Bab 17
***
Sedaya upaya Rania menahan dirinya dari mengelakkan Herry. Namun rasa geli yang menghimpit tidak dapat menyembunyikan tawanya. Lantas dihambur keluar sehingga tawanya menyakitkan telinga Herry yang mendengar.
“Janganlah gelak.” Herry berpura-pura marah. Mukanya sengaja diseriuskan.
“Macam manalah saya tak gelak. Cara awak baca tu kelakar sangatlah.” Kata-kata Rania seperti menghiris hatinya. Tidakkah Rania sedar bahawa dia sedang berusaha demi gadis itu.
“Saya tahulah saya tak ada bakat baca puisi. Tapi sekurang-kurangnya, saya dah cuba.” Nada suaranya perlahan sahaja. Tanda jauh hati.
Semuanya berpunca apabila Herry membacakan sebuah puisi untuk menyempurnakan salah satu daripada perkara yang ingin Rania lakukan ketika bercinta. Namun ternyata usahanya sia-sia kerana akhirnya dia gagal membacakan puisi buat Rania.
Herry sudah sedaya upaya berusaha untuk membacakan puisi buat Rania. Tapi ternyata dia tidak mempunyai bakat langsung untuk membaca puisi. Baru dia ingin menghadiahkan sebuah kejutan buat Rania tapi hanya gelak tawa sahaja yang diterima.
“Awak marah saya?” Cuak juga apabila melihat muka Herry yang tidak langsung dihiasi oleh senyuman.
“Tak lah. Memang patut pun awak gelak. Tapi nak buat macam mana, saya memang tak ada bakat dalam bab ni.” Terang Herry tidak bersemangat. ‘Pasti Nia fikir yang aku tak layak untuk menjadi kekasih hatinya. Benda senang macam ni pun aku tak mampu nak tunaikan.’ Desis hatinya.
Rania mencapai kertas yang sedari tadi dipegang oleh Herry. Kata-kata dari kertas itulah yang dibaca oleh Herry tadi. Walaupun Herry gagal untuk membacanya dengan baik, tapi sedikit pun tidak dapat mengugat rasa sayang yang sudah semakin sebati dalam dirinya. Rania berdehem beberapa kali sebelum mula membaca puisi milik Herry itu.
Aku bermimpi
Dan dalam mimpiku
Kulihat matamu
Yang mengisi hatiku dengan syurga
Aku melayang
Dan di langit
Kulihat matamu
Yang menjawab semua kerinduanku
Padamu
Hidupku di alam khayal
Yang tiada perubahan
Tiada patah hati
Tapi kini kau raih tanganku
Dan kau buat ‘ku mengerti
Dua mimpi
Bisa bersatu selamanya
Pagi hari
Ketika ‘ku bangun
Kulihat matamu
Itulah alasanku
Itulah jawabanku kini:
Kerena aku mencintaimu
Satu yang membuat mimpiku nyata
Melopong mulut Herry setelah Rania selesai membacakan puisi yang sepatutnya dibaca olehnya. Tidak disangka, Rania pandai membaca puisi. Antonasi suaranya meresap ke dalam jiwa yang mendengar.
“Sedapnya.” Puji Herry ikhlas. Pujian itu membuatkan muka Rania merona kemerahan.
“Biasa jelah.” Ujar Rania merendah diri. Malu pula rasanya untuk membalas pandangan mata Herry.
“Saya betul-betul tak sabar menunggu hari yang ke tujuh puluh tujuh tu. Saya nak miliki awak dalam erti kata yang sebenar, tanpa kontrak.” Hanya tinggal lebih kurang dua puluh hari lagi dari waktu yang telah ditetapkan. Dia pasti, Rania akan menjadi kekasihnya.
“Yakin betul awak kan?” Duga Rania.
“Saya tak pernah seyakin ni.” Memang itulah kenyataannya. Dia tidak pernah seyakin seperti ini.
Rania beku untuk membalas kata. Dia biarkan sahaja Herry tertanya sendiri. Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dinyatakan persetujuannya sekarang juga namun ditahan rasa hati yang satu itu. Satu hari, masa itu akan tiba juga.
Share this novel