Chapter 17

Other Completed 4791

BAB 17

“ MENGARUT!”

Lord Vaughan menghempas buku berkulit tebal yang dipegangnya tadi ke atas meja. Bunyi kuat itu diikuti nada suaranya yang meninggi membuatkan seisi bilik itu diam, takut untuk bersuara. Mereka tidak berani untuk mengatakan apa-apa ketika Lord Vaughan sedang memuntahkan amarahnya. Buruk padahnya jika mereka mncurah minyak pada api yang sedang marak menyala.

“ Dia fikir aku akan berdiam diri? Mengarut! Budak mentah tu tak tahu apa-apa! Aku lebih berkuasa daripadanya! Berani dia malukan aku tadi!”

Lord Vaughan menggeleng kepalanya berulang kali. Semakin panas hatinya ketika mengingatkan kejadian di Dewan Mutiara di mana keputusan penilaian hari semalam diumumkan di situ termasuklah siapa gadis yang terpilih menjadi bakal isteri Prince Neirin.

Sejak malam semalam lagi Lord Vaughan cuba merasuah panel bagi penilaian itu untuk meletakkan nama anak gadisnya dan mengubah keputusan penilaian tersebut tetapi usahanya sia-sia sahaja. Mereka tidak termakan dengan pujukannya malah apa yang paling membuatkan Lord Vaughan bengang adalah kerana mereka juga tidak mahu membocorkan identiti gadis yang terpilih itu.

Lord Vaughan tidak dapat menyembunyikan rasa terkejutnya apabila gadis yang menjadi wakil kerajaan Erkens di sini terpilih untuk menjadi bakal isteri Prince Neirin. Walaupun dia tidak menafikan prestasi gadis itu semasa penilaian semalam membuatkan dia tidak senang duduk, apatah lagi apabila melihat gadis itu dengan mudahnya mengendalikan pedang dan busur. Lord Vaughan hanya berfikir bahawa gadis itu sesuka hati sahaja menyertai penilaian ini kerana sebagai wakil kerajaan Erkens, gadis itu sepatutnya akan merasai sendiri kebudayaan dan aktiviti yang menarik di Zythor.

Sambil menahan amarah, Lord Vaughan mempersoalkan pemilihan gadis itu tetapi dengan tenang Prince Neirin mengatakan sepatutnya tiada masalah jika gadis itu terpilih kerana dia menunjukkan kemahirannya dengan baik dan tiada larangan untuk gadis bangsawan berasal dari Erkens untuk menjadi bakal isterinya.

Para panel penilai juga bersikap neutral dan memaklumkan kepadanya bahawa baginda permasuri juga sudah berkenan dengan pemilihan itu walaupun permaisuri masih belum sempat bertemu dengan gadis yang bakal mengahwini anak lelaki tunggalnya itu.

“ Tak guna!”

Lord Vaughan menjerit semahu-mahunya.

“ Dia ingat aku bodoh? Dah tentu dia berpakat dengan perempuan tu dari awal lagi! Sengaja panggil gadis itu dari Erkens untuk masuk campur dengan hal ini! Aku tak akan berdiam diri… tidak… kalau budak mentah itu fikir dia dah menang, dia silap. Aku tak akan sesekali tunduk!”

Lord Vaughan merenung tajam kepada pengikut-pengikutnya yang berada di dalam bilik itu. Wajah masing-masing menzahirkan ketakutan. Lord Vaughan tersenyum sinis.

“ Aku yakin dia sengaja panggil perempuan tu dari Erkens. Tak mustahil putera mahkota kesayangan Zythor itu meminta tolong daripada raja Erkens. Sebab apa? Sebab dia tahu… kedudukannya sebagai waris Zythor sudah terancam. Ya! Itu sebabnya!” Lord Vaughan ketawa galak.

“ Klaus!” Lord Vaughan menjerit lagi.

Seorang lelaki tinggi yang sedari tadi hanya mendiamkan diri di muka pintu berjalan mendekati Lord Vaughan. Pakaian serba hitam menyelubungi tubuh lelaki itu. Tiada sebarang riak pada wajah Klaus. Perasaan takut, tenang atau apa sahaja jarang dizahirkan pada wajah itu. Kosong sahaja ekspresi pada wajahnya.

“ Tuan,” Klaus bersuara perlahan.

“ Siasat identiti perempuan tu. Termasuklah sebab kenapa First Knight of Honour yang sepatutnya mengawal King Frederick datang ke sini sebagai pengiringnya.”

“ Baiklah.”

Tanpa berbicara panjang Klaus segera berjalan meninggalkan bilik itu. Pintu bilik itu ditutup rapat tanpa sebarang bunyi geselan kedengaran. Lord Vaughan kembali menyambung gelaknya. Semakin lama tawa itu kedengaran semakin menggila.

LILIANNA melihat kepada refleksi dirinya pada cermin besar di hadapannya. Rambut panjangnya sudah didandan cantik. Gaun berwarna kuning lembut dengan renda ungu lembut terletak elok pada tubuh langsingnya. Klip rambut mutiara diletakkan pada sanggul rambutnya. Sarung tangan panjang melepasi siku juga sudah tersarung pada kedua-dua tangannya. Lilianna mula tidak senang duduk menanti masa untuk majlis tari menari selepas ini.

Prince Neirin mengatakan Lilianna akan turun dari tangga pada tingkat atas bersama-samanya, saling menyilangi tangan. Selain daripada meraikan Lilianna sebagai tetamu kehormat, Prince Neirin juga mahu berbuat demikian untuk memperkenalkan Lilianna sebagai bakal isterinya. Semata-mata untuk membuatkan Lord Vaughan hilang pertimbangan.

“ Cik sangat cantik malam ni,” Emily bersuara.

Emily membetulkan kedudukan gaun Lilianna pada bahagian pinggulnya. Lilianna boleh dianggap tinggi untuk seorang gadis usianya. Tubuhnya yang langsing membuatkan apa-apa pakaian yang tersarung pada tubuh itu akan membuatkan dirinya kelihatan semakin menawan. Memang ramai lagi gadis yang lebih cantik dan jelita daripada gadis itu tetapi Lilianna punya kecantikannya yang tersendiri.

“ Terima kasih, Emily,” Lilianna tersenyum cemas. Barisan giginya yang tersusun rapi kelihatan. “ Saya tengah cuak ni.”

Tawa Emily kedengaran. “ Cik akan baik-baik sahaja. Lagi pun, inilah peluang cik untuk menari dengan putera mahkota kerajaan ini. Lagi pun baginda itu kan bakal suami cik?”

“ Emily, awak tahu kan pertunangan itu sekadar untuk membantu Prince Neirin daripada cengkaman Lord yang beria-ria mahukan anaknya dipilih, kan?”

“ Saya tahu, cik,” balas Emily. “ Tapi mana tahu, ketika pertunangan itu dibatalkan nanti, Prince Neirin tetap mahu meneruskan perkahwinan baginda dengan cik?”

“ Emily,” Lilianna memberi amaran tetapi dia tergelak juga kerana perasaan cemasnya.

“ Eh? Itu mesti Lord Handrien,” ucap Emily apabila mendengar ketukan di pintu. Bergegas gadis itu menuju ke muka pintu. Tepat sangkaan Emily, Handrien sedang berdiri di muka pintu.

“ Handrien,” Lilianna menarik senyum.

“ Selamat petang, tuan puteri. Izinkan patik bawa tuan puteri untuk bertemu tuanku putera,” ujar Handrien dengan senyum pada wajahnya.

Handrien kelihatan lebih segak dalam sut formalnya. Kot berekor panjang berwarna hitam dipadankan dengan kemeja berwarna putih. Vest kelabu kelihatan dari balik kot tersebut. Tali leher berwarna biru gelap menjadi pilihan Handrien.

“ Dah, berhenti mengarut,” Lilianna berjalan mendekati Handrien. Sampai sahaja di muka pintu, Lilianna menoleh kepada Emily yang sedang mengemas alat solek di atas meja. “ Emily?”

“ Ya, cik,” Emily segera berdiri menghadap cucu majikannya itu.

“ Saya sediakan gaun untuk awak, ada di dalam almari. Pakai gaun itu dan nikmati malam ini sepuas hati awak ya?”

“ Eh?” Emily terkejut. “ Tapi, cik…”

“ Pakai. Itu arahan saya. Jom, Handrien,” Lilianna melihat pula kepada Handrien. Lengannya disilangkan pada tangan Handrien. Tanpa menunggu Emily menghabiskan bantahannya, Lilianna segera keluar dari bilik itu.

“ Awak memang sengaja nak seksa Emily, kan?” Handrien mengusik.

Lilianna ketawa. “ Pada awal-awal sahaja dia akan kekok. Bila dah dapat makan buffet yang sedap dan diajak menari oleh lelaki yang budiman, pasti Emily akan gembira. Apa salahnya kalau dia terlibat juga dengan majlis ini?”

“ Elok juga idea awak tu. Jadi, tuan puteri…” Handrien menegapkan badannya. “ …bersedia untuk menghadap rakyat tuanku yang menunggu kehadiran tuan puteri mereka yang menawan ini?”

“ Baiklah. Tolong iring beta ke sana,” Lilianna ketawa lagi, mengikut sahaja gelagat Handrien.

Mereka berdua berjalan ke tempat di mana mereka akan bertemu dengan Prince Neirin dan Leon. Bunyi muzik yang terhasil daripada piano dan violin sudah kedengaran dari arah yang dituju oleh mereka. Begitu juga dengan bunyi-bunyi perbualan dalam nada yang teratur. Akhirnya kelihatan juga Prince Neirin yang sedang berdiri di sebalik langsir.

Lilianna melepaskan silangan tangannya pada lengan Handrien. Dia menunduk sedikit dengan kedua-dua tangannya ditaut rapat pada paras perutnya. “ Selamat petang, tuanku.”

“ Lady Lilianna,” Prince Neirin membongkok seraya mengambil tangan kanan Lilianna untuk dicium. “ Beta harus puji kecantikan kamu pada malam ini.”

Lilianna tersenyum malu. Prince Neirin kelihatan kacak dan segak dalam persalinan berwarna putih. Pakaiannya sama sahaja seperti pakaian Handrien, cuma vest berwarna ungu muda dan reben putih menjadi pilihan Prince Neirin. Kemeja putih juga tersarung di tubuh tegap itu, sebahagian besarnya terlindung di balik vest ungu dan kot labuh berwarna putih dengan sedikit corak ungu pada bahagian kolarnya.

“ Beta harap cik bersedia ketika Leon mengumumkan pertunangan kita pada pertengahan majlis. Walaupun beta tahu, beta tak patut meminta banyak kerana cik sudah sudi membantu beta ketika penilaian itu.”

“ Tak mengapa, tuanku,” Lilianna menggeleng sekilas. “ Asalkan tiada kekecohan berlaku. Patik harapkan bakal isteri tuanku yang sebenarnya akan maafkan tindakan patik ini, menyamar sebagai tunang tuanku buat sementara waktu.”

“ Itu…” Prince Neirin tergelak. “ Beta pun tak tahu di mana nak cari bakal isteri beta itu. Jadi, buat masa ini beta harap Lady Lilianna boleh jadi gadis yang terbaik untuk beta. Dah bersedia?” Lengan kanan Prince Neirin dibuka.

Lilianna mengangguk. “ Baiklah.” Tangan kirinya diletakkan pada lengan kanan Prince Neirin. Dia menarik nafas lalu dihembus perlahan, cubaannya untuk menenangkan diri.

Leon berjalan ke arah tangga besar yang menghubungkan tingkat itu dengan lantai tarian di bawah. Gong kecil yang berada di tangannya dibunyikan sebanyak tiga kali. Muzik yang kedengaran tadi mula berhenti sebelum alunan muzik lain pula mula dimainkan.

“ Mengumumkan ketibaan Yang Mulia Putera Mahkota Neirin Edward dan Yang Diraikan Lady Lilianna Rosalyn Moyes.”

Kaki Lilianna mula diatur mendekati tangga, mengikut langkah Prince Neirin di sebelahnya. Mereka berdua berhenti sejenak di situ sebelum menuruni tangga. Lilianna menarik senyum, cuba untuk memberikan senyuman yang berseri, bukan senyumannya ketika dia sedang cemas.

Chandelier yang menghiasi siling tinggi Dewan Besar itu kelihatan bersinar pada pandangan Lilianna sebelum dia melihat kepada tetamu jemputan untuk majlis tari menari itu. Kesemuanya kelihatan anggun dan segak dengan pakaian masing-masing. Setibanya mereka di lantai tarian, Lilianna melepaskan pegangan tangannya pada lengan Prince Neirin dan menunduk sedikit kepada hadirin di hadapannya.

“ Beta ucapkan terima kasih atas kedatangan anda sekalian. Seperti yang kalian tahu, majlis ini diadakan untuk meraikan kedatangan Lady Lilianna ke sini. Lady Lilianna adalah wakil daripada Kingdom of Erkens ke Kingdom of Zythor untuk memantapkan lagi hubungan diplomatik kedua-dua kerajaan. Beta harap kalian berbesar hati menerima Lady Lilianna sebagai tetamu di kerajaan ini.”

Prince Neirin menoleh kepada Lilianna di sebelahnya. Lilianna faham akan isyarat itu. Sudah tiba masanya untuk dia memperkenalkan dirinya. Lilianna merapatkan kedua-dua tangannya lalu direhatkan di bawah aras perutnya. Matanya memerhatikan kepada wajah-wajah di hadapannya buat seketika sebelum dia mula membuka mulut untuk bersuara.

“ Selamat petang kepada tuan-tuan dan puan-puan semua. Nama saya Lilianna Rosalyn Moyes. Saya dihantar ke sini oleh baginda King Frederick untuk belajar dan mengambil perkara yang baik-baik yang saya boleh dapati di kerajaan ini. Saya harap kedatangan saya ke sini akan boleh membawa kebaikan kepada kita semua. Buat sementara waktu ini, saya akan berada dalam jagaan kalian semua. Terima kasih.”

Sekali lagi Lilianna menunduk. Tepukan mula kedengaran dari lantai tarian itu. Pada saat dia mengangkat wajahnya, Lilianna dapat lihat senyuman yang terukir pada wajah-wajah di hadapannya itu kelihatan ikhlas. Lilianna melebarkan senyumannya, gembira dengan penerimaan mereka.

“ Nikmati keindahan pada malam ini,” ujar Prince Neirin.

Muzik semakin rancak dimainkan. Lilianna berpaling untuk berhadapan dengan putera tersebut.

“ Terima kasih, tuanku. Untuk majlis ini,” Lilianna menyuarakan keikhlasannya.

“ Beta harap kamu akan gembira pada malam ini. Pasal semalam…” Prince Neirin terdiam buat seketika. Baginda menarik senyum hambar. “ Beta minta maaf, buat kamu terkejut.”

“ Tak mengapa. Patik yang tak bersedia,” nafi Lilianna. Dia tidak mahu membuatkan lelaki itu rasa bersalah terhadapnya. Tambahan lagi jika bukan kerana Prince Neirin, Lilianna tidak tahu adakah dia akan sampai sejauh ini dalam siasatannya.

“ Malam ini, beta hanya mahu Lady Lilianna berasa senang hati sahaja dengan majlis ini. Kita akan bincang kembali apa yang tertinggal malam semalam.”

“ Baiklah.” Lilianna ketawa perlahan. “ Bukan selalu kita ada malam yang tenang seperti ini untuk dinikmati.”

“ Jadi, Lady Lilianna,” Prince Neirin membongkok. Tangan kanannya dihulurkan kepada Lilianna manakala tangan kirinya kemas diletakkan pada belakang tubuhnya. “ Sudikah kamu menari dengan beta?”

Lilianna tersenyum. Huluran tangan Prince Neirin disambut.

“ Mana mungkin patik tolak pelawaan seperti ini?”

Prince Neirin membawa Lilianna ke tengah-tengah lantai tarian. Kebanyakan pasangan yang sedang menari waltz berhenti daripada meneruskan tarian mereka dan bergerak menjauhi kawasan tengah lantai tarian itu, mengalihkan perhatian mereka kepada pasangan tersebut. Ada yang melihat dengan perasaan teruja, ada juga yang melihat dengan pandangan semacam sahaja.

Alunan muzik bertukar kepada simfoni perlahan. Prince Neirin memulakan langkahnya, menghayun tubuh langsing Lilianna mengikut rentaknya. Lilianna tidak perlu masa yang lama untuk membiasakan dirinya dengan rentak Prince Neirin. Lelaki itu tahu apa yang dibuat olehnya.

“ Boleh patik tanya sesuatu?” Lilianna bersuara perlahan, hanya cukup untuk didengari Prince Neirin yang berada rapat dengan tubuhnya. Kepalanya didongak untuk melihat pada wajah kacak putera tersebut.

“ Apa yang kamu ingin tahu?” Prince Neirin melajukan rentaknya, mengikut alunan muzik yang berubah.

“ Tuanku memang tak adalah sesiapa dalam fikiran tuanku untuk dijadikan bakal permaisuri kerajaan ini? Maksud patik, tuanku pilih dan mahukan dia sebab tuanku sayangkan dia. Bukannya atas kehendak politik semata-mata.”

“ Seseorang yang beta mahukan kerana sayang?” Prince Neirin mengangkat tangannya yang memegang tangan Lilianna dan memusingkan tubuh gadis itu sebelum menariknya kembali pada kedudukan asal mereka. “ Beta ada.”

“ Ada?” Lilianna tersenyum. Matanya bersinar. “ Boleh patik tahu siapa?”

Prince Neirin ketawa. Tawanya perlahan dan teratur. “ Bukankah pada masa ini sepatutnya Lady Lilianna menjadi tunang beta? Tak cemburukah wahai tunangan kanda?”

Lilianna turut ketawa. “ Tak salah untuk patik bertanya, kan?”

“ Dia…” Senyuman pada wajah Prince Neirin bertukar pudar. “ Kalau boleh beta memang mahu jadikan dia sebagai permaisuri beta tapi, beta tak mahu rampas kebebasan yang dia miliki.”

Dahi Lilianna berkerut. “ Apa maksud tuanku?” tanya Lilianna kehairanan.

“ Perbezaan status, Lady Lilianna,” jawab Prince Neirin.

Lilianna melihat pada sepasang mata berwarna biru itu, warnanya seperti lautan biru yang boleh dilihatnya pada ufuk bumi. Dalam, gelap dan menyimpan seribu satu rasa.

“ Gadis itu bukan gadis bangsawankah?” tanya Lilianna lagi.

Senyuman hambar pada wajah kacak itu sudah cukup untuk menjawab pertanyaan itu.

Bagaimana percintaan seorang putera mahkota kesayangan rakyat jelata terjalin dengan seorang gadis kebanyakan? Di manakah mereka bertemu? Apakah yang putera ini lihat pada gadis tersebut? Adakah cinta putera ini disambut oleh gadis itu? Bolehkah rakyat menerima percintaan insan yang terpisah kerana darjat ini?

Satu demi satu persoalan bermain dalam fikiran Lilianna. Dia mahu bertanya tetapi pada masa yang sama Lilianna tidak mahu masuk campur hal orang lain. Lilianna sedar dia perlu menjaga jarak di antaranya dengan Prince Neirin. Dia tidak mahu bakal pemerintah Zythor itu beranggapan yang tidak elok pada dirinya.

“ Dia seorang penjual bunga dan kayu api di sebuah kampung yang selalu beta kunjungi,” Prince Neirin mula bersuara selepas sekian lama mereka mendiamkan diri. Tubuh mereka masih bergerak mengikut alunan muzik. “ Dia selamatkan beta masa beta alami kemalangan di dalam hutan dahulu.”

“ Kemalangan?” Lilianna terkejut.

“ Beta ke sana untuk lihat kehidupan rakyat yang tinggal di kampung. Beta menyamar sebagai orang kebanyakan juga. Malangnya beta termasuk dalam perangkap pemburu dalam hutan itu. Kaki beta cedera dan dialah orang yang terjumpa beta di situ. Dia tolong leraikan perangkap itu.”

“ Dia abaikan kayu api yang dia dah kutip dan papah beta pulang ke rumahnya. Beta cuba untuk menolak tapi dia kata, bapanya boleh sembuhkan luka pada kaki beta. Memandangkan dia tak tahu identiti sebenar beta, beta terpaksa ikut sahaja.”

“ Selepas itu, beta dirawat di rumahnya selama beberapa hari,” Prince Neirin meneruskan ceritanya. “ Beta bukan jatuh cinta pada kecantikan wajahnya, tapi pada peribadinya. Walaupun hidup beta dikelilingi gadis bangsawan yang sentiasa anggun dalam gaun mahal mereka, tapi bagi beta dialah yang paling cantik walaupun pakaiannya hanyalah sehelai gaun biasa yang sudah lusuh.”

“ Gadis itu tahu tuanku cintakan dia?”

Prince Neirin mengangguk. “ Dia pun mengaku dia sayangkan beta tapi… bila dia tahu beta adalah putera mahkota kerajaan ini, dia minta beta lupakan dirinya.”

“ Kerana darjat?”

“ Ya.” Prince Neirin mengeluh. “ Bagi dia, masih ramai lagi gadis yang layak untuk menjadi permaisuri beta. Dia takut dia tak mampu menggalas tanggungjawab sebagai permaisuri kerajaan ini sekiranya dia menerima lamaran beta.”

“ Tuanku dah melamar dia?” Lilianna terkejut.

“ Dan dah ditolak,” Prince Neirin ketawa hambar.

Lilianna tersengih. “ Tahukah dia, dalam seumur hidup seorang gadis, peluang untuk menerima lamaran daripada seorang putera raja boleh dianggap mimpi dalam realiti?”

“ Bukannya selalu ada putera raja melamar gadis kebanyakan,” Prince Neirin ketawa lagi. “ Tapi, apa yang penting adalah kebahagiaan dia. Kalaulah dia menerima lamaran beta, harga yang perlu dia bayar adalah kebebasannya. Betul juga pilihannya itu. Beta tak mahu jadikan dia seperti burung yang terperangkap di dalam sangkar emas, setiap pergerakan dan tindakannya akan menjadi perhatian.”

“ Tapi sebenarnya,” Lilianna merenung jauh ke dalam mata biru itu, “ Tuanku nak selalu bersama dengan gadis itu, kan?”

“ Kadang kala cinta perlukan pengorbanan, Lady Lilianna,” balas Prince Neirin. “ Walaupun beta tak dapat tipu diri sendiri, beta memang berharap untuk berada di sampingnya. Beta sanggup tinggalkan hidup beta ini, belajar untuk hidup seperti orang kebanyakan tapi beta ada tanggungjawab untuk kerajaan ini. Seperti mana beta lepaskan dia untuk kekalkan kebebasannya, beta perlu korbankan kemahuan sendiri untuk kebaikan rakyat.”

“ Tuanku dah tak bertemu dengannya?”

Prince Neirin menggeleng. Ada kesedihan dizahirkan pada wajah itu.

“ Hari dia menolak lamaran beta, itulah kali terakhir beta bertemu dengannya.”

Lilianna terdiam. Tidak menyangka lelaki di hadapannya ini menyimpan kisah yang sebegini. Siapa sangka walaupun hidupnya dilimpahi kemewahan, hatinya tidak bahagia?

“ Kamu ada orang yang kamu cinta?”

“ Huh?” Lilianna tersentak. “ Cinta?”

“ Kamu tak ada? Atau kamu tak sedar kamu cintakan seseorang?”

“ Itu…” Lilianna kematian kata-kata, tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan itu.

“ Mungkin kamu tak sedar, tapi…” Prince Neirin menghentikan langkahnya. Matanya melihat ke hadapan, melepasi Lilianna. Senyumannya terukir. “ …ada orang yang sayangkan kamu, Lady Lilianna.”

“ Tuanku?”

Lilianna hairan kerana tiba-tiba sahaja Prince Neirin berhenti menari sedangkan muzik masih belum berhenti. Dia menoleh ke belakang, ingin melihat apakah yang menarik perhatian putera itu. Susuk tubuh seorang lelaki yang amat dikenalinya berdiri tidak jauh dari kedudukan mereka berdua.

“ Handrien!”

“ Masa untuk bertukar pasangan, Lady Lilianna,” Prince Neirin memusingkan tubuh gadis itu dan dilepaskan ke arah Handrien. Handrien segera menyambut tubuh Lilianna, risau langkah gadis itu tidak stabil. “ Nikmati malam ini, Lord Handrien. Izinkan beta beredar dahulu. Terima kasih untuk tarian yang sempurna ini, Lady Lilianna.”

“ Sama-sama… tunggu!” ucap Lilianna ketika Prince Neirin berpusing untuk menuju ke arah yang bertentangan. Langkah Prince Neirin terhenti.

“ Boleh patik tahu namanya?”

Prince Neirin menghela nafas sebelum mengukir senyum. “ Ava Hall.”

“ Namanya cantik,” Senyuman manis Lilianna menghiasi wajahnya. “ Tentu secantik orang dan peribadinya, kan?”

“ Ya.”

“ Patik harapkan tuanku akan dapat berbahagia dengan Cik Ava,” ucap Lilianna ikhlas. “ Mungkin seperti mana tuanku tidak mahu Cik Ava hilang kebebasannya, pada masa yang sama Cik Ava rela korbankan kebebasannya untuk bersama-sama dengan tuanku.”

“ Patik hanya berfikir, Cik Ava hanya terkejut dengan status sebenar tuanku dan risau akan tanggungjawab seorang permaisuri. Tapi patik percaya, kalaulah Cik Ava benar-benarkan cintakan tuanku, akan ada dalam hatinya walaupun secebis, keinginan untuk membuktikan bahawa dia layak untuk berada di samping tuanku sebagai seorang isteri dan juga permaisuri kerajaan ini. Tiada salahnya untuk tuanku pergi bertemu dengannya lagi.”

Raut wajah Prince Neirin berubah. Kelihatannya pelbagai emosi bercampur baur dalam diri lelaki itu. Senyuman pada wajah kacak itu kelihatan semakin sayu.

“ Terima kasih, Lady Lilianna. Memang beta ingin bertemu dengannya lagi. Tiada apa yang beta fikirkan untuk menjadi isteri beta selain dia. Tapi beta tak dapat bertemu dengannya. Mungkin sebenarnya beta takut untuk ditolak buat kali kedua.”

Dengan itu, Prince Neirin beredar dari tempat itu. Lilianna melihat sahaja belakang tubuh putera itu yang sedang berjalan ke arah yang bertentangan dengan kedudukannya. Lelaki itu kelihatan gagah pada luarannya tetapi sebenarnya Prince Neirin memendam rasa.

“ Kenapa, Lilianna?” Handrien bersuara sekaligus menarik Lilianna daripada fikirannya. “ Apa yang kamu berdua bualkan?”

Lilianna mendongak, melihat kepada lelaki itu. Dia menghadiahkan senyuman kepada Handrien yang kelihatan hairan. “ Tak ada apa-apa.”

“ Awak tentu penat menari kan?” Handrien tidak bertanya dengan lebih lanjut. Dibiarkan sahaja topik perbualan mereka berubah. “ Tak mahu makan atau minum dulu ke? Awak boleh menari lagi lepas ni.”

“ Boleh juga. Awak temankan saya makan kejap, lepas tu awak kena jadi pasangan menari saya.”

“ Menari dengan awak?” Handrien buat muka. “ Macamlah awak tak tahu saya tak suka benda-benda macam ni.”

Lengan Handrien dicubit. “ Jangan nak mengada. Dah, jom makan. Saya dah lapar dan dahaga ni. Oh ya, nampak Emily tak?”

Lilianna baru teringat akan pembantu peribadinya itu. Dia tidak tahu Emily mengikut arahannya atau tidak. Matanya meliar di sekitar dewan itu, mencari kelibat Emily.

“ Emily tengah makan kat sana,” Handrien menunjuk ke suatu arah. “ Ada seorang lelaki muda dengannya. Nampak gayanya lelaki itu pembantu kepada seorang Lord yang datang ke sini.”

Lilianna melihat kepada gaya Emily yang berubah seratus peratus daripada gaya biasanya. Cantik sahaja gadis itu mengenakan gaun pemberiannya. Emily mempunyai wajah yang cantik malah tubuhnya pula tinggi. Emily lebih tinggi daripadanya. Melihatkan Emily pada malam ini membuatkan Lilianna yakin tiada siapa menyangka bahawa gadis itu adalah pembantu peribadi kepada orang lain.

“ Tadi saya nampak ada seorang Lord muda ajak dia menari, tapi dia tolak. Sekarang ni dia tengah berbual pula dengan lelaki itu,” kata Handrien lagi.

“ Emily tolak lelaki itu sebab itu lelaki bangsawan,” jawab Lilianna. Dia tahu Emily tidak mahu terlibat dengan mana-mana lelaki bangsawan walaupun hanya berkenalan di majlis seperti ini. Emily pernah mengatakan kepadanya, dia tidak mahu dirinya terlibat dalam cinta di antara dua darjat.

Dua… darjat?

Fikiran Lilianna kembali pada perbualannya dengan Prince Neirin tadi. Dia tidak dapat memahami Ava Hall dengan sepenuhnya, tetapi dia tahu akan ketakutan untuk memulakan hubungan dengan orang yang berlainan status. Tambahan lagi, Prince Neirin bukannya calang-calang orang. Baginda adalah pewaris kepada kerajaan yang besar dan disegani ramai ini.

“ Lilianna?”

“ Ya?” Lamunan Lilianna dihalau jauh. Matanya kembali kepada wajah Handrien.

“ Mari, kita makan dulu. Muka awak nampak pucat sedikit.”

“ Baiklah.”

Lilianna dan Handrien berjalan ke arah meja buffet. Pelbagai jenis hidangan disajikan di situ. Daripada sajian berat sehinggalah kepada pelbagai jenis pemanis mulut. Lilianna hanya mengambil sedikit sahaja makanan untuk diletakkan di atas pinggannya. Seleranya agak berkurangan pada malam ini sedangkan pantang baginya untuk menolak makanan yang banyak sebegini.

Mereka berdua mengambil tempat di sebuah meja bulat yang kosong. Lantai tarian masih dipenuhi dengan pasangan yang sedang menari walaupun kebanyakan meja bulat itu juga diduduki orang yang sedang menikmati hidangan masing-masing atau pun berbual-bual.

“ Selepas ini awak akan diumumkan sebagai bakal isteri Prince Neirin,” kata Handrien selepas selesai mengunyah makanannya. “ Jangan sebab awak gelabah, awak cakap perkara yang tak sepatutnya pula.”

“ Mana ada,” Lilianna ketawa walaupun sebenarnya dia cemas menanti detik itu. Dia amat berharap majlis ini akan berlalu dengan cepat. Tidak sanggup lagi dia untuk menunggu masa pengumuman itu.

“ Sekurang-kurangnya awak tak terlalu fikirkan perkara yang tak sepatutnya. Kita akan bincangkan perkara itu pada esok hari. Untuk malam ini, lupakan apa yang awak dengar sekarang.”

“ Handrien… baiklah.”

Lilianna terharu dengan tindakan Handrien. Walaupun lelaki itu tidak menzahirkan apa-apa, tetapi akan ada nasihat berguna keluar daripada mulutnya. Lilianna berhasrat untuk mengikut sahaja nasihat itu. Daripada dia membebankan fikirannya dengan perkara itu, lebih baik dia merehatkan sahaja mindanya untuk malam ini. Manalah tahu, dia akan ada idea atau rancangan yang lebih baik ketika Prince Neirin kembali membincangkan perkara itu?

“ Maaf menganggu, cik…”

Lilianna dan Handrien melihat kepada pemilik suara itu. Dua orang gadis yang kelihatan sebaya dengan Lilianna berdiri tidak jauh daripada meja mereka. Mata Lilianna membulat. Dia kenal akan kedua-dua gadis itu. Mereka adalah kawan-kawannya!

“ Maaf, Lady Lilianna… boleh saya nak bertanya?” Gadis bergaun merah jambu itu bersuara.

“ Ya…” Suara Liliana merendah.

“ Cik… awak Lilianna Beaumont, kan? Lilianna… kan?”

Sebelah tangan Lilianna mencari tangan Handrien di bawah meja. Tangan itu digenggam erat. Lilianna memaksa dirinya untuk mengukir senyum kepada mereka berdua.

“ Ya… saya. Ini saya… Alice, Camila…”

Wajah kedua-dua gadis itu berubah. Mereka berdua meluru ke arah Lilianna. Tubuh Lilianna dipeluk erat. Lilianna terkaku dengan tindakan mereka berdua.

“ Lilianna! Kami… kami rindukan awak…”

Lilianna menelan liur. Dia melepas pegangannya pada tangan Handrien. Handrien melihat sahaja situasi itu. Lilianna merenggangkan pelukan mereka. Wajah Alice dan Camila direnung. Hatinya terasa sayu melihatkan air muka mereka menjadi sedih. Lilianna menggigit bibir.

Akhirnya masa ini tiba juga.

“ Dah lama kita tak jumpa, kan?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience