Bab 20
~She's type of flower that can still grow after a forest fire.~
"Enough! One more time I hear someone throw digusting words at her, I will take legal action!"
Suara keras datang dari seseorang membuatkanku mendongak, mencuri lihat tampang wajah yang sedang memeluk dan melindungiku.
'Encik Is!' Mataku terbuntang.
Dia menunduk memandangku dengan tampang seriusnya sebelum memulangkan semula pandangan tajamnya kepada yang mencemuhku. Aku menunduk semula, sungguh aku malu dengan apa yang terjadi dan mungkin juga dia sudah nampak semuanya.
"Encik siapa? Muncul tiba-tiba macam ni?" Seseorang bertanya kepada Encik Is atau aku sudah boleh memanggilnya sebagai 'suamiku'.
'Suamiku?' Sekali lagi aku mendongak, dia nampak berang marah kepada mereka yang mencaciku barangkali. Rahangnya dikertap kuat.
"Penting sangat ke siapa saya?" Dia menyoal orang itu semula, keras. Bunyi desas-desus mereka menjawab pertanyaan Encik Is.
Aku hanya pasang telinga. Tiba-tiba teringatkan kedudukan kami yang terlalu intim, aku cuba gerakku sedikit tubuhku. Tapi dia pula makin mengetatkan pelukannya, tidak mahu menjarakkan kedudukan kami walaupun seinci.
"Apa... apa encik buat dekat sini?' bisikku disebalik pelukannya, sejujurnya aku masih terkejut dengan kemunculannya yang tiba-tiba ini setelah hampir sebulan dia menghilangkan diri.
"Itu tak penting sekarang ni. Jom, kita balik ke bilik awak." Dia membantuku bangun dengan memeluk bahuku kejap.
Kakiku yang sedikit mengigil itu teragak-agak untuk mengikut. Tapi tak lama selepas itu terasa kakiku melayang. Terbuntang mataku, dia... dia sedang mendukungku!
"Apa... apa encik bu... apa encik buat ni? Turunkan saya!"
"Syhhh... diam! Nanti dah sampai bilik awak baru saya turunkan awak."
"Tap... tapi..." Aku mengintai ke belakang, mereka yang berada disitu memandangku dengan Encik Is. Ada yang menjeling. Ada yang mencemik.
"Jangan pedulikan orang lain. Kalau awak malu, pejam mata," ujarnya, seolah-olah tahu apa yang sedang bermain-main di fikiranku.
Aku diam, lalu meletakkan telapak tanganku ke dada bidangnya dan membiarkan saja dia mendukungku. Bila tanganku menyentuh dadanya, terasa detak jantungnya sedikit kencang. Kencang, mungkin kerana kami bersentuhan begini ataupun kerana dia masih lagi marah dengan apa yang berlaku? Tapi bagi aku, degupan itu sungguh melegakanku dari ketakutan yang melandaku sebentar tadi. Aku pejam mata, menikmati dan mengira setiap detik jantungnya berdetak. Semua ini terasa bagaikan mimpi. Mimpi berada dekat dengan suamiku. Mimpi berada dalam dakapannya. Ya, inilah suamiku!
* * *
Encik Is meletakkan aku ke katil dengan berhati-hati. Dia menaikkan sedikit kepala katil agar aku boleh duduk dengan selesa. Kakiku yang terluka, dia belek seketika. Mulutnya berdecit tiap kali melihat luka itu. Dia keluar memanggil bantuan jururawat untuk mencuci lukaku. Usai mencuci luka, jururawat yang bertugas meminta diri meninggalkan aku dengan Encik Is. Encik Is mengambil selimut yang berlipat di penjuru katil lalu menyelimuti kaki hingga ke paras pinggangku. Tudungku yang sedikit herot, dia betulkan dengan rapi memastikan tiada helaian rerambutku terkeluar dari landasannya. Aku hanya membiarkannya tanpa berkata sepatah pun, cuma anak mataku saja mengikut setiap gerak-gerinya. Sesudah itu dia melabuhkan duduk di kerusi yang sedia ada di sebelah katilku. Kami bertentangan mata seketika sebelum dia bertanya lembut. Matanya tunak memandangku.
"Kenapa?"
"Macam mana encik boleh ada dekat situ tadi?"Aku mengajukan soalanku. Hal itu sedikit sebanyak menghairankanku sebenarnya. Macam mana dia boleh tahu aku dimasukkan ke hospital dan muncul pada waktu yang tepat?
Dia senyum segaris.
"Ada seseorang bagitahu saya yang awak masuk hospital. Awak, okay tak ni? Apa yang berlaku sebenarnya tadi?" tanyanya dengan kening bertaut, dia merisaukan aku.
Dengar saja soalannya, tak semena-mena aku teringatkan kembali penyebab kepada aku hilang kawalan tadi. Detik itu juga aku menumpahkan air mata lebatku dihadapannya. Perasaan malu? Langsung aku tidak peduli. Perasaanku saat ini lebih dikuasai dengan rasa kecewa, sakit hati dan marah. Tapi, kepada siapa harus aku lepaskan segala perasaan ini?
Melihat aku menumpahkan air mata, dia deras berdiri dan beralih duduk di birai katilku. Dia sekali lagi menarik tubuh kecilku masuk ke pelukannya. Sebelah tangannya naik mengusap belakang kepalaku.
"Syhh... saya ada." Dia memujuk.
Aku mengangguk lemah. Tiba-tiba terasa disayangi oleh seseorang yang menyintai.
'Ya, dia ada. Aku sudah ada dia. Dia suamiku dan aku isterinya.' Lagi aku menangis untuk menelan hakikat itu. Hakikat yang aku selama ini 'isteri' orang. Dan orang itu adalah dia!
"Syhh..." Dia memujukku lagi. Tangannya tidak berhenti dari mengusap kepalaku, sesekali terasa dia mengucup ubun-ubunku lama.
Aku hanya membiarkan kerana aku sudah tahu apa hubungan kami. Patutlah dia berani menyentuh dan mengucup dahiku ketika di Cameron tempoh hari, rupanya sebab dia tahu ikatan antara kami sudah halal disisi-Nya. Fikirkan itu rasa amarahku datang semula. Aku pejam mata, kumpul kekuatan yang ada untuk bercerita dengannya.
"Sa... saya marah," luahku teragak-agak.
"Marah, kenapa? Awak marahkan siapa?" Dia bertanya lembut, layanku persis melayan anak kecil.
"Marah pada semua orang. Saya marah pada along... Bella... angah... Kanda... Dr. Dzharif... semuanya."
Terasa tangan Encik Is yang membelai kepalaku terhenti. Telingaku yang berada dekat dengan dadanya terdengar detak jantungnya yang sedikit laju dari sebelum ini. Kenapa dengan dia?
"Kenapa? Marah, kenapa?" tanyanya, kali ini suaranya kedengaran sedikit berubah menanti aku menyambung.
"Saya marah sebab... diorang tak berterus terang dengan saya, siapa saya pada awak dan siapa awak pada saya."
Tubuh Encik Is terus mengeras, kaku. Aku yang menyedarinya langsung menjarakkan pelukan kami. Mata basahku menatap mata hitamnya. Mata itu sedikit bergetar, ada sesuatu yang disembunyikan disebalik mata itu. Dia menanti aku menyambung lagi.
"Saya... saya dah ingat siapa saya pada awak, Jebat Iskandar."
Matanya meluas, sekali lagi dia tergamam. Halkumnya bergerak perlahan, meneguk liur. Aku memberanikan diri mengambil tangannya dan menggenggam erat. Aku menekur kepada genggaman tangan kami.
"Saya isteri awak dan awak... suami saya. Kan, Jebat Iskandar?" Serentak dengan itu aku halakan mataku kepadanya. Aku menanti pengakuan jujur dan jawapan tepat darinya. Tapi dia tidak bereaksi, hanya tatapan mata berubah menjadi lembut dan sayu. Seperti ada yang ingin diluahkan tapi tidak terluah. Dia memilih untuk berhati-hati.
Mataku kembali bergenang.
"Awak suami saya, Jebat Iskandar. Dan saya, saya... Mimo Sunshine awak." Aku mengulang lagi dan kali ini air mataku kembali menitik. Aku memberanikan diri menggerakkan tangan kananku untuk menyentuh pipi kirinya walaupun dengan sedikit menggeletar. Aku takut dia tidak rela dengan sentuhanku.
"Kenapa... kenapa awak tak cari saya?" soalku dengan air mata yang makin lebat menitik. Aku mahu dengar apa jawapannya, tolonglah jujur denganku wahai suamiku!
Dia memejamkan mata, wajahnya bergerak sedikit ke kiri menikmati sentuhan tanganku dipipinya. Mukanya berubah makin suram, di bawah pelupuk matanya sedikit basah. Aku tarik belakang kepalanya sedikit ke hadapan dan satukan dahi kami.
"Saya dah lama cari awak," ujarku setelah itu. Aku mahu bercerita tentang sesuatu yang aku simpan sendiri selama sebulan lebih ini. Biarlah aku jujur saja, itu lebih baik dari aku terus menyimpan sendiri.
"Sejak kita balik dari Cameron, saya cari awak tapi awak langsung tak bagi saya peluang. Awak tak pernah balas whatsapp saya. Awak tak angkat bila saya call awak. Awak block nombor saya. Kenapa?" luahku tentang apa yang berlaku selama sebulan ini. Aku seperti orang sasau merindukan dia. Aku dilanda demam kerinduan. Setiap hari aku belek galeri telefonku, melihat semua gambar yang dirakamkan ketika kami di sana. Mujurlah banyak gambar kami yang bersama, jadi bolehlah aku jadikan itu sebagai pengubat untukku. Aku akui aku mula mencintainya dalam diam.
Dia buka kelopak mata, ternampak jelas bebola matanya basah. Panahan mata kami bertaut.
"Cari saya, kenapa?" Dia membisik dengan matanya tidak berganjak dari ku.
"Sebab ini." Aku selak sedikit tudungku di bahagian leher bagi menampakkan apa yang tergantung di batang leherku. Anak matanya turun ke situ. Dia nampak terbungkam, tertelan liur. Mungkin tidak menyangka yang aku masih menyimpan 'hadiah' pemberiannya.
"Sebab cincin ini." Aku menyambung. Dua bentuk cincin yang tergantung di rantai leherku, aku sentuh dan tunjukkan kepadanya. Dia mencari anak mataku semula, menanti penjelasanku lagi.
"Ya, sebab cincin ni saya cari awak." Aku menambah. Dia menghembus nafas sedikit dalam lalu menjarakkan kedudukan kami. Kemudian dia membasahkan bibir bawahnya, cuba mengawal rentak hati sendiri.
"Itu... itu memang cincin awak. Saya harap awak suka... Saya rasa cincin tu, cincin tu sepadan dengan jari awak." Dia deras mengalih topik dan bersedia untuk bangun dari birai katilku tapi aku deras melelar lengannya. Aku tidak mahu dia lari dariku lagi.
"Bukan ini tujuan saya cari awak, Jebat Iskandar."
Dia tidak memandang, sebaliknya menyoalku.
"Jadi kalau bukan sebab itu tujuannya, kenapa awak cari saya? Awak nak pulangkan semula cincin tu ke? Tapi itu...,"
"Ya. Saya nak pulangkan semula." Pintasku tanpa sempat dia menoktahkan ayatnya. Terus dia berpaling kepadaku dengan kening yang berkerut. Aku melepaskan tangannya lalu membuka cangkuk di rantai leherku. Dua bentuk cincin yang ada di situ aku letakkan di atas telapak tangannya.
"Nah, awak ambil balik cincin ni..." jedaku sebentar, memancing reaksinya. Dia tunduk kepada cincin itu sebelum memandangku semula. Baru saja dia ingin membuka mulut, aku memintas lagi.
"Dan sarungkan semula ke jari saya sama macam awak pernah buat dulu."
Keningnya berkerut lagi. Dia nampak tercenggang.
"Maksud awak?"
Aku capai tanganya semula lalu tunduk mencium tangan itu. Dengan sekali lafaz aku berkata,
"Saya mahu jadi isteri awak 'semula', Jebat Iskandar."
Langsung dia terkedu.
"Apa... apa yang awak dah buat ni Malihah?" Terkejut dengan permintaanku yang tiba-tiba, tergagap-gagap jadinya dia.
Aku angkat muka. Mata kami saling bertatapan.
"Awak suami saya, Jebat Iskandar dan saya isteri awak. Saya tahu saya Mimo Sunshine awak." Lagi aku ulang biar dia muak dengan kenyataan itu.
"Awak... awak tahu? Macam mana..."
Aku angguk. Mataku bergenangan semula. Peritnya aku mahu telan hakikat ini, Ya Allah!
"Dah banyak kali bayangan tu muncul dalam mimpi saya, dalam khayalan saya... walaupun tak semua yang muncul tapi saya yakin itu bukan imaginasi saya semata-mata. Itu sebahagian dari memori kita. Kan?"
Dalam terkedu, dia mencuba tarik tangannya tapi aku tetap menghalang. Selagi dia tidak mengiakan pertanyaanku, selagi itulah aku rasa tercabar.
"Kenapa? Kenapa awak diam? Awak dah tak sudi beristerikan saya lagi ke Jebat Iskandar?" asakku yang agak terkilan dengan reaksi yang aku dapat darinya. Aku berjauh hati dengan kebisuannya. Dia seolah-olah telah membuangku jauh dari hatinya.
Lihat muka keruhku, dia berdecit halus.
"Malihah... bukan macam tu."
Giliran aku pula diam. Aku terasa dengan penolakannya. Sudahlah semua orang menipu aku, kini dia pula menolak aku. Apakah aku tidak laku? Mata yang bergenang menanti saat untuk menumpahkan cecair jernihnya. Dia menarikku kembali ke dalam pelukannya.
"Malihah... I'm sorry... I'm sorry okay," pujuknya sambil bahuku dia elus lembut.
Aku merajuk, membatukan diri. Aku mahu tengok sejauh mana dia berusaha memujukku setelah menolakku sekali.
"Malihah..."
Aku diam lagi. Dia hela nafas.
"Mimo Sunshine..." Dia menyeru perlahan di celah telingaku. Berdiri bulu romaku kerana inilah pertama kalinya aku dapat mendengar dengan jelas dia menyeru nama itu. Nama yang dikhaskan untukku!
"Mimo Sunshine, you're mine."
Terus kejung tubuhku. Entah kenapa bila dia sendiri yang menyebut nama itu, terasa ada rama-rama berterbangan di dalam perutku. Aku suka dan teruja!
"Ya, awak Mimo Sunshine saya," ulangnya lagi sebelum dia jeda sebentar. Dia tarik nafas yang sedikit pincang lalu menyambung.
"Saya minta maaf. Bukan saya tak sudi tapi saya tak layak. Saya tak layak untuk seorang perempuan sebaik awak, Malihah. Saya lelaki yang jahat," gumamnya.
Aku menggeleng, tak suka dengan kata-katanya lantas aku membalas pelukannya.
"Awak baik. Saya tahu awak seorang lelaki yang baik. Kalau awak lelaki yang jahat, arwah ayah tak akan percayakan awak dengan menyerahkan tanggungawab dia kepada awak. Walaupun tak semua yang saya ingat tapi saya yakin, saya bahagia dengan awak dulu. Saya bahagia sepanjang perkahwinan kita." Aku memujuk kerana aku yakin dia seorang lelaki yang baik.
Giliran dia menggeleng.
"Awak tak tahu apa-apa, Malihah. Kalau awak dah ingat semuanya, awak tak akan cakap macam ni. Untuk terima awak kembali dalam hidup saya, bukannya saya tak sudi tapi saya takut. Saya takut awak akan lebih kecewa bila awak tahu yang kebenarannya tidak seperti apa yang awak sangkakan. Saya bukan suami yang baik. Saya suami yang jahat. Saya dah sia-siakan peluang saya bersama dengan awak dulu. Saya dah abaikan tanggungjawa saya sebagai seorang suami kepada seorang isteri yang menerima segala keburukan saya. Saya dah biarkan awak menderita seorang diri sedangkan sayalah orang yang menarik awak masuk ke dalam hidup saya," luahnya dengan suara yang makin mengendur.
Pedih. Itu yang aku rasakan dengan setiap luahan hatinya.
"Awak pernah pukul saya?" ajuku tiba-tiba. Mahu juga aku tahu apa yang telah berlaku di masa lalu kami sehingga dia sanggup mengelarkan dirinya seorang 'suami yang jahat'.
Terasa dia menggeleng. Aku lega, aku pantang dengan lelaki yang suka pukul perempuan. Dayus!
"Awak pernah maki saya? Hina saya?" aju ku lagi.
Lagi dia menggeleng. Lega, aku memang tak suka dengan orang yang suka memaki hamun. Tak hormat sesama manusia.
"Awak curang dengan saya?"
Tubuhnya pegun tiba-tiba, tidak bereaksi. Aku berkerut. Adakah telahan aku betul?
"Awak curang dengan saya?"
Dia diam lagi. Aku menguraikan pelukan kami lalu tatap matanya dalam.
"Jebat Iskandar? Awak pernah curang dengan saya ke?"
Perlahan-lahan dia menggeleng, seperti teragak-agak. Hujung sebelah keningku diangkat, aku menanti penjelasannya. Dia mengalihkan pandangannya dariku.
"Saya tak tahu macam mana nak jelaskan semuanya kepada awak. Kisah kita terlalu complicated untuk saya jelaskan semuanya sekaligus dengan keadaan awak yang tak sihat macam ni. Apa yang saya boleh katakan, saya bukannya suami yang baik dan awak layak dapat seseorang yang jauh lebih baik dari saya."
Aku senyum segaris dengan balasannya.
'Kenapa aku rasa lega walaupun hatiku terbesit sesuatu. Kenapa dengan aku ni? Adakah aku masih percayakan dia walaupun berulang kali dia memberitahuku yang dia seorang suami jahat?' Ya, aku mempercayainya! Jauh disudut hati aku percaya yang dia sebenarnya seorang lelaki yang baik dan ikhlas menyayangiku. Pipi kirinya aku sentuh, dia mengangkat mukanya. Mataku tunak memandangnya.
"Jadi sekarang ni, adakah awak dah sedar semua kesalahan awak dulu?" soalku tanpa mempedulikan penjelasannya yang kedengaran agak meragukan itu, ini kerana aku percaya dia pasti ada sebabnya yang tersendiri di atas apa yang berlaku dulu.
"Demi Allah, saya sudah sedar semua kesalahan dan kesilapan saya dan sebab saya tahu besarnya kesilapan saya dulu, saya sanggup jauhkan diri saya dari awak. Saya sanggup 'berpisah' dengan awak andai kata itu yang mampu membuatkan awak lebih bahagia kerana saya tahu kebahagiaan awak bukan bersama saya."
Auchh! Aku tak suka dia kata macam tu!
"Kalau saya katakan, saya masih inginkan awak sebagai suami saya, adakah awak akan terima saya semula?" Tiba-tiba itu yang terpancul keluar dari ulas bibirku. Dia tergamam.
"Malihah..." serunya selepas itu.
"Adakah awak akan terima saya?" pintasku cepat kerana aku tahu dia ingin menolak tawaranku lagi.
Dia mengambil tanganku dari pipinya dan memekur kepada tangan kami yang bertaut itu.
"Tak semudah itu untuk kita kembali bersama. Saya takut awak akan lebih menyesal bila awak kembali kepada saya. Saya bukan seperti yang awak fikirkan, Malihah." Lagi sekali dia menolakku dengan lebih tegas.
'Auch, lagi sekali? Kenapa hatinya begitu keras untuk aku cairkan? Aduh, terasa terhiris pula hati tapi aku tidak akan berputus asa. Aku tetap dengan keputusanku. Dia suamiku dan aku akan kembali kepadanya biarpun seluruh dunia menentang keputusanku!'
Main tarik tali ke ni? emm.. ketahuilah Mimo, Jebat dlm dilema. Tq to all the readers. AJIB 2
Share this novel