bab 21

Romance Series 3712

HANAFI melepaskan keluhan buat kesekian kali, telefon bimbitnya direnung. Hampir seminggu Una menghilangkan diri. Sebarang panggilan dan pesanan tidak dibalas. Tindakan Una ini sekaligus menambah resah dalam hatinya.

Dalam benaknya sarat dengan pelbagai andaian. Apa yang paling ditakuti, Una menolak pinangannya. Rambutnya yang masih basah diraup kebelakang lalu tubuhnya disandarkan ke sofa. Siaran televisyen yang terpasang lansung tidak diendahkan.

"Una..mana awak pergi.." keluhnya lalu kelopak matanya dipejam.

SEUSAI solat subuh, Una tidak betah bermalas-malasan di atas katil. Hari ini dia mahu mengisi masa senggangnya dengan aktiviti riadah. Sekian lama tubuhnya tidak dibelai angin pagi, begitu juga dengan pori-pori kulitnya yang sudah terlalu lama tidak mengeluarkan peluh.

Selesai telekungnya dilipat dan digulungkan di dalam tikar solat, tanpa berlama-lama dia mendekati almari pakaian yang sudah 8 tahun gagah menyimpan pakaiannya itu. T shirt adidas berwarna merah jambu dan seluar tracksuit hitam menjadi pilihan.

PAP!

Matanya terpaku pada baju di lantai kamarnya yang terjatuh saat dia memilih sweaternya. Lantas Una membongkok kemudian baju tersebut dicapai. Tidak semena-mena keningnya berkerut. Terdetik rasa hairan, pertama kali dia melihat baju tersebut. Seiingatnya, dia tidak pernah meminjam baju abang Zariman jadi bagaimana t shirt lelaki boleh berada dalam almari pakaiannya?

T shirt polo kuning air.

kosong.

Hanya ada jahitan sulam N&A pada bucu baju tersebut.

"NAK pergi mana tu?"

Suara Puan Zanariah bergema dari meja makan tatkala pandangannya menyinggah pada anak gadisnya yang kelihatan berlari anak menuruni anak tangga dengan pakaian sukannya.

Laungan Puan Zanariah menggamit anak mata Una ke arah meja makan. Lantas dia menerpa ke Puan Zanariah dan Haji Lokman.

" Adik nak pergi jogging kejap. Dah lama tak keluar peluh." Balasnya ringkas. Punggungnya dihenyak di atas kerusi.

"Aik tak pernah-pernah nak jogging. Hari ni datang angin nak jogging pulak?" tukas Puan Zanariah sambil menuang teh o panas ke dalam cawan. Kemudian duduk di atas kerusi yang berhampiran.

Teh o panas tersebut disisip oleh Una perlahan-lahan.

" Sepanjang minggu adik kerja tak rehat mak. Hari cuti ni teringin pulak nak bersenam. Stamina pun tak macam dulu dah." Sempat gurauan kecil diluahkan.

Haji Lokman yang sedari tadi khusyuk membaca surat khabar, mula mengalihkan perhatiannya pada dua wanita di depannya. Surat khabarnya dilipat dan diletakkan ketepi.

" Adik nak jogging dekat mana?"cermin matanya ditanggalkan.

"Dengan taman tasik. Dah lama tak jogging dekat sana. Saja nak tukar angin." Ujarnya.

Kebiasaannya taman yang berdekatan dengan taman perumahan mereka menjadi tumpuan untuknya berjogging. Namun kali ini dia mahu memilih tempat agak jauh supaya Hanafi tidak muncul mengejut, menuntut jawapan darinya.

Apa yang pasti, dia masih belum mempunyai jawapan.

" Dah ada keputusan?" soalan Haji Lokman membuatkan mata Puan Zanariah kelihatan bersinar-sinar. Dia juga tidak sabar mahu mendengar jawapan dari anak gadisnya itu.

"Nampak sedap je seri muka mak buat ni. Adik nak makan sikitlah baru pergi jogging." Una berdolak-dalih. Pantas sepotong kuih seri muka dicapai dan dipulun dengan penuh berselera.

" Jangan lama sangat adik..nanti.."

"Ha nanti orang tu tak nak..!" suara halilintar Puan Zanariah menenggelamkan suara Haji

Lokman. Haji Lokman mengerling pada isterinya,dan mengeluh kecil. Pantang ada topik menarik, pasti isterinya terlebih dulu membuka mulut. Sedangkan dia mahu perbincangan tersebut berjalan tenang.

Mata bundar Una bersilih ganti memandang wajah mak dan ayahnya. Kuih seri muka terasa tawar di tekaknya. Hilang rasa manis kuih kegemarannya itu, yang ada hanya kelat dan payau, persis dengan senyuman yang terukir dibibirnya ketika ini.

"erm..adik belum buat keputusan lagi ayah.." perlahan jawapan diluahkan acuh tidak acuh.

" Apa alasan adik?" soal Haji Lokman tenang memandang anak gadisnya dari matanya.

Kuih dimulut Una ditelan perlahan-lahan, melalui kerongkongnya dan meluncur masuk ke dalam perutnya. Nafasnya ditarik sedalam-dalamnya kemudian dilepaskan sedikit demi sedikit.

" Kalau adik lambat sangat biar jela mak dengan ayah ni buat keputusan. Rugi betul kalau tak terima pinangan dari doktor tu. Umur tu lanjut, dapat pulak pinangan dari keluarga baik-baik. Jangan tolak tuah dik." Puan Zanariah melontar peluru dari mulutnya yang laser itu buat kesekian kali.

Lantas Haji Lokman mendecit membuatkan isterinya yang begitu galak sebentar tadi mula menikus di tempatnya.

" macam nilah adik. Kalau masih tak ada jawapan dari istikharah adik, biar ayah yang tentukan." Ujar Haji Lokman dengan tegas.

Kata-kata tegas ayahnya ditelan. Jarang sekali ayahnya mahu campur tangan soal peribadi anak-anaknya. Kali ini ayahnya tampak berbeza. Dengan berat hati dia mengangguk, seakan memberi mandat kepada kedua-dua orang tuanya untuk menentukan keputusan tersebut.

ENJIN keretanya dimatikan, mujur masih ada parkir kosong dibawah pohon rendang yang berhampiran dengan tasik. Una melepaskan hembusan nafas berat. Akhirnya termaktub juga hubungannya dengan Hanafi walaupun tanpa kerelaannnya.

Cepat-cepat dia menggeleng. Menghapus kekusutan dalam kepalanya. Lantas dia mengorak langkah keluar dari perut kereta. Udara segar dihirup sambil tangannya didepakan. Terasa hilang seketika masalah yang melanda dalam dirinya.

Apa yang diinginkan adalah masa untuk dirinya sendiri. itu saja penawar untuk menghilang kekagetannya. Sejurus itu pandangannya ditalakan kea rah tasik yang tenang di depannya. Masih belum ramai pengunjung yang bertandang, memandangkan waktu baru menganjak jam 7 pagi.

Sengaja dia memilih waktu begini kerana dia mahu melencunkan tubuhnya dengan peluh terlebih dahulu, sebelum menikmati panorama matahari terbit.

Selain itu pagi dinihari sangat sesuai untuk melatih ketahanan kardiovaskular memandang kelembapan udara yang lebih tinggi. Sesuai untuk memantapkan staminanya yang sudah merundum seiring dengan peningkatan usianya.

" Una!"

Una menoleh tatkala namanya diseru. Terkebil-kebil matanya tatkala melihat individu yang berlari menghampirinya.

"Maira?" 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience