Bab 8
***
Ada tujuh perkara yang ingin Rania lakukan ketika bercinta.
1. Melihat matahari terbenam.
2. Berpayung dalam hujan.
3. Membaca Puisi
4. Mencoret luahan hati di dalam diari.
5. Makan maggie di depan 7-eleven.
6. Hadiah teristimewa.
7. Cincin couple.
Herry tersenyum sendiri membaca coretan milik Rania. Sudah berpuluh-puluh kali dia menatap coretan Rania ini. Dan sedikit pun dia tidak pernah jemu. Malah, dia sudah pun dapat menghafal ketujuh-tujuh perkara tersebut.
Sungguh, tidak terlintas langsung di benaknya bahawa akan ada orang seperti Rania yang telah menetapkan beberapa perkara untuk dilakukan semasa bercinta. Namun dia sedar, Rania tidak pernah bercinta. Tapi bukanlah menunjukkan dia tidak mempunyai keinginan. Cuma ia masih tersimpan di segenap hatinya.
Dan hari ini ialah permulaan untuk tujuh puluh tujuh hari merebut cinta Rania. Herry sudah bertekad, dia tidak akan bazirkan waktu itu walaupun untuk satu saat.
“Kita nak ke mana?” Soal Rania malas semasa melabuhkan punggung di dalam kereta Herry. Herry hanya sekadar tersenyum.
“Saya tak akan dapat jawapannya walaupun awak senyum sampai nak terputus urat sekali pun.” Marah Rania. Sakit sungguh hatinya melihat senyuman Herry. Sudahlah terpaksa keluar dengannya, terpaksa pula menatap rupanya yang asyik tersenyum mengejek.
“Kita nak lakukan perkara pertama ketika bercinta. Bukan saya yang nak, awak yang tulis macam tu. Saya hanya sekadar menyempurnakan hasrat kekasih saya je.” Kata-kata Herry bagai menghiris hati Rania.
“Hello, saya tak pernah cakap yang saya nak buat semua tu dengan awak!” Bentak Rania.
“Memanglah awak tak pernah cakap, sebab awak mana tahu awak akan bercinta dengan siapa kan.” Nada suara Herry bagaikan seperti mengejeknya.
“Saya hanya nak lakukan semua tu dengan orang yang saya cinta. Dan orang tu bukannya awak.” Rintih Rania. Dia menghalakan pandangan di cermin sisi. Tidak langsung memandang ke arah Herry.
“Bila kita tak cintakan orang tu, tak bermakna kita tak akan cintakan orang tu. Mungkin sekarang belum, tapi masa akan datang, siapa tahu?” Soalan itu bukan ditujukan kepada Rania. Persoalan itu hanya takdir sahaja yang mampu menjawabnya.
“Herry.” Seru Rania. Ketika itu, mereka baru sahaja keluar daripada perut kereta.
“Ya sayang.” Senang hatinya mendengar suara Rania yang lembut itu. Tidak menengking seperti tadi lagi.
“Saya tak akan sesekali mengaku kalah.” Tutur Rania pasti. Herry tersenyum lagi.
“Saya pun tak akan sesekali menyerah kalah.” Balas Herry pula. Rania menjeling tajam. Bukan itu jawapan yang ingin didengarnya.
“Kita nak pergi mana ni?” Soal Rania sekali lagi. Sengaja mengubah topik.
“Kita dah pun sampai.” Kata Herry. Tidak sedar bahawa kaki mereka sudah melangkah ke hadapan sebuah kedai emas.
“Buat apa kita ke sini?” Tanya Rania.
“Masuk jelah.” Arah Herry sambil menolak lembut bahu Rania. Rania mengerakkan bahunya, tanda menepis.
“Pilihlah yang mana satu.” Arah Herry ketika duduk di atas kerusi yang disediakan.
“Untuk siapa?” Soal Rania dungu.
“Untuk bakal tunang saya.” Gurau Herry. Tapi Rania tidak dapat menangkap maksud yang tersirat,
“Oh…” Tidak langsung menunjukkan riak terkejut apatah lagi cemburu.
“Cepatlah pilih.” Gesa Herry sekali lagi.
“Kenapa pulak saya yang kena pilih? Kalau tunang awak tu tak berkenan, nanti susah pulak.” Ejek Rania sambil tersenyum sinis.
“Kenapa pulak dia nak marah, awak yang pilih, mestilah awak akan suka. Kan awak bakal tunang saya.”Sekali lagi, kata-kata Herry membakar jiwa Rania.
“Herry, saya rasa kita patut hentikan semua ni. Saya tak sanggup nak teruskan mainan gila ni.” Rayu Rania tiba-tiba.
“Tak, saya tak akan sesekali mengalah sebelum berjuang Nia.” Pintas Herry muktamad.
“Kalau susah sangat nak pilih, biar saya je yang pilih. Kak, Ambil yang ini.” Arah Herry kepada seorang jurujual yang sedari tadi hanya memandang ke arah kami.
“Tak nak. Saya nak yang ni.” Cepat-cepat Rania memintas. Sengaja dia berdegil.
“Encik, nak yang mana satu ni?” Soal jurujual itu meminta kepastian. Pasti dia pelik melihat aksi sepasang anak muda yang tidak sependapat.
“Ambil yang cik ni nak.” Ujar Herry mengalah.
Gadis itu menyuakan sepasang cincin couple yang indah berkilauan.
Tangan Runcing Rania cuba mencapai cincin yang berada di hadapannya kini. Baru sahaja dia mengambil, tiba-tiba tangan sasa Herry merampas cincin itu daripada tangannya.
“Kenapa dengan awak ni?” Marah Rania. Bengang betul dia dengan sikap Herry.
“Biar saya pakaikan.” Rupanya itu helahnya.
“Saya boleh pakai sendiri.” Bentak Rania. Jurujual itu semakin pelik dengan aksi mereka.
“Jangan degil. Biar saya pakaikan.” Dicapaikan tangan runcing milik Rania. Cepat-cepat disarung cincin di jari manis Rania sebelum ditarik kasar oleh gadis itu. Muat-muat.
“Macam mana, okey?” Soal Herry sambil mencuba cincin miliknya pula.
Rania memerhatikan cincin yang disarungkan di jari manisnya. Memang tidak dinafikan, cincin itu tidak kurang cantiknya. Tapi cincin itu tidak akan dapat mencairkan hatinya yang beku. Dibelek harga yang terselit di kotak cincin yang telah kosong.
Melopong mulutnya memandang tanda harga yang tertera. Sembilan ratus sembilan puluh sembilan ringgit. Sembilan puluh darjah, dia berpaling ke arah Herry.
“Saya tak nak yang ni!” Putus Rania tiba-tiba.
“Yang ni kan dah cantik, nak yang mana lagi?” Soal Herry lembut.
“Saya nak yang awak pilih tadi.” Jawab Rania. Pastilah Herry akan memilih harga yang lebih murah.
“Ambil yang tadi kak.” Arah Herry sekali lagi.
“Yang ni memang trend terkini.” Sokong jurujual itu sambil tersenyum manis.
Herry menanggalkan cincin yang lama dan disarungkan cincin yang baru. Cincin yang disarungkan di jarinya kali ini lebih cantik, lebih berkilau dan pastinya lebih mahal.
Ditarik kotak cincin itu untuk melihat tanda harga. Kalau tadi dia melopong, kali ini dia terasa seperti ingin pengsan. Harga cincin kali ini dua kali ganda lebih mahal dari cincin yang dicubanya tadi.
“Tak nak lah yang ni.” Ujar Rania cuba berdalih. Dia cuba menanggalkan cincin yang tersarung. Malangnya, usahanya tidak berjaya.
“Cincin ni dah padan sangat dengan awak.” Puji Herry ikhlas. Rania mengigit bibir. Herry tahu apa yang sedang bermain di dalam fikiran gadis itu.
“Tak payahlah awak risau soal harga. Ia tak menjadi satu masalah.” Putus Herry.
“Ini bukan soal masalah harga, tapi soal membazir. Kita akan pakai cincin ni untuk tujuh puluh tujuh hari sahaja, awak tak rasa rugi ke?” Herry memandang ke arah luar kedai. Tidak suka apabila Rania terus mempersoalkan perbuatannya.
“Saya nak kita pakai cincin ni untuk seumur hidup kita.” Rania tersenyum sinis mendengar kata-kata Herry.
“Awak terlalu yakin.” Ejek Rania. Ejekan Rania merupakan satu semangat yang membakar dalam diri Herry.
“Saya tak pernah seyakin ni. Lagipun, kalau saya tak yakin, macam mana saya nak yakinkan awak?” Kata-kata Herry itu ada benarnya.
“Dan sekalipun kita tak bersama, cincin ini akan tetap menjadi kepunyaan awak.” Sambung Herry lagi apabila melihat Rania hanya membisu.
“Tak, saya akan tanamkan cincin ni seperti kuburnya cinta awak. Lagipun, tak adil untuk orang lain kalau saya simpan cincin ni. Bagi saya, cincin itu melambangkan sebuah cinta. Kalau cinta dah tak ada, buat apa menyimpan cincin yang sudah tidak bermakna.” Herry mendengar penjelasan Rania dengan setulus jiwanya.
“Awak berhak untuk buat apa sahaja selepas tujuh puluh tujuh hari dan saya pun berhak untuk buat apa sahaja dalam masa tujuh puluh tujuh hari ni. Kak, saya ambil cincin ni.” Putus Herry sambil menyerahkan kad kreditnya kepada jurjual berkenaan.
“Dan awak jangan pernah sekali pun berani tangalkan cincin tu.” Amaran Herry itu Rania dengar dengan seluruh jiwanya.
“Buat apa saya nak tanggal. Saya pun teringin nak melaram dengan cincin mahal ni.” Sengaja Rania ingin menyakitkan hati Herry sambil menunjukkan jarinya yang indah bersulamkan cincin.
Herry tergelak kecil. Terasa lucu melihat aksi Rania yang sengaja dibuat-buat. Tanganya mendarat di atas kepala Rania yang diselaputi oleh kain tudung. Tindakannya mengejutkan Rania.
Herry tersenyum ikhlas. Rania tidak tahu sama ada ingin membalas senyuman Herry ataupun ingin pengsan diperlakukan sebegitu rupa. Hatinya menahan debar yang tidak tertanggung rasanya.
Share this novel