga kemerah-merahan di ufuk barat. Siang berganti dengan malam, seperti mana hari-hari yang sebelumnya. Lilianna menarik nafas lalu dihembus perlahan. Dia mengalih pandangannya kepada Erik yang masih sabar menanti jawapannya.

“ Dulu, masa saya kecil…” Lilianna tersenyum buat sejenak. “ Impian saya adalah untuk jadi pengembara. Kenal setiap tempat yang boleh diteroka di dunia ini, lagi bagus kalau ada tempat yang belum ditemui manusia lain, saya orang pertama yang menemuinya untuk melihat dengan mata saya sendiri tempat yang masih kekal dengan alam semula jadinya. Selalu juga saya ceritakan impian saya pada orang lain masa saya kecil dahulu.”

“ Sekarang, macam mana pula?” Erik bertanya selepas Lilianna mendiamkan diri.

“ Entahlah. Hasrat tu masih ada tapi bila dah meningkat ke alam dewasa macam ni, saya perlu fikirkan perkara lain. Mungkin datuk saya tak kisah tapi macam mana dengan nenek saya? Cukuplah dia kehilangan satu-satunya anak perempuannya. Macam mana kalau saya tiba-tiba sahaja hilang masa saya mengembara? Saya tak nak risaukan nenek saya, dahlah nenek selalu tak sihat.”

“ Tapi saya fikir tak ada salahnya awak teruskan niat awak. Mungkin tak adalah sampai mengembara ke seluruh dunia, kalau macam tu pun saya sebagai kawan awak pun tak benarkan tahu? Awak boleh mula mengembara di seluruh kerajaan Erkens. Awak jarang keluar dari Larreule, kan?”

Lilianna ketawa, dia mengangguk. “ Di Larreule ni saya hanya arif dengan bandar Arenola ini. Bandar-bandar lain jarang saya pergi.”

“ Tengok? Awak dah boleh mengembara. Ambil masa awak untuk belajar budaya di tempat lain. Setiap bandar dan kampung ada keistimewaannya yang tersendiri.”

“ Betul cakap awak tu, Erik,” balas Lilianna. Tiba-tiba sahaja dia bersemangat untuk memulakan impiannya yang sudah lama dia pendam sejak hari itu. Hari yang telah mengubah hidupnya.

“ Teruklah awak ni Lilianna,” kata Erik tiba-tiba. “ Dah hampir lima tahun awak tinggal di Larreule ni tapi awak hanya arif dengan Arenola sahaja. Itu pun mesti sebab rumah awak ni di Arenola. Negeri-negeri lain dalam kerajaan ni langsung awak tak jejak lagi.”

Lilianna ketawa lalu dia berdiri untuk berhadapan dengan Erik yang masih duduk di bangku itu. “ Amboi! Tadi bukan main kata tak sihat badan, bila dapat berborak macam ni, macam-macam awak bebelkan saya ya? Dah, sebelum demam awak makin melarat mari saya hantar awak balik. Saya tak nak Pak Cik Thomas risaukan anak lelaki bongsunya ini.”

“ Cepat betul awak tukar topik ya? Nak menghalau saya balik rumahlah tu,” balas Erik lalu mencebik. Tetapi cebikannya itu tidak lama. Erik tersengih sahaja melihat Lilianna di hadapannya.

“ Saya panggilkan pemandu di bangsal kejap. Jangan nak bergerak pergi mana-mana. Saya ikut hantar awak balik lepas ni.”

“ Yalah, yalah.”

Erik melihat kepada Lilianna yang sedang berjalan menuju ke bangsal kuda yang terletak tidak jauh daripada kawasan itu. Ada sahaja pembantu rumah yang berada berdekatan dengan mereka tetapi Lilianna lebih suka berurusan secara terus jika dia boleh.

Mata Erik jatuh pada bangku yang sedang didudukinya. Pedang Lilianna yang sudah dimasukkan ke dalam sarungnya terletak di atas bangku itu. Erik kagum kerana walaupun pada mulanya Lilianna mengalami kesukaran untuk belajar seni pedang tetapi gadis itu tidak berputus asa. Sekarang ini boleh dikatakan kemahiran Lilianna bermain pedang sudah hampir sama dengannya. Disebabkan Lilianna bukan seperti kebanyakan gadis bangsawan yang lainlah membolehkan Erik bersahabat baik dengan gadis itu.

“ Jom. Nanti lambat pula sampai rumah awak,” kata Lilianna yang sudah muncul dengan sebuah kereta kuda.

Tanpa berlengah lagi Erik memasuki ke dalam kereta kuda itu. Pedang miliknya dipegang kemas.

HANDRIEN kehairanan apabila melihat perubahan pada wajah Frederick selepas selesai membaca suatu surat. Sahabatnya itu kelihatan resah sahaja. Malah Frederick tidak mempedulikan ketika pembantunya datang membawakan minuman untuknya. Handrien bangun daripada kerusi yang didudukinya lalu berjalan ke arah meja kerja Frederick.

“ Fred, kenapa?” tegur Handrien pendek.

Frederick mengeluh seketika. Dia melihat kepada ruang bilik kerjanya itu. Hanya ada dia dan Handrien sahaja di dalam. Pembantu-pembantunya yang lain sedang bekerja di dalam perpustakaan sebelum pulang ke kuarters atau rumah masing-masing memandangkan masa kerja sudah hampir tiba di penghujungnya.

“ Kau ingat masa kita berjumpa dengan Crown Prince Neirin dua bulan lepas?” Fred bertanya.

Handrien mengangguk. Masakan dia boleh lupa. Tiba-tiba sahaja putera mahkota, anak lelaki King Arthur itu meminta suatu pertemuan sulit diadakan di antara putera mahkota itu dengan Frederick. Perjumpaan itu hanya dihadiri Crown Prince Neirin dan seorang pembantunya yang paling setia, Frederick dan Handrien sahaja.

Sewaktu pertama kali menerima utusan untuk memaklumkan mengenai pertemuan sulit itu, baik Frederick dan Handrien tidak dapat menjangka dengan tepat kenapa putera mahkota itu ingin bertemu mereka tanpa pengetahuan orang lain. Prince Neirin membawa imej seorang putera yang bertanggungjawab jadi mereka hairan dengan jemputan itu.

“ Prince Neirin kata ada salah seorang Lord sedang cuba menggulingkan pemerintahan ayahandanya, kan?”

“ Prince Neirin hantar utusan, katanya dia perlukan bantuan daripada kita untuk rancangannya,” Frederick melihat kembali kepada isi surat itu.

“ Rancangan tuanku putera untuk menyiasat Lord itu?”

Frederick mengangguk. Sekali lagi dia mengeluh tetapi kali ini keluhannya kedengaran lebih berat daripada tadi. Handrien turut sama mengeluh.

“ Apa permintaannya?”

“ Dia minta aku hantar orang yang boleh aku percayakan untuk bantu dia siasat perkara ini. Buat masa ini, tiada siapa yang boleh dia percayakan melainkan beberapa orang sahaja. Kalau boleh, dia mahu aku bantu dari segi tenaga kerja sebab dia sendiri tidak sempat untuk menyiasat sendiri perkara ini. King Arthur tengah gering sekarang.”

“ Kau dah ada rancangan?”

Handrien tetap bertanya walaupun dia sudah maklum akan jawapannya. Daripada pemerhatiannya, Frederick sudah mempunyai rancangan tetapi berkemungkinan besar rancangannya itu mungkin agak sukar untuk dilaksanakan.

“ Kau ingat apa yang aku beritahu Prince Neirin dulu?”

Handrien terdiam. Perlahan-lahan dia mengangguk.

“ Kau cadangkan dia segera cari calon isteri sebab dengan cara itu, rakyat akan lebih mudah untuk menerimanya sebagai raja baharu kalau King Arthur ingin turun takhta sebab sakitnya. Yang itu?”

“ Ya, betul.” Frederick meraup wajahnya. “ Apa fikiran kau kalau kita teruskan cadangan itu? Aku kasihankan Prince Neirin, ketika King Arthur tengah sakit macam ni tak mustahil Lord itu berjaya dapatkan kuasa daripada Lord yang lain. Aku tak mahu kerajaan Zythor musnah. Mungkin perkara ini tidak begitu kelihatan di mata orang awam, tetapi kalau kita biarkan sahaja, lambat laun Zythor boleh musnah.”

“ Tapi Prince Neirin sendiri kata baginda tiada calon. Apa pendapat kau, selain daripada cari bakal isteri untuk Prince Neirin, kita hantar sahaja seorang utusan diraja untuk berada di Zythor dalam jangka masa yang lama? Kita boleh katakan lawatan ini untuk lebih mengenali kerajaan Zythor. Walaupun sudah bertahun-tahun hubungan Erkens dan Zythor sudah pulih tapi itu masih belum cukup untuk kita. Lebih baik lagi kalau utusan itu memang arif dengan Zythor dan cekap untuk menyiasat.”

“ Ada baiknya juga cadangan kau itu. Lagi pun Prince Neirin memang inginkan bantuan untuk menyiasat perkara ini. Kita samarkan tujuan sebenar utusan kita ke sana. Kau ada sesiapa untuk dicadangkan?”

Handrien diam sejenak. Dia menggeleng. “ Macam inilah, kau usulkan dahulu perkara ini kepada Prince Neirin sementara aku cari dahulu calon yang sesuai. Berikan aku masa. Aku cuba nilai dahulu sesiapa yang boleh kita percayakan dan mahir dalam mempertahankan diri. Lagi pun ini misi sulit, kan?”

“ Hanya kita berdua sahaja yang tahu pasal ini. Bukannya aku tak percayakan pembantu-pembantu yang lain tapi lebih baik kita minimakan jumlah orang yang mengetahui pasal perkara ini.”

“ Baiklah.”

Frederick bangun daripada duduknya lalu dia berpaling menghadap sebuah kabinet rendah di belakang meja kerjanya. Ada sebatang lilin sedang bernyala di situ. Walaupun lampu di dalam bilik itu tiada masalah tetapi Frederick gemar menyalakan sebatang lilin di tempat itu. Surat daripada Prince Neirin dihalakan pada nyalaan api itu. Sebarang bukti yang boleh menyebabkan rahsia mereka pecah harus dihapuskan serta merta.

“ Aku akan sampaikan dahulu pada Prince Neirin. Kau baliklah ke bilik kau, aku masih ada perkara yang perlu aku telitikan untuk mesyuarat esok. Hari pun dah malam ni,” kata Frederick selepas selesai membakar surat itu. Dia kembali duduk di meja kerjanya.

“ Tak apalah. Aku temankan sahaja kau di sini. Aku First Knight kau, memang patut aku selalu ada dengan kau, kan? Lagi pun bosan juga aku seorang diri dalam bilik tu.” Handrien tayang muka bosan. Dia mengambil tempat di sebuah sofa panjang yang berada di dalam bilik itu.

Kerana pangkatnya sebagai First Knight of Honour kepada King Frederick, kamar peribadi Handrien berada di bangunan yang sama dengan kamar peribadi Frederick. Enam orang Knight of Honour yang lain turut ditempatkan di bangunan itu. Handrien dan Second Knight serta Third Knight sahaja yang bilik mereka berada di tingkat yang sama dengan kamar Frederick.

“ Daripada jaga aku, kau lagi suka kalau dapat berjalan kat luar tu malam-malam macam ni kan? Macamlah aku tak kenal kau tu. Kawan-kawan kau si burung hantu dan kelawar kat luar sana ajelah,” balas Frederick sambil tersengih.

“ Aku sebenarnya terfikir untuk balik ke rumah. Dah jarang sangat aku jenguk rumah tu,” getus Handrien tiba-tiba. Matanya melihat kepada ukiran yang menghiasi siling bilik kerja Frederick itu.

“ Rindukan datuk kaulah tu,” usik Frederick.

“ Walaupun datuk aku tu dah semakin kuat membebel dari dulu, tapi dia tetap datuk kesayangan aku,” seloroh Handrien. Dia ketawa lucu apabila mengingatkan datuknya.

“ Pergilah balik rumah aku esok. Kalau kau tak ada pun aku masih ada Knight yang lainlah. Pergi lepaskan rindu kau pada datuk kesayangan kau tu,” cadang Frederick.

Frederick sebenarnya kasihankan Handrien kerana sejak Handrien menjadi First Knight, sahabatnya itu amat jarang pulang melawat keluarganya. Selalu juga Frederick memberi Handrien kebenaran untuk pulang ke rumah tetapi sahabatnya itu degil, taasub sangat dengan tanggungjawabnya yang berat sebagai First Knight. Sedangkan Knight yang lain biasa-biasa sahaja. Dalam mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai pengawal dan barisan pertama dalam ketenteraan, mereka tidak lupa untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli dalam keluarga mereka.

“ Tak apalah. Aku masih boleh jumpa datuk aku di istana ni,” Handrien menolak.

Lord Marshall masih kuat untuk membuat kerjanya di istana ini walaupun umurnya sudah hampir mencecah 90-an. Pergerakan datuknya masih tiada masalah walaupun sekarang ini dia perlu berjalan menggunakan sokongan tongkat. Suara datuknya masih diperlukan oleh pegawai-pegawai di sini. Sama seperti Lord Moyes yang juga masih menjalankan tanggungjawabnya dalam membantu mentadbir kerajaan ini.

“ Aku nak kau pulang ke rumah kau. Jangan sampai aku gulung kau dalam permaidani lepas tu hantar kau pulang ke rumah macam tu. Alang-alang tu, bawa pulang pai daging buatan Chef Pierre. Aku nak tiga,” kata Frederick tanpa mengalihkan perhatiannya daripada dokumen yang sedang ditelitinya sekarang.

“ Amboi! Itu aje kan tujuan utama kau suruh aku balik?”

Handrien bukannya tidak tahu Frederick amat gemarkan pai daging buatan Pierre, ketua tukang masak di Marshall Manor House. Sejak mereka kecil lagi Frederick sudah sukakan pai daging itu. Walaupun tukang masak istana bukannya calang-calang tukang masak tetapi Frederick mengatakan tiada siapa dapat menandingi pai daging buatan Pierre. Menggeleng sahaja Handrien sewaktu Frederick memberi alasan itu.

“ Pergi ajelah. Lagi pun aku tak akan keluar dari istana untuk beberapa hari ni. Banyak lagi kerja aku di sini. Sambil-sambil kau balik ke rumah, pergilah jenguk Lilianna sekali. Dia tentu nak jumpa kau,” Frederick mengangkat wajah daripada dokumen itu lalu melihat kepada Handrien.

“ Lilianna?”

“ Yalah! Lilianna! Siapa lagi? Kita dah lama tak jumpa dia. Dalam masa terdekat ni memang aku tak sempat jumpa dia, kau pergilah. Dia kan suka dengar cerita kita pergi ke tempat-tempat yang tak pernah dia pergi lagi.”

Walaupun Frederick dan Handrien masing-masing sibuk dengan tanggungjawab mereka, tetapi mereka tetap tidak melupakan Lilianna, gadis yang mereka bawa bersama-sama ke Erkens itu. Sejak pertemuan mereka lima tahun yang lalu, sering kali juga mereka bertiga berkumpul bersama-sama. Kebiasaannya Lilianna perlu masuk ke dalam istana disebabkan Frederick tidak boleh sesuka hati meninggalkan kawasan istana. Tetapi kadang kala mereka berdua akan ke Moyes Manor House. Mengambil masa mereka untuk bertukar-tukar cerita di bawah bumbung pondok cantik yang terletak di halaman rumah itu.

“ Kau nak aku bawa dia masuk istana?”

Frederick menggeleng. “ Aku pun nak jumpa dia tapi esok aku ada mesyuarat, lusa pun aku ada temu janji. Kalau nak tunggu aku ada sekali memang lambat lagilah. Itu pun kita tak tahu kalau aku tiba-tiba perlu ke tempat lain. Kau pergi jumpa dia dan sampaikan salam aku, boleh?”

Handrien mengeluh. Akhirnya dia mengangguk juga.

Frederick tersengih. Menggunakan nama Lilianna untuk memancing Handrien agar pulang ke rumah dan berehat adalah strategi yang akan berkesan. Bukannya Frederick tidak tahu Handrien mudah mengalah jika gadis itu dilibatkan. Mereka berdua menganggap Lilianna itu seperti adik mereka tetapi Frederick perasan layanan Handrien terhadap Lilianna sudah berubah. Tetapi tak apalah, nampaknya tuan punya badan belum sedar pasal hal ini. Frederick gelak dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience