Bab 8 : AJIB 2.0

Romance Series 515828

Bab 8

~Faith is a place of mystery, where we find the courage to believe in what we cannot see and the strength to let go of our fear of uncertainty.~ Brene Brown.

Genap dua minggu aku di kampung, esok aku akan ikut Angah balik ke rumahnya di Kuala Lumpur. Along dan keluarganya juga telah berangkat pulang ke Kuantan, petang semalam. Cuti masing-masing sudah habis, sudah tiba masanya untuk kembali meneruskan kehidupan seperti biasa. Untuk sementara waktu sebelum aku dipanggil bertugas, aku akan tinggal bersama Angah sekeluarga. Abang-abangku tidak mengizinkan aku untuk tinggal di rumah keluargaku memandangkan nanti cuma tinggal aku bersendirian saja. Mulanya aku protes juga dengan keputusan kekandaku. Iya lah, aku masih belum puas lagi menerokai rumah peninggalan arwah orang tua ku tapi sudah kena tinggal lagi. Walaupun tak banyak kenangan yang melekat dalam kepalaku, aku tetap rasa selesa. Rasa nyaman. Rasa selamat dan hangat berada di rumah itu seperti hangatnya kasih sayang ibu dan ayah kepadaku.

Tetapi lepas difikirkan balik, eloklah kalau aku ikut cadangan mereka daripada aku tinggal keseorangan disini. Aku bukannya berani sangat nak tinggal seorang diri macam ni. Macam trauma pun ada tapi aku trauma, kenapa? Ada apa-apa yang jadi ke sebelum ni? Sebab dah banyak kali aku perasan, aku memang tak boleh kalau dibiarkan seorang diri. Rasa macam diperhatikan oleh sepasang mata halimunan dan aku takut! Aku mudah terkena serangan panik. Katalah nak kata aku insecure sekali pun aku dah tak kesah.

Walaupun Bella dan Kanda juga satu kampung denganku, tapi itu tidak bermakna aku mesti menempel dengan pasangan suami isteri itu 24 jam, kan? Kan tak pasal-pasal orang kampung ingat aku madu Bella. Ke hulu, ke hilir mengekor diorang. Hish, tak nak lah aku masuk dalam senarai seangkatan, sepupu sepapat dengan barisan nama penyondol ni! Eeii alergik betul aku dengan spesis yang macam tu. Macam tak ada laki lain je diorang nak caras! Laki orang juga yang nak. Huh, sakit hati! Panas betul aku kalau difikirkan isu itu. Entahlah rasa macam dekat-dekat je dengan aku. Entah lah... malas nak fikir. Malas nak menyemakkan kepala aku.

Berkenaan kes pada malam yang aku terdengar perbualan Along dengan Pak Long dan Mak Ngah, aku ada tanya juga topik apa yang diorang bualkan tapi semuanya berdalih. Pelik betul aku dengan diorang ni. Entah rahsia kerajaan yang mana satu diorang nak sorokkan dari pengetahuanku.

Teringin juga nak tanya Dr. Dzharif sebab namanya naik dalam perbualan diorang pada malam tu tapi Dr. Dzharif sudah balik ke Kuala Lumpur selepas selesai majlis persandingan Kanda dan Bella. Katanya dia nak berjumpa cinta hatinya terlebih dahulu sebelum balik ke Ireland. Cinta hati? Jangan nak banyak tanya sangat. Dah tentu jawapannya si Jelita Malaiqa. Jelita sangatlah tu kan sebab tu nama pun jelita kan? Hish aku dah kenapa possessive semacam saja. Ingat Dr. Dzharif tu aku punya? Aku merajuk dan dia pula diam saja lepas balik dari sini, entah-entah dia sudah selamat sampai ke Ireland! Huh, malas nak fikir pasal Dr. Dzharif.

Hari ini, pagi-pagi lagi aku menyelinap keluar dari rumah usai bersarapan pagi. Aku menapak ke tanah perkuburan yang terletak di hadapan rumahku. Aku mahu ziarah rumah baru ayah, ibu dan Achik sebelum aku ikut Angah balik ke Kuala Lumpur. Entah bila lagi aku berpeluang untuk balik dan ziarah pusara mereka. Sebelum ini bukannya aku tidak teringin untuk menziarah tapi hatiku tidak kuat untuk ke sana. Terasa setiap derapan langkah kakiku sungguh berat untuk menapak ke situ. Hatiku rapuh, hatiku luluh setiap kali teringatkan raut wajah mereka yang aku kenal cuma melalui kepingan gambar yang ditunjukkan kepadaku.

Sejujurnya ini merupakan kali ke dua aku ke sini walau hakikatnya pusara mereka hanya terletak beberapa meter saja dari rumah pusaraku. Kali pertama aku ke sini adalah ketika aku mula-mula dibenarkan keluar dari hospital 5 tahun lepas. Waktu itu aku masih belum boleh berdiri dengan gagah dan masih menerima rawatan dengan pihak pysioterapi. Aku datang ke sini dengan berkerusi roda ditemani Bella yang setia menolakku ke mana saja.

Aku masih ingat lagi betapa kosongnya tatapan yang aku melemparkan kepada tempat bersemadinya tiga orang ahli keluargaku dulu. Ayah, ibu dan Achik, mereka disemadikan di dalam satu liang lahad. Itu permintaan nenek, kata Along.

Telingaku bagaikan terngiang-ngiang lagi apa yang Bella luahkan pada waktu itu.

"Assalamualaikum ayah, ibu, achik... Bella datang ni. Hari ni Bella datang bawa adek. Adek dah boleh keluar dari hospital cuma adek... adek... dia tak ingat siapa dia. Adek tak ingat kita semua... Adek tak ingat apa yang dah jadi..." ungkap Bella teresak-esak menangis sambil memegang batu nisan putih suci itu.

Tapi aku... aku hanya pandang Bella yang lencun itu dengan tatapan kosong. Kosong. Hanya kosong. Tanpa rasa apa-apa. Aku tidak tahu apa yang perlu aku terjemahkan perasaanku ketika itu. Aku bertambah hairan dan pelik, kenapa Bella bawa aku ke sini? Siapa mereka dengan aku? Hanya itu yang bergema dibenakku ketika itu.

Aku menggeleng laju teringatkan kenangan lalu. Kaki sudah tiba di tempat yang dituju. Aku merenung tanah yang sedikit membukit itu. Bersih tanpa sebarang rumput liar cuma ada anak-anak batu putih disusun secara teratur di sekeliling pemakaman itu. Ada pokok jasmin renek dan berbunga putih lebat ditanam diatasnya. Cantik dan cukup terjaga. Aku senang hati melihatnya seolah-olah perkuburan ahli keluargaku ini ada tukang yang selalu tolong selenggarakan hingga serapi ini penjagaannya. Berbeza pula dengan perkuburan lain.

Aku picing mata, ada sesuatu menarik perhatianku lalu aku membawa kakiku mendekat dengan batu nisan. Ada sekuntum bunga ros putih diletakkan berdekatan batu nisan putih itu. Aku membongkok mencapainya lalu membelek-belek kuntuman itu.

'Ros putih? Siapa yang letak?' soalku, tak lama selepas itu ros putih aku letakkan kembali ditempatnya sebelum aku duduk di atas tanah tanpa menghiraukan baju kurung kuning cairku akan kotor terkena tanah merah.

Aku memilih untuk duduk di tengah-tengah antara kubur mereka bertiga dengan kubur nenek disebelahnya. Bella pernah bercerita dengan aku, selain dari aku puteri kesayangan ibu dan ayah, aku juga cucu kesayangan kepada arwah nenekku, nenek Sumayah. Kami cukup rapat dan aku sangat manja dengannya. Perasaanku ketika Bella ceritakan itu, haruslah aku terkilan. Aku tak ingat semua memori indahku bersama mereka!

Aku sentuh batu nisan yang terukir nama ayah, ibu dan Achik dengan tangan kanan dan tangan kiriku sentuh batu nisan nama nenekku. Aku senyum sambil tengah cuba membayangkan aku sedang menyentuh dan menatap wajah kesayanganku. Naskah surah Yaasin aku buka dan mengalunkan bacaannya dengan niat untuk sedekahkan kepada mereka yang telah pergi terlebih dahulu.

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :

Maksudnya : Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara : sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.

Riwayat Muslim (1631), al-Nasa'I, al-Tirmizi(1376) dan Abu Daud (2880).

"Assalamualaikum ayah, ibu, achik, nek... adek datang ni..." Bergetar suaraku. Sesuatu mencengkam dada. Aku tarik nafas. Cuba bertenang dan berlagak kuat supaya aku tidak menangis. Bibirku kemam sekejap sebelum tersenyum nipis.

"Adek minta maaf sebab adek... adek ambil masa yang sangat lama untuk datang ziarah rumah baru ayah... ibu.. achik dan nenek..." Aku berhenti seketika. Mata sudah mula rasa pedih-pedih. Dada makin sebak.

"5 tahun. 5 tahun adek tak datang. Adek ni memang anak yang tak kenang budi kan, ayah? Ibu? Adek bukan adik yang baik kan, achik? Nek..." Aku pandang kubur nenek pula.

"Adek bukan cucu yang baik kan?" Air mataku merembes. Betapa sekarang ini hatiku hancur. Aku tak boleh terima hakikat yang aku satu-satunya cucu kesayangan nenek Sumayah yang langsung tidak ingat saat-saat manis kami bersama. Betapa aku rasa terkilan. Aku rasa tak berguna.

"Adek... adek minta maaf sebab adek tak ingat semua kenangan kita bersama selama 20 tahun adek hidup di dunia ni dengan ayah, ibu, achik dan nenek... adek tak ingat apa-apa.. Adek cuma ingat apa yang jadi dalam tempoh 5 tahun ini saja. Adek teringin sangat nak tahu apa yang jadi selama 20 tahun adek jadi anak ayah dengan ibu. Adek nak tahu adakah adek ni anak yang baik-baik saja atau pun adek ni anak yang nakal..." Sambungku kemudiannya. Air mata makin lebat turun menodai pipiku.

"Adek... adek tak ingat bila kali terakhir adek peluk ibu... adek cium ibu... Adek tak ingat bila kali terakhir adek cium tangan ayah... adek pun tak ingat bila kali terakhir adek gaduh dengan achik... Adek tak ingat semuanya... Adek tak ingat bila kali terakhir adik peluk nenek... Adek tak ingat nek..." Aku tersedu-sedu di situ sambil menekur tanah.

Aku menangis lagi dan lagi. Sudah lama rasanya aku tidak menghemburkan tangisanku sseperti ini jadi biarlah hari ini aku melepaskan segala rasa sedihku untuk kali ini. Aku bukannya meratap kematian mereka, aku cuma terkilan kerana aku tidak mampu miliki kenangan bersama mereka. Itu saja.

Lama aku melayan perasaanku sehingga dada terasa kian ringan. Tiada lagi rasa berat seperti galas pemberat. Aku sedut nafas sedalam mungkin dan melepaskannya perlahan-lahan melalui mulutku. Ulang cara itu beberapa kali sehingga aku rasa lega. Tiada lagi rasa sebu. Tiada lagi rasa kurang selesa. Bila dah rasa okay, aku angkat muka. Sisa air mata aku sapu dengan belakang telapak tangan. Air hidung yang masih degil mahu keluar, aku sedut sebelum aku tersenyum lebar. Aku dah lega! Aura positif meresap masuk ke relung hatiku.

"Ibu, ayah, adek dah okay. Adek tak boleh sedih-sedih lama sangat kan? Kalau adek sedih, mesti ayah dengan ibu pun sedih kan? Insya-Allah adek tak sedih lagi. Walaupun adek dah hilang ayah, ibu, achik dan nenek... tapi adek masih ada along, angah, Bella dan Kanda, kan? Hanya diorang yang adek percaya dan akan jaga adek dengan baik. Diorang selalu ada dengan adek dan selalu bagi adek semangat untuk terus sihat. Jadi kenapa adek perlu sedih-sedih kan? Adek kena kuat, kan? Adek kena belajar untuk jadi kuat supaya adek boleh teruskan kehidupan adek, kan?" Aku senyum lagi. Cuba suntik semangat untuk diri sendiri.

Aku teringat cerita Bella mengenai diri aku sendiri. Kata Bella sejak dari dulu keluargaku sangat menyokong minat dan cita-citaku untuk menjadi seorang doktor. Dan ayah antara insan yang tak sabar untuk lihat aku sarung kot putih doktor itu. Kata Bella lagi, ibu siap lukiskan gambar aku memakai kot putih yang biasa-biasa doktor pakai itu sekali dengan stethoscope dileher. Aku sendiri pernah lihat lukisan itu ketika aku mengemas rumah keluargaku dua minggu yang lepas, ibu pandai melukis tapi bakat itu tidak diwarisi olehku. Lihat gambar sesempuna itu, aku dihurung sebak. Nampak tak betapa kecewanya aku bila cita-citaku sudah tercapai tapi aku tak sempat meraikan hari kejayaanku itu bersama mereka. Malah aku tak sempat menabur bakti pun untuk mereka berdua!

"Ayah, ibu, adek dah berjaya jadi doktor macam yang adek pernah bagitahu ibu dengan ayah dulu. Adek dah berjaya capai cita-cita adek. Adek janji akan terus berkhidmat dengan penuh ikhlas seperti yang ayah harapkan. Ibu, adek akan simpan gambar yang ibu lukis tu. Terima kasih ibu sebab percayakan adek. Adek tahu betapa besarnya harapan ibu dan ayah kepada adek untuk adek berjaya bergelar seorang doktor. Dan sekarang harapan ibu dan ayah dah tercapai. Adek dah berjaya jadi seorang doktor. Doktor Siti Nur Malihah binti Azad. Ayah suka tak? Ibu suka tak?" Aku senyum bangga. Bangga dengan pencapaianku menjadikan impian ibu dan ayah jadi kenyataan.

"Ayah, walaupun adek tak ingat kenangan antara kita tapi adek tetap rasa ayah dah jalankan tanggungjawab ayah dengan penuh Amanah dan terbaik sepanjang mendidik adek supaya jadi orang berguna dan beragama. Adek tetap rasa ayahlah hero adek sampai bila-bila. Ayahlah pelindung adek. Tiada sesiapa yang boleh gantikan tempat ayah dekat sini." Aku tepuk dada kiriku. Disinilah tempat ayah untuk selamanya.

"Ibu, walaupun adek tak ingat macam mana rasanya bila ibu peluk adik tapi adek tetap rasa hangatnya kasih sayang ibu. Adek tetap rasa nyamannya setiap kali membayangkan raut wajah lembut ibu. Ibu terlalu menyayangi adek kan? Ibu ratu hati adek. Ibu tiada galang gantinya. Adek sayang ibu sampai bila-bila. Terima kasih tumpangkan rahim ibu untuk bawa adek kenal dunia ni. Terima kasih bagi adek setiap titisan air susu ibu. Jasa dan pengorbanan ibu, adek tak akan mampu balas sampai bila-bila." Lagi sekali air mataku menitik.

Aku pandang lama sebaris nama 'Asmawi Haniff'. Bella ada bercerita dengan aku tentang malam kemalangan itu. Achik sempat dibawa ke hospital sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Achik berulang kali menyebut namaku, kata Bella.

"Achik... terima kasih jadi abang adek. Walaupun adek tak ingat apa-apa pasal achik tapi adek yakin achik seorang abang yang sangat baik dengan adek sama macam along dan angah. Adek tahu achik dah berjuang sehabis mungkin sampai ke akhir hayat achik untuk lindungi adek. Achik, adek sayang achik," ujarku.

Kata Bella, aku dengan Achik memang suka bergaduh. Dia Tom, aku Jerry. Ada saja modal dia nak mengusik aku sampai aku rasa tak tenteram jiwa betul kalau Achik dah mula buat perangai mengusiknya. Teringatkan cerita Bella itu, aku tersenyum.

"Achik, adek rindu achik. Sangat-sangat. Nek..." Aku pandang ke sebelah. Tangan mengusap batu nisan yang tertulis nama nenekku.

"Terima kasih sebab nenek sayangkan adek lebih dari cucu nenek yang lain. Nenek dah jadi nenek yang terbaik untuk adek. Maafkan adek sebab adek tak ingat semuanya nek. Andai kata suatu hari nanti adek diizinkan oleh Allah untuk ingat semuanya, adek rasa... adeklah insan yang sangat bertuah. Tapi adek yakin, pasti ada hikmahnya kepada Allah jadikan adek macam ni, kan nek?"

"Ibu, ayah, achik, nenek... esok adek akan ikut angah balik ke Kuala Lumpur. Adek akan tinggal dengan angah dulu buat sementara waktu. Nanti bila adek dah mula kerja, adek akan cuba berdikari sendiri. Adek pun perlu ada life adek sendiri kan? InsyaAllah adek boleh hadapi semua rintangan yang akan datang. Adek kena kuat dan adek perlu kuat sama macam dulu. Insya-Allah." Aku tunduk mencium kedua-dua batu nisan putih itu.

"Assalamualaikum..." Seseorang menegurku.

Alhamdulillah3. Siap juga bab ni. Alhamdulillah juga kesihatan sudah kembali pulih walaupun tidak sepenuhnya lagi. Tq to all the readers. Sabor je semua menanti kemunculan dia ya? Tq kepada yg menanti dengan penuh kesabaran. AJIB 2.0.

Share this novel

Nik Shahira
2023-06-10 16:04:06 

update lagii


NovelPlus Premium

The best ads free experience