Bab 15

Romance Series 3712

“ Lets meet my parent..”

Terasa berpinar pandangannya ketika ini. Dirinya seakan berada di awang-awangan. Bermimpikah dia? Pertemuan yang tidak dirancang semasa sesi wawancara tempoh hari mengheretnya ke dalam situasi saat ini.

“ Jangan merepek Hanafi. Kita boleh bincang tempat lain kan. Kenapa mesti bawak saya jumpa family awak pula. Nanti keluarga awak salah faham saya ni calon isteri awak macam mana?” Sanggahnya disulami emosi bercampur-aduk.

Sekejap-sekejap matanya melirik pada rumah agam yang berdiri megah itu, tidak mampu dia membayangkan apa yang bakal terjadi jika dia bertemu dengan keluarga lelaki tersebut.

“ Seriously Una? Awak masih persoal niat saya bawa awak ke sini?” Hanafi mengerutkan dahinya seakan tidak percaya kata-kata yang meluncur keluar dari celah bibir gadis itu.

“Saya dah beritahu awak yang saya nak buktikan saya tak main-main dengan hasrat saya jadikan awak isteri saya. So dari mana isu salah faham tu nak muncul?” sambungnya memuntahkan bicara.

Una memegang kepalanya yang terasa sakit. Runsing dibuatnya dengan sikap aneh Hanafi. Sehingga kini dia tidak faham, mengapa dia? Mengapa dia yang menjadi pilihan lelaki ini dalam ketinggian kadar populasi wanita di Malaysia.

“ Saya nak jelaskan macam mana lagi dekat awak ni? Saya. Tak. Berminat.” Satu per satu perkataan ditekan. Dia sudah mati akal mencari cara agar lelaki ini berputus asa dengannya.

Hanafi bungkam buat seketika, sejujurnya hatinya yang sedikit terluka dengan kata-kata Una. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya kemudian  bertindak mendekatkan wajahnya ke wajah Una, membuatkan gadis itu tersentak.

Jantungnya berdegup rancak disebabkan tindakan mengejut Hanafi. Semakin rapat wajah itu menghampirinya, semakin nafasnya tidak teratur. Wajah Hanafi dirasakan begitu hampir seakan mahu menciumnya, dengan pantas dia melarikan wajahnya ke tepi dan menutup rapat matanya, lengannya disilang rapat menutupi dada.

PAP!

Tali pinggang keselamatan kedengaran dibuka. Serentak itu kelopak matanya turut terbuka. Spontan pandangannya meleret pada tali pinggang keselamatan yang sudah terlerai dari tubuhnya. Dilirik pula pada individu disebelahnya, Hanafi mengoleskan senyuman nakal.

Tidak semena-mena Una dihurung perasaan malu bukan kepalang. Seraut wajah Hanafi yang tersenyum nakal itu dipandang seperti hendak ditelan hidup-hidup.

“ Boleh tak awak jaga sikit perangai awak tu.” Dia memuncungkan bibirnya.

“ Lah..saya tolong awak buka tali pinggang tu je. Ha awak tu yang fikir lain.” tukas Hanafi selamba. Semakin galak dia mengusik gadis itu. Sekali lagi wajah Una terasa panas. Tidak fasal-fasal dirinya dilabel berfikiran kuning!

“ Mana ada! Dah awak tu tiba-tiba datang dekat saya kenapa? Cakap jelah. Tangan saya bukan sakit sampai nak kena orang lain bukakkan seat belt ni.” Una menggerutu geram. Semakin panjang bibirnya dimuncungkan.

“ Dah lah tu jangan muncung macam tu sekali. Kereta saya tak ada hanger lebih nak sangkut dekat mulut awak tu. Dah jom. Family saya dah tunggu dah kat dalam tu.”

Hanafi menolak pintu di sebelahnya tanpa mempedulikan gadis yang masih tercegat dengan wajah cemberut di dalam keretanya itu. Tatkala sebelah kakinya menjejak tanah, lengannya disambar dan dicengkam kuat. Tindakan Una mendorong Hanafi untuk menoleh lalu keningnya diangkat.

“ Awak nak pergi mana?” soal gadis itu dengan mata terkebil-kebil.

“ Rumah sayalah. Mana lagi.” Balas Hanafi ringkas, kemudian memusingkan tubuhnya kembali. Sekali lagi perbuatannya ditahan oleh Una. Hanafi melepaskan keluhan untuk kesekian kali dan berpaling semula. Seraut wajah bujur sirih itu ditatapnya lembut.

“Saya tak cakap pun saya setuju."

" Setuju atau tak..awak kena setuju juga. Buatlah muka cemberut tu..kena cium baru tahu." Tutur lelaki itu dengan senyuman sinis.

" Jangan berangan! Hantar saya balik sekarang juga atau saya lari keluar dari kereta awak ni." Ugut Una, penumbuknya kini sudah dikepal, bersedia untuk menyerang.

" Mana ada teksi lalu kawasan ni. Lagi satu bus stop pun jauh berbatu, sebab orang-orang dekat sini tak naik bas."

Una mencebik keras. Huh berlagak!

" Tak kiralah apa pun alasan awak. Saya nak balik juga! " bentak Una.

Tali pinggang keselamatan disilang kembali ke tubuhnya. Walau apa sekalipun yang bakal lelaki itu lakukan, jawapannya masih sama. dia tidak akan menuruti arahan lelaki itu bagai lembu dicucuk hidung, sedangkan dia tidak punya hak untuk menentukan keputusan untuk dirinya. Tali pinggang keselamatan yang tersilang pada badannya digenggam erat.

Kepala Hanafi tergeleng-geleng sambil tertawa kecil, tercuit hatinya melihat gadis pujaannya itu masih berdegil dan tidak mahu berganjak dari tempat duduk, persis kanak-kanak yang merajuk mahukan mainan.

Hanafi nekad lalu memboloskan diri keluar dari perut kereta kemudian mengorak langkah ke bahagian tempat duduk penumpang.

Gulp. Una menelan liur, pelbagai tanggapan yang muncul dalam imaginasinya ketika ini. Pintu disebelahnya dibuka, anak matanya terus dilarikan ke arah permandangan yang terpapar di depannya. Berpura-pura tidak kisah, walaupun hakikatnya jantungnya bagai hendak meletup.

“ turun.” Arah Hanafi sebaik sahaja pintu kereta dibukanya. Lengannya diletak di atas bumbung kereta dan tubuhnya membongkok, mencerlung pandangannya kepada Una.

“ Tak nak!”
Hanafi mengetap bibir, cuba bersabar dengan sikap keanak-anakan gadis itu. Seketika kemudian bibirnya tersenyum semula saat idea nakal mula bercambah dalam benaknya. Keningnya dijungkitkan.

“ Okay..kalau awak tak nak...”
Matanya melirik nakal di setiap inci tubuh gadis itu, tindakannya itu menimbulkan rasa tidak senang Una.

“ saya tak kisah nak angkat awak ala-ala pengantin masuk dalam rumah saya.Bolehlah kita praktis hari bahagia kita kan? Nanti tak adalah saya nervous kan?”

Mata bening Una terjegil. Geli-geleman dibuatnya, lantas Una mencebik keras. Sebagai tanda dia tidak suka dan tidak ambil pusing dengan usikan nakal tersebut.

“ Una..” panggil Hanafi “ saya kira sampai 3. Kalau awak berdegil juga, jangan marah saya bawa kalau saya bawa awak masuk rumah gaya pengantin baru.”

Serentak itu Una mengetap bibirnya. Ah..lelaki sekadar bercanda. Mustahil dia akan bertindak di luar batasan. Hanafi yang masih kaku di tepinya, memandangnya tidak berkutik. Seboleh-boleh Una mengelak supaya pandangan mereka tidak bertembung.

“1..” kiraan mula meluncur dari celah bibir Hanafi.
Una menelan liur. Seriuskah dia?

“2..” sambung Hanafi.
Ketika ini Una merasa tidak senang duduk. Otaknya mula buntu mencari jalan untuk mengelak.

“ 3..!” sejurus itu Hanafi menurunkan lengannya dari bumbung kereta, bersedia untuk mengangkat sang puteri kepala batu.

Sepantas kilat Una membuka seal belt dan keluar dari kereta. “Fine! Awak menang!” dengus Una diiringi dengan jelingan maut.

Hanafi lantas mengulumkan senyuman, ternyata ideanya membuahkan hasil. Pinggangnya dicekak sambil mendabik dada, meraikan kemenangannya.

“ Ha degillah lagi. Siapa suruh cabar saya. Kalau saya cakap saya buat memang saya buat. Nak cabar saya lagi ke...?.” sindiran sinis Hanafi disambut dengan jelingan gadis itu.

Una menghembus nafas dan memeluk tubuhnya kasar. Giginya digeser antara satu lain, sehingga rahangnya kelihatan bergerak-gerak, menahan amarah yang sedang menggelegak dalam hatinya. Menyesal dia menuruti permintaan lelaki itu, sepatutnya dia memandu keretanya sendiri dan bertemu di mana-mana tempat. Jadi tidaklah dia terperangkap seperti sekarang.

MATANYA terpaku pada sebuah gambar besar yang tergantung pada dinding rumah mewah yang bercat warna krim itu. Entah kenapa hatinya gelisah saat memandang wajah salah seorang di dalam foto tersebut. Wajah tersebut seakan pernah dilihatnya, tetapi kabur. Dia tidak begitu pasti dengan gerak hatinya ketika ini.

" tengok saya ke kat gambar tu?"

Terhinjut bahunya disapa mengejut oleh suara yang muncul tiba-tiba di belakangnya. Dia sekadar menoleh sejenak, dan kembali menebarkan pandangannya ke arah ruang tamu yang dihias indah itu.

" kalau ada sakit jantung tadi dah arwah agaknya." Omelnya perlahan. lebih kepada berjeda sendirian

" awak cakap apa?" Soal Hanafi apabila melihat bibir gadis itu bergerak-gerak menuturkan butir bicara yang kurang jelas didengarinya.

" tak payah tahulah. Sibuk je." tutur Una perlahan, dia tidak mahu perbualannya didengari oleh ahli keluarga Hanafi. Meski kehadirannya di situ atas paksaan, adabnya tetap perlu dijaga, memandangkan dia bukan berdepan dengan lelaki itu sahaja.

Sepanjang berada di situ nalurinya terdetik hairan, sejak awal dia menjejakkan kaki di situ, rumah agam itu sunyi sepi. Kedatangannya sebentar tadi hanya disambut oleh Mak kalsom iaitu pembantu rumah agam tersebut, namun setelah mak kalsom beredar, ruang itu kembali sepi seakan tidak berpenghuni. Tidak dapat dibayangkan jika dia tinggal di rumah ini, pasti hari yang dilaluinya sunyi dan membosankan.

" awak marah saya lagi ke?" Soal Hanafi sambil menggosok tengkuknya, mematikan lamunan yang berlegar dalam otak Una ketika ini.

Wajah kacak Hanafi dipandang sejenak lalu dijeling. Dah tahu lagi tanya! Getus hatinya.

Respon negatif gadis itu tidak menjentik rasa kecil hati Hanafi. Tidak juga kesalahan itu dipalitkan pada Una, kerana dia sendiri yang mendesak agar gadis itu bersetuju. Sebagai habuan, dia perlu terima dengan hati terbuka layanan kasar dari Una.

" wah! bakal menantu mama dah sampai!"

Suara girang itu meredakan api kemarahan yang sedang marak dalam hati Una. Lantas pandangan Una dan Hanafi dihala pada wanita yang menghampiri mereka. Wanita itu kelihatan anggun meski hanya mengenakan t shirt knitted v neck dan seluar palazo.

Ditatap pula wajah wanita tersebut. Sejujurnya dia kagum dengan kejelitaan milik wanita bergelar ibu itu. Walaupun terdapat sedikit kedutan halus menghiasi wajahnya, namun lansung tidak membuat kecantikan yang dimilikinya pudar. Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ternyata Hanafi mewarisi ' kecantikan' itu dari ibunya.

Puan Anis menghampiri pasangan tersebut dengan perasaan gembira. Gadis manis disebelah Hanafi dipandang, sekoyong-koyong perasaan hangat menjalar ke sanubarinya. Sukar untuk dijelaskan melalui kata-kata, dia merasakan ada simbiosis yang menghubungkan gadis itu dengan naluri keibuannya.

" Mama..nafi kenalkan Noor Husna. Una yang ni mama saya, Puan Anis." Hanafi mula bersuara sebaik jarak mereka didekatkan.

" err..Assalamualaikum aunty.." terkulat-kulat dia menyapa.

"Waalaikumussalam. Tak sangka mama dapat jumpa Una. Macam-macam Hanafi cerita pasal Una tau. Mama minta maaf kalau ganggu cuti Una ya."

Serentak itu Una mengangkat keningnya. Mama? Ah sudah. Belum apa-apa wanita itu sudah mula membahasakan dirinya mama.

" Tak apa..lagipun Una dah lama tak jalan-jalan ambil angin. Sibuk sangat dengan kerja. "

Tanpa berlengah, Una meraih tangan wanita itu dan mengucup lembut. Dirasakan ada usapan lembut dan hangat pada kepalanya ketika dia menyalam wanita tersebut.

Perlahan-lahan dia memanggung kepalanya dan memandang Puan Anis. Mata redup wanita itu merenungnya dengan pandangan yang sukar untuk dimengerti. Meski pertama kali bersua muka, entah kenapa dia terasa begitu rapat seolah-olah sudah saling mengenali.

Jangan macam-macam Una...!

" Manis! Pandai Nafi berahsia dengan mama ye. Tup tup bawa jumpa mama." seloroh Puan Anis lalu menyiku lembut lengan anak lelakinya itu. Hanafi tersenyum tipis.

" Dah sampai jodoh nafi mama..kena cop dulu, takut orang lain sambar."

Pantas Una mengerling ke arah Hanafi, giginya diketap kuat. Sudahlah dipaksa datang, sesedap rasa pula menggelarkannya jodoh. Jika tidak mengenangkan Puan Anis di depannya ketika ini, sudah lama dia mengangkat kaki keluar dari rumah keluarga lelaki tersebut.

" Eh dari tercegat dekat sini, jom ikut mama. Kita sambung borak dekat meja makan. Mama dah masak macam-macam untuk sambut bakal menantu mama ni tau." Pelawa Puan Anis dengan ramah.

Tangan Una di tarik lembut menyaingi langkahnya ke ruang makan. Terpinga-pinga gadis itu dibuatnya, tanpa banyak bicara, Una akur mengikut kemana saja tangannya ditarik pergi.

" Mama masak?" Terpacul soalan tersebut, membuatkan Puan Anis menghentikan langkahnya. Terpempan dengan soalan tersebut.

Una turut menghentikan langkahnya, terbedik-bedik matanya melihat senario yang ditontonnya ketika ini. Senyuman yang dioleskan di bibir Puan Anis sedikit sirna setelah itu diraih semula.

" Mestilah mama masak. mama hebat memasak tau. Skill mama tak berkarat lagi!" wanita itu berseloroh, menutup rasa hatinya yang sebenar dari pengetahuan anak dan bakal menantunya.

Hanafi menundukkan wajahnya, menyembunyi air mukanya yang keruh itu kemudian tersenyum kecil. Tidak terlintas niat untuk memandang rendah jauh sekali mengkritik, cuma dia tidak mampu menyembunyi rasa terkejutnya.

Selama puluhan tahun dia mengenyangkan perutnya dengan nasi kedai atau makanan segera sehingga dia lupa bagaimana rasanya masakan dari air tangan mamanya.

"Oh..mesti sedap air tangan mama." Omel Hanafi sendirian namun cukup jelas pada pendengaran dua wanita yang berdiri berdekatan dengannya.

"Of course..air tangan mama." Puan Anis mengulang bait ayat yang meluncur dari mulut anak lelakinya itu dan tersenyum menampakkan baris giginya yang tersusun kemas.

Kedua-duanya saling berpandangan sambil tersenyum, seakan sedang berbicara dari hati ke hati. Tidak sangka kehadiran Una ke dalam keluarganya, seakan membuka lembaran baru buat dirinya dan Hanafi.

Terima kasih...bicara Puan Anis dalam hati.

" Hai lamanya berbual dengan bakal menantu.!" Satu suara garau mencelah membuatkan Hanafi dengan Puan Anis tersentak dari terus berpandangan. Serentak itu Puan Anis mengoles senyuman dan merangkul lengan suaminya dengan mesra.

"Mama perkenalkan, yang ni papa Alias dan yang comel tu Maira, adik Hanafi."

" Dapat menantulah kita tak lama lagi ye?" Encik Alias bersuara, berbanding Maira yang lebih selesa mendiamkan diri.

Entah kenapa dia terasa berdebar dan gelisah, sama keadaannya ketika dia melihat gambar besar yang tergantung tadi. Pantas tangannya pula dilekap pada cuping telinga apabila pendengarannya berdengung secara tiba-tiba.

Sudah pendengarannya dikacau, kini nafasnya pula tersekat-sekat.Udara! Dia perlukan udara untuk bernafas. Malangnya suaranya pula bagaikan tersekat, kerongkongnya dirasakan perit untuk berkata-kata.

Kenapa dia berasa sakit dan terseksa seperti ini? Adakah perasaan ini merupakan pengalaman yang pernah dilaluinya? Bertubi-tubi soalan menghentam benaknya.

Tolong..!

Tolong..!

Tolong!!!!

Batinnya menjerit sekuat hati, namun apa gunanya. Tiada siapa mampu mendengar melainkan orang itu mempunyai deria istimewa. Dia seakan hilang arah sehinggalah dia terpaku pada anak mata Hanafi.

Kelu lidah Hanafi. Setelah pandangannya tertancap pada wajah pucat gadis itu, dia pasti suara jeritan yang didengari itu sememang milik Una bukan halusinasinya semata-mata!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience