Bab 16
***
Akhirnya mereka sampai ke tempat percutian yang selama ini menjadi tanda tanya dalam diri Rania. Rupanya mereka akan menghabiskan masa di Pulau Tioman.
Percutian kali ini menjadi lebih seronok kerena ada seseorang yang sudah mula bertapak di hatinya. Seseorang yang sudah berjaya meraih perhatiannya.
Rania memerhatikan teman-temannya yang sedang mandi-manda di tepi pantai. Teringat pula ketika dia masih kecil. Lautlah perkara yang paling dia sukai. Kalau boleh, dia mahu keluarganya berpindah ke tepi laut sahaja.
Dia hanya duduk memeluk tubuh di tepi pantai. Bila usia menginjak dewasa, dia perlu mengawal keinginannya yang satu itu. Tidak selesa pula jika ada orang yang melihat tubuhnya ketika mandi. Apatah lagi dia seorang gadis yang bertudung.
Matanya meliar mencari kelibat Herry. Teman-teman lain semuanya sudah berkubang. Hanya Herry sahaja yang masih belum menampakkan muka.
“Nia!” Jerkah Herry tiba-tiba.
Bengang sungguh Rania dengan kesukaan Herry yang satu ini. Dia menampar kuat lengan Herry.
“Sakitlah.” Rungut Herry sambil mengosok lengannya. Namun senyuman nakal masih tidak lepas dari menghiasi wajahnya.
“Padan muka. Lain kali buatlah lagi.” Perli Rania beserta jelingan tajam.
Herry hanya mampu ketawa. Suka melihat telatah Rania yang bersahaja itu.
“Kenapa tak mandi?” Soal Herry. Padahal dia sudah tahu jawapannya.
“Malas.” Jawab Rania sepatah.
“Awak pulak kenapa tak mandi.” Soal Rania pula apabila dia melihat Herry hanya mendiamkan diri.
“Malas jugak.” Jawab Herry selamba. Rania mencebik. Tanda menyampah.
“Habis tu kita nak buat apa sekarang?” Soal Herry tiba-tiba.
“Duduk jelah.” Jawab Rania mudah. Sengaja mahu menyakat Herry.
“Sayang, kita datang sini jauh-jauh bukan untuk duduk je. Jom, I know what to do.” Ujar Herry sambil menarik tangan Rania secara tiba-tiba. Namun tidak pula Rania membantah. Dia hanya mengekori langkah kaki Herry.
Herry membeli satu layang-layang yang sudah siap. Mereka berlari semula ke pantai untuk bermain layang-layang. Tidak pernah sedikit pun dia bermimpi untuk bermain layang-layang setelah menginjak dewasa. Bersama Herry, dia memungkinkan segalanya.
Rania jadi gembira melihat layang-layang yang mereka lepas terbang tinggi di langit. Sesekali, Herry menarik tali layang-layang apabila ia mula dibawa angin.
“Cinta tu macam main layang-layang. Adakalanya kita perlu tarik, ada masanya pulak kita kena lepas. Barulah layang-layang dapat terbang tinggi.” Terang Herry tanpa dipinta.
Rania hanya mampu tersenyum. Kelakar pula rasanya bila lelaki seperti Herry mula bermadah. Dia rasa sungguh gembira. Alangkah baiknya jika waktu terhenti di ketika ini.
Jam sudah hampir mencapai angka tujuh malam. Teman-teman mereka sudah mula membersihkan diri. Herry juga sudah mula mengulungkan tali layang-layang.
Rania baru memulakan langkah namun tiba-tiba ada suara memanggil namanya.
“Janganlah balik lagi.” Usul Herry.
“Kenapa?” Soal Rania tidak faham.
“Saya nak bawa awak kat satu tempat.” Ujar Herry sambil menarik tangan Rania agar mengikutinya. Rania seakan keberatan namun diturutkan jua.
Herry membawanya ke kawasan bongkah batu yang berada di tepi pantai. Perlahan-lahan, mereka meredah dari satu batu ke satu batu. Dengan berhati-hati Herry melangkah. Sedikit pun tidak dilepaskan tangan Rania. Akhirnya, mereka memilih sebuah batu yang tidak kurang besarnya.
Rania duduk memeluk tubuh sambil diikuti oleh Herry. Mereka menghalakan pandangan matanya ke arah laut yang luas terbentang.
“Awak tahu tak percintaan di antara laut dan langit?” Soal Herry tiba-tiba. Rania mengerutkan dahinya. Cuma mengingati. Namun hampa kerana seingatnya, dia tidak pernah pula mendengar cerita dongeng antara laut dan langit. Lantas, dia mengeleng.
“Laut bercinta dengan langit. Tapi seperti biasa, sebuah hubungan itu tidak pernah sepi dari masalah. Masalah timbul bila awan cemburu dengan laut. Bila melihat langit dan laut sedang berbahagia, awan datang menghalang dengan menyebarkan kabus.
Tujuannya supaya laut berputus asa dengan langit. Laut menangis apabila tidak dapat bersama dengan langit yang sangat disayangi. Lalu dia menangis hiba.
Namun tangisannya tidak sia-sia kerana angin mendengar rintihan hatinya. Lalu angin membantu laut dengan menyebarkan kuasa anginnya sehingga dapat menangkis awan yang berkabus itu. Kalau awak perasan, kita dapat tengok laut dan langit di hujung sana. Disitulah mereka berpacaran.” Terang Herry panjang lebar.
Rania ketawa perlahan. Tidak percaya bahawa dia sedang mendengar cerita itu dari mulut Herry. Entah dari mana Herry memperoleh cerita ini. Buntu dia memikirkannya.
“Gelak pulak dia ni.” Ujar Herry berpura-pura marah.
Kata-katanya itu tidak dapat memberhentikan tawa Rania malah Rania bertambah galak ketawa. Herry hanya mampu tersenyum manis. Senang hati melihat buah hatinya ketawa.
“Cuba tengok tu.” Arah Herry sambil menunding jari terlunjuknya ke hujung laut.
Melopong mulut Rania melihat ciptaan ALLAH yang sangat cantik di hadapannya. Sungguh, seumur hidupnya, dia hanya mampu berangan untuk melihat matahari terbenam. Namun kini, dia mampu melihat dengan mata kepalanya sendiri.
Herry mencapai tangan Rania. Digengamnya perlahan. Bahagia sungguh kerana mampu menunaikan hasrat Rania yang kelima.
Rania menghalakan pandangan ke arah lelaki yang berada di sebelahnya kini. Kali ini, dia benar-benar pasti yang hatinya sudah seratus peratus dimiliki oleh Herry. Melihat kesungguhan yang ditunjuk, hatinya jadi cair.
Pandangan mata mereka bersatu. Alangkah bahagianya jika waktu terhenti di saat ini. Namun dia sedar bahawa hidup ini masih jauh untuk diterokai. Masih terlalu jauh…
“Awak bahagia?” Soalan Herry itu hanya mampu Rania jawab melalui anggukkan. Tidak terlahir kata-kata dari bibirnya kerana terlalu gembira.
Akhirnya, mereka sama-sama memandang ke arah matarahi yang sudah beransur pergi dari menghiasi langit. Yang pasti, kenangan ini tidak akan luput dari ingatannya. Itu janji pada dirinya.
Share this novel