Bab 3 : AJIB 2.0

Romance Series 507823

Bab 3

~You are never too old to set another goal or to dream a new dream.~

Perjalanan dari Dublin, Ireland ke Malaysia mengambil masa sekurang-kurangnya 14 jam masa perjalanan. Sebelum tiba ke Kuala Lumpur International Airport (KLIA), kami akan ditransit di Dubai International Airport selama 4 jam. Dalam tempoh masa yang singkat itu, sempatlah kami bertiga berpusing-pusing di sekitar kota mewah itu untuk dijadikan sebagai kenangan di masa depan biarpun hari sudah mahu melabuhkan tirainya. Lagipun bukan selalu kami berpeluang untuk menjejak kaki di kota yang dikatakan sangat mewah ini kalau tidak ada keperluan lain. Cukup masa untuk berpeleseran di sekitar kawasan Dubai, kami meneruskan kembali perjalanan pulang ke Malaysia yang masih berbaki lagi 7 jam masa perjalanan.

Penat bersiar-siar di sekitar kota Dubai tadi membuatkan aku terasa penat dan mengantuk. Sementelah pula sejak dari Dublin lagi aku tidak dapat melelap mata walaupun sekejap, dan kini barulah terasa kantuknya. Tanpa berlengah lagi, aku pejamkan mata. Berehat dan menanti lena datang menjengah. Sebelum aku betul-betul hilang dalam lenaku, telinga lintahku sempat terdengar orang sebelahku bersembang dengan suaminya.

"Do you think, everything gonna be fine Kanda?" tanya Bella kepada suaminya, berbisik agar tidak mengangguku. Mungkin Bella dan Kanda merasakan aku sudah pun lena hakikatnya aku masih dapat mendengarkannya dengan jelas. Bella duduk disebelahku dan Kanda pula disebelahnya.

"Insya-Allah. Kita doa banyak-banyak. Tawakal kepada Allah. Allah tahu kita semua dah lakukan yang terbaik untuk lindungi adek. Dah tiba masanya untuk kita bagi adek kebebasan. Kebebasan untuk adek terbang sendiri cari dahan yang mana dia rasa, dia perlu untuk berpaut." Kanda memujuk sang isteri dengan penuh bahasa sasteranya.

Kalau bukan sebab aku sudah mengantuk dan tidak larat untuk mengangkat kelopak mata, sudah tentu aku bagi rolling eyes dekat Kanda. Tak habis-habis dengan drama swastanya. Kadang-kadang aku rasa Kanda ini layak jadi pelakon teater dari jadi doktor. Ayat sasteranya tu pekat sangat kot!

"Tapi dinda takut kalau adek sakit lagi. Kanda pun tahu apa yang jadi pada adek tu sangat-sangat menyakitkan hati dinda. Dinda tak sanggup kalau adek sekali lagi terpaksa hadap benda tu."

'Hah, dah kenapa Bella cakap aku macam tu? Bella takut aku accident lagi ke macam mana? Emm Bella ni... ada saja nak buat aku rasa terharu...'

"Shyy... jangan cakap macam tu dinda... Bersangka baik dengan Allah. Allah tidak pernah membebankan hamba-Nya melainkan bersesuaian dengan kesanggupannya. Allah uji tanda Allah sayang. Dinda tahu kan?"

"Tahu... tapi dinda tak bersedia lagi kanda. Macam mana kalau apa yang dinda tak nak tu muncul depan mata?"

Bunyi Kanda menghela nafas panjang sebelum membalas pertanyaan isteri kesayangannya. Aku curi dengar lagi.

"Kalau benda itu berlaku pun, siapa kita nak menghalang dinda? Walaupun kita cuba nak menafikan, perkara tu tetap sama. Tetap terikat kemas melainkan ada yang melonggarkannya. Dinda kena ingat, tak semua apa yang kita nampak dengan mata tu betul dan tak semua yang kita tak nampak tu salah. Kadang-kadang mata kita pun boleh menipu."

Tanpa sempat dengar balasan Bella, aku sudah pun hilang dalam lenaku. Aku bermimpi yang aku masih di bumi Ireland. Ireland, kota inggeris yang sangat cantik dan cukup istimewa di mataku. Kota yang terpahat beribu kenangan manis dan pahit sepanjang aku berada di sana. Ireland mungkin kurang popular dikalangan pelancong kerana kedudukannya yang terpisah dari tanah besar eropah yang lain seperti Switzerland, Itali dan lain-lain. Sedangkan Ireland juga ada keistimewaannya yang tersendiri dan terdapat banyak tempat yang boleh dijadikan kawasan untuk melancong seperti Cliff of Moher di Co. Clare. Pantai Bray yang cantik. Sligo, sebuah bandar di tepi laut dan uniknya ada sungai di dalam bandar itu.

Bukan itu saja, ada juga Glendalough di Co. Wicklow. Tempat yang sangat cantik dan menjadi tempat yang wajib dikunjungi sekiranya ke Ireland. Aku masih ingat lagi ketika kali pertama aku dibawa ke sana oleh keluarga Rindu Asiah Nafeesa dan Dr. Dzharif. Kami berkelah di situ. Makan nasi lemak ikan bilis dan sandwich sardine buatan air tangan umi Feesa membuatkan aku teringatkan masakkan ibu. Tentu masakkan ibu juga sedap seperti itu kan? Betapa ruginya aku tidak ingat semua itu...

Glendalough menjanjikan satu pemandangan yang sangat cantik dengan adanya bukit-bukau, tasik yang luas saujana memandang dan hutan menghijau bakal memukau mata sesiapa sahaja yang memandangnya. Diibaratkan seperti sebuah lukisan yang sangat sempurna dengan adanya semua itu. Kuasa ciptaan-Nya, siapa yang boleh menidakkan kesempurnaan itu?

Selain dari berkelah aku mengambil kesempatan untuk ber'jungle tracking' di lereng bukit sambil menikmati keindahan tasik bersama Dr. Dzharif dan Feesa. Sungguh serene! Sepanjang kami berjungle tracking, aku gunakan kesempatan itu untuk berkenalan dengan lebih mendalam dengan doktor muda itu dan berkongsi serba sedikit mengenai ilmu perubatan. Sesekali kami tergelak bila ada topik yang mencuit hati kami. Kata Dr. Dzharif, aku amat perlukan tempat-tempat sebegini untuk merehatkan otakku setelah berpenat lelah dengan dunia belajarku. Katanya lagi, tak salah aku memilih Ireland sebagai tempat untuk aku menyambung pengajianku ke sini kerana bumi Ireland ini sangat mendamaikan jiwa yang dahagakan ketenangan.

Bila sebut Ireland, terus aku teringatkan muka suram dan keruh Dr. Dzharif sewaktu mengucapkan selamat tinggal kepadaku di Dublin Airport tadi. Bermacam-macam pesanan dia titipkan sebelum aku masuk ke balai pelepasan. Terakhir sekali, dia sempat menghulurkan sekotak hadiah kecil untukku.

Dan aku bermimpi, bermimpi bertemu dengan Dr. Dzharif seminggu sebelum kepulanganku ke Malaysia.

* * *

"Ya. Kita dah kenal sebelum ni."

Biji mataku meluas.

"Kita dah kenal sebelum ni, Dr.? Kenal yang macam mana tu Dr.? Boleh Dr. ceritakan?" Terus aku menyoalnya dengan perasaan teruja. Info baru, mestilah aku makin teruja nak tahu lebih banyak lagi, kan?

Dia senyum segaris, sepotong kek marble diambil lalu dimasukkan ke mulutnya dan dikunyah perlahan. Ralit pula aku memerhatinya makan. Macam ada aura yang tersembunyi. Dalam memerhati, aku menanti jawapannya. Tapi inilah Dr. Dzharif yang aku kenal selama kami berkawan. Dia tidak akan terus berterus-terang sebaliknya dia bagi aku masa untuk aku berteka-teki terlebih dahulu. Lebih kurang macam, dia bagi masa untuk otakku berfikir dulu sebelum dia memberiku jawapan.

"Awak rasa, kita memang dah kenal ke sebelum ni?" Dia memulangkan semula soalanku.

Aku berkerut. Bibir bawah aku gigit sambil otak ligat cari jawapan. Tak lama kemudian aku ketawa kecil. Tiba-tiba rasa malu pula dengan pertanyaan aku tadi.

'Macam mana pulak kami boleh kenal sebelum ni sedangkan dia sudah bertahun menetap dekat sini dan aku pula baru saja berkenalan dengannya 2 tahun lepas, kan? Macam tak logik pula. Hish, apa lah yang aku mengarut ni!'

"Kenapa awak gelak?" soalnya hairan.

"Em... tak ada apa lah Dr., cuma rasa macam pelik pulak bila saya tanya Dr. macam tu. Macam manalah saya boleh terfikir yang kita ni dah lama kenal, padahal kita baru je 2 tahun kenal. Kan Dr.?" Aku menunduk selepas itu, termalu sendiri.

Dia mengemam bibir dan termangu seketika sebelum kembali menyoalku.

"Awak masih ingat tempat awak terima rawatan sebelum ni?"

Aku angguk berulang kali. Haruslah aku ingat. Tempat pertama yang aku kenal sejak dari hari aku buka mata selepas dari kemalangan itu ialah Putra Private Medical Hospital. Hospital swasta yang termahal dan termewah di Malaysia. Sebenarnya aku juga hairan, kenapa aku tidak dimasukkan ke hospital awam biasa? Sedangkan kalua ikutkan kecederaan yang aku alami itu bukan biasa-biasa. Kata along dulu, harapan untuk aku sedar sangatlah tipis sebenarnya tapi berkat, doa dan sokongan dari semua orang, akhirnya aku buka mata selepas 2 bulan aku beradu panjang.

"Dekat situlah kita kenal sebenarnya." Dr. Dzharif menyambung sambil tersenyum.

Aku sekali lagi tergamam dengan jawapannya. Dr. Dzharif, aku pandang lama. Senyum yang bergayut di bibirnya mula memudar. Riak wajahnya juga tampak keruh, seolah-olah ada kisah pahit disebalik kisah perkenalan kami itu. Dia berdeham dan meraupkan wajahnya sebelum kembali membalas pandanganku dengan tatapan lembutnya.

"Awak ingat tak nama doktor yang in charge case awak dulu?"

Giliran aku pula termangu. Dahiku berkerut, cuba mengorek kembali sejarah 5 tahun lepas.

'Apa nama doktor tu ya?' Cuba dan cuba lagi tapi kosong. Tiada satu pun yang terlintas di kotak fikiranku. Aku tak ingat, bukan kerana impak dari kejadian itu tapi sebab aku blank. Mungkin sebab ketika itu aku baru sahaja 'bangun' dari tidur, jadi benda-benda macam tu langsung tidak menarik minatku untuk dikenang.

'Uh Malihah, lepas ni kau kena ingat. Kau kena kenang setiap usaha baik orang di sekeliling kau! Diorang dah banyak taburkan budi untuk memastikan kau kembali sihat dan pulih seperti biasa. Ingat tu!' Sempat aku marahkan diri sendiri dengan sikap sambil lewaku yang satu itu.

"Doktor yang rawat awak dari hari pertama awak dimasukkan ke sana sampailah hari awak buka mata ialah Dr. Ahmad Dzharif. Saya, doktor awak." Sambungnya bila lihat aku seperti tiada jawapan kepada soalannya tadi.

Terus aku pandang dia, terkedu lagi. Dia menatapku tepat bagaikan sudah bersedia untuk menerima reaksiku pada jawapannya. Lihat dia menatapku begitu, jantungku bekerja keras lagi. Bermacam-macam rasa mula timbul. Rasa aneh. rasa selesa. Rasa tenang. Tak hanya rasa itu sahaja, ada juga persoalan-persoalan baru mula merewang-rewang difikiranku.

'Kalau dia yang merawatku, bukankah itu bermakna kami sudah kenal sebelum aku sambung pengajian dekat sini? Jadi kenapa dia berpura-pura tidak kenal aku semasa pertemuan kami kali pertama di Drogheda, 2 tahun lepas?'

"5 tahun lepas, setiap hari saya tak akan lepaskan peluang untuk lihat perkembangan awak. Setiap respon positif yang awak berikan, sangat-sangat bermakna untuk saya," ujarnya dengan bibir yang melengkung nipis. Mungkin dia sedang membayangkan semula saat itu.

Dup dap dup dap lagi irama jantungku. Entah kenapa aku rasa Dr. Dzharif sebenarnya sedang meluahkan perasaannya kepadaku pada saat dan ketika ini. Atau, ini cuma perasaan aku sahaja?

"Macam mana saya boleh ada dekat sini, sebab utamanya adalah awak. Sebab awak ada dekat sini, maka saya ada dekat sini." Sambungnya.

Mendengarkan itu maka makin berkompanglah cik jantungku. Sampai aku rasa jantung aku dah mogok nak melompat keluar dari badan aku sekarang ni. Jantung, please behave!

"Saya sanggup lakukan apa saja untuk pastikan awak sentiasa 'okay'. Dan saya tahu hanya dengan cara yang macam ni saja, saya mampu jaga awak. Bagi saya, bila awak depan mata saya itu lebih melegakan hati saya daripada awak terus hilang dari pandangan saya. Awak boleh anggap saya gila, saya tak kesah. Janji saya lega bila awak ada dan berdiri seperti sekarang depan mata saya."

Lagi aku terkedu sehingga aku tak tahu apa yang patut aku balas dengan setiap luahannya. Dengan kebisuanku, dia senyum segaris. Tak nampak lebar seperti selalu tapi cukup untuk aku katakan yang dia lega kerana telah meluahkan apa yang perlu dia luahkan.

"Malihah..." Dia menyeruku.

Aku angkat semula pandanganku kepadanya. Dia pejam mata dan bergumam tapi aku dapat mendengarnya dengan jelas.

"If I was given the choice to keep you in the dark, I would. But I know, I can't do that."

Alhamdulillah3.. siap juga. Pendek je kan? Tak pe lah kan? InsyaAllah nti sy update lagi. Jebat dah tak sabar nk tggu Mimo sampai.. hahah.. Tq to all the readers. AJIB 2.0.

Share this novel

Wan Hamilah
2023-05-12 14:50:18 

lama nau menyepi...rindu dah ni...

norsila
2023-05-12 13:56:35 

huu tk sabar rasanya prtemuan jebat samo mimo..


NovelPlus Premium

The best ads free experience