Chapter 10

Other Completed 4791

BAB 10

LILIANNA menelan liur. Matanya melihat kepada segenap inci pada rumah agam yang sedang berdiri megah di hadapannya. Manor House keluarga Moyes jauh lebih gah berbanding Manor House keluarga Beaumont. Lilianna tidak pasti bagaimana rumah agam sebesar ini dapat dijaga dengan baik. Kelihatannya sama sahaja seperti istana Raja Zythor.

“ Lilianna, mari masuk,” Lord Moyes mengajak gadis itu.

“ Er.. ya. Baiklah.”

Lilianna mengekori langkah Lord Moyes yang sedang berjalan beberapa tapak mendahuluinya. Beberapa orang pembantu rumah sedang menyambut kedatangan mereka. Seorang lelaki yang kelihatan sebaya dengan Lord Moyes turut berada bersama-sama kumpulan pembantu rumah itu. Daripada gayanya, Lilianna mengagak lelaki tua itu adalah butler di rumah ini.

“ Selamat kembali, tuan,” kata lelaki tua itu. Kumpulan pembantu rumah itu memberi tunduk hormat.

“ Terima kasih, Harold.” Lord Moyes menyerahkan kot labuh yang ditanggalkannya kepada lelaki tua bernama Harold itu. Lilianna tersentak ketika mata lelaki tua itu menemui wajahnya.

“ Ini…”

Lord Moyes tersenyum. “ Kenalkan, ini cucu perempuan saya. Lilianna Beaumont. Lilianna, ini Harold Traynor, butler rumah ini.”

“ Se… selamat berkenalan.” Lilianna menundukkan kepalanya sedikit. Kekok apabila merasakan lelaki tua itu merenungnya tajam, seakan-akan tembus pandangan lelaki itu pada tubuhnya.

“ Saya dah terima surat yang tuan hantar tapi… tak sangka…” suara Butler Traynor mengendur. Lilianna mengangkat wajahnya, memberanikan diri untuk membalas pandangan lelaki tua itu. Dia tergamam apabila melihat riak pada wajah tua itu berubah menjadi sayu.

“ Sama, kan?” Lord Moyes bersuara perlahan.

Butler Traynor mengangguk. “ Seperti melihat Lady Ophelia sendiri.”

Mendengarkan nama ibu disebut oleh lelaki tua itu membuatkan Lilianna bungkam. Dia tidak tahu bagaimana untuk menzahirkan perasaannya pada masa ini. Melihatkan air muka Butler Traynor menyakinkan Lilianna bahawa mendiang ibunya turut disayangi oleh butler rumah ini.

“ Selamat datang, Lady Lilianna,” kata Butler Traynor sambil berdiri di hadapan Lilianna. “ Saya menjaga ibu cik sejak dia masih bayi. Tak sangka, saya dapat berjumpa dengan anak kandungnya sendiri.”

“ Terima kasih…”

“ Kita masuk dulu ya, Lilianna?” celah Lord Moyes, tidak mahu suasana sedih itu terus menyelubungi mereka. “ Datuk nak bawa Lilianna jumpa nenek. Nenek kurang sihat jadi dia terpaksa berehat di dalam bilik. Nenek nak sangat jumpa Lilianna, tahu?”

Lilianna mengangguk dalam ketidakselesaannya. Dia masih kekok membahasakan panggilan datuk kepada Lord Moyes walaupun lelaki tua itu bersungguh-sungguh agar Lilianna memanggilnya dengan panggilan itu.

Perlahan sahaja langkah Lilianna mengekori Lord Moyes yang membawanya ke kamar yang menempatkan Lady Moyes. Lilianna tidak dapat menghalang dirinya daripada memerhatikan kepada segenap ruang yang ada di sepanjang koridor yang dilaluinya. Dinding koridor itu dihiasi dengan potret-potret yang Lilianna jangkakan nilainya begitu tinggi. Ada juga beberapa buah meja yang menempatkan perhiasan-perhiasan antik di koridor itu.

Inikah rumah di mana ibunya membesar?

“ Silakan masuk, Lilianna.”

Kata-kata Lord Moyes menarik kembali perhatian Lilianna daripada melihat kepada sebarang objek yang diperhatikannya tadi. Mereka berdua berhenti di hadapan sebuah bilik. Jantung Lilianna terasa berdegup laju. Peluh menitik daripada dahinya walaupun suhu di sekelilingnya boleh dikatakan rendah. Lord Moyes mengukir senyum, cuba menenangkan perasaan Lilianna yang sedang gugup.

“ Nenek dah lama tunggu masa untuk jumpa kamu, Lilianna,” kata Lord Moyes.

Pintu bilik itu dibuka perlahan. Takut-takut Lilianna melihat ke dalam bilik itu. Lord Moyes mempelawanya masuk. Nak tak nak Lilianna terpaksa mengikut juga. Matanya dihala ke hadapan.

Seorang wanita yang kelihatan sebaya dengan nenek belah bapanya sedang duduk bersandarkan bantal di atas katil. Ada seorang pembantu rumah berada di sebelah katil itu, kelihatannya dia sedang mengatur sesuatu di atas kabinet kecil yang berada bersebelahan dengan katil itu. Gadis pembantu rumah itu menghentikan kerjanya lalu memberi tunduk hormatnya kepada Lord Moyes.

“ Boleh tinggalkan kami sebentar, Grace?”

“ Baiklah, tuan.”

Tanpa berlengah lagi Grace meninggalkan bilik itu. Lilianna sempat memerhatikan gadis pembantu rumah itu. Kelihatannya Ayda tua beberapa tahun daripada dirinya. Wajahnya beriak lembut, suka pula Lilianna melihat gadis itu walaupun hanya sekejap saja pertemuan mereka.

“ Abang, ini…”

Lilianna terdiam. Dirinya menjadi tumpuan wanita tua yang difikirnya sebagai Lady Moyes itu. Lilianna kaget apabila melihat wanita tua itu mula mengalirkan air matanya. Berkaca-kaca mata wanita tua itu melihat dirinya.

“ Err…” Lilianna kematian kata-kata. Dia langsung tidak tahu apakah yang patut dia katakan kepada wanita tua itu.

“ Lilianna… cucu nenek…” Wanita tua itu mengangkat tangannya, menginsyaratkan agar Lilianna mendekati dirinya.

“ Pergilah,” pujuk Lord Moyes. “ Nenek gembira sangat dapat jumpa kamu tu.”

Lilianna akur sahaja dengan permintaan Lord Moyes. Perlahan sahaja pergerakannya ketika mendekati wanita tua itu. Berbagai-bagai jenis soalan bermain dalam fikirannya pada saat ini. Adakah benar ini adalah ibu kepada mendiang ibunya? Benarkan dia cucu kepada wanita tua ini? Adakah ini bermakna dia diterima untuk memasuki keluarga ini? Soalan demi soalan mengasak minda Lilianna tetapi satu pun dia tidak dapat ajukan kepada Lord Moyes mahu pun wanita tua ini.

“ Cucu nenek…”

Erat wanita tua itu memeluk tubuh Lilianna. Lilianna kaku buat seketika. Teragak-agak dia membalas pelukan wanita tua itu. Lord Moyes berdiri sahaja di sebelah katil itu, memerhatikan mereka berdua. Esakan wanita tua itu kedengaran. Hati Lilianna terasa sayu. Dia dapat merasakan wanita tua ini amat merindui satu-satunya anak perempuannya yang kini sudah tiada lagi di dunia ini.

Ibu…

“ Maafkan nenek… Lilianna… Nenek langsung tak tahu… tak tahu kamu hidup selama ini… Nenek…”

“ Tak… tak apa… nenek…”

Terasa begitu janggal untuk Lilianna memanggil wanita tua itu dengan panggilan sedemikian. Dia mengusap belakang tubuh wanita tua itu. Perlahan-lahan rasa kekoknya hilang, digantikan dengan suatu perasaan yang tidak dapat dia ungkapkan dengan kata-kata. Memeluk wanita tua ini mengingatinya kepada pelukan ibu. Lilianna merasakan dirinya selamat dalam pelukan itu.

“ Lilianna…” Lady Moyes meleraikan pelukannya. Wajah Lilianna direnung sayu. “ Anggaplah ini rumah kamu, ya? Nenek dah dengar daripada datuk pasal kamu. Maafkan nenek, kamu masih muda tapi… kamu terpaksa lalui semua ini.”

“ Tak apa, nenek.” Lilianna tersenyum hambar. “ Saya berterima kasih pada datuk dan nenek, kalau tidak mungkin sekarang ini saya sedang bersembunyi di mana-mana kampung kecil.”

Lady Moyes menggeleng perlahan. Kedua-dua tangan Lilianna digenggam erat. “ Tempat kamu memang di sini, cucuku. Malangnya, hanya sekarang kita dapat bertemu. Wajah kamu…” Tangan kanan Lady Moyes dilekapkan pada sebelah pipi Lilianna, pipi itu diusap perlahan. “… saling tak tumpah dengan wajah ibu kamu.”

Lilianna menggigit bibir, cuba menghalang dirinya daripada menangis. Jika sebelum ini ketika Lord Moyes mengatakan dia menerima dirinya sebagai cucu Lilianna berasa ragu-ragu, tetapi apabila bertemu dengan Lady Moyes, perasaannya itu sudah hilang. Dia dapat merasakan dirinya disayangi wanita tua yang baru ditemuinya ini. Dalamnya perasaan neneknya terhadap mendiang ibunya yang sudah lama tiada di dunia ini.

“ Sudahlah, Eleanor. Kita benarkan Lilianna berehat dahulu ya? Awak pun bukannya sihat sangat sekarang ni,” kata Lord Moyes tiba-tiba.

Lady Moyes mengangguk. “ Pergilah berehat. Nenek berikan kamar peribadi ibu kamu kepada kamu. Walaupun dah lama ibu kamu tiada di rumah ini, tapi nenek langsung tak ubah apa-apa dalam bilik itu. Semuanya sama seperti saat terakhir dia berada di bilik itu. Nenek harap kamu suka.”

Lilianna cuba memaniskan wajahnya yang hambar, dia mengangguk perlahan. “ Terima kasih, nenek.”

Lord Moyes membawa Lilianna ke kamar yang dimaksudkan oleh Lady Moyes. Bilik itu berada di tingkat yang sama dengan kamar Lady Moyes tadi, hanya dipisahkan oleh beberapa buah bilik sahaja. Pada saat kaki Lilianna dijejakkan dalam kamar itu, seperti ada sesuatu membuatkan perasaannya menjadi hangat. Kamar itu diperhatikannya lama.

“ Kamu berehatlah. Nenek kata dia dah sediakan beberapa helai pakaian baru untuk kamu. Nanti ada pembantu rumah datang bila dah tiba masanya untuk makan malam. Datuk perlu ke istana sekejap. Kalau sempat kita makan bersama-sama, ya?”

“ Baiklah…” Lilianna menarik senyum. “ Terima kasih, datuk.”

Lord Moyes membalas senyuman itu. “ Berehatlah. Kamu tentu letih dengan perjalanan jauh tu.”

Lilianna mengangguk. Dia melihat sahaja pemergian lelaki tua itu sebelum mengalihkan perhatiannya kembali kepada kamar itu. Sebuah katil bertiang empat berada di tengah-tengah bilik itu. Bilik ini sama sahaja seperti biliknya di rumah lamanya dahulu, cuma keluasannya lebih lagi daripada kamar lamanya. Melihatkan bilik ini membuatkan Lilianna tersenyum lega.

Ini adalah kamar peribadi ibu dahulu.

Hidup barunya sudah bermula. Tapi itu tidak bermakna dia akan meninggalkan masa silamnya.

“ LILIANNA!”

Lilianna yang sedang leka membaca buku di taman bunga di Moyes Manor House itu terganggu tumpuannya dengan jeritan oleh suara yang dikenalinya itu. Wajah Lilianna berubah gembira. Buku yang sedang dibacanya tadi diletakkan di atas meja.

“ Handrien!”

Handrien melambai-lambai ke arahnya. Ada senyuman lebar pada wajah itu. Setibanya dia di tempat Lilianna, tanpa perlu diajak lagi lelaki itu segera duduk di kerusi yang disediakan.

“ Dah lama saya tak jumpa awak. Ingatkan awak dah tak nak berkawan dengan saya,” kata Lilianna bergurau. Handrien tergelak.

“ Dah hampir dua minggu, kan? Maaflah, saya sibuk sikit. Sekarang ni baru boleh jumpa awak.”

“ Tak mengapalah. Awak kata awak akan sibuk dengan beberapa siri perlawanan sebelum penilaian untuk menjadi Knight itu kan?”

Soalan Lilianna dibalas dengan anggukan Handrien. Suatu keluhan dilepaskan olehnya. “ Kadang-kadang macam menyesal pun ada. Letihkan diri saya untuk si Fred tu.”

Lilianna ketawa perlahan. “ Tapi awak memang nak jadi Knight untuk Fred, kan?”

Handrien tersengih. “ Asalkan gaji tu lumayan macam selalu General Hopkins cakap sudahlah. Kalau tidak, tak berbaloi saya bahayakan nyawa saya untuk budak tu.”

“ Fred apa khabar? Tentu dia makin sibuk dengan tugas dia sebagai raja?” tanya Lilianna.

Lilianna tidak menyimpan sebarang harapan untuk bertemu kembali dengan Frederick kerana dia sedar, sebagai raja yang baru sahaja memegang tampuk pemerintahan Erkens, Frederick teramat sibuk dengan pelbagai jenis urusan istana. Cuma Lilianna sedikit kesal kerana pada hari mereka tiba di Erkens, Lilianna tidak dapat mengucapkan terima kasih kepada Frederick yang membenarkannya dia mengikut rombongan diraja itu untuk ke Erkens.

“ Sekarang ni Fred sedang melawat jajahan Erkens di bahagian utara, berjumpa dengan para gabenor di sana. Saya pun dah lama tak berjumpa dengan dia. Cuma kadang kala nampaklah bayang dia masa saya ke istana. Nak bertukar salam dengan dia pun tak sempat. Orang-orang istana selalu ada dengan dia.”

“ Yalah, lagi pun kerajaan Erkens ini besar. Fred memang kena kerja keras. Oh ya! Awak nak minum teh? Saya boleh pesankan untuk awak,” kata Lilianna. Dia baru teringat bahawa di meja itu hanya ada secawan teh untuknya.

“ Boleh juga. Saya pun tengah dahaga ni,” balas Handrien tanpa berfikir panjang.

Lilianna segera memanggil Emily, pembantu rumah yang ditugaskan untuk menjaganya oleh Lady Moyes. Gadis yang berusia 18 tahun itu segera mendekatinya. Emily sudah bekerja di rumah agam ini sejak lima tahun yang lalu. Walaupun ketika itu usianya masih lagi muda, tetapi Lady Moyes menerima kehadirannya kerana kasihan dengan nasib Emily yang kematian kedua-dua ibu bapanya dan perlu bekerja untuk menjaga adik-adiknya yang masih kecil.

Menurut Emily, tiga orang adiknya ditempatkan di sebuah rumah kebajikan atas saranan Lady Moyes tetapi dia selalu ke sana untuk melawat adik-adiknya dan memberi hadiah kepada mereka. Atas budi bicara Lady Moyes, ketiga-tiga mereka disekolahkan di sebuah sekolah yang terletak tidak jauh dari rumah kebajikan itu.

“ Tolong bawakan secawan teh dan biskut lagi ke sini,” pinta Lilianna. Emily mengangguk.

“ Baiklah, cik. Sekejap ya.”

Emily segera bergerak menuju ke dapur. Lilianna menarik senyum. Walaupun dia masih baru di rumah ini tetapi Emily melayannya dengan baik malah kesemua pekerja di rumah agam ini menerima kedatangannya dengan baik. Selalu juga Lilianna berbual-bual dan bergurau senda dengan mereka.

“ Macam mana hidup awak di sini?” tanya Handrien tiba-tiba. “ Ada apa-apa masalah?”

Lilianna menggeleng. “ Semua orang terima saya dengan hati yang terbuka. Saya selalu ke kamar nenek untuk berbual kalau nenek sihat sedikit dan datuk selalu menjenguk saya kalau dia ada peluang. Memang saya agak kekok pada mulanya, tapi mereka semua tolong saya kalau ada apa-apa perkara saya tak tahu pasal rumah ini.”

“ Baguslah kalau macam tu. Saya risau juga sebab yalah, ini kan kali pertama awak di negara ini. Tapi nampaknya sia sia sahaja saya risaukan awak,” kata Handrien sambil ketawa.

Lilianna tersenyum. “ Terima kasih sebab risaukan pasal saya.”

“ Awak dah melawat bandar-bandar di Larreule? Lord Moyes tengah sibuk sekarang ni, sama aje dengan datuk saya. Awak boleh keluar tanpa mereka?”

“ Saya pernah ke Arenola, bandar utama di Larreule kan? Pada minggu lepas, masa tu nenek agak sihat jadi dia ajak saya ke sana untuk beli barang keperluan saya. Kami ke sana sekejap sahaja sebab nenek tak boleh berjalan dalam masa yang lama.”

