Bab 9 : AJIB 2.0

Romance Series 507856

Bab 9

~Trust the magic of new beginnings.~

"Assalamualaikum"

Aku mendongak. Ada seorang lelaki yang agak berusia sedang membawa cangkul di atas bahunya menegurku.

"Waalaikummusalam..." Aku membalas dan aku bangkit dari dudukku. Segera aku sapu saki-baki air mata di pipi. Aku berdiri tegak, berdepan dengan entah siapa-siapa. Tapi aku yakin, dia seorang yang baik.

"Anak ni... anak arwad Haji Azad? Cucu Sumayah?" tanyanya sambil mengamati raut wajahku dengan muka berkerutnya.

"Ya saya, pak cik."

Dia mengendurkan wajah kerutnya. Sekejapan dia melopong.

"Ini, adek? Anak bongsu arwah kan? Yang belajar di oversea tu?" tanyanya lagi. Tidak percaya.

Aku mengangguk. Bibir masih kekal tersenyum. Simpan sikit curiga takut kalau dia apa-apakan aku lagipun dikawasan perkuburan ini sedikit sunyi.

"Allah... maafkan pak cik, dek. Pak cik ni, Pak cik Kassim. Kawan ayah kamu. Maaflah pak cik tak seberapa nak cam kamu tadi. Kamu pun dah jauh beza dari dulu."

Aku sengih dulu.

"Tak apa pak cik. Pak cik, saya nak tanya... pak cik ke yang bersihkan kubur ayah dan ibu ni?"

"Eh tak, bukan pak cik... tapi setahu pak cik ada seorang lelaki muda yang selalu datang bersih kubur keluarga kamu ni sejak 5 tahun lepas lagi. Dua tiga bulan sekali, dia ada datang. Biasa kalau dia datang, mesti dia tinggalkan bunga ros putih... Hah, tu bunga macam tulah..." ujar Pak cik Kassim sambil menunding jari ke arah sekuntum bunga ros putih yang terletak elok di tanah perkuburan keluargaku.

Aku turut berkalih ke arah itu, lalu dahiku berkerut.

'Lelaki, siapa orangnya?'

"Siapa lelaki tu pak cik? Pak cik kenal ke dia? Namanya, pak cik tahu?" soalku, teringin mahu tahu siapa nama orang yang selalu melawat kubur kedua orang tuaku.

"Emm... pak cik tak tanya pula namanya. Sebab dia memang tak bercakap kalau orang-orang kampung tegur. Dia cuma senyap dan pergi macam tu je. Tapi pak cik pernah ternampak dia masa dia duduk dekat kubur keluarga kamu ni... dia tak bercakap apa-apa, cuma menangis saja. Lama dia macam tu... entah apa yang dia fikir, pak cik tak tahu. Nak tegur, tapi tak berani. Pak cik ada juga tanya pak long dengan mak ngah kamu, diorang pun tak tahu siapa lelaki tu."

Jawapan Pak cik Kassim buat aku gigit bibir bawah dengan muka berkerut. Lama aku berfikir, cuba cari gerangan siapa orangnya.

'Mungkin kenalan arwah, kan?'

"Err kamu... kamu dah sihat ke ni?" ajunya mengubah topik dengan suara perlahan selepas itu. Mata tuanya juga terbias sesuatu. Nampak seperti dia sangat berhati-hati dalam mengajukan soalannya.

"Alhamdulillah saya sihat, pak cik."

"Alhamdulillah lega pak cik dengar." Pak Kassim melontarkan pandangannya kepada perkuburan keluargaku. Dia melepaskan nafas beratnya.

"Apa yang jadi, biarlah berlalu dek. Yang hidup kena teruskan hidup kita seperti biasa. Allah sayangkan ayah kamu. Ayah kamu orang yang sangat baik. Suami yang setia kepada ibu kamu. Ibu kamu pula isteri yang taat kepada ayah kamu. Sebab tu Allah ambil keduanya serentak pada malam tu. Achik pun sama. Dia anak yang baik. Suka tolong orang kampung, selalu solat berjemaah di surau tak kira waktu. Kalau bukan sebab dia dah sukakan si Bella anak pak long kamu tu, ramai lagi yang nak bermenantukan dia. Biasalah dek, orang yang baik pasti disayangi Allah." Beritahu Pak cik kassim.

Aku angguk perlahan, setuju dengan kata-katanya. Tak lama selepas itu dia menyambung lagi sehinggakan apa yang diberitahunya itu membuatkan jantungku berdegup kembali laju.

'Apa... apa maksud Pak cik Kassim?'

Berdengung kembali setiap patah butir bicaranya ditelingaku sebelum dia meminta diri.

"Semuanya risaukan kamu pada malam tu sebab tu diorang tergesa-gesa nak pergi jumpa kamu. Kamu jangan salahkan diri sendiri atas apa yang berlaku, sebab semua tu qada dan qadar Allah. Allah sayangkan kamu dengan keluarga kamu. Pak cik minta diri dulu yad ek."

Aku tersentak. Hanya mataku sahaja menghantar pemergiannya yang makin jauh dari pandanganku. Aku masih tegak berdiri disitu.

'Apa maksud Pak Cik Kassim? Dan tadi Pak Cik Kassim ada sebut pasal seorang lelaki yang dating menziarah kubur ni, siapa lelaki tu?' Benakku mula mengulang-ulang soalan yang sama. Dan tiba-tiba,

'Mimo!'

Aku tergemap lagi sekali. Berderau bulu romaku dengan bisikan halus bagaikan angin lalu itu. Aku berpaling ke sisi kanan dan kiri ku, tiada apa!

* * *

Genap dua minggu aku tinggal bersama Angah dan keluarganya. Buat masa sekarang tugasku jadi babysitter kepada anak-anak Angah sementara aku dipanggil untuk memulakan tugasanku. Angah juga dikurniakan 3 orang cahaya mata, sama seperti Along. Entah-entah diorang sebenarnya sudah sepakat. Bukannya boleh percaya sangat dengan kekandaku itu. Haha.

Anak sulung Angah namanya Kasih Hanim berusia 6 tahun. Dia tak banyak kerenah sepanjang aku menjaganya tapi yang sebenarnya dia masih kekok dengan aku. Almaklumlah kami dah lama tak berjumpa. Masa aku tinggalkan Malaysia dulu pun, dia masih kecil. Ketika itu umur dia dalam setahun macam tu. Bila aku balik ke sini, dia dah pun jadi kakak kepada 2 orang adik. Mananya tak kekok budak tu dengan aku. Ala lebih kurang malu-malu kucing gitu, tapi aku percaya lama kelamaan nanti kami boleh jadi satu geng. Tak percaya, tengok lah nanti. Lagipun kata Kak Ngah Kamilia, nama Kasih Hanim tu dulu aku yang pilih. So, nampak tak betapa besarnya kuasa aku ke atas dia? Haha.

Adik Kasih Hanim iaitu Kasih Suhara dan Kasih Suhana, sepasang kembar. Umur dalam 3 tahun setengah. Kerja aku kena jaga diorang sementara pengasuh si kembar ke tanah suci, menunaikan ibadat umrah. Tak jadi masalah untuk aku jaga budak kecil sebab aku memang suka dengan budak kecil. Orang cakap, jiwa keibuan tu, aku ada. Walaupun kadang-kadang terkeluar juga perangai tiga sukuku melayan diorang tapi okay apa, aku seronok! Boleh lepaskan sikit tekanan perasaan ni.

Lain pula rasanya kehidupan aku sekarang ni. Macam dah berubah 180 darjah. Kalau dulu, sepanjang 5 tahun aku di Ireland hidup aku sentiasa ada Bella dan kanda. Kemana saja kami pergi mesti bertiga. Ke kelas, ke hospital. Itu belum termasuk lagi dengan pergi menggembara ke tempat yang menarik di sekitar Ireland. Kadang-kadang kami juga ambil peluang untuk 'mencuci mata' dengan berpeleseran di kedai-kedai yang menjual barangan mewah. Sekadar mencuci mata bukannya mencuci poket. Nak mencuci poket bukannya kami ni anak orang kaya raya, jadi cuci mata jelah yang termampu. Haha.

Aku hela nafas. Masih lagi berdiri di tepi tingkap bilikku sambil melontarkan pandangan ke luar sana, aku rindukan kedua sahabatku sebenarnya. Bella dan Kanda masih berada dikampung. Mereka ingin berehat dengan tenang sebelum sibuk dengan komitmen kerja. Sudah sedia maklum kakitangan kesihatan macam kami ni, bila dah mula pikul tanggungjawab, makanan pun tak sempat nak sentuh. Rehat pun ala kadar. Ngeri bila fikir apa yang akan kami hadapkan nanti tapi itulah realiti yang akan kami tempuhi sebelum layak digelar seorang doktor.

"So, what should we do now abi? I can't join the school trip?"

Aku tersentak, toleh sedikit mencari arah datangnya suara itu. Dari luar bilikku rupanya.

"Kasih... next time kita pergi sana ya? Abi janji. Tapi untuk kali ni memang tak boleh. Abi minta maaf ya?" Perlahan suara Angah memujuk anak daranya. Suara serba salah.

Aku berpusing dari tempatku berdiri lalu membawakan langkah ke pintu bilik yang rengang sedikit.

"But, you promised me..." Suara Kasih Hanim juga kedengaran perlahan. Lirih. Kesal.

'Isu apa lagi lah si Kasih ni. Ada lah tu dia nak mengada dengan abi dia.' Aku mengumam. Kasih Hanim memang manja dengan Angah. Sejak ada adik, manjanya makin berganda. Selalu sangat buat perangai, dahagakan perhatian. Mungkin kerana Kak Ngah Kamilia sibuk melayan kerenah si kembar jadi dia rasa terpinggir. Dan sebab itulah juga Angah cuba lebihkan perhatian untuk Kasih.

"Yes, I know that... but in this case, abi tak boleh nak temankan Kasih. Ibu pun sama. Kasih pun tahu kan, adik-adik Kasih tengah tak sihat sekarang ni?" Angah cuba memujuk Kasih lagi.

Kasih Hanim tidak membalas. Aku tarik sedikit daun pintu lalu terserlah muka dua beranak itu dimataku. Angah sedang merendahkan tubuhnya dengan melutut supaya dapat menyamai ketinggian anak sulungnya yang sedang berdiri sambil memeluk tubuh. Bibir kecil itu pula memuncung panjang, macam dah boleh gantung penyakut baju.

"Abi dah tak sayang Kasih," luahnya lalu memalingkan muka. Merajuk.

"Kasih... kenapa cakap macam tu? Abi tak pernah tak sayang Kasih. Kasih anak abi. Mestilah abi sayang cuma sekarang ni abi tak boleh nak temankan Kasih. Adik Kasih tak sihat. Nanti siapa nak jaga Ara dengan Ana kalau abi ikut Kasih? Kesian ibu sorang-sorang kena jaga adik-adik." Angah mencuba lagi.

"Kenapa ni?" tanyaku sambil lihat Angah dan Kasih Hanim berselang-seli.

'Ada apa ni? Gaya macam tengah pujuk memujuk pun ada ni.'

Angah menoleh. Tangannya yang sedang memegang kedua lengan anak daranya dijatuhkan sebelum bangkit berdiri perlahan-lahan. Dia raup mukanya yang sedikit kusut. Aku hampiri Kasih dan tarik tubuh kecil itu kepadaku. Belakangnya aku tepuk perlahan, memujuk dengan caraku. Sekejapan aku tengok Angah semula, minta jawapan darinya tapi Angah cuma angkat bahu. Aku cemik bibir. Jawapan angah langsung tak membantu!

"Kasih... kenapa ni? Cuba bagitahu mak su apa yang jadi. Mana tahu, mak su boleh tolong Kasih." Giliran aku cuba memujuk.

Kasih tetap membatu. Langsung tidak melirikkan matanya kepadaku walaupun sedikit. Aku pula yang mati kutu dengan tingkah Kasih ni.

"Kasih... tak nak bagitahu mak su ke?"

Kasih mencebik bibir. Tangan kecilnya makin erat melingkar di dadanya. Tanda protes.

"Abi dah mungkir janji dengan Kasih." Kasih mula bersuara, meluahkan apa yang dia rasa.

Aku pandang Angah semula, minta penjelasan darinya. Angah hela nafas berat. Mukanya juga beriak serba salah. Dia kembali merendahkan lututnya di hadapan Kasih. Muka Kasih dipandang penuh kasih.

"Kasih... abi minta maaf." Angah mengusap sayang rambut Kasih.

"Abi janji... next time kita pergi sana ya? Buat masa sekarang memang kita tak boleh pergi sana. Adik-adik tak sihat. Abi kena tolong ibu jaga Ara. Jaga Ana. Kasih sayang adik-adik kan?"

Kasih menunduk. Perlahan kepalanya dijatuhkan.

"Kalau Kasih sayang, jangan macam ni ya? Boleh? Nanti kita pergi sana lain kali ya?"

Lambat-lambat Kasih angguk lagi. Muka reda dan pasrah. Terkilan pun ada. Angah peluk anak daranya. Aku terkebil-kebil, serius tak faham dan tak tahu hujung pangkal cerita. Angah dan Kasih meleraikan pelukan mereka dan Kasih berlalu ke biliknya meninggalkan aku dengan abinya di situ. Aku pandang Angah, dia meraup mukanya yang masih dihurung rasa serba salah.

"Ngah... apa halnya ni?" Masa untuk ku buka kertas siasatan kes.

Angah mengeluh lalu bergerak ke dapur dan aku membuntutinya.

"Kasih... dia kena cancel ikut lawatan sambil belajar sekolah dia hujung minggu ni," ujar Angah sambil menuang air sejuk ke gelas sebelum meneguknya.

"Cancel? Kenapa?" tanyaku pula sambil menanti angah menghabiskan minumannya. Kes lawatan sekolah rupanya. Kesian pula bila aku fikirkan tentang Kasih. Mesti dia bersedih.

"Lawatan sekolah tu sepatutnya kena ada salah seorang penjaga kena ikut. Dah bincang dengan Kak ngah, angah yang akan ikut Kasih tapi bila hal macam ni jadi, nak tak nak angah kena cancel lah. Ara dengan Ana demam panas. Tak kan angah nak biarkan Kak Ngah jaga kembar tu seorang diri pula."

Aku kemam bibir. Patutlah Kasih kecewa. Terbayang-bayang memek muka Kasih tadi.

"Lawatan tu bila, ngah? Ke mana?" tanyaku. Rasa macam aku turut bersalah pula bila terbayangkan muka Kasih Hanim yang bermuram itu.

"Hari khamis ni sampai sabtu. 3 hari 2 malam di Cameron Highlands."

Alhamdulillah... Siap juga... slow2 dia dh nk muncul! Tq to all the readers lebih2 lagi yang masih setia menanti sy update bab baru. Maaf, sbb ambik masa yg lama utk siapkan. Sdg cuba an masih cuba laju kan mnulis wlaupun byk kekangan. Tq yg mana memahami. =) AJIB 2.0.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience