Bab 21 : AJIB 2

Romance Series 507856

Bab 21

~Courage is a blessing under pressure.~

Ketika tangan kami saling bertaut, pintu bilikku dibuka dari luar. Aku dan Jebat Iskandar sama-sama menoleh ke arah itu. Muncul Along, Angah, Bella, Kanda dan Dr. Dzharif di sebalik pintu. Seperti mana aku dengan Jebat Iskandar terkejut dengan kemunculan mereka, begitulah dengan mereka. Apa yang lebih mengejutkan mereka adalah tatkala melihat Jebat Iskandar ada di sisiku dan tangan kami sedang bertaut erat. Angah mengepal penumbuk, mukanya berubah tegang dan berang. Bella juga sama, dia mencerlung garang ke arah Jebat Iskandar.

Jebat Iskandar meneguk liur, lantas dia berdiri dan berdiri di tepi katilku. Tangan kami yang masih berpaut itu, aku genggam dengan lebih erat. Aku tidak akan membenarkan dia melarikan diri lagi. Kali ini biarlah kami sama-sama berdepan dengan semua orang, biarlah kami sama-sama mempertahankan hubungan yang sedia ada ini. Ibu jariku mengelus sedikit tangannya, menyalurkan sedikit kekuatan untuknya kerana aku tahu tidak mudah untuk dia berhadapan dengan Along dan Angah.

"Kau! Apa kau buat dekat sini hah?" Angah terlebih dahulu menapak mahu menerkam Jebat Iskandar tapi cepat ditegah oleh Dr. Dzharif. Mungkin Dr. Dzharif tidak mahu Angah membuat kecoh di sini.

Aku pula segera menarik tangan suamiku untuk lebih dekat denganku lalu aku peluk lengan kekar itu seerat mungkin. Lagi melopong mata yang menyaksikan reaksiku. Semuanya kelu untuk seketika. Bella berdecit, dia menaikkan matanya kepadaku dan mara selangkah.

"Adek, apa semua ni..." Bella cuba mencelah tapi Kanda cepat menahan. Suaminya menggeleng, menghalang dari masuk campur dalam urusanku. Bella mendengus.

"Apa... apa adek buat ni?" Along pula menyoalku, dia nampaknya masih lagi tidak percaya dengan apa yang dia lihat. Mungkin juga dia tidak percaya yang hari ini akhirnya tiba jua.

"Salah ke adek pegang tangan suami adek, along?" Aku melontarkan soalan kepada Along. Tidak menyinis, tidak juga berbentuk provokasi. Aku cuma mahu tahu apa jawapan Along kepada soalanku. Aku mahu tahu kenapa statusku disembunyikan dariku.

"Adek..." Along melirih, dia terlihat rapuh dengan pertanyaanku. Aku tersenyum hambar.

"Sampai bila along nak sembunyikan adek dari Jebat? Sampai bila along nak pisahkan adek dengan suami adek?" Lagi aku mengasak Along, aku juga kerapuhan. Sukar untuk aku terima yang ahli keluargaku meyembunyikan hakikat yang terbesar itu dariku. Along menggeleng.

"Adek... bukan macam tu... dengar dulu apa yang along nak bagitahu adek..." Along melangkah setapak tapi aku deras menggeleng.

Tanganku naik menahan Along dari mendekat. Aku tidak mahu dia mendekatiku, hati ini terlalu banyak sakitnya untuk menerima hakikat yang perit ini. Mataku bergenangan lagi bila fikirkan 'hakikat' itu. Setiap wajah mereka aku pandang dengan hiba.

"Kenapa... kenapa along pisahkan adek dari suami adek? Kenapa angah takut kalau adek balik semula kepada Jebat? Kenapa Bella dan Kanda tak pernah bagitahu adek siapa adek selama ni? Kenapa... kenapa Dr. Dzharif juga sama sembunyikan semua ni dari saya?" Aku meluahkan apa yang terbuku di hati sambil menepuk dadaku berulang kali. Sungguh terasa sangat sakit luka yang ada di dalamnya. Aku mendongak pandang suamiku dan kebetulan pula dia memandangku.

"Adek... adek ni tetap isteri orang walaupun apa yang terjadi... Selagi ikatan antara kami tidak dinoktahkan, selagi itulah adek tetap ada tanggungjawab terhadap suami adek... Cukup-cukuplah selama 5 tahun ni adek jadi isteri yang bukan isteri kepada suami adek." Aku meluahkannya lagi tanpa mengalihkan mataku dari menatap wajah suamiku.

Kedengaran Angah mendesah kuat, dia mengepal tangannya.

"Adek! Adek sedar tak apa yang adek cakap ni? Adek tahu tak apa yang dah suami adek ni buat pada adek sebelum ni hah? Kalau adek ingat semuanya, tak mungkin adek akan pilih untuk kembali kepada dia macam ni!" Angah meradang. Sesekali dia meraup muka berangnya. Aku menoleh kepada Angah.

"Angah, along, adek dah buat keputusan. Adek akan balik semula kepada suami adek," tegasku. Angah dan Along tergamam. Jebat Iskandar juga sama. Belum sempat ada yang menyangkal keputusanku, aku menyambung.

"Kalau betul dia pernah buat sesuatu yang tak baik pada adek dulu, biarlah Allah saja yang menghukumnya. Lagipun adek percaya dia juga terseksa dengan hukuman yang along dan angah berikan ni. Cuma kali ini adek mohon, izinkan adek balik kepada suami adek," ujarku yang sudah tekad dengan keputusanku.

Angah menyeringai. Penumbuk dikepal lagi. Rahangnya dikertap kuat.

"Adek, tak! Angah tak akan benarkan!" Angah bangkang. Dia kalih tengok Jebat Iskandar lalu menerkam Jebat tanpa sesiapa sempat menahannya. Kolar baju Jebat Iskandar dia cengkam dengan kejap lantas tolak tubuh itu ke dinding.

"Kau, apa yang kau dah racun adik aku hah? Tak cukup-cukup lagi ke kau dah sakitkan hati dia dulu?"

Aku menepik, cepat-cepat aku turun dari katil tanpa pedulikan kakiku yang terluka. Lengan kekar Angah aku tarik.

"Angah, lepaskan dia!"

"Kau memang lelaki tak guna, Jebat! Tak puas lagi kau sia-siakan hidup adik aku dulu dan sekarang kau masih tak tahu malu nak tagih dia balik kepada kau, hah?" Angah menghendik. Rahangnya bergerak-gerak, urat lehernya timbul. Along dan Dr. Dzharif turut menghalang Angah dari buat sesuatu kepada Jebat Iskandar. Tapi Angah deras menepis membuatkan keduanya akur tapi tetap berjaga-jaga.

"Angah, dah! Bukan dia yang paksa adek balik kepada dia tapi adek yang nak! Adek yang nak balik kepada dia! Adek isteri dia dan dia suami adek! Salah ke kalau adek nak balik kepada suami adek?" Aku sanggah tuduhan Angah terhadap Jebat Iskandar.

Angah memalingkan wajah garangnya kepadaku. Matanya dipicingkan sekali.

"Adek dah ingat semuanya?" desisnya ragu-ragu dengan jawapanku.

"Tak, adek tak ingat semuanya... Tapi adek tahu dia suami adek dan adek isteri dia! Angah tak ada hak nak pisahkan kami selagi ikatan antara kami masih lagi ada. Kalau betul dia ada buat sesuatu yang tak baik kepada adek dulu, kenapa dia tak lepaskan adek saja? 5 tahun, 5 tahun belum cukup puas untuk buat dia terseksa dengan terpaksa menggantungkan tali perkahwinan kami?" Aku menyanggah Angah berani.

Ternaik sedikit hujung kening Angah.

"Adek tak ingat semua tapi adek tahu dia suami adek?" Angah menarik sedikit hujung bibirnya.

Aku angguk dan Angah juga ikut terangguk. Bibirnya makin menyinisku.

"Okay, that sounds so good. Kalau betul itu yang adek nak, jadi angah tak ada hak untuk nak halang, kan?" sambung Angah dalam sinisnya.

Aku tergemap. Lengan kekar Angah yang masih dikolar baju Jebat, aku lepaskan. Angah menjeling Jebat Iskandar dengan ekor matanya.

"Kau betul ke masih sayang adik aku, Jebat?"

Jebat Iskandar tidak terus menjawab sebaliknya dia melirikkan matanya kepadaku sekilas sebelum kembali kepada Angah. Dia membasahkan sedikit bibirnya. Mukanya nampak serba salah.

"Abid... bukan ni tujuan aku datang sini. Aku pun tak nak buat kecoh macam ni dekat sini."

"Kau dah pun buat kecoh dekat sini. Kau sedar tak?"Angah mencelah. Jebat angguk, mengiakan saja.

"Ya aku tahu. Aku cuma datang nak melawat Malihah bila aku tahu dia warded. Aku cuma nak tengok keadaan dia tapi bila aku jumpa dia dekat bawah sana dengan orang caci dia, aku tak sampai hati nak biarkan saja. Aku cuma nak tolong bawa dia balik ke bilik. Itu saja. Aku minta maaf sebab aku datang sini tanpa minta izin dari kau dengan Ariff. Kau jangan risau, cukup perjanjian kita... aku akan tunaikan janji aku."

'Perjanjian? Perjanjian apa?'Tubuhku pegun, terkedu dengan balasannya. Tapi lidahku kelu untuk bertanya, hanya mata saja yang tidak berganjak dari Jebat Iskandar.

Angah mencemik, mengejek. Keningnya dinaikkan.

"Janji? Kau ingat aku nak percaya dengan janji-janji kau tu? Sebelum ni kau dah janji dengan aku yang kau tak akan jumpa dengan adik aku lagi sehingga hari tu tiba tapi sekarang ni, apa yang kau dah buat? Kau jumpa dengan adik aku dalam lawatan tu! Kau sengaja join kan? Sekarang ni bagitahu aku, celah mana janji-janji kau yang aku kena percaya, hah?"

Lagi aku berkerut dengan tuduhan Angah.

"Bukan macam tu Abid. Aku... aku serius tak tahu yang dia join lawatan tu... kalau... kalau aku tahu, aku tak akan setuju gantikan Tuah."

Aku makin keliru dengan perdebatan hebat antara dua lelaki dihadapanku ini. Lagi aku keliru dengan apa yang baru saja keluar dari mulut suamiku itu.

"Jebat, apa... apa awak cakap ni? Perjanjian apa ni? Siapa Tuah tu?" Aku mencelah dengan terpinga-pinga. Keduanya aku pandang silih berganti. Angah makin menarik hujung bibirnya, menyinis Jebat.

"Adek nak tahu apa 'perjanjian' yang dah suami adek ni janji dengan kitorang?" Angah sekali lagi memandangku dengan lirikan mata tajamnya, sekejapan dia menjeling Jebat. Angah sedang mencabar Jebat Iskandar untuk menghalangnya dari memberitahuku.

Aku lihat suamiku pula. Dia teguk liur, mukanya berubah. Dia takut? Kenapa?

"Kalau adek nak tahu... sebenarnya, suami adek ni bukannya baik macam yang adek fikirkan. Along dan angah ada sebab dan alasan yang kukuh kenapa kami tak bagitahu adek siapa adek dengan dia sebelum ni. Dan dah tentunya kami ada sebab kenapa kami tak izin adek balik kepada dia semula lepas apa yang jadi pada adek. Adek nak tahu kenapa along dengan angah sanggup pisahkan adek dengan dia?"

Aku terngadah, kepala mula berselirat dengan macam-macam andaian. Wajah Along pula aku cari.

"Apa... apa maksud angah ni, along? Bagitahu adek, along."

"So, Jebat? Perlu ke aku bagitahu isteri kau ni semuanya?" Angah mencelah lagi, langsung tidak bagi peluang untuk Along menjawab soalanku.

Along berdecit, dia pandang aku dan Jebat bergilir-gilir.

"Abid... please..." Dr. Dzharif berbunyi dari diamnya. Dia menggeleng, merayu supaya Angah berhenti mendesak Jebat Iskandar.

"Angah, please back off. You need to know our limits and our sister's condition." Along pula berbunyi sambil menepuk-nepuk bahu Angah.

Bunyi Angah mendengus tidak puas hati tapi diturutkan jua permintaan Along. Kolar baju Jebat Iskandar dilepaskan deras. Aku terus menerpa dan memeluk suamiku. Jebat Iskandar tidak terus membalas sebaliknya dia tergamam dengan tindakan beraniku. Along dan Angah tidak berganjak dari memerhatikan tindakanku. Dr Dzharif juga sama.

"Kau masih sayangkan adik aku, Jebat?" tanya Along tiba-tiba kepada Jebat Iskandar membuatkan aku berpaling semula kepada Along. Bukan aku saja malah Angah dan Dr. Dzharif juga memerhatikan Along, masing-masing menanti apa yang bakal keluar dari mulut Along.

"Along!" Angah menbentak, mungkin dia dapat aga kapa yang bakal berlaku. Matanya memerah, tahan rasa amarah yang kian memuncak.

"Angah, tak salah kita berkorban untuk adek. Ini yang adek nak dan kita kena akur demi dia." Along membalas, bibirnya cuba mengukir senyum tapi langsung tidak menjadi.

"Angah tak akan setuju! Along dah lupa apa yang dia dah buat?" Angah menyergah keputusan Along. Along menggeleng.

"Dah tu? Kenapa nak ulang lagi?"

"Demi adek. Demi wasiat ayah dan ibu." Pendek saja jawapan Along. Angah mendengus, dia memalingkan tubuhnya membelakangi kami sambil meraup kasar rambutnya. Kulit muka Angah merah, aku tahu Angah tengah cuba bersabar dengan apa yang bakal diputuskan oleh Along.

"Kau masih sayangkan adik aku, Jebat?" Sekali lagi Along bertanyakan soalan yang sama kepada suamiku.

Jebat Iskandar tidak segera membalas, dia melarikan anak matanya dariku. Dia terlihat serba salah untuk menjawab soalan Along yang cukup mudah itu.

"Adek betul nak balik semula kepada Jebat?" Along beralih, mengajukan soalan kepadaku pula.

Aku deras mengangguk, aku tetap dengan keputusanku. Walaupun aku tak ingat semuanya tapi sejak aku tahu statusku sebagai seorang isteri kepada Jebat Iskandar, hatiku menuntut untuk aku kembali taat kepada suamiku. Entah kenapa, seperti ada sesuatu yang mendesakku untuk membuat keputusan besar itu.

"Malihah... tolong fikir...," Jebat mahu mencelah tapi Along angkat tangannya, tidak membenarkan Jebat menyampuk.

Along pandangku, dia tersenyum nipis. Aku nampak Along cuba menenangkan jiwanya sendiri. Dia mendekatiku lalu pipiku disentuh sayang. Anak mataku ditatap sayang.

"Adek betul nak balik kepada dia?"

Aku angguk lagi. Along juga turut terangguk sepertiku, dia mengerti apa yang ada dalam hatiku. Along menyedut nafas dalam seraya memejam matanya sejenak sebelum kembali menatapku. Mata yang tunak itu terbias sesuatu. Aku teguk liur, hatiku takut kalau apa yang keluar dari mulut itu bakal melukai hatinya sendiri.

"Baik, kalau itu yang adek mahukan. Along izinkan adek balik kepada suami adek, cuma satu yang along nak ingatkan adek... kalau tiba-tiba suatu hari nanti, adek dah ingat semuanya dan ambil keputusan untuk kembali kepada along, along setiasa menanti. Dan kalau adek mahu kekal bersama dia, along juga tak akan menghalang lagi. Cuma satu pesanan along, kalau jadi apa-apa dengan perkahwinan adek... along dan angah ada disini. Kami tetap ada dengan adek sampai bila-bila, walau apa pun yang terjadi kepada adek."

Aku terkedu. Along aku pandang dengan hati yang libang-libu. Along mengalihkan matanya kepada orang disebelahku.

"Jebat Iskandar." Nama itu pula diseru. Mereka saling berpandangan.

"Kau dengar sini baik-baik. Mulai hari ini, aku serahkan semula adik perempuanku kepada kau untuk kau sayang dan cintakan dia sebagaimana kasih seorang suami kepada isterinya."

Gugur air mataku.

"Along..." Angah cuba meningkah tapi Along mengangkat tangannya, menghalang Angah dari mencelah.

"Kau dengar sini Jebat Iskandar. Adik aku, benda yang paling berharga dalam hidup kami sekeluarga. Sakit dia, maka sakitlah kami. Luka dia, maka lukalah kami. Sebagaimana arwah ayah ikhlas serahkan dia kepada kau dulu, begitulah dengan aku pada hari ni. Hari ini bersaksikan yang ada, aku serahkan semula satu-satunya permata hati keluarga kami untuk kau. Kau jagalah dia, sayanglah dia, cintailah dia. Jangan kau ulangi lagi kesilapan yang sama... Tapi andai kata kalau suatu hari nanti kau rasa, kau dah tak boleh terima dia lagi, pulangkan semula dia kepada aku. Aku sudi terima dia lagi."

Air mataku membelah pipi mulusku. Kata-kata yang terpancul keluar dari mulut Along itu benar-benar membuatkan hatiku dihurung rasa sebak. Aku menapak selangkah lalu tubuh Along aku peluk seerat mungkin.

"Terima kasih along."

Along angguk. Bahuku Along elus lembut.

"Along lakukan ini semua untuk adek. Along bahagia kalau adek bahagia. Janji dengan along, adek kena jaga diri adek baik-baik. Lepas ni tanggungjawab jaga adek bukan lagi tanggungjawab along dan angah tapi kami sentiasa ada dengan adek. Along dan angah sayangkan adek, demi Allah."

____________

p/s : seperti yg saya jnjikan, sy dah publish separuh dari keseluruhan cerita AJIB 2. Insya-Allah semoga ada berita baik nanti. Doakan urusan sy dipermudahkan oleh Allah. Aaamin... terima kasih atas doa dan sokongannya.

Last chapter utk np shingga sy mklumkn kmudian. tq semuaaaa. Tq to all the readers. AJIB 2

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience