Bab 27
***
Selama tiga minggu ini, dia berjaya mengawal air matanya dari merebes. Berjaya mengusir rasa sedih dengan dikukuhkan benteng kesabaran. Berjaya mengusir bayang Herry dengan melekat di meja studinya.
Tapi semuanya seakan-akan mula hilang. Mindanya mula melakar kenangan demi kenangan yang pernah terukir indah. Sungguh, selama tujuh puluh tujuh hari yang lalu, tidak sedetik pun dia tidak merasa gembira. Malah, dia seakan-akan lupa untuk menangis.
Kini, semua ketabahan dan kesabarannya makin longgar. Kalau semalam, dia berjaya mengusir semua kenangan dengan mengulangkaji perlajaran. Tapi ketika melangkah keluar dari dewan tadi, hatinya yang pedih mula terasa sakit kembali. Mujurlah studinya tidak terganggu dek penangan cinta ini. Syukur yang teramat sangat disandarkan pada penciptaNYA.
“Nia….” Seru satu suara yang sangat Rania kenali. Suara rakan karibnya. Rania cepat-cepat menyeka air matanya yang tadi menghiasi pipinya.
“Walaupun kau sapu air mata tu, ia tak akan dapat sembunyikan kesedihan kau Nia.” Rania melepaskan pandang ke arah Hisyam yang baru melabuhkan duduknya di sebelahnya.
Entah kenapa, kata-kata Hisyam itu membuatkan Rania kembali menangis. Memang dia akui, selain daripada Herry, hanya Hisyam yang sangat memahaminya.
“Aku tak faham, kenapa kau putuskan hubungan kau dengan Herry? Bukan ke kau cintakan dia?” Soal Hisyam sambil memandang ke arah Rania. Sedari dulu dia sayangkan gadis ini. Namun rasa sayang yang tidak langsung melibatkan soal cinta. Namun ada yang menyalah ertikan hubungan ini.
“Kau tahu sebabnya kan?” Tersekat-sekat nada suaranya. Sambil itu, tangannya tidak lepas dari mengesat air yang meleleh di pipinya.
“Ya aku tahu. Dan aku pun tahu yang kau berbohong. Alasan kau untuk mempermainkan Herry tu tak logik langsung. Sebab aku tahu betapa dalamnya cinta kau pada dia.” Tingkah Hisyam.
“Kau tak boleh fikir yang kau tahu semua tentang aku Syam…. Tak semua kau tahu Syam…” Bidas Rania pula. Rania risau sebenarnya kerana Hisyam ini memang dikenali sebagai orang yang pandai mencungkil rahsia. Silap percaturan, buruh padahnya.
“Kau fikir aku tak tahu?” Kata-kata Hisyam itu menerbitkan rasa ingin tahu dalam diri Rania.
“Apa yang kau tahu?” Duga Rania. Tidak mungkinlah Hisyam tahu bahawa dia mengorbankan cintanya demi mengembalikan Herry pada ayahnya.
“Tentang kontrak couple korang tu… Kau ingat aku tak tahu?” Lain yang berada di benaknya, lain pula yang diungkapkan oleh Hisyam. Jadi lelaki itu tahu.
“Macam mana kau tahu?” Soal Rania pula. Namun setelah difikir-fikir, mungkin sahaja anisa telah menceritakan perihal tersebut kepada Hisyam dan Salina.
“Tulah kau…. Kalau kau nak tahu, aku yang rancang kontrak couple tu. Cadangan tu aku usulkan pada Anisa. Asalnya, aku cuma nak berbaik semula dengan kau, dan aku nak kau rasa ada pakwe walaupun olok-olok tapi aku betul-betul tak sangka yang Herry lebih cepat bertindak dari aku… Dia nak buat kau jatuh cinta pada dia dalam masa tujuh puluh tujuh hari je…
Mula-mula aku takut gak kalau-kalau dia cuma nak main-mainkan kau tapi bila tengok pada kesungguhan dia, aku sedar yang tak ada orang yang lebih layak jaga kau selain daripada dia.” Terang Hisyam satu persatu. Kali ini, giliran Rania pula yang tercengang.
“Jadi, kalau kau anggap aku ni sahabat kau, kau ceritalah yang sebenar-benarnya. Tapi kalau tak, kau buatlah apa yang patut.” Hisyam baru sahaja ingin bangun namun tindakannya terhenti apabila mendengar esak tangis Rania yang semakin tragis.
“Nia…” Lain yang dirancang, lain pula yang terjadi.
“Salah ke kalau aku berkorban untuk kebahagiaan ayah dia? Salah ke?” Rintih Rania. Kini, giliran Hisyam pula yang terpinga-pinga.
“Apa maksud kau? Aku tak faham?” Keinginannya datang membuak-buak untuk mengetahui perkara yang sebenar.
Lalu, dengan suara yang tersekat-sekat, Rania menceritakan tentang semua kejadian yang telah berlaku. Setelah meluahkannya pada Hisyam, barulah hatinya tenang. Rania sudah kembali stabil dari teresak-esak menangis.
“Patutlah Herry ubah fikiran. Dulu dia mati-mati cakap kat aku yang dia tak nak balik Dubai tapi tup-tup semalam dia cakap yang dia nak balik hari ni.” Tiba-tiba datang idea untuk mengenakan Rania.
“Apa? Kau jangan main-main Syam.” Soal Rania keras. Bulat matanya memandang ke arah Hisyam.
“Kau tengok muka aku betul-betul. Ada nampak macam main-main ke?” Soal Hisyam pula. Nadanya sengaja diseriuskan. Dia mahu lakonannya hidup.
Tidak semena-mena Rania menyembamkan mukanya di antara dua lututnya yang sedang dipeluk erat. Dia menangis semahu-mahunya.
“Kenapa menangis Nia. Bukan ke kau yang nak lakukan pengorbanan ni?” Soal Hisyam lagi.
“Memanglah, tapi aku tak sanggup….” Kata-katanya mati di situ apabila dia mengangkat muka, bukan Hisyam yang duduk di sebelahnya tetapi Herry.
“Awak tak sanggup kehilangan saya?” Soal Herry tiba-tiba.
Rania berpaling ke arah lain. Otaknya buntu untuk memikir. Semua serba tidak kena. Terkejut dengan kedatangan Herry yang tiba-tiba.
“Nia, kalau awak tak sanggup nak kehilangan saya, apatah lagi saya ni Nia.” Telinga Rania dapat mendengar rintihan kecil Herry.
“Ayah awak perlukan awak…” Jawab Rania tanpa memandang ke arah Herry.
“Habis tu, awak fikir saya tak perlukan awak?” Kali ini, nadanya sedikit keras. Herry tiba-tiba dihimpit rasa marah. Marah kerana Rania langsung tidak memikirkan tentang dirinya.
“Janganlah marah saya…” Marah Rania balik.
“Memang patut awak kena marah. Kenapa suka buat keputusan tanpa tanya pendapat saya dulu?” Marah Herry. Tapi hanya sekadar marah-marah sayang.
“Awak dah buat keputusan untuk tak kembali pada ayah awak sebab awak tak nak tinggalkan cinta awak. Saya tak nak macam tu… Kasih sayang seorang ayah itu lebih besar dari kasih seorang kekasih.” Jelas Rania. Kali ini, dia sudah mampu untuk bertentang mata dengan Herry.
“Ya. Saya tahu Rania. Kasih seorang ayah tu lebih besar dari kasih seorang kekasih. Tapi kalau saya kembali pada ayah saya pun, tak semestinya saya akan tinggalkan cinta hati saya.” Kali ini, dia perlu perbetulkan keadaan yang sudah mula tidak betul.
“Tapi ayah awak cakap yang awak dah buat keputsan untuk tinggal di sini. Dan saya tahu yang awak jenis yang tetap dengan keputusan awak tu. Dan hanya cara macam ni yang dapat pulangkan awak kepangkuan ayah awak.” Terang Rania pula.
“Itu yang awak silap tentang saya. Memang dulu saya macam tu. Tak ada apa yang akan dapat menggoyahkan keputusan saya. Tapi itu dulu. Sebelum saya jumpa awak. Lepas jumpa awak, awak dah ajar saya tentang kehidupan yang sebenar, tentang erti cinta yang sebenar dan tentang erti sebuah kemaafan.
Saya dah lama maafkan ayah. Dan saya baru nak perkenalkan calon menantu dia tapi tup-tup macam ni pulak jadinya.” Keluh Herry kesal. Rania hanya mampu menunduk sambil menelan air liur.
“Saya minta maaf. Saya tahu saya salah.” Pohon Rania perlahan.
“Engat senang-senang saya nak maafkan awak. Sebagai denda, awak kena kahwin dengan saya.” Putus Herry muktamad.
“Tapi…” Belum sempat dia menghabiskan bincara, kata-katanya telah dipintas.
“Tak ada tapi-tapi..” Ujar satu suara yang agak asing di pendengarannya. Rania berpaling sambil terus berdiri.
“Pak cik.” Hanya itu yang mampu keluar dari bibirnya.
“Bukan pak cik. Tapi ayah lah.” Usikan ayah Herry itu mengundang senyuman manis di bibir Rania. Rupa-rupanya, bukan Tan Sri Mustapha sahaja yang sendang mengintip mereka tetapi beberapa teman rapat mereka juga turut tumpang sekaki. Rania jadi malu sendiri.
“Rania, sudi tak awak terima cincin ini semula, menerima diri ini seadanya, memahami jiwa saya, menyempurnakan kisah kasih saya, dan memaknakan cinta saya?” Semua mata-mata mula memandang ke arahnya. Segan rasanya bila Herry melamarnya di hadapan semua orang termasuk Tan Sri Mustapha.
“Dan menjadi menantu kepada pak cik?” Sambung Tan Sri Mustapha. Kata-katanya mengundang gelak tawa dari mereka yang mendengar.
“Diam tu tanda setujulah.” Usik Amira yang kian selesa berdampingan dengan Amirul. Salina dan Hisyam hanya tergelak kecil. Manakala Herry pula memandang dengan penuh harapan.
“Saya tak ada jawapannya.” Ujar Rania. Sengaja mengundang rasa gabra dalam diri Herry.
Sekarang, semua mata memandang ke arahnya. Menanti jawapan yang pasti gamaknya.
“Iyalah, mestilah kena tanya dengan mak dan ayah saya kan..” Sambung Rania mematikan spekulasi yang bakal meletus. Akhirnya, semua menarik nafas lega.
Herry menyarungkan kembali cincin couple yang pernah ditanamnya satu ketika dulu. Rupa-rupanya, selepas menghantarnya kembali, Herry kembali ke tempat itu untuk mengambil kembali cincin yang telah ditanam.
“Awak tak kisah kan kalau lepas kahwin nanti saya bawak awak pergi Dubai?” Soal Herry apabila melihat rakan-rakannya sudah mula menjauh.
“Kalau saya kisah?” Soal Rania sengaja menguji.
“Saya tahu awak tak akan kisah sebab awak lebih kisahkan kasih orang lain sebelum kekasih sendiri.” Dalam nadanya yang bersahaja, Rania tahu Herry memperlinya.
“Jadi, kenapa tanya lagi. Awak kan dah ada jawapannya.” Balas Rania manja. Langsung tidak mempedulikan kata-kata Herry tadi.
“Ya. Saya dah dapat jawapannya. Jawapan kepada kontrak tujuh puluh tujuh hari tu.” Akhirnya, mereka sama-sama dapat mengukir senyuman bahagia. Baru tadi rasanya dia menangis hiba namun rahmat ALLAH itu mengatasi segalanya.
Jadi, kalau kita sedang menangis sekarang, jangan fikir yang ia akan sentiasa berlarutan. Akan tiba juga panas mentari yang akan menenggelamkan awan mendung yang bertamu. Kuatkanlah dinding kesabaran, kukuhkanlah benteng ketabahan. Kerana bayarannya tidak terhitung rasanya.
Share this novel