Bab 14
***
Rania memandang ke arah langit yang sedang memuntahan hujan membasahi bumi. Dia memeluk tubuhnya yang kesejukkan. Bila hujan turun dengan lebat sebegini, aktiviti yang dirancang pun terpaksalah dibatalkan.
Kalau ikutkan perancangannya, dia sudah berjanji dengan Anisa untuk menemami gadis itu ke kedai buku. Namun keadaan tidak mengizinkan kerana dia masih lagi terperangkap di depan library ini. Menunggu hujan reda untuk pulang ke bilik.
“Kenapa tak balik lagi?” Bagai hendak luruh jantungnya mendengar suara yang tidak diundang itu.
“Astarfirullahalazim. Terkejut saya.” Marah Rania sambil menampar lembut bahu Herry.
“Hehehe, sorylah.” Herry tergelak kecil.
Rania menjeling sambil memeluk tubuhnya yang kedinginan. Walaupun tidak dibasahi hujan tapi angin yang bertiup itu pun sudah mampu membuatkannya kesejukkan.
“Awak tunggu apa?” Soal Herry sambil tidak lepas memandang gadis disebelahnya.
“Tunggu hujan reda.” Jawab Rania selamba. Sengaja mahu mengenakan Herry.
“Oh, ingatkan tunggu saya.” Perli Herry. Rania melepaskan pandangan pada seraut wajah yang berada disebelahnya.
“Kenapa pulak nak tunggu awak?” Balas Rania manja. Entah mengapa, berada di sebelah lelaki itu, dia seperti tidak dapat mengawal perangai yang selama ini dijaga rapi.
“Tunggu saya bawa ni.” Ujar Herry seraya mengeluarkan payung yang sedari tadi disorok di belakangnya.
Rania memandang payung itu tanpa kerlip. Nampaknya, Herry tahu sahaja waktu yang sesuai untuk menarik perhatiannya. Inilah strategi seterusnya gamaknya. Berpayung dalam hujan.
“Biar saya hantar awak balik.” Kata Herry sambil membuka payung. Tidak menghiraukan kebisuan Rania.
“Kenapa tak beri saya je payung tu?” Duga Rania. Selebihnya, dia ingin menguji kesungguhan jejaka di sebelahnya ini.
“Hmm, kalau saya bagi awak payung ni, saya nak balik macam mana.” Helah itu sudah lama dirancang. Kalau dia tidak berkata begitu, dia bimbang Rania akan menolak.
Rania tersenyum. Jawapan yang agak baik. Walaupun Herry dalam konteks sedang memikatnya, namun dia masih lagi menjaga air mukanya. Dia tidak langsung kelihatan seperti terhegeh-hegeh tapi mahu kelihatan bersungguh di hadapannya.
Mereka mula meredah hujan dibantu dilindungi oleh payung milik Herry. Sekilas, dia mendaratkan pandangan matanya ke arah seraut wajah Herry.
Rania menganalisis wajah jejaka di sebelahnya. Keningnya tidak lebat mana, matanya kelihatan redup, hidungnya separa mancung, tidak pula bermisai cuma berkumis sedikit. Dan kesemuanya menjadikan wajahnya kelihatan kacak.
Herry sedar bahawa gadis di sebelahnya sedang memandangnya tanpa kelip. Sengaja dia membenarkan. Mungkin, hati Rania sudah berpihak kepadanya sedikit. Dia tersenyum dalam hati.
Tiba-tiba guruh menyapa tanpa diundang. Serta merta membuatkan Rania memeluk lengan sasa milik Herry. Dia bukanlah jenis yang takut pada guruh namun dek kerana terlampau taksub memandang Herry, dia terkejut sehingga terpeluk jejaka itu.
“Awak tak apa-apa?” Soal Herry. Dia pun terkejut dengan perlakuan spontan Rania.
“Sory.” Tuturnya sepatah sambil melepaskan pegangannya.
“Oh tak pe. Saya tak kisah.” Merah muka Rania mendengar kata-kata Herry. Dia diserang rasa malu yang menggunung.
Rania menghalakan mukanya ke arah lain. Sedikit pun dia tidak memandang Herry. Dalam tidak sedar, dia sudah menjarakkan diri sehingga terkena tempias hujan ke badannya.
Perlahan-lahan, Herry menarik bahu Rania agar tidak menjauhinya. Seketika, pandangan mata mereka bertaut. Ada getar yang bertandang, ada kasih yang bertaut, dan pastinya ada rindu yang akan berkunjung.
“Saya tak akan benarkan awak jauh walau seinci pun dari saya.” Ujar Herry sambil terus menatap bening mata milik Rania.
Mereka kaku tanpa langkah. Dan kaki mereka bagaikan telah dipaku dari terus menapak. Kerana segelintir dari rasa hati mereka sudah menjalar dengan rasa cinta yang mula mengamit kalbu.
Share this novel