Naqib menghirup lagi air nya sebelum menyambung baca .
Petua 2
Bagaimana dengan latihan menulis matlamat pencapaian akademik? Sudahkah anda jelas apa yang anda hendak capai? Baiklah….kita teruskan dengan petua kedua. Petua kedua berbunyi, kenal pasti kekuatan dan kelemahan anda. Mudah sahaja bukan?
Sebenarnya, apabila kita sudah tulis gred yang biasa kita dapat sekarang dan gred yang kita mahu capai pada masa akan datang, kita boleh mendapat gambaran tentang kekuatan dan kelemahan kita. Mari kita bincangkan tentang kekuatan dulu.
Mana-mana subjek yang kita rasa mudah nak faham, senang nak skor dalam exam termasuk dalam kategori kekuatan kita. Kena ingat, subjek yang kita rasa mudah sahaja tidak bermaksud kita mudah nak skor dalam peperiksaan. Semasa saya dalam tingkatan 3, saya ada kenal seorang kawan melalui aktiviti silat. Kawan saya ni datang daripada sekolah lain. Semasa berbual dengannya, saya kata kepadanya, “subjek sains susah kan? dah belajar pun susah nak skor.”
Kawan saya tu ketawa kecil. Katanya, “eh, subjek Sains la senang. Aku kalau subjek Sains, setakat nak dapat 40 ke 50 markah tu memang senang je.”
Saya terkejut juga ketika tu. “Senang tu kalau boleh dapat 40-50 markah ke?” Soal hati saya. Rupa-rupanya kawan saya ni memang biasa dapat 40-50 markah untuk subjek Sains. Saya pula biasa dapat 60-70 markah. Saya maksudkan susah kerana susah nak skor A. Namun, saya tidak beri apa-apa komen kepada kawan saya ni cuma ketika saya mula faham, subjek yang senang memberi maksud yang berbeza kepada orang yang berbeza.
Apa yang penting kita tahu ialah, dalam petua ini, apabila kita kata subjek yang kita kuat, ia bermaksud subjek yang kita boleh skor A atau boleh skor markah 85 ke atas.
Apabila kita sudah kenal pasti subjek yang menjadi kekuatan kita, usaha untuk mengulangkaji akan jadi lebih mudah. Untuk subjek-subjek ini, kita perlu:
Jadikan sebagai sumber inspirasi. Jadikannya sebagai pendorong bahawa kita mempunyai kekuatan dalam bidang akademik.Luangkan masa untuk mengulangkajinya secara berterusan. Untuk subjek yang kuat, kadangkala kita tidak perlu luangkan terlalu banyak masa kerana masa yang lebih perlu diberikan kepada subjek yang lemah. Namun, dengan usaha yang berterusan (membuat hanya beberapa latihan sehari tetapi berterusan) kita akan sentiasa mampu mengekalkan gred kita yang baik untuk subjek ini.Belajar dengan rasa bersemangat. Seseorang yang pandai subjek Sejarah contohnya pasti rasa tidak sabar untuk mengulangkaji subjek Sejarah setiap kali. Cuba kenal pasti dengan jelas apa yang kita rasa setiap kali mahu belajar subjek yang kita suka ini. Rasa seronok, tenang dan selesa bukan? Rasa ini amat penting untuk kita gunakan semasa belajar subjek yang kita lemah nanti.
Seterusnya , saya akan kongsikan apa yang patut kita lakukan dengan subjek yang kita lemah. Selamat mengkaji kekuatan diri.
Petua 2.1
Setelah kita kaji kekuatan yang ada pada diri kita, kita juga akan sedar tentang kelemahan yang selalu mengganggu keyakinan diri kita untuk berjaya. Apabila kita sudah tulis gred yang kita mahu dapat dan gred yang kita dapat sekarang, kelemahan diri kita boleh nampak ketara. Apa yang perlu dilakukan terhadap kelemahan ini? Ada beberapa perkara yang perlu kita lakukan.
Pertama, kita perlu ingat, kelemahan itu bukan sesuatu yang kekal. Ramai pelajar cemerlang bermula dengan gelaran pelajar lemah dan tidak cemerlang. Jadi, jangan terlalu risau.Kedua, kelemahan masa kini merupakan satu cabaran buat kita. Anggap ia seperti kita mahu memasuki pertandingan sukan berlari contohnya. Jika kita sekarang masih tidak ada stamina yang kuat untuk berlari (ini merupakan satu kelemahan bukan?), apa yang perlu kita lakukan? Ya….. kita perlu buat latihan untuk meningkatkan stamina seperti berjogging atau buat senaman berbentuk aerobik. Patutkah kita duduk menangis dan putus asa kerana kita tidak ada stamina sekarang? Tidak bukan? Sama seperti kelemahan akademik. Kita tidak perlu bersedih atau putus asa jika pencapaian sekarang masih lemah. Kita cuma perlu buat lebih banyak latihan untuk menguatkannya.Ketiga, kita perlu buat rancangan untuk mengatasi kelemahan kita. Rancangan itu termasuk rancangan untuk buat lebih banyak latihan, berjumpa dengan guru lebih kerap dan berkawan dengan kawan-kawan yang pandai subjek tersebut.
Satu perkara lagi yang kita perlu sedar ialah apabila kita lemah sesuatu subjek, kita akan rasa kurang minat atau benci subjek tersebut. Ini adalah normal. Dalam petua seterusnya nanti, saya akan terangkan bagaimana cara untuk menguruskan masa agar kita sentiasa memberi tumpuan kepada subjek yang kita kurang minat ini.
Akhir sekali, cuba kita perhatikan cara kita duduk, cara kita membaca dan cara kita bergerak semasa belajar subjek yang kita lemah ini. Tentu ia sangat berbeza berbanding subjek yang kita suka kan? Mulai hari ini, cuba duduk dan bergerak seperti kita benar-benar suka subjek yang kita lemah tu. Otak kita tidak dapat bezakan sama ada kita berlakon suka atau tidak. Apabila kita bergerak dansenyum semasa belajar subjek yang kita lemah ini, otak kita akan menghantar isyarat ke seluruh tubuh badan agar menjadi lebih berkesan kerana ia sangka kita sangat suka subjek ini.
Selamat mencuba.
Share this novel