“Tak payah tengoklah bukan cantik pun. Satu lagi peristiwa yang aku alami. Masa makhluk berbulu tu heret aku ke tengah hutan, aku jumpa pula askar zaman Jepun dulu. Kau tahu tak, kepala aku hampir terpenggal. Nasib baiklah Komander Saten selamatkan aku. Kalau tak, pasti aku dah jadi arwah sekarang ni.” Cerita Mustapha dengan bersungguh-sungguh.
“Tu sebabnya aku tanya kau betulkah kem ni benar-benar berhantu?” sambung Mustapha apabila dia melihat wajah Izzani berkerut seribu.
“Apa kau kata tadi? Komander Saten selamatkan kau?” tanya Izzani kembali.
“Haah. Takkan kau dah lupa pada Komander Saten ? Baru semalam kot dia beri taklimat pada kita?” Kali ini Mustapha pula kehairanan dengan tingkah Izzani itu.
“Kau biar betul? Macam mana pula Komander Saten boleh selamatkan kau sedangkan dia dah tak ada?” Izzani memanah pandangan ke wajah Mustapha .
Terbeliak mata Mustapha mendengar kenyataan Izzani . Sunguh terperanjat dibuatnya dengan sesuatu yang tidak diduga.
“Apa kau kata? Komander Saten tak ada? Dia pergi mana?” Mustapha inginkan pencerahan daripada Izzani .
“Kau tak tahu ke atau kau tak dengar pengumuman? Komander Saten kan dah meninggal dunia semalam selepas kita balik ke dorm akibat serangan jantung? Jadi, macam mana pula dia boleh selamatkan kau? Atau roh dia yang selamatkan kau semalam?” Serius Izzani mengkhabarkan berita yang tidak disangka-sangka.
Terlopong mulut Mustapha cuba menghadamkan cerita yang dibawa oleh Izzani . Kalau benar Komander Saten sudah meninggal dunia, jadi siapa pula yang dia temui semalam? Adakah benar roh Komander Saten yang menyelamatkan dirinya. Patutlah Komander Saten kata padanya jangan percaya apa yang dilihat kerana yang dilihat itu tidak semestinya betul. Kenapa dia tak mendengar pengumuman yang dibuat tentang kematian Komander Saten ? Minda Mustapha benar-benar bercelaru kini.
“Kau tak tipu aku kan?” Sekali lagi Mustapha mendapatkan kepastian daripada Izzani . Izzani menggeleng-gelengkan kepalanya.
Share this novel