Petua 6
Petua yang ke-6 untuk skor A tahun ini ialah ‘jaga kesihatan fizikal dan mental’. Mudah sahaja bunyi petua ini tetapi tahukah kita bagaimana menjaga kesihatan fizikal dan mental. Mari kita mulakan dengan kesihatan fizikal dahulu.
Selalunya, apabila sudah terlalu bersemangat untuk skor A, pelajar lupa menjaga kesihatan tubuh badan mereka. Mereka terperap dalam rumah atau bilik untuk membaca buku. Mereka enggan keluar berjalan-jalan atau bersenam. Mereka juga mula tidak menjaga makan minum mereka di mana mereka tidak makan dengan cukup, makan berlebihan atau makan makanan yang tidak berkhasiat.
Saya percaya tidak perlu diterangkan mengapa kesihatan fizikal itu penting untuk skor A. Kita kena ingat, minda tidak boleh berfungsi dengan baik jika fizikal kita tidak berada dalam keadaan yang baik.
Sama seperti kereta, ia tidak berfungsi dengan baik jika ada sebarang kerosakan pada enjinnya. Jadi, apa yang perlu kita lakukan untuk menjaga kesihatan fizikal dalam usaha skor A ini?
Pertama, banyakkan makan makanan yang berkhasiat. Ia boleh dilakukan dengan memakan buah-buahan segar atau sayur-sayur segar. Kebanyakan zat-zat yang kita perlukan boleh didapati di dalam makanan-makanan ini. Jika sukar mendapat makanan berkhasiat, penggunaan ’supplement’ atau zat tambahan yang boleh dibeli di pusat kesihatan atau farmasi juga boleh membantu.Kedua, banyakkan minum air yang bersih. Sukar untuk saya terangkan lebih lanjut mengenai air bersih ini. Namun, air yang dicadangkan oleh Dr Bruce Miller (penulis buku-buku kesihatan termasuk buku mengenai penyakit darah tinggi, kencing manis dan sebagainya) mencadangkan air reverse osmosis atau air yang sudah disuling. Kalau kita pergi ke kedai, kita boleh lihat banyak air minuman yang dijual dalam botol bukan? Selalunya kita hanya panggil air minuman itu dengan nama air mineral. Tetapi bukan semua air itu air mineral. Ada diantaranya ialah air reverse osmosis. Ia selalunya juga ditulis sebagai ‘drinking water’. Dapatkan nasihat seseorang yang lebih pakar daripada saya mengenai perkara ini supaya tidak ada keraguan. Luangkan masa 30 hingga 60 minit sehari untuk berpeluh. Mudah sahaja bunyinya kan? Kalau kita berjalan kaki ke kedai pun kadang-kadang sudah ambil masa 30 minit dan kita akan berpeluh. Itu pun sudah lebih baik daripada asyik terperap di dalam rumah.Lakukan senaman regangan otot 5 – 10 minit sehari. Apabila kita asyik belajar dan duduk di atas kerusi sepanjang masa, otot kita boleh jadi kejang dan tidak selesa. Perjalanan darah juga akan jadi tidak lancar. Jadi dengan membuat senaman regangan otot, kita akan rasa lebih segar dan selesa. Mudahlah nanti untuk kita sambung belajar.Lebih menarik lagi, luangkan masa bermain sukan dengan kawan-kawan 30 hingga 60 minit sehari.
Petua 6.1
Petua yang ke-6 untuk skor A tahun ini ialah ‘jaga kesihatan fizikal dan mental’. Saya telah terangkan mengenai tips menjaga kesihatan fizikal. Kali ini, kita bincangkan tips menjaga kesihatan mental pula.
Kita perlu faham, kadangkala tekanan perasaan yang kita rasa sebagai pelajar boleh menjadi terlalu hebat hingga ia memusnahkan kebolehan kita untuk berfikiran rasional. Ada ketikanya, pelajar boleh jatuh sakit secara fizikal (demam, letih badan, pening kepala atau kerengsaan kulit) atau secara mental (separuh gila, gila atau hilang akal). Berat juga perkara ini kerana saya sendiri pernah menyaksikan sahabat saya sendiri jatuh sakit secara mental akibat tekanan perasaan semasa belajar dan masih tidak pulih sepenuhnya hingga ke hari ini.
Ada beberapa perkara yang kita boleh lakukan untuk menjaga kesihatan mental kita ini.
Pertama, kekalkan imej positif di dalam minda kita. Tekanan perasaan selalunya disebabkan kita terlalu memikirkan perkara-perkara yang menakutkan seperti gagal peperiksaan atau tidak mampu menjawab dengan baik dalam dewan peperiksaan. Hari ini, senaraikan perkara-perkara yang boleh buat kita gembira setiap kali memikirkannya. Apabila kita rasa tertekan, terus lihat pada senarai ini dan fikirkan tentang perkara tersebut. Saya pasti ia boleh membantu mengurangkan tekanan yang kita rasakan. Mula berkawan rapat dengan kawan-kawan yang ceria, cemerlang dan yang suka memberi dorongan dan sokongan.Tujuan ini bukan untuk kita pergi kepada mereka dan luahkan masalah kita kerana masalah yang kita bawa akan melemahkan mereka juga. Pergi kepada mereka untuk tiru cara mereka hadapi tekanan perasaan mereka. Pelajar cemerlang selalunya berfikiran positif dan menganggap tekanan perasaan sebagai satu cabaran yang seronok untuk ditempuhi. Ia sama seperti kita bermain sukan. Semakin sukar permainan itu, semakin seronok untuk kita cuba memenanginya.Jaga ibadah harian. Selain daripada menunaikan sembahyang wajib, luangkan juga masa untuk melakukan ibadah sunat yang digalakkan dalam agama kita. Saya selalu percaya bahawa air sembahyang adalah satu senjata hebat pelajar cemerlang untuk mengurangkan tekanan perasaan mereka. Disamping itu, membaca Al-Quran selepas Subuh dan Asar benar-benar boleh menenangkan fikiran dan menambahkan keselesaan dan kelapangan di dalam hati kita.
Selamat mencuba. ??
Share this novel