Bab 7 : AJIB 2.0

Romance Series 507856

Bab 7

~Memories are always special. Sometimes we laugh by remembering the days we cried, and we cry by remembering the day we laughed. That's life!~

Aku mencari tempat yang lebih selesa untuk bercakap-cakap dengan Dr. Dzharif. Kebetulan pula ada buaian kayu yang tidak berpenghuni terletak elok dibawah pokok gajus atau lebih dikenali sebagai jambu golok di kalangan orang Terengganu. Jadi aku memilih untuk ke sana dan Dr. Dzharif mengikut ku dari belakang. Aku memilih duduk di buaian kayu dan Dr. Dzharif pula memilih untuk mengisi ruangan kosong di bangku kayu yang ada di situ.

"Dr. buat apa dekat sini?" tanyaku setelah masing-masing mengambil tempat.

Dia pandang aku sejenak sebelum melarikan pandangannya ke arah lain.

"Saya tak boleh ada dekat sini?" Lagi dia mengulangkan soalan yang sama. Cuma bezanya kali ini dia seperti berkecil hati dengan soalanku.

"Bukan tu maksud saya Dr... saya cuma jadi tertanya-tanya kenapa Dr. boleh ada dekat sini sedangkan saya tahu Dr. tengah sibuk dengan thesis Dr.," ujarku, serba salah pula.

"Thesis saya dah siap," sampuknya senada.

Aku pandang dia, tak percaya.

"Dah siap? Jadi Dr. dah tak perlu ke sana lagi?"

"Saya masih ada urusan dekat sana dan saya perlu ke sana lagi cuma berkenaan dengan thesis tu... saya dah settlekan secepat mungkin." Sambungnya lagi.

Aku diam, tak tahu nak balas apa pula. Sejujurnya aku kaget bila dia katakan yang urusan tesisnya sudahpun selesai sedangkan aku tahu tesis yang dia perlu siapkan itu bukannya main-main. Benda tu berkaitan dengan masa depannya kut.

"Lagipun ini bukan kali pertama saya datang ke sini."

Aku terkejut dengan penyataannya.

"Bukan kali pertama? Maksudnya Dr. pernah datang ke sini? Ke kampung saya ni? Bila?" ajuku bertalu-talu.

Dia angguk. Sekejapan dia pandang disekeliling kami. Keramaian tetamu yang datang ke majlis persandingan Bella dan Kanda nampaknya tidak menganggu perbualan kami. Tapi aku sempat perasan ada mata yang curi-curi pandang ke arah kami. Tak tahulah curi pandang aku atau pandang Dr. Dzharif. Aku cuma senyum jika ada yang bertentang mata denganku. Tak nak diriku dicop sombong pulak nanti.

"Saya ada datang ke sini sebelum awak dengan kawan-kawan awak fly ke Ireland dulu. Ada beberapa urusan yang perlu saya selesaikan sebelum ke sana, sebab tu saya ke sana agak lewat berbanding awak dengan yang lain. Saya juga pernah datang ziarah kubur ayah, ibu dan abang awak setiap kali saya balik ke Malaysia. Biasalah, macam yang awak tahu sesekali saya kena juga balik, saya rindukan Jelita Malaiqa saya."

'Jelita Malaiqa? Nama tu... ya, aku ingat. Itu nama seseorang yang sangat istimewa dihati seorang Dr. Dzharif. Dia sendiri pernah mengaku yang dia sudah mempunyai seseorang yang bertahta dihatinya'. Fikirkan itu hatiku terasa pedih. Rasa sakit terhiris. Kenapa perlu rasa macam ni? Aku cemburu?

"Jelita Malaiqa? Cantik namanya," gumamku perlahan, sekadar menutup rasa dihati. Kenapa dengan aku ni?

Dr. Dzharif senyum. Dia tarik nafas dalam sebelum menyambung.

"Indeed. Beautiful as its name. That's why I love her so much."

Auchh, hatiku sakit. Tak pernah aku dengar Dr. Dzharif meluahkan kalimah yang satu itu kepada mana-mana perempuan pun sebelum ini hatta kepada aku sendiri. Dan aku mengaku yang aku cemburu.

"Bertuahnya dia kan?"

Dr. Dzharif angguk perlahan dan menyambung,

"Insya-Allah nanti saya kenalkan awak dengan dia. Dia pun dah tak sabar nak kenal dengan awak."

Aku hanya senyum hambar. Dia memandangku tunak seperti ada yang ingin diluahkan lagi tapi mungkin sebab keadaan yang tidak seberapa sesuai, dia diamkan saja. Senyap seketika antara kami.

"Awak okay?" Soalan yang biasa diajukan kepadaku sejak dari dulu. Dulu mungkin aku tak dapat menangkap apa yang ada disebalik soalan itu tetapi sejak aku tahu dia doktor yang merawatku ketika aku kemalangan dulu, jadi aku tahu apa maksud 'okay' itu.

Aku angguk, senyumku menjadi makin hambar.

"Alhamdulillah, saya okay. Terima kasih Dr. sebab Dr. selalu ambik berat pasal saya. Insya-Allah, saya 'always' okay." Aku membalasnya, sedikit berjauh hati. Entah kenapa, aku rasa sudah tiba masanya untuk aku mulakan penerbanganku sendiri tanpa dikelola oleh orang lain termasuk abang-abangku dan Bella. Aku bukannya insan yang mudah melupakan diri tapi sebaliknya aku juga perlukan kebebasan untuk membuat keputusanku sendiri.

"Alhamdulillah... lega saya dengar awak kata awak okay." Dia membalas tapi jawapan itu kedengaran kendur di telingaku. Dapat aku agak yang dia sebenarnya tidak percaya dengan jawapan ku.

"Tapi... kalau ada sesuatu yang membuatkan awak tak okay, just inform me... immediately saya akan sampai dan akan ada untuk awak. Promise me?"

"Insya-Allah Dr., I will."

Dia senyum nipis sambil mengalihkan matanya dengan tatapan kosong. Aku pula menekur sambil bermain dengan jari-jariku. Tiba-tiba rasa kekok menyelinap masuk ke ruangan yang ada di antara kami.

"Dr...."

"Emm?" Dia menoleh ke arahku, angkat kening.

"Kenapa Dr. ada dekat sini?" tanyaku lagi untuk kali yang ke tiga dan aku sangat mengharapkan dia boleh bagi aku jawapan yang pasti untuk aku selesaikan teka-teki yang ada dalam benakku tatkala ini. Kalau dia sudah ada Jelita Malaiqa, kenapa aku rasa dia layan aku seperti aku ini insan teristimewa dihatinya? Ke aku yang perasan lebih-lebih?

"Awak rasa?" soalnya lagi tanpa alihkan matanya dariku.

Aku kemam bibir lagi. Tangan rasa sedikit berpeluh. Aku cuba kawal resahku dengan tatapannya. Aku tak suka macam ni. Ini menampakkan yang aku ni macam bodoh depan dia! Cik jantung dah mula buat perangai. Tak reti nak duduk diam, duk dup dap dup dap je dari tadi.

"Dr. D, Dr. dah makan ke belum ni?" Sekonyong-konyong itu Bella datang mencelah antara kami. Kami berdua menoleh dan aku hembus nafas kelegaan. Bella dah menyelamatkan aku dari terperangkap dengan soalan Dr. Dzharif.

* * *

Malamnya majlis tahlil diadakan. Menurut cerita Along, nenekku telah pergi menemui sang pencipta genap sebulan selepas kejadian menimpa keluargaku. Nenekku pergi kerana serangan jantung. Sungguh jauh dari sudut hatiku, aku terkilan dan sedih bila mengetahuinya tapi Along dan Angah memujuk dan menguatkan semula semangatku. Katanya yang pergi tetap akan pergi, yang ada tetap perlu teruskan kehidupan macam biasa. Kita patut gunakan peluang yang ada untuk tingkatkan amal ibadat kepada-Nya.

Berbalik kepada majlis tahlil, disebabkan kenduri Bella dan Kanda berlangsung di rumah Pak Long, jadi Pak Long menawarkan majlis tahlil juga diadakan di rumahnya. Dia tak nak susahkan aku adik-beradik.

Sepanjang majlis tahlil aku sakit kepala. Sakit berdenyut-denyut sampai rasa macam tak sabar nak berjumpa dengan bantal yang gebu lagi empuk. Aku mahu tidur dan rehat saja walaupun majlis tahlil masih berlangsung. Aku jarang sakit kepala dan mungkin kali ini aku tewas sebab kepenatan. Tubuhku penat, baru pulang dari Ireland terus sibuk mengemas dan membersihkan rumah pusaka kami yang telah lama ditinggalkan dan mentalku juga penat, penat menanggung kerinduanku kepada yang telah tiada.

Berkali-kali Bella meminta aku berehat di dalam bilik tidur pengantinnya sementara menanti sakit kepalaku hilang. Kanda juga desak aku perkara yang sama. Sudahnya aku mengalah, aku perlukan tidur walaupun seketika bagi menghilangkan rasa ini. Nak balik ke rumah terus, rasa macam tak patutlah pula. Lagipun semua orang masih disini.

'Maafkan aku, Bella. Aku dah merasmikan dulu bilik pengantin kau!' desisku sebelum aku betul-betul hilang dalam lenaku beralaskan cadar pengantin yang dihiasi cantik.

Jam 12 tengah malam, aku terjaga. Hanya lampu tidur di penjuru katil pengantin sahaja terpasang. Aku bangun dari perbaringan, kepala yang masih berdenyut aku picit perlahan. Sekeliling bilik pengantin itu aku pandang.

'Aku dekat mana ni? Kenapa rasa macam aku pernah ada dalam bilik yang cantik macam ni ya?' Aku ajukan soalan kepada diriku sendiri. Rasa macam dejavu pun ada. Aku mengamati lagi.

'Oh, ni bilik pengantin Bella dengan Kanda. Habis tu, mana pengantinnya?' Aku bermonolog lagi. Pelik pula aku rasa. Dah kenapa diorang tak kejutkan aku? Lama pulak tu aku tidur.

Aku berdeham, tekak terasa haus. Aku bangkit dari katil yang cantik itu untuk ke dapur sambil tertanya-tanya dimanakah pasangan mempelai itu. Buka pintu bilik, semuanya sudah bergelap. Hanya ada sedikit cahaya dari dapur. Bunyi suara-suara bercakap tapi aku tak pasti siapa sebab tidak jelas butir percakapannya. Mungkin kerana jarak, jadi aku tidak dapat dengar dengan jelas. Aku menapak ke arah situ dengan berhati-hati, takut terpijak anak cucu Pak Long yang aku tahu pasti terbongkang lena di ruang tamu.

Terasa tekakku kian gatal dan perit menandakan yang tekakku betul-betul tengah mengidam air putih sekarang ni. Lain macam rasa hausnya. Aku mengendap disebalik dinding pemisah antara dapur dengan ruang tamu. Dengan cahaya cerah dari dapur, aku dapat lihat dengan jelas muka serius Pak Long dan Mak Ngah sedang berkata sesuatu kepada Along. Sesekali Along menggeleng, menjawab soalan yang diajukan.

Aku kian mendekat, mahu curi dengar perbualan mereka berdua biarpun aku tahu perbuatanku ini salah. Tapi aku ke tepikan rasa bersalah itu, bila hati meronta mahu tahu apa yang dibincangkan oleh mereka. Entah kenapa, firasatku menyatakan hal itu ada kaitan dengan aku. Tapi apa?

"Jadi bila along nak terus terang dengan adek?"

Aku tergemap. Langsung kaki pasak di tempat aku berdiri bila terdengar namaku disebut.

'Mereka berbincang pasal aku,' Tepat tekaanku.

Along diam, tidak membalas pertanyaan Pak Long.

"Dah 5 tahun, long. Along rasa adek belum cukup kuat lagi ke untuk tahu semua tu? Along nak tunggu sampai adek betul-betul serius dengan doktor kacak tu dulu ke baru nak bagitahu adek?" Mak Ngah pula menyoal Along.

Aku terbungkam.

'Ada apa-apa yang aku tak tahu dan perlu tahu ke ni? Pasal apa? Doktor kacak, siapa pulak doktor kacak tu? Dr. Dzharif ke?'

"Along... benda ni bukan boleh dibuat main long... Ini melibatkan hukum hakam Allah. Kita tak boleh dibuat main dengan hukum hakam ni, long..." Pak long pula mencelah.

Bunyi sudu berlaga dengan gelas. Along sedang mengacau air minumannya.

"Along tahu Mak ngah, Pak long... Along dah tanya dekat pejabat agama dulu sebelum buat keputusan tu. Tahun depan, cukup 6 tahun. Kalau adek masih tak ingat apa-apa, along sendiri akan jumpa dia dan settlekan benda ni." Itu jawapan Along.

''6 tahun? 6 tahun dari kemalangan tu ke? Eh kejap, 'dia'? Siapa dia tu?'

"Dia tahu ke adek dah balik?"

Mak Ngah menyoal berkenaan 'dia' membuatkan aku makin berkerut. Nama 'dia' tu yang menarik rasa ku untuk lebih tahu. Aku lihat Along menggeleng.

"Along tak tahu dia ada dekat sini atau pun tak. Kalau dia ada pun, along tak kan izinkan dia dekat dengan adek walaupun apa pun yang jadi!"

Zapp! Jantungku terasa seperti terpanah sesuatu dengan butir bicara Along yang sangat tegas itu. Aku berdebar, kencang.

'Apa... apa maksud along tu?'

"Astagfirullah-Al-Azim along... tak baik kamu cakap macam tu. Kamu lupa dia dengan adek tu siapa?" Pak Long menegur seraya beristighfar panjang.

"Along tak lupa Pak long tapi apa yang dia buat tu along langsung tak boleh terima. Along masih rasa sakit. Angah masih rasa perit. Kalau bukan adek macam tu, tak mustahil adek juga rasa apa yang along dengan angah rasa. Along boleh maafkan dia tapi bukan melupakan apa yang dah jadi. Walaupun apa pun alasan dia buat macam tu, bukan itu caranya untuk dia selamatkan keadaan. Along tak akan serahkan adik along lagi. Itu janji along pada diri along sendiri." Along mengendurkan nada suaranya bila tiba dipenghujung ayat.

Aku rasa tersentuh dengan apa yang Along cakapkan biarpun aku tidak tahu apa-apa. Aku rasa disayangi. Aku rasa selamat di bawah perlindungan Along. Aku rasa aku boleh bersandar di bahu Along andai kata aku perlukan bahu untuk menangis. Along menjalankan tugasnya sebagai seorang abang yang baik untuk adik-adiknya. Itu aku yakin.

'Tapi masalahnya, dari apa aku perlu rasa semua itu? Dan kenapa? Hidup aku baik-baik saja kan selama ni?'

"Sampai bila, long?" Pak Long pula ajukan soalan kepada Along. Menggeleng dia dengan keputusan Along.

"Sampai dia sendiri yang menoktahkan semuanya. Dia sendiri yang serahkan adek kepada along. Macam mana dia ambil adek dulu, macam tu juga dia perlu buat untuk serahkan kembali adek kepada kami." Along berbalas dengan yakin.

"Kalau dia mungkir janji?"

Along diam. Hanya dengusan nafas yang laju sahaja kedengaran.

"Along tak takut ke kalau adek betul-betul ada hati dengan Dr. Dzharif tu?"

Dadaku kembali berdetak hebat bila nama Dr. Dzharif disebut.

"Dek?" Bella datang menegurku. Aku tersentak.

"Kau buat apa dekat sini dek? Kau dah okay ke?" soal Bella lagi sekaligus membuatkan tiga pasang mata yang tengah berbincang di dapur itu terhenti dan menumpukan matanya kepada aku dengan Bella.

Alhamdulillah3.. Siap juga bab ni. Sedikit sebanyak bab ni agak beremosi. Maafkan saya. Sikit lagi ye si Jebat muncul. Kepada team Jebat, maafkan mak ye nakkkk... sebab lambat munculkan si Jebat. hahaha.. Kepada team Dr. D. Dr. D balik Ireland dulu ya? Nanti dia balik lagi. =) Tq to all the readers. 300k views tak aci kan sbb bcmpur dgn yg lama punya... hihi tapi apa2 pun tq bebanyak ya smua. AJIB 2.0

Share this novel

Wan Hamilah
2023-06-23 22:40:48 

chapter 6 x de ye?

norsila
2023-05-26 18:01:11 

huuu memang trnanti2 bad sterusnya..kmunculan jebat dn cirta sterusnya..hehe


NovelPlus Premium

The best ads free experience