“ Arenola,” Handrien tersenyum. “ Saya teringin nak bawa awak melawat Arenola, sama seperti awak bawa saya meneroka Idalia masa festival bunga itu. Awak nak?”

“ Nak!” Lilianna menjerit gembira. “ Tapi saya perlu beritahu datuk dan nenek dulu. Boleh?”

“ Saya rasa Lord Moyes tak ada masalah tapi tak apalah, awak beritahulah mereka dahulu. Lagi pun hari ini dah masuk ke petang, lagi seronok kalau saya dapat bawa awak ke sana bermula dari pagi lagi. Awak tentu suka pasar pagi di Arenola.”

“ Tentu seronok,” balas Lilianna sambil tersenyum lebar.

Lilianna sudah tidak dapat menahan rasa gembiranya. Sebaik sahaja Lord Moyes pulang ke rumah, dia akan memberitahu kepada datuknya itu. Sebenarnya sudah lama Lilianna menyimpan hasrat untuk meneroka Arenola sejak pertama kali dia ke sana, tetapi memandangkan kesihatan neneknya tidak mengizinkan dan dia tidak tahu kepada siapa harus dia minta tolong, dia pendamkan sahaja hasratnya itu.

“ Esok pagi saya ada hal, mungkin akan ambil masa sehingga petang. Pagi lusa boleh? Saya datang ambil awak di sini,” kata Handrien. Dia menghirup teh yang dibawa oleh pembantu rumah Lilianna sebentar tadi.

“ Baiklah. Kita nak buat macam di festival bunga itu kah?”

Lilianna sedikit gusar. Dia risau sekiranya datuknya akan mengarahkan beberapa orang pengawal mengikutinya, seperti mana ketika dia keluar bersama neneknya tempoh hari. Apa yang nenek beritahu, sejak ibunya hilang tanpa sebarang jejak hampir 20 tahun dahulu, datuk akan selalu berwaspada lantas menambah jumlah pengawal keselamatan yang akan mengiringi ahli keluarganya ke mana-mana sahaja.

“ Ada saya sudah cukup, cakap macam tu pada datuk awak. Lagi pun tak seronoklah kalau pergerakan kita selalu diikuti pengawal. Kan?”

Lilianna ketawa perlahan. “ Baiklah. Nanti saya beritahu datuk.”

Handrien menghabiskan minumannya. Dia perlu segera pulang ke rumah kalau tidak mahu datuknya membebel kerana dia sudah berjanji untuk makan malam dengan datuknya yang mempunyai masa lapang pada hari ini. Mata Handrien tertancap pada buku yang dibaca Lilianna sebelum kedatangannya tadi.

“ Itu buku awak kah?” Handrien bertanya. Cawan teh yang sudah kosong diletakkan di atas piring.

Lilianna menggeleng. “ Buku ibu saya. Datuk tunjukkan koleksi buku ibu petang semalam lepas tu datuk kata ini buku kegemaran ibu. Memandangkan saya kebosanan, saya mulakan dengan buku ini.”

“ The Red-haired Princess,” Handrien membaca tajuk buku itu.

“ Awak pernah baca buku ni?”

Pantas Handrien menggeleng. “ Kalaulah saya rajin baca buku, saya tak akan terlibat dengan seni pedang dan mempertahankan diri. Saya dah jadi salah seorang sarjana di istana.”

Lilianna tergelak, memahami maksud kata-kata Handrien.

“ Buku pasal apa tu?”

“ Ini?”

Lilianna memegang buku yang sudah lusuh itu. Menurut datuknya, buku ini dibeli ketika ibunya berusia 10 tahun malah buku ini selalu dibaca berulang kali oleh ibu mana tidak hairanlah sekiranya buku itu sudah kelihatan amat lusuh dan lama.

“ Pasal seorang puteri berambut merah yang menyelamatkan negaranya daripada serangan musuh. Daripada seorang puteri yang tidak tahu apa-apa mengenai perkara di luar istana, dia bangkit selepas bapanya dibunuh oleh raja kerajaan yang bermusuh dengan mereka.”

“ Awak dah habiskan buku itu ke?”

“ Belum lagi. Bacaan saya belum sampai separuh lagi. Buku ini seronok untuk dibaca. Saya faham kenapa ibu gemarkan buku ini.”

Lilianna terkejut apabila Lord Moyes membawanya ke sebuah bilik yang didakwanya bilik bacaan mendiang ibunya dahulu. Ada sebuah perpustakaan di rumah agam ini tetapi ibu menjadikan sebuah bilik yang lain sebagai perpustakaan peribadinya sekaligus bilik bacaannya. Lord Moyes menyerahkan bilik bacaan itu kepadanya pula memandangkan mereka tidak menyentuh isi dalam bilik itu walaupun Ophelia sudah lama tiada di rumah ini.

“ Puteri itu seperti Marie Idalia yang awak kagumi, kan?” Handrien tersenyum.

Lilianna mengangguk. “ Sekarang ini, selain Marie Idalia, saya turut kagum dengan puteri berambut merah ini. Walaupun dia seorang perempuan tetapi dia tidak takut untuk berhadapan dengan musuh yang telah membunuh bapanya. Dia…”

Kata-kata Lilianna mati di situ. Hatinya terasa direntap kuat. Tubuhnya mula menggigil perlahan.

“ Lilianna…” Handrien mengambil buku yang masih berada dalam tangan gadis itu. Perubahan pada diri Lilianna membuatkan dia tidak senang duduk. Walaupun Handrien tidak tahu apakah sebab yang sebenarnya tetapi dia dapat mengagak berdasarkan kata-kata Lilianna yang terakhir itu.

“ Saya pulang dulu. Pagi lusa saya datang. Saya rasa eloklah kalau awak masuk ke dalam, hari pun dah nak masuk malam. Bersiap-siap tunggu datuk awak pulang,” Handrien memujuk. Buku itu diletakkan di atas meja.

Lilianna mengangguk perlahan. Dia menarik senyum walaupun terasa kelat senyumannya itu.

“ Baiklah. Terima kasih, Handrien.”

Mereka berdua bangun daripada kerusi masing-masing. Handrien tersenyum hambar lantas menghela nafas.

“ Awak tak perlu iring saya sampai ke pintu sana. Saya dah arif sangat dengan jalan di rumah ini. Jumpa awak pagi lusa, Lilianna.”

“ Maaf, tak dapat berbual lama dengan awak. Terima kasih datang jenguk saya,” kata Lilianna perlahan.

“ Sama-sama. Selamat tinggal, Lilianna.”

“ Selamat tinggal, Handrien.”

Lilianna berdiri sahaja di situ, memerhatikan pemergian Handrien. Buku yang diletakkan Handrien di atas meja itu direnung.

“ AWAK nak bawa saya ke mana lagi?”

Lilianna melihat kepada Handrien yang sedang berjalan di sebelahnya. Sejak awal pagi lagi mereka berjalan di sebuah pasar pagi yang terletak di Arenola. Handrien membawa Lilianna berjalan di sebuah jalan yang dipenuhi dengan pelbagai jenis kedai di bahagian kiri dan kanan jalan tersebut. Walaupun matahari baru sahaja menerangi Arenola tetapi sudah ramai orang berada di pasar pagi ini.

Buah-buahan dan sayur-sayuran segar dari ladang disusun dengan elok di atas meja, menunggu pelanggan tiba untuk memilih. Haruman roti dan pastri segar yang baru sahaja dikeluarkan daripada ketuhar menarik perhatian Lilianna sewaktu mereka melalui bakeri yang terdapat di kawasan jalan pasar pagi itu. Penjual-penjual daging dan ayam pula sedang bertungkus lumus memotong daging yang diminta pelanggan. Kedai bunga pula dihiasi dengan pelbagai jenis bunga berwarna-warni di bahagian hadapan kedai.

Tadi, Handrien membawa Lilianna makan di sebuah bakeri yang menurutnya mempunyai roti dan pastri paling sedap di Arenola. Mereka berdua tidak bersarapan kerana Handrien memang berniat untuk bersarapan di situ dengan Lilianna. Selepas bersarapan barulah mereka berdua memulakan pengembaraan mereka untuk meneroka pasar pagi itu.

“ Saya nak bawa awak ke suatu kedai. Saya yakin awak pasti suka dengan kedai ini,” balas Handrien.

Lilianna tidak bertanya apa-apa lagi. Dia mengekori sahaja langkah kaki Handrien. Akhirnya, mereka tiba di kedai yang dikatakan oleh Handrien. Bunyi orang bertukang kedengaran dari dalam kedai itu. Lilianna memerhatikan kedai itu buat seketika sebelum menarik senyum.

“ Kenapa awak bawa saya ke kedai ini?” Lilianna ketawa perlahan.

Handrien tersengih. “ Sebab awal-awal lagi datuk awak ingatkan saya untuk bawa awak ke sini?”

“ Eh? Datuk saya?”

Handrien meninggalkan Lilianna yang termangu kehairanan lalu memasuki kedai itu. Lilianna cepat-cepat mengekori Handrien walaupun dia masih hairan dengan apa yang diberitahu Handrien tadi. Kenapa pula datuknya berpesan agar Handrien membawanya ke kedai yang menjual peralatan senjata seperti ini?

“ Lilianna,” Handrien menoleh kepada Lilianna yang berdiri di belakangnya. “ Kenalkan, ini Pak Cik Thomas Klein, pakar buat pedang di Arenola ini. Walaupun berkali-kali dipanggil untuk bekerja di istana tapi Pak Cik Thomas tetap setia dengan kedainya di sini.”

“ Tak payah mengarutlah, Handrien. Pak cik memang tak sesuai bekerja di tempat penuh protokol macam istana itu,” kedengaran suatu suara dari balik meja besar yang berada di suatu sudut kedai itu. Seorang lelaki pertengahan usia berdiri di balik meja itu.

“ Selamat berkenalan, cik. Saya dengar cik cucu perempuan Lord Moyes. Saya selalu berurusan dengan datuk cik,” kata Pak Cik Thomas, memperkenalkan dirinya kepada Lilianna.

Lilianna menarik senyum, dia mengangguk perlahan. “ Selamat berkenalan juga, pak cik. Saya Lilianna.”

“ Handrien, kamu bawa cik muda ini tengok-tengokkan apa yang ada di kedai ini. Pak cik perlu ke belakang sekejap.” Pak Cik Thomas mengelap tangannya dengan sehelai kain sebelum mencapai topi yang berada di atas meja.

“ Sepatutnya pak ciklah yang tunjukkan pada kami, saya bukannya pekerja di kedai ni,” Handrien berseloroh. Pak Cik Thomas mengeluh tetapi wajah itu tetap tersenyum.

“ Macamlah kamu tak biasa dengan kedai ini. Dah, pak cik ke belakang sekejap aje. Cik, tengok-tengoklah apa yang patut ya.” Pak Cik Thomas merenung kepada Lilianna yang masih berdiri di kedudukan tadi tanpa bergerak.

“ Baiklah, pak cik,” balas Lilianna sopan.

“ Oh ya! Pak cik, mana Erik?” Handrien bertanya sebelum sempat Pak Cik Thomas menghilang dari balik pintu yang berada di belakang meja itu.

“ Erik ada kat belakang. Nanti pak cik panggilkan dia,” balas Pak Cik Thomas tanpa menoleh. Pintu itu ditutup rapat.

Lilianna ditinggalkan berdua dengan Handrien di dalam kedai itu. Mata Lilianna melihat kepada senjata-senjata yang berada di dalam kedai itu. Kesemuanya disusun dengan baik atas faktor keselamatan. Walaupun kebanyakan senjata yang dipamerkan dalam kedai itu adalah pedang, tetapi terdapat juga lembing dan busur panah. Tangan Lilianna gatal sahaja ingin memegang setiap senjata itu tetapi apakan daya dia hanya mampu mengaguminya dari jauh.

“ Nanti, kita pilih pedang atau busur panah yang awak mahukan,” kata Handrien yang kini berdiri di sebelah Lilianna yang sedang leka memerhatikan bilah pedang yang berada di balik cermin kaca.

“ Eh? Pilih?”

Handrien mengangguk. “ Lord Moyes bersetuju untuk benarkan awak belajar seni pedang dan memanah. Saya tak dapat ajar awak secara persendirian sebab saya akan semakin sibuk dengan ujian untuk menjadi Knight itu nanti, tapi saya akan cadangkan beberapa guru yang sesuai dengan awak.”

“ Serius?” Lilianna tergamam. Tidak pernah pula datuknya bercakap mengenai hal itu.

“ Serius,” balas Handrien sambil ketawa. “ Nampaknya Lord Moyes tak sempat beritahu awak lagi. Tapi awak memang betul-betul nak belajar, kan?”

“ Betul! Betul!” Lilianna tidak dapat menyembunyikan rasa gembiranya. “ Jadi, bila saya boleh mula belajar? Siapa guru saya? Apa yang perlu saya belajar dahulu? Seni pedang atau memanah?”

Tawa Handrien semakin kuat, geli hati mendengarkan bertalu-talu soalan keluar daripada bibir kecil itu. Hanya mereka berdua sahaja berada di dalam kedai ini. Sekurang-kurangnya tiada sesiapa rasa terganggu dengan tawa Handrien itu.

“ Awak boleh mula belajar minggu depan, sebab guru itu tiada di Larreule sekarang. Di Moyes Manor House ada tempat khas untuk awak belajar semua tu. Tapi saya rasa lebih baik kalau awak mulakan dengan memanah. Fizikal awak agak kecil jadi saya rasa tiada masalah untuk awak belajar memanah. Mahirkan diri awak dengan memanah dahulu, ya?”

Lilianna mengangguk sahaja. Senyumannya meleret. Handrien lebih arif dengan hal-hal seperti ini. Tidak sabar pula Lilianna untuk mulakan kelas itu. Sudah lama dia menyimpan hasrat untuk belajar memanah dan bermain pedang, malangnya sehingga kini hasratnya masih belum kesampaian.

“ Saya ada sesuatu nak tanyakan pada awak, Lilianna. Mungkin ini bukan tempat dan masa yang sesuai, tapi saya betul-betul perlukan jawapan daripada awak.”

Senyuman Lilianna mengendur. Daripada nada suara Handrien, dia dapat mengagak apa yang ingin lelaki itu tanyakan kepadanya adalah mengenai sesuatu yang serius. Lilianna menelan liur. Wajah Handrien dipandang.

“ Awak nak tanya apa?”

Mata Handrien dipejamkan buat seketika. Dia menghela nafas.

“ Awak… ada niat untuk balas dendam?”

Lilianna termangu. Mata Handrien direnung lama.

LILIANNA merenung jauh pada langit malam. Dia sedang berdiri di balkoni biliknya. Angin malam yang menyejukkan tidak berupaya menenangkan hatinya yang resah. Sudah beberapa kali dia berjalan mundar mandir di dalam biliknya sendiri sebelum dia mengambil keputusan untuk mengambil angin di balkoni.

“ Awak… ada niat untuk balas dendam?”

Pertanyaan Handrien pagi tadi terngiang-ngiang di telinganya.

Pada tengah hari tadi, Handrien membawanya pulang ke rumah. Suasana di antara mereka berdua bertukar menjadi tidak menyenangkan. Handrien kelihatan berhati-hati dengannya manakala Lilianna lebih banyak mendiamkan diri. Semuanya berubah hanya dengan satu soalan sahaja daripada Handrien.

“ Tak tahu.”

Itu adalah balasan Lilianna terhadap soalan Handrien itu.

Lilianna tidak berbohong. Dia sememangnya tidak tahu adakah dia ada niat untuk membalas dendam. Memang benar pada awalnya minda Lilianna tidak pernah lari daripada soal membalas dendam serta mencari dalang di sebalik pembunuhan bapanya tetapi pada masa yang sama, kadang-kala Lilianna hanya memikirkan untuk meneruskan hidupnya tanpa berpaling ke belakang lagi.

Ketika mereka masih berada di Zythor selepas kejadian itu, pernah Lilianna bertanyakan mengenai pembantu-pembantu rumahnya yang langsung dia tidak ketahui nasib kepada General Hopkins. Menurut jeneral itu, ada beberapa orang pembantu rumah itu dipercayai terbakar di dalam kebakaran rumah Lilianna tetapi mayat mereka tidak dapat dikenal pasti. Lilianna cuba mencari Nanny Sophie, malangnya dia tidak mendapat sebarang berita mengenai wanita tua yang menjadi pengasuhnya itu.

Sekarang, Lilianna hanya berfikir mengenai masa hadapannya bersama-sama keluarga Moyes. Tetapi andainya suatu hari nanti akan tiba masanya dia mengetahui siapakah dalang yang membunuh bapanya, Lilianna yakin dia tidak akan berdiam diri. Dia akan melakukan apa sahaja agar mereka mendapat balasan yang setimpalnya. Kerana mereka, sekelip mata sahaja dia kehilangan orang-orang yang disayanginya termasuklah kehidupannya dahulu. Mereka tak akan dapat terus menyembunyikan diri mereka lagi. Dia akan memburu mereka.

Pasti!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience