Bab 18

Romance Series 3712

Cermin mata yang sudah 3 tahun dipakai itu ditanggalkan dan diletak di atas buku yang masih terkuak di ribanya. Ibu jari dan jari telunjuknya memicit lembut tulang hidungnya, meredakan sedikit keletihan pada mata tuanya itu. Sudah menjadi rutinnya, membaca selembar dua buku bergenre ilmiah sebelum melelapkan mata.

Buku setebal 304 muka surat, hasil penulisan Saiful Nang mengenai angan-angan mat Jenin itu sudah seminggu dibacanya. Kehebatan Saiful Nang mengupas mengenai mat jenin yang kebiasaannya dianggap contoh buruk oleh masyarakat Melayu, sebaliknya sang penulis mengangkat Mat Jenin sebagai seorang hero menarik jiwa veterannya untuk membaca.Bagi beliau angan seperti mat Jeninlah yang membangunkan sebuah negara. Malangnya kejatuhannya hanya disebabkan seorang PEREMPUAN. Pelbagai maksud tersirat yang terungkap disebalik perkataan PEREMPUAN itu, mungkin saja disamakan dengan godaan dunia.

Haruman yang menusuk rongga hidungnya, menarik perhatian Encik Alias untuk memandang isteri yang masih duduk di meja solek, sedang mengenakan losyen pada kedua belah lengannya. Bibirnya yang dihiasi kumis yang kian memutih itu tersenyum senget.

" Senyum je awak dari tadi saya tengok..seronok betul jumpa budak perempuan tadi." tegur Encik Alias.

Sapaannya disambut dengan tawa dari sang isteri tercinta. Puan Anis berdiri dan menuju ke katil, losyen Mustika Ratu yang disapu pada kulitnya sebentar tadi digosok lembut sehingga losyen tersebut diserap sepenuhnya ke dalam kulit. Dicapai buju comforter sutera yang terhampar di atas katilnya lalu diselak.

" Mestilah saya seronok bang.. saya ingat anak bujang saya tu hilang minat pada perempuan. Umur dah 30 tahun tapi tak berminat nak cari calon isteri."

Punggungnya dihenyak dan comforter tadi ditarik hingga ke paras perutnya. Pandangannya ditumpahkan pada wajah suami tercintanya itu.

" Mati-mati saya ingat Hanafi tu ada masalah.." suaranya yang girang kedengaran sedikit kendur.

" Masalah apa?" En Alias mengerutkan kening, dia kurang gemar kata-kata tergantung.

" Mana nak tahu dia tu sonsang..."

Saat itu Encik Alias tergelak besar. Tidak sangka imaginasi isterinya menyimpang begitu jauh sehingga boleh menyimpan persepsi sedemikian. Tergeleng-geleng kepalanya dengan sikap isterinya.

Jika orang yang tidak mengenali Puan Anis, pasti mereka kagum dan taksub dengan kejayaannya sebagai usahawan yang berkaliber. Hakikatnya, wanita ini masih seorang ibu. Sentiasa risau memikirkan anak-anak walaupun masing-masing sudah boleh menguruskan diri sendiri.

" Sampai ke situ pulak awak ye.."

Puan Anis meletakkan kepalanya ke bantal, comforternya ditarik ke dada lalu mengiring pada suaminya.

" Tapi tadi saya pelik tengok Una..dia macam takut-takut.."

Sekali lagi kening Encik Alias berkerut menambah kedutan pada wajahnya yang semakin dimamah usia itu.

" maksud awak..?"

" Entah..saya nak jelaskan pun tak tahu macam mana..macam ada sesuatu yang dia sembunyikan."

" Perasaan awak je tu. Saya tengok dia okay je..." Ucap Encik Alias. Bibir Puan Anis menyulam senyuman.

" Tapi bang saya suka pada budak perempuan tu bang..entahlah saya pun pelik. Selesa sangat bila berborak dengan dia." ucapnya sambil menggamit semula saat bertemu dengan Una. Bibirnya tersenyum lagi.

" Eh awakkan memang dengan semua orang awak ramah. Yang baru jumpa pun awak berbual macam dah kenal 10 tahun..!" seloroh Encik Alias sambil tertawa. Satu cubitan berbisa hinggap pada lengannya yang berlapik dengan pijama yang dipakai.

" Suka ye abang mengusik saya. kalau tak sebab bini abang yang ramah ni tak adanya abang terpikat. betul tak?"

"Mestilah...unik." sekali lagi tawanya bertamu membuatkan isterinya mengetap bibir.

" so bila nak masuk meminang? Tengok awak macam tak sabar sangat nak jadikan Husna tu menantu." Topik diubah agar tidak bertele-tele.

Bola mata Puan Anis menerawang.

" Hari tu ad Nafi datang butik, dia bagi cincin pada saya untuk merisik. Tapi tak pula dia beritahu saya bila nak datang tu." comforter dipelukannya diperkemas.

"Saya bila-bila pun boleh. Unfortunately...bukan saya yang nak kahwin bang...terpulang pada Hanafi. Saya sebagai ibu, hanya mendoakan yang terbaik untuk anak-anak saya." Sambungnya lagi.

Seingatnya, Hanafi tidak pernah menyatakan tarikh spesifik kepadanya. Kedatangan anak lelakinya tempoh hari sekadar membincangkan persiapan yang perlu dilakukan

Tingkah isteri dipandang tenang, kata-kata isteri dibiarkan tidak berbalas.

" Ah...lupa pula saya. Abang bila nak bersara? Kan Maira dan masuk company. apa salahnya abang bagi kepercayaan pada dia untuk uruskan syarikat. Abang pun bukan sihat sangat." Mulutnya masih belum puas membebel.

Sudah berbuih mulutnya menasihatkan suaminya, namun usahanya tidak berhasil. Lelaki itu masih lagi betah menguruskan perniagaan yang sekian lama diusahakan. Akhir-akhir ini kesihatan Encik Alias kian merosot faktor umurnya yang sudah lanjut.

Keadaannya ini menggusarkan Puan Anis untuk membiarkan suaminya terus-terusan membanting tulang menguruskan syarikat. Baginya apa salahnya menyerahkan empire perniagaan kepada waris seterusnya, dari terus menyeksa badan sendiri.

" Abang kuat lagi..lagipun masih banyak yang Maira kena belajar selok-belok pengurusan syarikat abang. Abang tak boleh serahkan bulat-bulat pada dia. Nanti haru-biru dibuatnya. " Tukasnya.

"Awak jangan risaulah..selagi abang jaga pemakanan, insyaallah tak ada apa-apa. Awak pun jangan terlalu ligat, lambat laun butik awak Maira juga yang perlu usahakan. Hanafi dah ada kerjaya sendiri, jadi mustahil dia nak tolong uruskan." Encik Alias memulangkan paku buah keras.

Butik Kerawang yang diusahakan oleh isterinya itu sudah lama bernaung dibawah syarikat Alias Corp, secara tidak lansung menjadi tanggungjawabnya juga untuk memastikan perniagaan isterinya itu berjalan lancar.

Puan Anis mengeluh. Sekali lagi usaha memujuknya gagal.

"Yelah..kalau itu yang abang rasa betul, saya ikutkan je. Tapi jangan dera anak dara saya tu." kerlingan dilempar.

" Ke situ pula awak.." Encik Alias tertawa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Lantas cermin matanya diletak pada meja kecil bersebelahan katilnya dan buku yang terkuak di atas ribanya ditutup. Matanya sudah mula layu, mahu menjemput lena.

SUBUH-subuh lagi telinganya sudah bingit dengan notifikasi whatssap yang masuk dalam telefon bimbitnya. Hingga tumpuannya semasa sembahyang subuh sedikit terganggu. Dia merengus seusai menyempurnakan ibadat. Cepat-cepat telekungnya dilipat dan digulung di dalam tikar sejadah kemudian diletak di atas tilamnya yang sudah siap dikemas rapi.

" Siapalah subuh-subuh ni kacau.." dia menggumam. Anak rambut yang melekat pada dahinya yang masih bersisa air wuduk itu diusap kebelakang lalu melabuhkan punggungnya. Telefon bimbitnya dicapai kemudian ibu jarinya menggesek skrin sentuh gajet tersebut.

"erk..banyaknya mesej..! Nak apa pula Hanafi ni." Keluhnya tatkala matanya tertancap pada nama pengirim mesej tersebut. Satu persatu pesanan dibuka dan dibaca.

selamat pagi una..dah bangun belum.

dah mandi?

dah solat subuh?

tak sabarnya nak jumpa awak lagi

kalau awak dah bangun balaslah sekejap mesej saya

i miss you so much...

Tidak semena-mena wajahnya merona merah, sebaik saja membaca mesej terakhir yang mengandungi 3 patah perkataan itu. Rindu? Sah lelaki ini sedang mabuk cinta. Una menekan simbol 'reply'.

Jari jemari runcingnya menaip dengan kelajuan sederhana dan ayat ditaipnya penuh.Tidak sama dengan para remaja kini yang lebih hebat menggunakan gajet, setiap pesanan mengandungi shortform disertakan pula dengan simbol comel-comel. Tidak sampai seminit mesej sudah boleh dibalas. Jauh bezanya dengannya yang diketegorikan golongan yang lebih gemar bercakap daripada chat melalui pesanan mesej. Lambat!

Baru bangun dan baru solat. Semua soalan awak saya dah buat..

Balasnya ringkas. Lalu melangkah ke meja soleknya yang hanya dilengkapi sikat, bedak compact, lip balm, dan minyak wangi dkny pemberi kakaknya sebagai cukup syarat. Tidak pula dia terfikir untuk menambah koleksi alat soleknya memandangkan dia tidak gemar bersolek. Rambutnya yang masih lembab disisir lembut, menghilangkan kekusutan rambut pendeknya itu.

Mesejnya dibalas lagi. Longlai saja langkahnya menuju kekatil. Telefon dicapai.

Owh..tapi awak tak buat satu lagi benda.

Keningnya berkerut.

Saya lupa apa?

Pesanan dibalas. Kini telefon digenggamannya direnung, tidak sabar menunggu jawapan dari Hanafi.

Ting! Cepat-cepat pesanan tersebut dibuka.

Awak tak buat MISS YOU TOO...hehehe

Bulat matanya tatkala diusik dengan ayat nakal sebegitu di pagi Isnin yang nirmala itu. Lantas bibir bawahnya digigit lembut. Jarinya lincah menekan satu per satu huruf yang terpapar di skrin telefon.

Saya nak siap-siap pergi ofis. Awak pergilah kerja.bye.

Butang send ditekan dan telefonnya dicampak ke tilamnya semula. Sebarang mesej yang masuk tidak diendahkan. Jika terus dilayan semakin naik lemak pula. Langkah terbaik ialah ABAIKAN.

Tanpa berbasa basi Una membuka almari pakaiannya, mencapai blouse biru muda dan seluar slack berwarna putih, lalu dihamparkan ke tilam. Sambil menyanyi kecil dia mula bersiap-siap seperti biasa.

" MORNING..!" Sapa jururawat bernama Zuraidah sambil menolak troli yang berisi fail-fail pesakit. Hanafi mengukir senyuman di bibirnya. Langkahnya yang baru saja diatur ke bilik mesyuarat itu terhenti seketika.

Tiada masalah baginya untuk meluangkan masa seminit dua. Waktu mesyuarat pun dijadualkan pada jam 9.30 pagi, jadi masih terlalu awal jika dia tercegat di dalam bilik mesyuarat ketika ini.

" morning..dah breakfast ke kak dah." Balas Hanafi dengan ramah.

Wanita yang sebaya dengan mamanya itu sekadar mengangguk. Wajahnya kelihatan agak keletihan. Tersentuh hati Hanafi, dia yang masih muda, kadang-kadang terasa hendak tercabut tulang belikatnya menghadap kes kecemasan setiap hari, inikan pula wanita yang sudah berusia ini.

" Nampak ceria je doktor Hanafi hari ni ye. Ada berita gembira ke nak share dengan akak?" Soal wanita itu tanpa segan silu.

" eh yeke nampak happy? Saya rasa biasa je..?" Semakin lebar senyuman dibibir Hanafi.

Wanita itu mengecilkan matanya, cuba mengorek sesuatu. " Ha ni mesti dilamun cinta ni..! Tengok muka pun dah tahu."

Kelu lidah Hanafi dengan tekaan mengena jururawat Zuraidah. Dagunya yang dicukur kemas itu diusap lembut dengan jarinya. Dia sendiri tidak pasti, terlalu jelaskah wajah dilamun cintanya ini?

" siapalah nak dekat saya ni kak dah...hidung tak mancung, hidung tersorong-sorong." Tukas Hanafi, merendah diri.

Bulat mata wanita itu.

" hish muka sekacak ni tak ada calon. Senang cerita jadi menantu kak dah la..!" Seloroh jururawat Zuraidah. Bertuah badan jika benar-benar doktor lelaki di depannya ini mahu menjadi menantunya.

Serentak itu Hanafi tergelak, ada saja ragam kak dah yang menceriakan harinya.

" huish tak apalah kak terima kasih offer tu..saya nak pergi meeting sekejap. Akak baru nak start shift atau nak habis?" Topik terus ditukar.

" Nak habis dah. Sekejap lagi ni nak balik la ni." Balas jururawat Zuraidah. Hanafi mengangguk.

" Patutlah muka nampak penat. Akak balik rehat cukup-cukup ye. Saya gerak dulu ye kak. Assalamualaikum.."

" Waalaikumussalam..." sejurus itu jururawat Zuraidah menyambung langkahnya menuju ke bilik locker untuk mengambil barang-barang sebelum berangkat pulang.

Dilamun cinta? Hanafi tertawa kecil. Kakinya mendaki satu per satu anak tangga, setiap derap langkahnya wajah Una muncul di benaknya, membuatkan senyuman dibibirnya melebar.

Selepas kejadian tempoh hari Una telah bersetuju untuk tidak menolak sebarang usaha yang ditunjukkan. Peluang yang diberikan sudah tentu tidak akan disia-siakan. Pelbagai perancangan sudah disediakan untuk menambah hati sang puteri tercinta. Just wait and see Noor Husna...you will be mine..!

BELUM sempat punggungnya mendarat di kerusi, suara Kak Maria sudah menjerit lantang dari mejanya membuatkan dia kembali berdiri. Terkocoh-kocoh wanita itu berlari anak ke arahnya dengan wajah cemas. Hembusan berat dilepaskan. Apa pula yang dimahukan wanita ini. Tidak cukup dengan helahnya tempoh hari, kali ini entah apa pula ulahnya.

" Husna..!Husna!" termengah wanita bertubuh padat itu sebaik sampai di mejanya. Tangannya menyelak rambut perangnya yang sedikit kusut itu.

"Erm..apa dia kak..."soal Una dengan nada malas. Di dalam department editorial, Kak marialah yang paling dijauhinya, disebabkan wanita itu suka mengambil kesempatan dan gemar meletakkan kesalahan kepada orang lain.

Sinetron sebabak itu diperhatikan oleh Hani dari mejanya, lantaran tidak dapat menahan perasaan ingin tahunya, pantas dia mendekati penyelianya itu.

" Hari ni photographer baru tu nak datang sini nak sain kontrak dengan company kita. kebetulan kau ada kerja luar kan harini..kau bawa dia sekali." arah wanita itu dengan lagak seperti bos. Wajah wanita itu dilihat dengan pandangan menjengkelkan Una. Huh meluat!

" Lah kenapa saya pula? Abang Syam mana?" Wajahnya didongak sedikit, mengaju pertanyaan.

" Dah lupa ke Husna...tu lah photographer yang ganti abang Syam. Takkan kau tak tahu abang Syam last minggu lepas. Dah alang-alang kau nak pergi temubual sekejap lagi, elok sangatlah bagi dia ikut." Terjuih-juih bibir yang dicalit dengan warna merah garang itu. Serentak itu Una menepuk dahi, dia benar-benar lupa!

"Aduhai..dah lah hari ni kena pergi temubual dengan orang Unicef." Keluhnya sambil kepalanya digaru-garu.

" Eloklah tu. Dia tunggu Husna dekat bilik mesyuarat. Sementara tu Husna teranglah serba-sikit apa yang perlu dia buat masa temubual tu nanti. Akak pun busy sikit hari ni. Banyak kerja nak kena buat." Kak Maria mula lagi dengan taktiknya untuk mengelak. Sejurus itu tubuh montoknya itu melenggang dengan senang hati ke bilik Tuan Marzuki, menyambung semula agenda yang terbantut.

Hatinya mula menggigit geram tatkala perasan senyum sinis di bibir perempuan gedik tersebut. Terasa meledak amarahnya. Kalau tidak mengenangkan dia sedang berada di tempat kerjanya, sudah lama Kak maria menerima habuan penyepak dari kakinya.

" Hish kak maria tu. Meluat betul saya. Dari hari tu dia suka pass kerja dia dekat orang. Yang dia duduk goyang kaki macam mam besar. Padahal dia pun makan gaji juga."

Terloncat Una ketepi, terkejut dengan kehadiran Hani disebelahnya. Sudah berapa lama agaknya pelajar ini memasang telinga perbualannya dengan Kak Maria sebentar tadi. Seraya dia merengus dengan wajah masam mencuka mengekspresikan rasa kesal yang bermukim di dada.

" dahlah pergi balik tempat awak. Saya nak pergi jumpa jurugambar baru tu." Bahunya ditepuk lembut oleh penyelianya.

Tanpa berlengah Una mengambil jurnal berkulit hijau pucuk pisang yang digunakan untuk mencatat jadual kerjanya kemudian berlalu pergi meninggalkan Hani. Berterbangan semangat kerjanya di pagi Isnin yang indah ini.

Dari mejanya, Hani sekadar memandang sayu penyelianya yang bergerak longlai ke arah bilik mesyuarat, setelah itu anak mata jernihnya ditalakan pada bilik Tuan Marzuki. Dia mendecit perlahan, mengenangkan sikap tidak bertanggungjawab perempuan simpanan ketuanya itu.

" kalau bini Tuan Marzuki tahu...punahlah harapan kau Kak Maria...nak jadi bini nombor dua konon. Kau stu stok pakai buang je. Ceh!" Omel Hani sendirian, kemudian berlalu ke mejanya semula, menyambung tugasnya.

KLAK! pintu bilik mesyuarat ditolak dengan tangan kirinya. Cepat-cepat senyumannya diraih, menyembunyikan konflik berkocak dalam dirinya.

" assalamua...Danny?!" Terbeliak matanya melihat lelaki berpakaian t shirt biru nila dan seluar khaki coklat yang duduk berteleku dimeja mesyuarat tersebut. Sekali pandang dia sudah mengecam siapa gerangannya.

Danny turut tidak menyembunyikan perasaan terkejutnya, dia bingkas berdiri. " Una?" Nama itu kembali meniti dibibirnya. Dia nyata terkedu dengan kehadiran Una di depannya ketika ini.

" apa awak buat dekat sini?!"

Kedua-duanya serentak bertanya dan menundingkan jari antara satu sama lain. Masing-masing kaku tidak berkutik dari tempat mereka berdiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience