BAB 40

Fantasy Completed 3183

Naqib meneguk air minum nya sehingga habis , buku ini terlalu seronok dibaca . Dia teruskan membaca buku yang sangat tebal itu .

Petua 7

Petua ketujuh untuk skor A ialah ‘dapatkan sokongan daripada ibu bapa, guru dan rakan-rakan’. Sekali lagi ringkas sahaja bunyi petua ini tetapi adakah kita tahu mengapa sokongan mereka ini semua sangat penting dalam usaha mencapai gred A dalam tahun ini?

Begini. Semasa kita berusaha untuk mencapai matlamat, kita akan menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran. Rintangan dan cabaran ini mungkin datang dalam bentuk kegagalan, kekecewaan dan rasa sakit hati akibat macam-macam perkara. Contohnya, kalau kita nak skor A dalam subjek

Bahasa Inggeris, mungkin kita tidak akan selalu mendapat gred tersebut. Ada kalanya kita dapat gred B, C, D atau gagal. Cabaran ini boleh menggugat keyakinan dan semangat kita untuk berjaya.

Jadi, dalam keadaan begini, ibu bapa, guru dan rakan-rakanlah yang boleh membantu menaikkan semula semangat dan keyakinan diri yang semakin jatuh itu. Namun, tidak semudah itu untuk mendapat sokongan mereka. Di sini saya akan kongsikan bagaimana caranya untuk mendapat sokongan mereka. Mari kita mulakan dengan bagaimana mendapat sokongan daripada ibu bapa.

Secara umumnya, ibu bapalah yang paling mudah untuk menyokong dan memberi semangat kepada kita. Ini adalah kerana kejayaan kita mencerminkan kejayaan buat diri mereka juga. Malah, banyak ketikanya, ibu bapalah yang lebih risau berbanding pelajar apabila menjelang peperiksaan (pernah lihat situasi begini?).

Walaupun mereka mudah menyokong, ada beberapa perkara yang perlu kita lakukan agar mereka lebih mudah memahami cabaran yang sedang kita tempuhi.

Pertama, belajar untuk meluahkan apa yang terbuku di hati kepada ibu bapa. Masalah biasa dikalangan pelajar dan ibu bapa ialah hilangnya kebolehan untuk mereka berkomunikasi dengan baik. Perkara ini selalu saya lihat dalam sesi kaunseling yang saya jalankan terutamanya apabila anak-anak meningkat dewasa (dari umur 12 hingga 17 tahun). Jika anda ada masalah atau kerisauan, cuba bincangkan dengan ibu bapa. Saya faham ini bukan perkara mudah. Namun setelah anda buka mulut dan berkongsi masalah dengan ibu bapa, fikiran mereka akan jadi lebih terbuka untuk menyokong kita. Contohnya, jika kita sedang risau dan tertekan, jangan hanya berdiam diri dan mula menunjukkan perangai-perangai yang tidak menyenangkan. Perasaan tertekan tidak akan hilang dengan cara begitu. Apa kata jumpa ibu bapa, beritahu mereka yang kita sedang rasa tertekan dan minta nasihat mereka untuk membantu diri kita. Saya percaya mereka akan bantu.Kedua, ceritakan kepada ibu bapa tentang matlamat kita untuk mencapai kejayaan. Ceritakan kepada mereka mengapa kita mahu capai kejayaan.  Kemudian, berterus-terang dengan mereka yang kita perlukan sokongan dan restu mereka untuk merasa lebih bersemangat. Ibu bapa mana yang tidak akan gembira dan menyokong jika anak-anak mereka sudah bertekad untuk berjaya.Ketiga, dalam masa yang sama, walaupun sedang berusaha untuk berjaya, jangan lupa untuk membantu ibu bapa di rumah.  Kerja-kerja rumah selalunya tidak terlalu membebankan untuk kita. Setelah kita bantu meringankan beban ibu bapa di rumah, hati kita akan jadi lebih tenang. Ibu bapa kita juga akan rasa tenang. Jadi, lebih mudahlah untuk mereka membantu kita nanti.

Selamat mencuba. 

Petua 7.1

Petua ketujuh untuk skor A ialah‘dapatkan sokongan daripada ibu bapa, guru dan rakan-rakan’. Semalam saya sudah terangkan bagaimana untuk mendapat sokongan ibu bapa. Kali ini, mari kita bincangkan bagaimana untuk mendapat sokongan guru dan rakan-rakan.

Para pembaca yang saya hormati sekalian, sokongan guru adalah antara perkara terpenting dalam mencapai matlamat kejayaan kita. Untuk skor A, saluran paling utama untuk mencapainya ialah melalui guru kita.

Apabila guru kita bersungguh-sungguh untuk membantu dan membawa kita ke arah kejayaan, lebih mudah untuk kita ke sana. Banyak ketikanya pelajar dan ibu bapa merungut mengatakan guru tidak bersungguh-sungguh dan tidak peduli dengan kejayaan muridnya.

Malah ada yang menuduh guru hanya menganggap sekolah sebagai tempat mencari duit dan tempat untuk mempunyai kerjaya sahaja. Saya percaya tanggapan ini salah.

Mengapa? Sepanjang pengalaman saya berkenalan dengan guru sama ada di zaman persekolahan atau dewasa, saya lihat semua guru mahu anak muridnya berjaya. Satu sebabnya tentulah kerana itu tanggungjawab mereka.

Namun satu sebab yang boleh kita percayai ialah kejayaan anak murid melambangkan kejayaan guru itu juga. Guru yang hebat pasti boleh melahirkan anak murid yang hebat. Jadi, persoalan guru tidak serius atau tidak bersungguh-sungguh harus diketepikan.

Apa yang perlu kita fikirkan ialah mengapa guru lebih bersungguh-sungguh mengajar murid lain berbanding kita? Hmm… sekali lagi, jangan buruk sangka. Lihat semula kepada diri kita.

Adakah kita selalu melawan cakap cikgu, degil, tidak beri tumpuan dalam kelas, terlalu ‘loyar buruk’, tidak hormat, tidak pernah siapkan kerja sekolah dan mengutuk guru itu dibelakangnya? Jika kita pernah atau biasa lakukan ini semua, adakah guru akan serius untuk membantu kita?Tentu tidak bukan?

Jadi, mulai hari ini, cari jalan untuk mendekati dan mendapat sokongan guru kita. Dengan 7 petua ini, saya percaya kita akan lebih mudah mendapat perhatian dan sokongan guru meskipun guru itu sibuk dengan tugas dan tanggungjawab hariannya.

Selamat mendapat sokongan guru dan selamat memikat hati mereka. 

Petua 7.2

Kita sudah sampai ke tips terakhir dalam 7 petua skor A . Dalam petua ketujuh yang lepas, saya sudah terangkan kepentingan menjaga hubungan baik dengan ibu bapa dan guru. Kali ini saya akan terangkan kepentingan dan juga teknik untuk menjaga hubungan baik dengan rakan sebaya.

Untuk pengetahuan kita semua, rakan sebaya adalah orang-orang yang paling hebat dalam membantu kita mencapai kejayaan akademik. Satu sebab utamanya ialah mereka ini mempunyai tahap fikiran yang sama dengan kita. Jadi jika mereka faham sesuatu, mereka boleh terangkan kepada kita dengan lebih mudah.

Rakan sebaya juga boleh menjadi sumber rujukan dan sistem sokongan kepada kita. Ada banyak ketikanya kita tidak dapat luahkan masalah atau kerisauan hati kita kepada guru atau ibu bapa tetapi rakan-rakan rapat kita akan sentiasa bersedia mendengar dan menyokong kita.

Namun kita perlu berhati-hati. Tidak semua rakan sebaya boleh membantu kita. Ada yang akan cuba menarik kita kearah kegagalan walaupun bukan itu niat mereka. Contohnya jika kita berkawan dengan pelajar yang malas, walaupun dia baik dan rapat dengan kita, dia akan membuat kita terikut-ikut dengan perangai malas atau nakalnya.

Untuk skor A , ada beberapa tips yang perlu kita praktikkan.

Pertama, dekati rakan-rakan berfikiran positif, rajin dan bersemangat untuk berjaya. Dalam masa yang sama, kurangkan masa yang kita luangkan dengan pelajar-pelajar yang malas, bermasalah disiplin dan suka merungut. Gabungan tindakan kita ini akan menaikkan semangat kita untuk belajar dengan lebih baik.Belajar bagaimana mahu menambahkan jumlah kawan. Kemahiran berkawan adalah satu kemahiran yang sangat penting kerana tanpanya, tidak ramai pelajar yang mahu berkawan dengan kita.

Selamat mencuba. 

Petua 7.2

Alhamdulillah. Saya telah berjaya menulis 7 petua skor A . Petua-petua ini sebenarnya adalah hasil bacaan saya selama ini dan juga hasil pemerhatian saya terhadap pelajar-pelajar cemerlang yang saya kenali. Saya selalu percaya bahawa skor A dalam peperiksaan adalah umpama kita sedang belajar memasak daripada seorang Chef yang handal. Jika kita ikut satu-persatu apa yang dilakukan termasuk menggunakan sukatan yang 100% sama, kita pasti akan dapat hasil yang sama.

Seperti pelajar cemerlang yang mampu skor A juga, kita boleh jadi seperti mereka jika kita amalkan apa yang mereka amalkan. Antara apa yang mereka amalkan ialah 7 petua yang saya kongsikan di sini. Mari kita ulang semula ketujuh-tujuh petua ini.

Tulis gred yang kita mahu capai.Kenal pasti kekuatan dan kelemahan.Uruskan masa berpandukan matlamat.Latih tubi.Tingkatkan kepantasan dan ketepatan.Jaga kesihatan fizikal dan mental.Dapatkan sokongan ibu bapa, guru dan rakan-rakan.

Saya ucapkan selamat mencuba petua-petua ini dan selamat berjaya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience