Chapter 12

Romance Series 12954

Bab 12
***

Hujung minggu kali ini, dia mengikut Herry bermain boling bersama teman-teman. Kali ini, Herry seperti sengaja mencari kelainan dengan mengajak sekali teman-teman kampus yang rapat dengannya.

Rania juga tidak ketinggalan mengajak Anisa, Salina dan Hisyam untuk sama-sama menyertai mereka.

Rania hanya duduk di kerusi menyaksikan mereka bersaing untuk merebut gelaran juara. Tidak pula berniat untuk turut serta.

“Kenapa tak main sekali?” Soal Amira pelik. Dia mengambil tempat di sebelah Rania.

“Tak reti.” Jawab Rania perlahan sambil tersenyum malu.

“Lah, benda ni boleh berlajarlah. Aku dulu pun tak reti jugak. Tapi Herrylah yang banyak ajar aku.” Terang Amira. Rania tidak lepas dari memandang Amira.
Mengapalah gadis secantik Amira ini bersikap seperti tomboy. Kalaulah Amira menjadi perempuan yang sejati, pasti dia akan menjadi perempuan idaman setiap lelaki.

“Bukan tak pernah cuba tapi bola banyak disedekahkan pada longkang je.” Amira ketawa besar mendengar jawapan Rania.

“Apa yang digelakkan sangat tu.” Tegur Herry sambil duduk di sebelah Amira memandangkan tempatnya itu telah diisi oleh Amira.

“Tak ada apa pun.” Cepat-cepat Rania menjawab. Tidak mahu Amira memanjangkan cerita.

“Awek kau ni, pandai jugak buat lawak yerk.” Getus Amira setelah tawanya reda.

“Mestilah. Dia bukan sahaja pandai melawak tapi lawa, baik, sopan, cantik dan banyak lagi. Kau jangan nak mengorat dia pulak.” Gurau Herry. Amira mencebik. Rania pula malu mendengar pujian Herry yang dirasakan melebih-lebih.

“Ish, ke situ pulak kau ni. Dahlah, turn aku pulak jalan.” Ujar Amira sambil berlalu. Tapi sebelum itu, sempat juga di menolak kepala Herry.

“Awak dengan dia rapat betul kan?” Soal Rania. Dia ingin tahu dengan lebih lanjut tentang Herry.

“Aah. Dia kawan terbaik saya.” Bangga sungguh Herry mengatakannya.

“Awak pernah tanya tak kenapa dia jadi macam tu?” Rania tahu, Herry faham dengan soalannya.

“Tak. Itu hak dia untuk bersikap macam mana sekalipun. Saya berkawan dengan seseorang, bukan kerana paras rupa ataupun harta. Tetapi berdasarkan keikhlasan.” Jawab Herry jujur.

“Kalau macam tu, sebab apa awak nak berkawan dengan saya? Hubungan kita bukan bermula dengan keikhlasan.” Duga Rania.

Herry baru hendak menjawab tapi ada suara yang memanggilnya tanda gilirannya untuk bermain. Dia meninggalakan Rania dengan tanda tanya.

Rania mengeluarkan telefon bimbitnya. Cuba membuka internet menggunakan Telefon mudah alihnya.

Sedang dia menunggu untuk mengakses masuk, ada tangan yang mengambil telefon bimbitnya. Tangan Herry. Nampaknya, dia sudah bersedia untuk menjawab.

“Sebab awak pemilik nama Rania Rumaisya.” Jawab Herry sambil membantu menyimpankan telefon bimbit Rania ke dalam beg tangan Rania.

“Kenapa dengan nama saya?” Soal Rania tidak faham.

“Sebab nama awak sahaja sudah mampu membuatkan saya berdebar. Sudah mampu membuatkan saya tak keruan. Sudah mampu membuatkan saya ingin mengenali dengan pemilik nama ni.” Jawapannya itu memang tulus dari hatinya.

“Awak memang layak menyandang gelaran playboy tu Herry. Sebab kata-kata awak mampu membuatkan perempuan cair.” Ujar Rania sambil tergelak kecil. Namun sebenarnya, kata-kata hanya untuk mengaburi pandangan mata Herry sahaja. Dia tidak mahu Herry mengesan dirinya yang sedang gementar.

“Tapi awak tak cair pun.” Bidas Herry. Kenapalah soal playboy juga yang sering dibangkit. Tapi itulah harga yang terpaksa dibayar di atas kelakuannya dahulu.

“Sebab saya duduk di tempat beku. Bukan di tempat panas.” Katanya berkias, namun amat difahami oleh Herry.

“Saya akan pastikan yang suatu hari nanti, awak sendiri yang akan bosan di tempat yang beku. Dan awak sendiri yang akan keluar dari ruang beku untuk cairkan diri awak di tempat yang panas.” Setelah itu, Herry kembali pergi untuk meneruskan permainan. Sekali gus memberi ruang kepada Rania untuk berfikir.
Sedari tadi, tingkah mereka berdua sebenarnya diperhatikan oleh Salina dan Hisyam.

“Abang, abang rasa, Herry tu betul-betul serius ke nak kan Rania?” Soalan itu ditujukan kepada Hisyam.

“Entahlah.” Jawab Hisyam lembut. Dia sebenarnya memikirkan perkara yang sama.
“Abang, kita kena selamatkan Nia bang.” Putus Salina. Dia takut kalau-kalau Rania kecundang di kaki buaya besar sepert Herry itu.

“Sayang, kita tak tahu apa-apa sekarang. Baik yang tersurat atau tersirat. Jadi, kita tak boleh ambil apa-apa tindakan. Lagipun, abang tak rasa yang Herry tu macam nak mainkan Nia. Sayang tu, berhentilah berfikir yang bukan-bukan.” Memang itulah yang sebaiknya.

Usai main boling, mereka bersama-sama berjemaah untuk makan. Rania dapat merasakan yang kakinya melecet. Dia berjalan lebih perlahan dari orang lain.
Tangannya mencari-cari di dalam beg tangannya kalau-kalau ada lagi lebihan plaster yang sedia ada. Namun hampa kerana apa yang dicari tidak jua ditemui.
“Nia, kenapa jalan lambat sangat?” Tegur Herry. Rania sekadar mengeleng. Malas untuk menyusahkan Herry.

Dia cuba untuk mengawal kesakitannya. Dan dia cuba untuk tidak berjalan terhencot-hencot. Bimbang kalau Herry dapat mengesannya.

“Nia, kaki kau okey?” Soal Salina tiba-tiba. Dia perasan yang Rania cuba mengawal pergerakannya. Lagi pun, dia sudah dapat mengagak kerana kaki Rania senang benar untuk melecet.

Kini, semua mata memandang ke arahnya. Termasuklah Herry.

“Sakit sikit je.” Ujar Rania. Sedikit pun dia tidak memandang ke arah Herry.

“Cuba tengok.” Arah Anisa pula. Sekarang dia diarahkan duduk di bangku yang telah tersedia.

Rania menanggalkan kasut sarungnya. Terserlah kulitnya yang melecet.

“Sikit kau cakap, teruk gila ni.” Marah Salina. Rania terkebil-kebil sendiri.

“Plaster mana? Biar aku tolong letakkan.” Soalnya lagi. Rania mengeleng tanda tidak ada.

“Biar aku pergi beli.” Tawar Hisyam.

“Tak payah. Biar aku pergi.” Ujar Herry pula. Kini, suasana seperti sedang tegang sahaja. Dia tahu air muka Herry berubah.

“Kalau macam tu, pergilah.” Ujar Hisyam mengalah. Dia sedar, dia harus memberi peluang kepada Herry untuk membuktikan cintanya pada Rania.

Hanya tinggal Rania dah Anisa sahaja di bangku itu. Yang lain-lain sudah pun diarah pergi dahulu. Rania menanti dengan penuh debar.

Herry tiba tidak lama selepas itu. Dia mencangkung di hadapan Rania. Cuba untuk menampal plaster di kaki Rania.

“Biar saya buat sendiri.” Ujar Rania cuba menahan. Tidak perlulah Herry melayannya dengan sebegitu rupa.

“Jangan awak fikir yang semua perkara awak boleh buat sendiri.” Buat pertama kalinya, Rania melihat Herry marah. Rania tertunduk. Membiarkan Herry menampal plaster di kakinya. Walaupun sedang marah namun Herry masih berhati-hati meletakkan plaster. Dia mahu mengurangkan kesakitan yang ditangung oleh Rania.

Anisa yang faham akan situasi tegang itu berlalu pergi meninggalkan mereka berdua. Mereka perlukan privasi untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.

“Maafkan saya.” Pohon Herry sambil mengambil tempat di sisi Rania. Tanpa sedar, dia tertengking gadis kesayangannya sendiri.

Seketika, hanya kebisuan yang menemani mereka.

“Kenapa awak tak beritahu saya yang kaki awak melecet?” Soal Herry. Memecah tembok kebisuan.

“Saya tak nak susahkan awak.” Jawab Rania tanpa memandang Herry.

“Saya tak pernah rasa awak menyusahkan saya. Tak pernah Nia.” Sengaja ditekankan sedikit nada suaranya.

“Saya rasa malu dengan kawan-kawan awak. Mesti dia orang fikir yang saya tak mampu jaga awak. Kaki awak melecet pun saya tak perasan.” Luah Herry lagi.

“Sebab awak tak tahu.” Bela Rania. Cuba menyedapkan hati Herry.

“Ya. Sebab awak tak beritahu.” Bidas Herry.

“Saya minta maaf. Saya cuma tak suka dianggap manja oleh lelaki. Memang kaki saya cepat melecet. Tapi biasanya saya bawak plaster, tapi saya tak perasan yang plaster saya dah habis. Saya ingat nak beli kejap lagi, tapi tiba-tiba Salina dapat kesan. Sebab dia orang dah biasa dengan masalah kaki saya yang mudah melecet. Jadi, tak perlulah awak rasa malu atau serba salah.” Luah Rania pula.

“Syam tu ambil berat sungguh ya pasal awak?” Soal Herry berbau cemburu.
“Saya dah anggap Syam tu macam abang saya je.” Jawab Rania.

“Saya perasan yang awak minta tolong dengan dia mengunakan bahasa isyarat.”

“Apa awak cakap ni?” Berkerut dahinya berfikir.

“Kalau awak susahkan Hisyam tu, tak apa pulak yerk.” Ujar Herry berjauh hati.

“Itulah bezanya kawan dengan kekasih. Kita tak pernah kisah kalau kita susahkan kawan kita. Tapi dengan kekasih, sikit pun kita tak nak dia tahu kesusahan kita. Macam tu jugak dengan saya. Walaupun kita cuma couple contract tapi saya tetap tak melanggar etika bercinta yang sebenar. Dan awak, berhentilah fikir yang bukan-bukan.” Tegas Rania sambil menundingkan jari terlunjuknya di hadapan muka Herry.

Herry tersenyum puas hati. Senang dengan luahan hati Rania tadi. Dia mengambil beg tangan milik Rania dan dikeluarkan diari yang sentiasa dibawa oleh mereka kemana-mana sekalipun.

Herry mencapai pen dan menulis sesuatu disitu. Setelah itu, dia menyerahkan diari itu kepada Rania.

Saya rela disusahkan…
Kalau orang yang menyusahkan saya ialah awak….
Jangan mengada-ngada nak susahkan orang lain selain saya….

Rania tersenyum membaca kata-kata Herry yang kemas ditulis di dalam diari. Hatinya berbunga indah. Benarlah orang kata, bila bercinta ni, hal yang paling remeh pun mengundang bala dalam perhubungan.
“Awak boleh jalan tak ni?” Soal Herry risau ketika mereka mula menapak.
“Kalau tak boleh, awak nak dukung ke?” Uji Rania.
“Oh, saya tak kisah.” Jawab Herry sambil memegang lengan Rania.
“Tapi saya kisah. Awak jangan nak buat kisah kasih pulak kat sini. Bila dah letak plaster ni, okeylah sikit.” Kata Rania lembut. Kadang kala, sikap Herry yang berlebih-lebih menjaganya merimaskan. Tapi adakah sikap ini akan terus ada jika mereka meneruskan hubungan mereka tanpa kontrak? Tidak ada seorang pun yang mampu menjawab soalannya ini. Kerana jawapannya hanya dapat ditentukan oleh takdir.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience