Bab 5 : AJIB 2.0

Romance Series 515828

Bab 5

~Never blame anyone in life. The good people give you happiness. The worst people give you lesson. The best people give you memories~

Kuala Lumpur International Airport, Malaysia.

Alhamdulillah. Itulah lafaz pertama kalinya keluar dari bibirku saat kapal terbang yang dinaiki oleh kami bertiga selamat melakukan pendaratannya. Kini aku sudah berpijak di bumi kelahiranku. Seketika aku berhenti melangkah, aku pejam mata lalu aku hirup udara panas dan hangat ini. Aku rindukan rasa ini selepas bertahun-tahun di negara orang.

"Dek, jom." Bella mengamitku. Dia hulurkan tangan kanannya.

Aku angguk lalu menyambut huluran tangannya dan kami beriringan keluar ke balai pelepasan selepas selesai menguruskan urusan pasport. Aku menolak troli yang berisi luggage begitu juga dengan Bella dan Kanda.

Kami ke ruangan menunggu. Kanda pamit ke tandas sebentar meninggalkan aku dengan Bella. Kami berdua melabuhkan punggung di kerusi di ruangan menunggu. Aku pandang Bella, dia sedang sibuk menatal skrin telefonnya. Membalas mesej dari keluarganya mungkin. Aku malas mengganggunya lalu aku bangun mengitari pandanganku, mencari susuk tubuh along yang berjanji mahu menjemputku.

Tak semena-mena aku ternampak ada susuk tubuh seseorang di hujung tiang sana sedang menyorokkan diri dari pandanganku. Gaya sedang mengintip pun ada. Aku mengerut kening, sesekejap aku toleh ke belakang, kiri dan kananku. Manalah tahu kalau-kalau aku saja yang berperasan lebih-lebih. Mata dipicing sedikit bagi menajamkan penglihatanku. Sekejapan orang itu menjengulkan kepalanya, menampakkan yang dia memakai topi berwarna hitam dan pelitup muka, juga berwarna hitam. Dia sedang merenungku ke arahku.

"Adek!"

Teriakan seseorang mengejutkan aku dari terus mengintai si pengintip. Aku toleh ke belakang. Along dan Kak Long Izara sedang berlari-lari anak ke arahku dah tak sampai beberapa minit aku sudah selamat dalam pelukan Along tanpa sempat aku bersedia.

"Alhamdulillah... Alhamdulillah.. adik along dah balik... adik along dah balik..." Along mengulang-ulang ayat itu dengan lirih.

* * *

Marang, Terengganu.

Akhirnya aku tiba jua di kampung halamanku yang terletak di perkampungan nelayan yang cukup indah dengan pesisiran pantai yang memutih iaitu sebuah kampung kecil yang terletak di daerah Marang. Dua hari lepas, aku tiba di Malaysia dan bermalam di rumah Angah terlebih dahulu sebelum bertolak balik ke Terengganu. Angah akan menyusul kemudian, masih ada kerja yang perlu disiapkan sebelum bercuti.

Angah dan keluarganya telah berpindah ke Kuala Lumpur selepas dari kejadian malang itu dan kebetulan pula dia ditawarkan kenaikan pangkat. Jadi angah bersetuju untuk berhijrah ke sana bagi melupakan apa yang terjadi. Along pula berpindah ke Kuantan atas tuntutan kerjanya dan juga kerja Kak Long Izara sebagai warga pendidik anak bangsa. Pendek ceritanya, rumah ayah tidak lagi berpenghuni selepas kejadian itu. Hanya sekali sekala saja Along dan Angah akan bergilir balik menjenguk dan membersihkan rumah peninggalan arwah ayah dan ibu. Kadang-kadang Pak Long dan Mak Ngah iaitu sedara mara sebelah ayah ada juga datang menengok-nengokkan rumah itu kalau ada masa kelapangan. Tapi bila difikirkan balik, rasa sayang pula kalau rumah ayah dibiarkan kosong tidak berpenghuni begitu.

Along mematikan enjin keretanya, betul-betul dihadapan sebuah rumah papan yang tertutup rapat pintu dan tingkapnya. Rumah keluargaku yang masih utuh berdiri itu kelihatan suram bagaikan sudah hilang serinya. Aku mengalihkan mataku ke pekarangan rumah. Laman rumah kami boleh tahan juga luasnya. Tentu di sinilah tempat kami adik-beradik bermain dan berkejaran di kala sore hari. Aku mengariskan senyuman nipis bila memikirkan hal yang indah itu meskipun satu kenangan tentang itu langsung tidak ada dalam kotak fikiranku tatkala ini.

"Abang... kakak... bangun sayang... Kita dah sampai rumah atuk ni..." Suara Along mematikan imaginasi indahku sebentar tadi.

Aku lihat Along. Dia sedang membuka tali pinggang yang berbelit di pinggangnya. Kak Long Izara disebelahnya juga berbuat demikian. Aku pandang ke tempat duduk di belakangku. Ariff Haidar, anak sulung Along dan adiknya, Izara Nasreen masih lagi terlentok di tempat duduk masing-masing. Penat sangatlah tu. Bahu Ariff Haidar aku tepuk.

"Abang... bangun saying, kita dah sampai ni. Kakak, bangun." Aku pula mengambil giliran mengejutkan anak-anak saudara ku.

Lambat-lambat keduanya bergeliat sambil memisat-misat kedua matanya.

"Kita dah sampai ke, mak su?" tanya Izara Nasreen yang kini berusia 6 tahun.

"Alhamdulillah kita dah sampai. Jom kita keluar," ujarku sambil menekan butang kekunci di carseat Izara Nasreen bagi membuka tali pinggang keselamatannya.

"Penat ya?"

Izara Nasreen mengangguk. Sesekali dia menguap dan aku pantas menutup mulutnya.

"Haip, anak dara apa ni... menguap kena tutup mulutlah," omelku sambil mengusap pipi gebunya. Izara Nasreen tersengih malu.

Pintu kereta dibuka dari luar oleh Along.

"Okay, jom turun anak-anak. Adek, okay?"

"InsyaAllah adek okay," jawabku dengan mata melilau ke luar tingkap kereta. Tak sabar nak explore rumah keluargaku ini.

"Alhamdulillah. Jomlah kita turun. Adek tengok-tengok la dulu rumah kita. Manalah tahu kalau adek boleh trigger something," ujar Along sambil menilik anak bongsunya, Ariff Haikal yang masih lagi lena di dalam carseatnya di sebelahanku. Ariff Haikal yang baru berusia 2 tahun itu didukung lalu diserahkan kepada Kak Long. Aku pula membantu Izara Nasreen dan Ariff Haidar keluar dari kereta. Keduanya berlari mendapatkan si ibu dan meninggalkan aku seorang diri di situ.

Perlahan-lahan aku mengatur langkah mengikut arah kaki dibawa dan secara tiba-tiba aku berhenti. Aku berdiri tegak di tengah-tengah laman rumah keluargaku. Mataku melilau, mengamati segenap ceruk halaman itu manalah tahu kalau-kalau ada sisa kenangan yang singgah dibenakku.

Aku lihat ada deretan pasu bunga tersusun elok di tepi rumah. Hanya pasu kosong semata-mata. Kalau ada isi pun, cuma ranting kayu yang telah mati dan kering tanpa sehelai daun dengan tanah yang sudah merekah kekeringan. Ada juga beberapa buah bangku semen bulat yang sudah berlumut hijau berdekatan situ. Semuanya terbiar tidak terjaga.

Melihatkan keadaan itu, rasa sayu menyapa. Entah kenapa rasa pedih di hujung tangkai hatiku. Tak semena-mena mataku berpasir. Aku terlalu rindu untuk 'lihat' macam mana kehidupan aku dulu. Aku teringin untuk merasai betapa hangatnya pelukan dan belaian kasih seorang ibu. Terlalu teringin untuk merasai sentuhan kasih sayang dari seorang ayah. Aku mahu merasai lagi macam mana kasarnya kulit tangan ayah saat dia menggenggam erat tanganku dan memimpinku menyeberangi jalan. Aku teringin untuk merasai kembali bagaimana nikmat kesedapan setiap masakkan air tangan ibu. Aku mahu ingat semua itu! Terlalu ingin dan terlalu teringin!

'Allah...' Tanganku sentuh dada kiri yang tiba-tiba rasa sebu. Mataku mula basah dan bila aku mengatup kelopak mata, aku menangis. Aku meratapi apa yang sedang aku rasa. Rasa ini, kadang kala terlalu sakit. Rasa ini terlalu menjeruk perasaanku sehinggakan aku terfikir, apa sebenarnya salah ku? Apa dosaku sehingga Allah tarik nikmatku yang satu itu? Apa sebenarnya yang DIA disorokkan dariku?

Tangisanku dari kecil akhirnya menjadi besar. Aku akhirnya teresak-esak di situ. Lama begitu, aku buka mata bila terasa sedikit tenang. Tiba-tiba sesuatu terlintas difikiranku. Ada bayangan seorang wanita yang agak berusia, bertubuh kecil sedang duduk di atas bangku kecil sambil mengemburkan tanah yang ada di dalam pasu bunga besar dihadapannya. Selepas digemburkan tanah, dia menaburkan sedikit baja organik jenis campuran tahi ayam. Bibirnya tersenyum melihat pohon bunga mawarnya yang sedang lebat berbunga. Dari satu pasu, dia beralih pada pasu yang lain pula. Sungguh ralit dia melakukan kerjanya itu. Sesekali dia mengesat peluh dengan tuala kecil yang disangkut di atas bahunya.

Aku langsung tergamam. Adakah ini hanyalah ilusiku semata-mata ataupun ini cebisan dari kenangan berharga kami? Ibu?

"Ibu, kenapa ibu suka sangat letak baja tahi ayam ni? Tak ada baja lain ke ibu?" Suara seorang gadis tiba-tiba menjengah masuk ke telingaku.

Aku meninjau, tercari-cari dari mana datangnya suara itu. Macam pernah dengar suara itu, tapi tak tahu di mana dan siapakah orangnya.

"Baja ni elok untuk bunga. Nanti bunga-bunga ibu semua sihat-sihat dan berbunga elok. Kalau dah berbunga, adek juga yang suka, kan?" balas si ibu tanpa berpaling dari arah mana suara itu datang.

Aku sekali lagi tergamam.

'Adek? Adek tu... aku ke?'

"Memanglah adek suka bunganya tapi tak tahan la bau baja dia ibu. Tahi ayam kot." Lagi terdengar suara itu membalas tanpa memunculkan diri.

"Dah nama pun tahi, dek. Cuba bagitahu ibu tahi apa yang tak berbau busuk selain dari tahi lalat? Lagipun baja jenis ni memang sesuai untuk bunga ros. Nanti pokoknya sihat, segar, akarnya pun jadi kuat. Bunganya pula nanti cantik berkembang-kembang, wangi pula tu."

"Part wangi tu adek suka. Adek suka bunga ros sebab nama ibu kan, Mawar. Sebab tu adek suka." Gerangan Si Adek kali ini memuncul diri dari beranda rumah sambil menatang satu jug air sirap sejuk dengan sepinggan pisang goreng lalu mendekati ibu yang berada di laman rumah.

Aku tergemap. Mataku meluas.

'Itu... itu aku! Dan itu, ibu?' Ya, itu ibu! Wajah ibu sama macam dalam gambar! Aku atur langkah deras, mendekati 'ibu' dan 'aku' yang berada di bangku semen itu. Tapi bila aku mendekat, aku hanya lalu saja tubuh 'aku' dan 'ibu'.

"Kalau nama ibu ni bukan Mawar, adek tetap suka bunga ros ke?" tanya ibu lalu mengambil tempat di hadapan 'aku'.

'Aku' tersenyum. Air sirap dan pinggan pisang goreng diletakkan di atas bangku semen yang aku lihat berlumut hijau tadi. Tapi yang anehnya, bangku itu kelihatan seperti baru, tidak berlumut dan masih berwarna cerah dan terang. Aku kepelikkan. Dengan dahi berlapis, aku pandang 'aku' dan 'ibu' yang tengah rancak berbual. 'Aku' menuangkan air sirap ke gelas kosong sebelum melabuhkan duduk di bangku kecil itu. Aku hanya pandang 'mereka' berdua dengan fikiranku bersirat dengan macam-macam persoalan.

"Of course la ibu. Bunga ros ni ada keistimewaan sendiri tau di hati adek. Adek suka dan adek berharap sangat suatu hari nanti ada orang sudi hadiahkan adek bunga ros. Tapi adek tak nak sekuntum, adek nak berpuluh-puluh kuntum."

'Ibu' menggeleng dengan angan-angan 'aku'. Gelas berisi air sirap dicapai lalu diteguk sehingga separuh gelas. 'Aku' capai goreng pisang panas itu lalu disumbat ke mulut.

"Amboi demandnya diaaa. Kenapa tak cakap nak beribu-ribu kuntum?"

'Aku' tergelak. Tahu sangat ibu sedang menyindir.

"Tak boleh lah banyak-banyak ibu... kan botak kepala boyfriend adek tu, kalau adek request macam tu. Silap-silap hari bulan, habis pupus spesis bunga ros ni. Tak nak lah adek jadi kejam macam tu. Kita kena sayang alam flora dan fauna ni ibu." balas 'aku' sebelum teguk air.

"Amboi dia... habis masuk topik sayangi alam sekitar pulak. Adek dah ada steady boyfriend ke?"

"Uhuk! uhuk!" Tersedak 'aku'. Cepat-cepat 'ibu' menepuk bahuku.

* * *

"Adek?" Terasa bahuku disentuh seseorang membuatkan aku tersentak dari 'duniaku' sebentar tadi.

Aku berpaling. Along dengan muka risaunya sedang mengamati dan menanti jawapan dariku.

"Adek, okay?" tanyanya perlahan. Bahuku disentuh lembut.

Aku memalingkan semula kepada 'aku' dan 'ibu' yang aku lihat tadi tapi semuanya sudah tiada. Semuanya kembali seperti apa yang aku lihat sebelum ini, hanya ada bangku yang sudah berlumut dan pasu-pasu bunga yang terbiar.

"Kenapa ni?" tanya Along sambil melihat ke arah yang sama denganku. Cuma sekejap saja, dia kembali menoleh kepadaku.

"Tadi...adek... adek nampak..." Aku tak terus menyambung, aku takut kalau apa yang aku bagitahu Along, dia tak akan percayakan aku. Dan mungkin juga dia akan menganggap itu cuma imaginasiku sahaja.

"Adek nampak apa?" soal Along setelah itu, lembut dan lain sungguh dengan tanggapanku.

"Adek nampak... ibu. Adek juga nampak adek. Kami tengah berbual dekat situ," ujarku sambil tunjuk ke arah bangku yang berlumut dan berkulat itu.

Along terdiam selepas itu. Mukanya berubah sedikit keruh. Tangannya yang berada dibahuku dijatuhkan. Lihat Along begitu, aku rasa sedih. Aku rasa macam Along tak percaya dengan ceritaku.

"Along rasa adek reka cerita ke?" soalku terus. Aku mendongak sedikit, mencari muka Along.

Along tersenyum nipis, kepalanya digeleng perlahan.

"Along tahu hari ini akan tiba jua satu hari nanti."

Aku berkerut, tak faham. Apa maksud Along tu? Macam ada rahsia besar saja.

"Maksud along?" tersekat-sekat aku bertanya. Takut pula aku.

"Mungkin apa yang adek nampak tu sebahagian dari kenangan manis adek dengan arwah ibu."

Entah kenapa, aku lega dengan jawapan Along.

"Adek akan ingat semuanya nanti, kan along?"

Dia menggariskan senyuman kecil. Kepalanya dijatuhkan sedikit.

"Insya-Allah adek akan ingat. Along tahu adek akan kuat untuk hadapi semua tu nanti. Dan along juga kena bersedia untuk hadapi hari tu."

Berkedut semula dahiku.

"Maksud along?"

"Maksud along, along kena bersedia dari sekarang untuk jawab setiap soalan adek kalau adek tanya along apa-apa yang berkaitan dengan masa lalu. Along yakin suatu hari nanti adek akan ingat semula dan along cuma harap kita sama-sama kuat untuk terima semua tu." Along pandang aku dan aku pandang along.

Ada sesuatu sangat dalam ayat along tu. Tapi, apa? Tiba-tiba teringat amaran dari Bella tempoh hari. Macam lebih kurang sama maksud tersiratnya. Adakah semua itu sesuatu yang menakutkan aku?

"Along..."

"Abang, jom lah naik dulu," teriak Kak Long Izara dari dalam rumah.

Aku dan Along sama-sama berpaling. Kak Long sedang melambai-lambai ke arah kami. Bila masanya Kak Long masuk ke dalam rumah pun aku tak perasan. Nampak sangat bukan sekejap aku layan 'drama aku dengan ibu' tadi.

"Jom kita masuk dulu. Lagipun adek tentu rindu nak lihat rumah kita kan? Jom. Kita bersih dulu rumah kita cantik-cantik macam sebelum ni. Nanti ada masa terluang, kita ziarah kubur ibu, ayah dan achik ya?" Along tarik tanganku dan membawa aku ke rumah keluargaku

Alhamdulillah3. Siap juga bab ni. Agak sedikit beremosi untuk jadi Malihah. Nak sambung tulis tu, kena cari 'feel' tu dulu baru boleh mnulis dgn baik. InsyaAllah. Maafkan saya andai ada kesilapan dan kesalahan dlm mghasilkn naskah ini. Sesungguhnya byk lagi yang sy perlu belajar cara utk mghasilkn satu crita yg 'smooth'. InsyaAllah, pelan2 kayuh. =) Tq to all the readers. AJIB 2.0.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience