Bab 17 : AJIB 2

Romance Series 515828

Bab 17

~You don't understand, and I can't explain.~

"He's bad news."

Zap! Satu ayat yang keluar dari celahan bibir Tuan Eshan Maisur itu membuatkan aku terpana. Lutut rasa goyah.

'Maksud Tuan Han, ada seseorang tengah menghendap aku ke sekarang ni? Macam stalker?' Tak semena-mena, bulu romaku meremang dengan andaianku sendiri. Sejujurnya aku takut! Tiba-tiba terbayang difikiranku seorang wanita berbadan dua sedang menangis teresak-esak dalam keadaan mengigil ketakutan sambil melihat skrin telefonnya. Apa yang dilihat itu, aku tidak tahu. Siapa dia juga aku tidak tahu, tidak nampak dengan jelas wajahnya. Hanya berbalam-balam sahaja.

"Malihah, okay tak ni?" Orang disebelahku deras bertanya, cemas dia bila melihat aku yang tiba-tiba saja lembik. Encik Is tanpa menanti lagi segera dia sauk pinggangku dan dibawa rapat ke tubuhnya. Walaupun dalam keadaan lembik lutut macam ni, aku tersentak juga dengan tindakan spontannya.

Aku mendongak, melihatnya. Terbias kerisauan di wajah itu.

"Sa... saya takut," rintihku tiba-tiba. Tipulah kalau aku katakan yang aku tidak takut dengan apa yang aku dengar dari Tuan Eshan itu. Tipulah kalau aku katakan yang aku akan baik-baik sahaja selepas mendengarkan semua itu.

"Jangan risau, saya ada. Saya janji, saya akan jaga awak kali ni." Dia membisik, mematikan bayanganku sebentar tadi lalu dia menunduk mencium dahiku sekilas.

Mataku terbuntang tapi anehnya tanganku tidak pula menolak dan tiada perasaan marah timbul dengan tindakannya.

'Kenapa dengan aku ni? Kenapa aku tak marah bila dia sentuh aku macam ni? Bukankah aku sangat menjaga perlakuanku? Antara aku dengan Dr. Dzharif juga sama, bertahun kami berkawan tapi kami langsung tidak bersentuhan. Tapi kenapa aku jadi lemah macam ni bila aku dengan dia? Adakah aku sudah tergoda dengan dia? Adakah imanku mula goyah tatkala dengar dia mengaku yang dia 'suami' aku dihadapan Tuan Han?'

"She's okay?" tanya Tuan Eshan perihal aku kepada Encik Is. Dia lihat aku dengan Encik Is bergilir-gilir.

"Saya rasa saya kena bawa dia balik ke bilik dulu. Nanti kita bincang lagi, boleh?"

"Sure, ini kad saya. Nanti awak call saya di nombor tu." Tuan Eshan menghulurkan sekeping kad namanya kepada Encik Is.

Encik Is mengambil dan menyimpannya. Sedang elok lif berbunyi menandakan kami sudah sampai di aras 5. Encik Is meminta diri dari Tuan Eshan. Tuan Eshan mengangguk dan sempat berpesan supaya kami lebih berhati-hati selepas ini.

Pintu lift tertutup semula lalu Encik Is memapahku balik ke bilik hotelku. Sampai dihadapan bilik, aku membuka pintu bilik dengan kad akses. Tak sempat kakiku melangkah masuk, tanganku dilelar oleh Encik Is. Aku lantas berpaling, pandang kepada tangan kami yang sedang bertaut itu sebelum mengangkat muka kepadanya.

"Betul, awak okay ni?" tanyanya masih terbias kerisauan. Terasa ibu jarinya mengusap lembut tanganku. Dia risau.

Aku senyum hambar lalu menjatuhkan kepalaku.

"Jangan risau ya? Jangan fikirkan sangat apa yang Tuan Han cakap tadi. Nanti saya cuba dapatkan maklumat pasal tu. Awak... awak percayakan saya, kan?"

'Aku percayakan dia ke?' Berdengung soalan itu dibenakku. Kalau aku tidak percayakan dia, mustahil aku boleh bersetuju dengan permintaannya untuk membawa aku keluar pada waktu dinihari macam ni, kan? Itu tandanya yang aku sebenarnya percayakan dia.

Aku angguk. Dia senyum sedikit, lega dengan jawapanku.

"Emm... Jangan lupa baca doa dulu sebelum tidur. Jangan lupa ambil wuduk sekali. Kalau awak rasa tak tenang, tak boleh tidur, jangan lupa makan ubat. Saya tahu ada masanya awak perlukan ubat untuk redakan apa yang ada dalam kepala awak," ujarnya dengan sedikit berkias.

Dahiku berkerunyut, macam mana dia tahu yang aku perlukan ubat untuk redakan resahku? Tak sempat aku nak buka mulut bertanya, dia menyambung.

"Tapi kalau awak rasa awak tak perlu makan ubat untuk redakan sakit awak tu... tapi awak masih tak okay, saya boleh temankan awak."

Langsung dahiku berkerut dengan lebih berlapis dari tadi. Otakku mula dipenuhi dengan bermacam-macam andaian yang bukan-bukan.

'Dia cakap apa? Temankan? Teman yang macam mana tu maksud dia? Teman borak? teman minum? Atau teman apa? Adakah maksud dia teman... teman tidur? Hei no! Aku bukannya perempuan murah, okay!'

Tiba-tiba terlintas difikiranku. Bayangan seorang lelaki menyerupai Encik Is sedang memeluk seorang perempuan dalam persalinan baju pengantin serba putih yang sedang membelakangiku. Umpamanya aku sedang menonton sebuah drama di kaca tv cuma bezanya hanya aku saja yang dapat melihat gambaran itu.

Dalam gambaranku, Encik Is sedang merangkul pinggang si gadis dan si gadis itu pula cuba menahankan dirinya dengan meletakkan tangannya di dada Encik Is.

'Gaya macam bergaduh pun ada tapi kalau bergaduh, kenapa muka Encik Is ni 'nakal' sangat? But wait, Siapa mereka ni? Encik Is dengan arwah isteri dia ke apa? Kenapa perlu tunjuk dekat aku adegan 18sx ni?!' dengusku, sakit hati dengan adegan yang dipertontonkan.

'Tapi kalau betul itu Encik Is dengan isteri dia, apa hak aku untuk rasa sakit hati macam ni?!'Tiba-tiba aku membentak, marahkan diri sendiri yang berperasaan yang bukan-bukan.

"Saya tak percaya awak ni, Jebat! Macam mana awak boleh ada dekat..." Suara pengantin perempuan itu tiba-tiba kedengaran seperti sedang memarahi Encik Is.

Encik Is cuma tayang senyuman nakalnya sebelum menunduk dan berbisik,

"Kita husband and wife." Lalu tanpa amaran dia terus memaut bibir si gadis itu secara curi.

Aku tersentak melihat adegan itu depan mata. Pipiku merona, merah padma. Bunyi Encik Is ketawa halus. Dan secara tiba-tiba gambaran itu memudar, hancur berderai dan menghilang umpama debu-debu berterbangan.

Aku berkerdip, baru tersedar di mana kini aku berada. Aku sedang berdepan dengan Encik Is. The real Encik Is! Aku pandang dia yang sedang tertawa halus sambil menggeleng perlahan.

"Boleh tak awak jangan fikir yang bukan-bukan? Jangan nak otak kuning sangat boleh tak?" Sambungnya sambil meleraikan tautan tangan kami lalu dia meletakkan tangannya di atas kepalaku. Dengan sedikit menunduk, matanya memanah mataku. Bibirnya terukir seulas senyuman yang cukup ikhlas di mataku.

Aku terkebil-kebil. Jantung mula berdup dap dup dap menerima panahan sinaran matanya. Langsung aku teringat gambaran adegan hot tadi membuatkan jantungku makin laju berdegup.

"Teman tu maksud saya macam teman borak. Macam... macam orang lain juga. Sebelum tidur mesti nak calling-calling dulu, kan?"

Aku angguk saja walaupun otakku sekarang ini sedang blur, terpukau dengan renungan lembut dan senyum manisnya.

"Saya boleh teman awak dengan cara macam tu. Kalau awak rasa tak boleh tidur, call saya. Kalau dalam masa 1 jam awak tak call saya, saya beranggapan awak dah pun selamat beradu. Boleh?"

Aku angguk lagi. Dia tegakkan badannya dan larikan tangannya dari kepalaku.

"Pergilah masuk, saya tunggu awak. Semoga esok, kita jumpa lagi."

Aku masih pandang dia. Lama. Ada sesuatu bermain-main di kepalaku.

'Kenapa dia kerap muncul dalam bayanganku? Adakah itu cuba ilusiku semata-mata ataupun itu sebahagian dari memori kami?'

"Kenapa ni?" Dia menyoal, mungkin dia merasakan ada sesuatu sedang mengganggu fikiranku ketika ini.

"Kenapa awak bagitahu Tuan Han, awak suami saya?"

Dia tergemap sekejap sebelum beriak seperti biasa. Dia menyeluk poket seluarnya.

"Sebab... saya tak nak dia fikir yang bukan-bukan pasal kita. Kalau orang lain lihat kita berdua-duaan waktu macam ni pun, orang akan berfikiran yang bukan-bukan juga kan?"

Aku angguk sudahnya. Ada betulnya juga.

"Dah la, pergilah masuk. Dah lewat sangat ni. Kalau awak masih ada soalan yang nak tanya saya, tunggu pertemuan kita yang akan datang. Saya akan jawab semuanya, okay?"

Aku senyum segaris. Ya, aku akan tunggu detik tu tiba. Tanpa banyak soal, aku terus melangkah masuk ke bilikku.

"Malihah."

Aku berpaling sekali lagi. Dia mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya dan mendekatiku. Dia mengambil tangan kananku lalu sebuah kotak kecil diletakkan di atas telapak tanganku.

"Ini untuk awak. Tolong jangan lupakan saya. Saya akan tunggu saat awak kembali kepada saya." Sambungnya setelah itu.

Aku menekur telapak tanganku. Kotak baldu berwarna biru, aku rasa aku tahu apa isinya. Dada kian berdebar makin ganas. Aku angkat muka, kami saling berpandangan sekali lagi. Sungguh aku tak faham, kenapa dengan kami berdua di pagi hari ni?

"Kalau kita jumpa lagi dan awak memilih untuk pakai hadiah yang saya bagi, itu tandanya awak sudi beri saya satu lagi peluang untuk kenal awak lebih dari seorang kawan."

Aku kelu. Maksudnya?

"Pergilah masuk. Dah lewat sangat ni."

Aku tidak membalas. Hanya kepala saja yang mengangguk. Sebelum pintu dikatup rapat, aku sempat mengintainya. Dia masih berdiri di situ sambil merenungku dengan pandangan yang membawa maksud sesuatu tapi aku tak tahu apa yang ada disebalik itu. Aku tidak bijak meneka.

"I'm sorry, my Mimo Sunshine."

Ayat terakhir yang sempat aku dengar sebelum pintu terkatup rapat sepenuhnya. Aku tersentak tapi untuk membukanya semula aku memilih untuk tidak berbuat demikian. Tubuhku sudah terlalu penat dan inginkan rehat. Nanti esok-esoklah aku akan tanyakan kepada Encik Is. Mungkin aku juga boleh dapatkan jawapan kepada gambaran yang tiba-tiba menjengak tadi. Juga persoalan berkenaan apa yang ada di antara aku dengan dia. Ini kerana aku yakin dan pasti ada sesuatu yang disembunyikan olehnya!

* * *

Keesokkan harinya, destinasi terakhir rombongan kami sebelum pulang ke Kuala Lumpur adalah singgah di Strawberry Park. Di sana nanti aku akan belikan sedikit cenderamata untuk kenalanku sebagai kenang-kenangan memandangkan aku masih belum sempat membelinya. Aku terjaga tepat jam 6 pagi seperti biasa walaupun mata agak berat macam ada pemberat disitu angkara tidur hanya 4 jam tetapi digagahkan jua untuk bangkit.

Usai mandi dan solat subuh, aku mengejutkan Kasih untuk bangun dan bersiap. Pandang beg pakaian kami di satu sudut, itu tandanya aku sudah siap berkemas. Pandang tempat tidur Umai, tempat itu sudah pun kosong. Kata Kak Sah awal pagi lagi Encik Is mengetuk bilik kami untuk mengambil Umai pulang ke biliknya. Encik Is sendiri yang meminta Kak Sah mendukung dan menghantar Umai ke muka pintu tanpa mengejutkan aku terlebih dahulu. Kata Kak Sah, Encik Is tidak mahu mengganggu tidurku. Aku hanya angguk walaupun hatiku tiba-tiba disapa rasa tidak tenang. Berdebar lain macam. Macam ada sesuatu yang menanti.

Teringatkan apa yang diberitahu oleh Tuan Eshan semalam, aku keresahan. Aku juga bergementar hebat tiap kali fikirkan hal menakutkan itu. Aku cuba sembunyikan keresahanku dari pandangan mata yang lain dengan bergurau senda melayani kerenah Kasih. Tiara pula tengah syok melayan kartun di tv. Pagi-pagi dah ada siaran kartun di tv, elok sungguh! Kak Sah masih sibuk membetulkan selendangnya. Kami berempat sudah siap berkemas sepenuhnya. Hanya menanti jam 8.30 minit pagi untuk turun bersarapan dan check out dari Hotel Blue Roses.

Ting tong! Ting tong!

Kami berempat berpaling ke arah pintu bilik hotel. Ketika itu juga dadaku makin laju berdegup. Kencang dan pantas umpama kuda berlari di medan perang. Sungguh aku jadi takut untuk tahu apa yang menanti disebalik pintu itu. Kak Sah segera menapak ke pintu, menjadi wakil kami untuk membuka pintu.

"Ye, encik?" Kak Sah bertanya kepada gerangan yang sedang menanti disebalik pintu. Gerangannya aku tidak nampak kerana terlindung dengan Kak Sah.

"Eh, tak mengganggu pun. Kebetulan kami semua dah siap. Dia ada, sekejap ya saya panggilkan dia," ujar Kak Sah lagi. Sekejapan dia berpaling kepada kami bertiga.

"Malihah, ada orang nak jumpa." Kak Sah melaung sedikit kepadaku sambil menguak pintu dengan lebih luas. Memberi ruang untukku melihat tetamu yang sedang menantiku dengan lebih jelas.

Aku terlopong, terkejut. Tak percaya. Tak sangka raut wajah itu yang menjelma dihadapan mataku.

'Dr. Dzharif!'

Dia sedang berdiri tegak di ambang pintu, melemparkan senyuman manisnya buatku seperti selalu dan dia segak seperti selalu. Baju panas berwarna coklat berlengan panjang dan seluar jeans hitam. Kepalanya ditutupi dengan beanie hitam.

'Dzharif! Apa dia buat dekat sini? Macam... macam mana dia boleh muncul dekat sini? Sedangkan baru 2 hari lepas kami berborak dan dia masih berada di sana!' Aku bingkas berdiri dan bergegas mendapatkannya di ambang pintu.

"Assalamualaikum sweetheart." Sapaan pertamanya.

"Waalaikummusalam. Dr.!"

Dia senyum lagi. Sekuntum bunga ros putih dihulurkan kepadaku. Lihat bunga ros putih sekuntum teringat kepada peristiwa di tanah perkuburan keluargaku. Teragak-agak aku mahu menyambut hulurannya.

"Ini bukan dari saya tapi ada seseorang kirim." Cepat-cepat dia membetulkan tanggapanku.

"Oh..." Aku menyambut jua. Ros putih itu aku bawa ke hidung. Terpejam mataku. Wangi dan manis baunya, seperti selalu.

"Emm... awak dah siap berkemas?"

Soalannya mencelikkan kembali mataku.

"Dah, dah siap. Tengah tunggu nak check out. Macam mana Dr. tahu saya dekat sini?" soalku sedikit hairan.

"Saya tak boleh ada dekat sini?" Soalan dibalas dengan soalan. Aku kemam bibir.

"Bukan tak boleh tapi... pelik. Baru dua hari lepas kita bercakap dan Dr. masih ada dekat sana."

"Saya dah balik sehari lepas saya call awak hari tu. Saja saya tak bagitahu awak, saya tak nak kacau your holiday. So how's your holiday? Happy?"

Senyumku makin lebar tatkala teringatkan apa yang terjadi antara aku dengan Encik Is semalam.

"Amboi lebarnya dia senyum. Ni mesti sweet memories ni, kan? Tak nak kongsi?" Dia mengusikku.

Aku hanya senyum. Tak gila aku nak mengaku! Aku tak nak kalah, cepat aku melencong topik.

"Apa Dr. buat dekat sini sebenarnya? Tak kan lah baru je sampai Malaysia terus datang bercuti dekat sini? Macam pelik je."

"Kalau saya kata saya nak culik awak, awak percaya tak?"

Sudahnya aku ternganga. Dia menghemburkan tawanya.

"Saya nak bawa awak dengan Kasih pergi bercuti di tempat lain pula. Boleh kan?"

Ternganga lagi aku. Tiba-tiba? Kenapa?

"Hah? Ke... kenapa?"

"Seorang pesakit mental lari dari hospital dan dipercayai berkeliaran di tanah tinggi Cameron Highlands. Eh, betul ke dengan berita ni? Bahaya betul ni." Suara Kak Sah tiba-tiba meninggi, mengejutkan aku.

Aku toleh kepada Kak Sah, dia yang sedang membaca sesuatu dari telefonnya turut sama menoleh kepadaku. Tiba-tiba aku teringat apa yang disampaikan oleh Tuan Eshan semalam.

'Adakah orang itu... orang yang sama ke dengan berita itu? Kalau orang yang sama, adakah itu maksudnya aku sedang berhadapan dengan orang kurang siuman?' Menggigil lututku. Aku berpaling ke bilik sebelah, pintu bilik itu tertutup rapat tidak seperti sebelum ini. Tidak juga seperti pagi-pagi sebelum ini. Biasanya Umai pasti akan datang menempel di bilikku sebelum kami keluar ke mana-mana.

'Encik Is! Dimanakah dia sekarang ni? Dia dah tahu ke pasal berita ni?' Tak semena-mena aku tercari-cari kehadiran Encik Is padahal Dr. Dzharif sedang elok berdiri tegak dihadapanku.

"Awak dah tahu pasal ni, kan Malihah? Awak dah jumpa dengan orang tu kan?" Soalan Dr. Dzharif membuatkan aku kembali menumpukan tumpuanku kepadanya.

Tergemap aku. Macam mana dia tahu? Wajah tegang Dr. Dzharif aku pandang dengan seribu persoalan.

"Itu sebabnya saya ada dekat sini. Saya tahu apa yang dia nak. Sebelum apa-apa jadi pada awak, kita kena pergi dari sini sekarang. Bawa Kasih sekali." Tegasnya.

"Tapi macam mana dengan lawatan ni?" Aku keliru. Terkebil-kebil aku memandangnya.

'Ikut atau tidak? Apa yang perlu aku buat ni? Encik Is? Mana dia?'

"Jangan risau, saya dah uruskan semuanya." Dr. Dzharif bertegas memaksa aku mengikutnya tanpa bantahan lagi.

Siapa pula yg kacau niiii... Tq to all the readers AJIB 2

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience