Petua 3
Setelah kita tulis matlamat gred yang kita hendak capai dan setelah kita kaji kekuatan dan kelemahan kita, sekarang tiba masanya kita mulakan langkah kecemerlangan dengan mempelajari petua yang ketiga. Petua ketiga ini berbunyi, uruskan masa berpandukan matlamat.
Petua ketiga ini sangat berkesan untuk mengatasi satu masalah yang saya namakan ‘gejala azam tahun baru’. Maksudnya, pada awal tahun, pelajar (atau orang dewasa) akan menanam azam yang hebat untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan.
Namun, azam itu akan pudar dalam masa hanya beberapa minggu atau beberapa bulan pertama sahaja. Sebab utamanya ialah azam itu tidak disertakan dengan rancangan tindakan. Apa yang perlu kita lakukan untuk tidak terjebak dengan gejala azam baru ini?
Begini.
Perkara paling penting dilakukan selepas kita ada matlamat ialah merancang tindakan. Maksudnya, untuk mendapat gred A dalam subjek Matematik, kita perlu tentukan apakah aktiviti yang perlu kita lakukan.
Contohnya, untuk dapat gred A, kita rasa kita perlu buat 20 latihan matematik setiap hari (tidak termasuk kerja sekolah). Jadi, setiap hari fokus utama kita ialah menyiapkan 20 latihan tersebut tidak kira berapa sibuk dan penat sekalipun.
Kalau boleh, tindakan itu mesti boleh dilakukan dalam masa 48 jam selepas kita menulis matlamat. Mengapa? Jika ia mengambil masa terlalu lama untuk dilaksanakan, kita kan mula hilang semangat. Jika ia dilaksanakan serta-merta, semangat yang masih membara itu akan membantu menolak kita ke hadapan dan melakukan semua perkara yang patut dilakukan.
Saya lihat teknik ini digunakan oleh beberapa sahabat baik saya yang cemerlang dalam subjek Matematik ketika di sekolah menengah berasrama penuh dulu. Mereka sudah tetapkan berapa soalan mereka perlu buat dalam sehari.
Jika mereka rasa hari mereka akan sibuk dengan aktiviti sukan atau kelab, mereka akan curi mana-mana masa yang terluang untuk menyiapkan latihan tersebut. Kadang-kadang mereka buat latihan semasa menunggu guru masuk ke kelas. Kadang-kadang mereka buat latihan semasa menunggu giliran ke bilik air (kerana bilik air penuh) dan kadang-kadang mereka buat latihan semasa menunggu masuk waktu sembahyang di surau.
Ini menunjukkan bahawa jika kita ingin berjaya, jangan hanya fikirkan tentang hendak mendapat gred A tetapi fikirkan juga apa yang perlu dilakukan setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan. Tindakan ini semua lebih mudah kita kawal dan ia boleh menjadi kayu pengukur sama ada kita sedang bergerak menuju matlamat kita atau tidak.
Jadi, tugas kita hari ini, senaraikan aktiviti atau tindakan yang perlu kita ambil untuk memastikan kita dapat apa yang kita inginkan. Minggu depan saya akan terangkan lebih lanjut mengenai petua ketiga ini terutamanya bagaimana menguruskan masa untuk subjek yang kita lemah.
Petua 3.1
Kita masih lagi dalam petua ketiga – uruskan masa mengikut matlamat. Hari ini kita akan bincangkan bagaimana hendak menguruskan masa untuk subjek yang kita lemah. Sebelum itu, apa yang dimaksudkan subjek yang kita lemah? Secara mudahnya begini. Kalau satu subjek itu kita hendak dapat gred A tetapi sekarang kita dapat gred C ke bawah, kita anggap ia subjek yang kita lemah. Ini kerana kita perlu lompat sekurang-kurang dua tangga gred untuk sampai gred matlamat kita itu. Setuju? (Setuju je la ye untuk tujuan perbincangan petua ini. ?? )
Baiklah. Mari kita bincangkan masalah pengurusan masa subjek lemah. Selalunya, jika kita lemah sesuatu subjek, kita tidak akan suka untuk luangkan masa belajar atau ulangkaji subjek tersebut. Betul kan? Maksudnya, kalau kita lemah subjek Bahasa Melayu, kita jarang mahu belajar subjek ini apabila ada masa terluang. Kita lebih suka belajar subjek yang kita kuat apabila ada masa terluang.
Ini adalah normal. Subjek yang kita lemah membuat kita rasa tidak selesa. Setiap kali mahu belajar subjek itu, kita sudah mula rasa tekanan perasaan akibat kesusahan untuk memahami subjek tersebut. Jadi, selagi ada peluang, kita akan tinggalkan subjek tersebut. Caranya begini.
Ada 3 perkara yang kita patut lakukan untuk uruskan masa subjek yang kita lemah ini.
Pertama, buka buku subjek tersebut dan belajar topik yang paling mudah dahulu. Belajar bersungguh-sungguh hingga kita dapat kuasai topik tersebut. Biar kita rasa topik itu sangat mudah bagi kita. Apabila ini berlaku, motivasi dalam diri kita akan meningkat. Kita akan rasa lebih bersemangat untuk belajar. Apabila motivasi diri ini timbul, belajar beberapa topik lain yang paling mudah pula. Akhirnya, tanpa kita sedari, kita sudah belajar hampir semua topik. Lebih hebat lagi, semua topik kelihatan mudah sahaja.Kedua, jika kita belajar subjek yang kita kuat 1 jam, kita perlu belajar subjek yang kita lemah 2 jam atau lebih. Secara lojiknya, subjek yang kita lemah perlukan lebih perhatian bukan? Satu perkara yang hebat ialah apabila kita boleh kuasai subjek yang kita rasa susah selama ini, subjek lain akan terasa semakin senang. Lama-kelamaan, kita akan rasa mendapat semua A dalam peperiksaan adalah sesuatu yang kita boleh capai.Mula berkawan dengan pelajar yang pandai dalam subjek kita lemah ini. Tiru cara mereka berfikir tentang subjek ini. Lebih baik lagi, eratkan hubungan kita dengan guru yang mengajar subjek ini. Guru selalunya sangat suka apabila ada anak muridnya yang menunjukkan kesungguhan untuk belajar. Jadi luangkan lebih masa dengan kawan-kawan yang pandai subjek ini dan guru subjek ini.
Kita sambung ...
Petua 3.2
Ini adalah bahagian terakhir petua ketiga. Kita akan bincangkan bagaimana cara hendak menguruskan masa berpandukan matlamat. Mudah sahaja topik hari ini. Semasa kita merancang masa untuk belajar atau buat sesuatu, fikirkan tentang keberkesanan, bukan jumlah waktu. Maksudnya, jika kita mahu merancang masa untuk belajar, jangan terlalu fikirkan berapa jam mahu belajar, tetapi fikirkan berapa lama kita boleh luangkan masa untuk belajar sesuatu dengan berkesan.
Kita mungkin pernah dengar pelajar merungut yang mereka sudah belajar hampir 6 jam sehari tetapi hasilnya masih tidak memuaskan. Ada dua sebab utama mengapa ia jadi begini.
Pertama, pelajar ini mungkin tidak gunakan teknik belajar yang betul. Mereka luangkan banyak masa untuk belajar tetapi mereka lambat faham dan cepat pula lupa. Akibatnya, dalam peperiksaan, mereka tidak dapat menghasilkan prestasi terbaik.Kedua, walaupun masa terluang hampir 6 jam, hakikatnya masa yang digunakan secara berkesan cuma 1 atau 2 jam sahaja. Bagaimana ini boleh berlaku?
Ada pelajar yang tidak fokus semasa mereka belajar. Ada yang leka dengan televisyen atau radio. Ada yang leka dengan panggilan telefon dan sms. Ada yang leka dengan makan dan minum. Akibatnya, walaupun sudah luangkan masa 6 jam, masa yang betul-betul digunakan untuk belajar ialah 2 jam atau kurang. Pernahkah anda melakukan kesalahan begini?
Jadi, mulai hari ini, apabila kita mahu merancang masa untuk belajar, fikirkan berapa lama kita mahu benar-benar fokus. Setelah luangkan masa untuk belajar selama 2-3 jam, fikirkan “berapa banyak aku dah dapat dalam masa 2-3 jam tadi?”. Apabila kita selalu berfikir begini, kita akan habiskan masa dengan berkesan dan walaupun kita luangkan sedikit masa untuk belajar, hasilnya akan jadi lebih baik daripada yang kita jangkakan.
Selamat merancang untuk menguruskan masa.
Share this novel