Bab 18 : AJIB 2

Romance Series 507856

Bab 18

~I respect those who speak the truth no matter how difficult it is. Integrity is everything.~

Sebulan berlalu dari peristiwa di Cameron Highlands. Aku masih di rumah Angah untuk menghabiskan saki-baki cuti yang tinggal sebelum dipanggil untuk memulakan tugasanku sebagai houseman di Putra Private Medical Hospital tak lama lagi.

Tempoh 'bertenang' ini aku manfaat dengan sebaik mungkin sebelum aku terjerumus ke dalam kehidupan seorang housemanship yang aku tahu 'super duper' sibuknya. Tapi fasa housemanship itu sangat penting bagi seorang graduan perubatan sebelum diberikan lesen penuh dan disahkan jawatannya sebagai seorang pengamal perubatan. Tempoh housemanship ini dianggarkan selama 2 tahun dan perlu melalui 6 postings. Ini bersamaan dengan 4 bulan bagi setiap posting sekiranya tidak ada sebarang masalah.

Kanda dan Bella juga sama ditempatkan di hospital yang sama maklumlah kami ke Ireland pun Putra Private Medical Hospital yang taja, haruslah kami bekerja dibawah organisasinya, kan? Perasaan aku ketika ini, aku takut dan tak sabar untuk memulakan tugasan pertamaku. Takut sebab aku tahu dunia housemanship itu 'menakutkan' bagi seorang houseman. Walaupun 'menakutkan', terselit juga rasa tak sabar untuk menghabiskan tempoh itu. Aku tak sabar mahu miliki kerjaya dan kehidupanku sendiri tanpa perlu dikelola oleh orang lain lagi termasuklah ahli keluargaku sendiri.

Sedang elok aku sedang mencoret sesuatu di buku diariku, tiba-tiba pintu bilikku dirempuh oleh seseorang. Lantas aku berpaling sebelum cepat-cepat menutup diariku dan berdiri. Angah yang tengah tegang itu aku pandang. Dia mencekak kedua pinggangnya dengan dada yang berombak ganas.

"Adek, tadi Kasih ada bagitahu angah masa korang pergi Cameron hari tu korang ada jumpa dengan daddy Umai, betul ke?" Angah terus menyoalku tanpa sempat aku bertanya apa-apa.

"Angah dah kenapa ni?" Aku pula tebaknya. Pelik, isu aku dengan Kasih ke Cameron sudah sebulan lebih kenapa baru sekarang Angah kecoh?

"Jawab soalan angah. Adek ada jumpa daddy Umai?" desaknya lagi dengan tercunggap-cunggap.

"Daddy Umai?" Aku pula bertanya, kalau-kalau telinga tersalah dengar. Tapi bila sebut saja nama 'daddy Umai', terasa ada sesuatu menghiris hatiku. Aku mengerling Kasih Hanim dan Kak Ngah yang ada dibelakang Angah, mereka hanya mengintai di muka pintu bilik.

"Iyalah. Daddy Umai tu, Jebat Iskandar. Betul adek ada jumpa dia?" Angah mengulang soalannya dengan menyebut nama lelaki itu pula.

Aku kertap bibir. Nampaknya nama Jebat Iskandar akan kembali menghantui hidupku setelah hampir sebulan aku berjaya mengikis nama itu dari fikiranku.

"Ya, adek ada jumpa dia. Kenapa?"

Angah membulatkan matanya. Tak lama dia mendengus kuat, mukanya menyeringai. Rambutnya diraup berulang kali. Dia kemudian mundar-mandir dihadapanku. Mukanya tampak berserabut sungguh.

'Oh, aku hampir terlupa. Lepas aku dipaksa balik dari Cameron Highland tempoh hari, aku dan Kasih dibawa ke negeri utara sana hampir seminggu sebelum aku dihantar balik semula ke rumah Angah. Ketika kami tiba di rumah Angah, Angah pula diterbangkan ke Sarawak untuk menghadiri kursus selama 2 minggu. Pendek kata aku dengan Angah baru sahaja ada peluang untuk bertembung empat mata dalam beberapa hari ini.

Tapi aku pelik. Kenapa begini respon Angah bila dia tahu aku dengan Encik Is ada berjumpa di sana? Bukankah mereka berkawan dan berjiran kalau diikutkan dari cerita Kasih dan Umai tempoh hari? Kalau betul berkawan, kenapa begini respon Angah?

"Kenapa angah?"

Angah tidak menjawab sebaliknya dia terus menonong keluar dari bilikku dan ke biliknya yang sama aras dengan bilikku. Bunyi dia menghempas pintu bilik mengejutkan aku dengan yang lain. Angah marah! Aku dan Kak Ngah saling berpandangan. Kasih juga tercenggang dengan situasi ini. Terkebil-kebil anak kecil itu.

"Kasih, pergi main dengan adik-adik sekejap boleh?"

Kasih menurut dan meninggalkan aku berdua dengan Kak Ngah Kamilia. Kak Ngah melangkah masuk dan melabuhkan duduk di birai katilku. Aku turut berlabuh disebelahnya.

"Kenapa dengan angah tu kak? Adek ada buat salah apa-apa ke?" ajuku. Tidak senang hati dengan Angah yang tiba-tiba mengamuk begitu. Tentu ada sesuatu yang membuatnya meradang.

Kak Ngah Kamilia menghela nafas berat. Dia mengambil tanganku lalu digenggam erat.

"Angah sayang adek. Bukan setakat angah saja sayang adek, along pun sayang adek. Kami semua sayang adek. Adek satu-satunya adik yang along dan angah ada. Adek fahamkan apa maksud kak ngah?"

Aku angguk.

"Adek tahu tu. Tapi apa kaitannya? Apa sebabnya angah marahkan adek? Sebab daddy Umai itu ke? Sebab kami jumpa? Kalau betul sebab tu, kenapa?"

Kak Ngah Kamilia mengeluh. Dia pandangku dengan pandangan serba salah.

"Kak ngah tak tahu nak bagitahu adek macam mana sebab bukan hak akak untuk berterus terang dengan adek. Kalau iya pun kak ngah bagitahu adek, kak ngah tak pasti adek akan percaya atau pun tidak."

Hah! Ini yang makin berdebar aku nak tahu ni. Tak berkelip aku tengok Kak Ngah Kamilia. Menanti dia menyambung penjelasannya.

"Ini..." Kak Ngah Kamilia menyentuh cincin plantinum yang tergantung di rantai leherku. Aku turut menekur, lihat kepada rantai yang disentuh oleh Kak Ngah.

"Adek pernah lihat apa yang di tulis dekat sini?" Dia sambung soalannya.

Aku mengerut kening.

'Ada tulisan ke dekat situ? Aku tak pernah rajin pula nak membelek sebelum ini,' omelku dalam hati sebelum aku menggeleng perlahan. Dia senyum nipis.

"Cubalah adek tengok. Adakah sama dengan apa yang ada disini." Kak Ngah Kamilia menyambung lagi sambil menyentuh cincin yang ada di jari manisku.

Aku lihat jariku pula. Juga ada cincin platinum tersarung di situ cuma bezanya yang ada di leherku jenis belah rotan dan di jari manisku pula jenis belah rotan dihiasi dengan satu permata putih bersinar.

"Cubalah adek tengok, mungkin adek akan tahu apa jawapannya. Kak ngah keluar dulu."

Pintu dikatup. Aku tunduk pandang cincin yang tersemat di jari manisku. Inilah cincin hadiah pemberian Encik Is sebulan yang lepas. Hadiah yang aku dapat ketika jam berdetik di angka 2 pagi.

Cincin yang tersemat di jari manisku, aku tarik keluar dan meletakkan di atas meja tepi katil. Rantai yang tergantung di leherku juga aku buka cangkuknya lalu aku tarik keluar cincin platinum jenis belah rotan itu. Aku letakkan cincin itu disebelah cincin pemberian Encik Is. Sebelah menyebelah. Bila sekali pandang, baru aku sedar kedua-dua ada persamaan. Cincin-cincin ini rupanya berpasangan. Satu design. Satu jenama. Bezanya cuma satu. Jenis belah rotan ini direka khas untuk lelaki dan yang ada sebutir permata berkilau ini untuk perempuan. Tergiang-giang apa yang diberitahu oleh Kak Ngah Kamilia tadi lalu aku capai cincin pemberian Encik Is terlebih dahulu dan menilik apa yang terukir disitu. Dibahagian dalamnya.

~Mimo X Jebat. Jan, 17

Mukaku berkerunyut.

'Jebat? Ini daddy Umai? Mimo? Bukan ke itu nama pendek dari Mimo Sunshine? Eh, sekejap... bukan ke nama mummy Umai, Mimo Sunshine? Jadi, ini cincin mummy Umai? Kalau betul ini cincin mummy Umai, kenapa Encik Is bagi dekat aku? Nak bagi aku jelouse? Jan 17, Januari 2017. Ini tarikh sempena apa pula?' Tak habis tertanya-tanya, aku capai cincin yang lagi satu dan lihat disebelah dalamnya pula.

~Jebat X Mimo. Jan, 17

Itu yang terukir. Eh, sama? Bezanya hanya pada kedudukan nama saja. Dahiku langsung berkedut seribu.

'Tapi, macam mana boleh jadi macam ni? Ini cincin dari Encik Is dan ini pulak cincin dari rantai yang Dr. Dzharif bagi kepada aku sebelum balik dari Ireland dulu. Kenapa sama tapi dari orang berbeza? Kenapa keduanya ada nama Mimo dan Jebat?' Terngadah aku.

'Siapa sebenarnya Mimo ni?' Aduh, makin pening dan sakit kepala aku bila fikir apa kaitannya nama yang ada pada cincin itu dengan aku.

Aku bangun dan keluar dari bilik. Aku perlu cari Kak Ngah. Pasti Kak Ngah dan Angah tahu sesuatu mengenai cincin ini. Belum sempat aku berjumpa dengan Kak Ngah di tingkat bawah, aku terdengar Kak Ngah bercakap-cakap dengan Angah di dapur. Bukan bercakap-cakap biasa tapi ada sedikit aura ketegangan di sekitar mereka. Aku teguk liur, nampaknya aku tersalah masa untuk mengorek rahsia berkenaan cincin itu.

Aku mengundur tapak, tak mahu masuk campur urusan rumahtangga mereka. Lagipun tidak manis kalau mereka tahu aku sudah mencuri dengar perbualan mereka. Belum pun aku memusing tubuh untuk kembali ke bilik, tiba-tiba aku terdengar namaku dipetik oleh Kak Ngah. Langsung kakiku terpasung disitu.

"Habis macam mana dengan adek?" Kak Ngah menyoal Angah.

"Macam mana apa? Macam yang awak lihat sekarang ni, macam tulah dia."

Aku mendengar Kak Ngah mendengus. Tak puas hati dengan jawapan Angah barangkali.

"Jadi, sampai bila? Sampai bila abang nak simpan adek dekat sini?" Kak Ngah bertanya lagi. Bezanya kali ini dengan suara yang agak tinggi.

Aku tersentak dengan pertanyaan itu. Tiba-tiba terasa macam aku ini penumpang yang tak tahu malu menumpang di rumah Angah. Kak Ngah tak suka dengan aku ke?

"Sampai bila-bila." Jawapan tegas dari seorang Angah. Bunyi dia tarik kerusi di ruang makan lalu melabuhkan duduknya.

"Abang jangan jadi orang tak ada akal. Jangan nak jadi lelaki dayus abang. Abang jangan lupa yang adik abang tu siapa orangnya dan dia berhak tahu siapa dia yang sebenarnya." Kak Ngah menempelak, tidak setuju dengan Angah. Dia juga tarik kerusi, duduk disebelah suaminya.

"Jadi maksud awak, abang cuba nak pisah dia dengan realiti hidup dia, macam tu?" Angah meningkah. Juga ada ketidakpuashatian dalam nadanya.

Aku ternganga.

'Apa maksud angah dan kak ngah ni? Apa yang diorang pisahkan dari aku?'

"Abang tak rasa ke itu hakikatnya? Sudah-sudahlah abang seksa jiwa adik abang tu. Abang tak kesian ke dekat dia? Dia dah macam orang bodoh ikut telunjuk abang dengan yang lain. Abang ingat saya tak kesian ke tengok dia bila dia asyik tanya saya apa yang dia patut tahu dan apa yang sebenarnya jadi selama ni... tak cukup lagi ke tempoh 5 tahun tu?" Kak Ngah Kamilia menempelak lagi.

Butir perbualan mereka berdua semakin membuatkan jantungku berdebar dan kepinginanku untuk tahu keseluruhan isi perbualan itu makin menebal.

"Biar dia tahu semua apa yang dah jadi dan biarkan dia salahkan diri sendiri? Itu yang awak nak?" Makin keras nada Angah.

"Bukan itu yang saya maksudkan abang... Saya cuma nak dia tahu kebenaran. Saya nak dia tahu siapa dia. Cuba abang letakkan diri abang di tempat Jebat, abang boleh ke terima bila ipar-ipar abang cuba pisahkan abang dari saya? Bukan sehari dua abang dengan along pisahkan diorang suami isteri tapi 5 tahun abang... 5 tahun! Tak cukup lagi ke hukuman tu untuk Jebat?" Kak Ngah Kamilia mengendurkan suaranya, menenangkan Angah supaya berfikir secara rasional.

Mataku pula membuntang mendengarkan bait-bait yang keluar dari mulut Kak Ngah.

'Pisahkan... pisahkan suami-isteri? Siapa? Aku dengan Jebat? Jebat, Encik Is? Apa... apa semua ni?' Aku pegang dada yang tiba-tiba terasa penuh, sakit dan sarat. Nafasku juga tersekat. Sebelah tangan lagi aku pegang pada dinding. Lututku lemah. Lututku goyah. Tak kuat untuk terus berdiri.

"Jangan awak nak samakan abang dengan lelaki tak guna tu! Dia bukan abang dan abang bukan dia! Hukuman tu tak akan berakhir selagi tu rasa sakit dekat sini masih berbekas. Awak pun tahu apa yang adik abang tanggung! Bukan sedikit, bukan sekali dua tapi dah banyak kali hati dia ditoreh-toreh. Rasa sakit tiap kali teringatkan malam hitam tu tak kan hilang dengan mudah!" Bunyi Angah menghempuk meja mengejutkan aku sehingga kedua bahuku terangkat. Tapi apa yang lebih mengejutkan aku adalah apa yang baru Angah lafazkan itu.

Tiba-tiba berdengung sesuatu di benakku. Rohku bagaikan ditarik ke dimensi lain dan tiba-tiba aku berada di sesuatu tempat yang sedikit asing. Tiada lagi Angah. Tiada lagi Kak Ngah. Dan ini juga bukan rumah Angah. Ini rumah papan, rumah kampung. Aku mengamati rumah ini dan semerta itu juga mataku meluas.

'Ini rumah... rumah keluargaku!'

Suasana agak riuh. Di luar rumah ada ramai tetamu sedang menjamu selera. Di dalam rumah pula orang sedang berkumpul di ruang tamu. Seperti sedang menanti berlangsungnya sesuatu acara penting. Agaknya mungkin ada majlis kenduri kendara.

Di tempat aku berdiri, aku melihat ada seorang lelaki segak dalam persalinan baju pengantin berwarna putih gading sedang duduk bersila di atas ambal berwarna keemasan bertentangan dengan seorang lelaki yang agak berusia dan lelaki itu adalah ayah. Itu ayah aku!

"Jebat Iskandar bin Ilyas." Ayah menyebut nama lelaki itu sambil menggenggam erat tangan lelaki yang baru sahaja ayah menyebutnya dengan nama, Jebat Iskandar bin Ilyas.

'Jebat Iskandar? Eh, itu bukankah nama penuh Encik Is? Apa dia buat dekat sini? Ayah dengan Encik Is nak buat apa ni?'

"Saya." Encik Is menjawab dan kali ini barulah nampak dengan jelas tampang wajahnya. Encik Is yang sekarang ini nampak jauh lebih muda dari Encik Is yang aku jumpa di Cameron Highlands tempoh hari.

"Aku nikahkan engkau dengan anak perempuanku, Siti Nur Malihah binti Azad dengan mas kahwinnya sepuluh ribu ringgit tunai."

Aku ternganga. Itu... itu nama aku! Wait... nikahkan? Ayah nikahkah aku dengan Encik Is? Laju kepalaku berpusing kepada Encik Is yang sedang menanti untuk menjawab lafaz akad itu. Dadaku makin berdebar hebat.

"Aku terima nikahnya Siti Nur Malihah binti Azad dengan mas kahwin yang tersebut." Dengan sekali lafaz, Encik Is menjawab lafaz ijab dan kabul itu.

Ternganga sekali lagi aku. Jadi ini bermakna aku... aku isteri Encik Is? Encik Is itu... suami aku? Sekonyong-konyong itu juga aku teringat perbualan antara aku dengan Encik Is di Cameron Highlands tempoh hari.

'Ini untuk awak. Tolong jangan lupakan saya. Saya akan tunggu saat awak kembali kepada saya.' Itu katanya ketika dia meletakkan sekotak hadiah kecil di tanganku.

'Kembali? Inikah maksudnya?'

Kedengaran doa dibacakan oleh ayah. Selepas mengaminkan doa, Encik Is bersalaman dengan ayah dan beberapa orang tetamu yang tidak aku kenali.

"Jaga anak ayah baik-baik. Ayah percayakan Jebat dan bimbinglah anak ayah jadi isteri yang baik. Ayah sangat sayangkan dia. Hanya dia satu-satunya puteri ayah."

Aku mendengar ayah berpesan kepada Encik Is sambil menepuk bahu lelaki itu. Mata tua ayah sedikit berkaca. Pasti ayah bersedih disaat menyerahkan anak gadisnya kepada seseorang yang mungkin akan mencuri tempat dihati anaknya. Aku yakin itu. Terasa kaki ini ringan saja mahu berlari ke dakapan ayah.

"Insha-Allah ayah. Jebat janji akan jaga dia baik-baik. Semampu Jebat," lafaz Encik Is sebelum tunduk mencium tangan kasar itu.

Aku terngadah. Otak berkerja pantas, mencerna dan menjalin segala hubung kait bayangan dan imbasan yang datang selama ini.

'Ini... ini... rupanya ini bukan sekadar mimpi tapi ini realit! Realiti dan mungkin juga ini sebahagian daripada memori aku!'

Bayangan kenangan itu hilang disitu. Satu persatu gambaran itu hilang seperti kepulan asap. Aku dibawa 'kembali' ke rumah Angah dan segalanya bertukar. Kepalaku makin berdenyut-denyut. Aku pegang kepala sambil pejamkan mata. Kepalaku sakit, bila aku buka mata semua benda kelihatan berpusing-pusing. Mataku berpinar-pinar, nafasku tercunggap-cunggap dan tak lama kemudian, aku rebah.

P.A.I.N. Tq to all the readers. AJIB 2

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience