Beberapa kali Mustapha meraup wajahnya. Dia juga melihat beberapa peserta kem memandang dirinya dengan pandangan pelik setiap kali lalu di hadapannya. Mustapha tidak ambil peduli. Malas dia hendak layan mereka yang tidak dikenalinya. Bukannya rapat pun.
Apabila dia menoleh kembali ke arah Iemran Iesmail, dia terlihat wajah Izzani yang sudah mempamerkan wajah sebenar-benarnya. Pucat tidak berdarah bagaikan sudah lama berada di dalam dasar kolam. Izzani tersengih memandang ke arahnya. Mustapha mengemam bibir berlagak berani berhadapan dengan Izzani .
“Kenapa kau muncul di hadapan aku? Apa yang kau cuba buktikan?” tanya Mustapha dengan lagak berani walaupun pada hakikatnya dia sudah kecut perut dengan tayangan perdana di hadapan matanya.
“Aku takkan muncul andai kau percaya pada kewujudan kami. Itu yang cuba aku buktikan pada kau.” Izzani seakan ingin menghampiri Mustapha tetapi dengan pantas Mustapha menarik tangan Bahar untuk berlari dari situ.
Mustapha merempuh sesiapa sahaja yang berhampiran dengannya. Dia tidak mahu diganggu oleh roh Izzani lagi. Ngeri melihat wajah pucat tidak berdarah itu.
“Hei, hei ... Mustapha .” Panggil salah seorang peserta yang berhampiran dengannya. Dia juga salah seorang ahli di dalam kumpulan Mustapha .
“Hah, ada apa Adam Haiqal? Aku tak boleh duduk dalam dorm ni lama-lama. Macam-macam perkara mistik aku alami.” Mustapha ingin segera keluar dari terus berada di dalam dormitu.
“Kau lari dengan siapa tu?” Adam Haiqal bertanya serius pada Mustapha yang masih memegang tangan seseoarang.
“Bahar . Takkan kau tak nampak rakan sekumpulan kita kot?” Mustapha terasa bengang dengan teguran Adam Haiqal macam dia berlari dengan hantu sahaja.
Share this novel