“Si ... siapakah kau?” Tergagap-gagap Mustapha cuba berbicara dengan makhluk yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
“Kau tak percaya pada kewujudan aku kan? Sekarang aku muncul di hadapan kau. Apakah masih kau tak percaya? Aku pantang dicabar sebab itu aku datang pada kau.” Makhluk itu menyeringai lagi sebelum menarik kaki Mustapha secara kasar dan dibawanya remaja itu ke tengah-tengah hutan.
“Lepaskan aku! Lepaskan aku!” Mustapha terjerit-jerit tetapi peliknya tiada seorang pun di dalam dorm itu yang mendengar jeritan Mustapha .
“Aku akan tunjukkan kau siapa sebenarnya aku supaya kau tidak celopar lagi. Aku sememangnya wujud. Orang yang bongkak macam kau saja yang tidak percaya pada kewujudan aku. Sekarang, kau takkan boleh lari dari cengkaman aku. Ha ha ha ....” Makhluk itu seakan mengejek Mustapha yang sudah kepucatan.
Menyesal aku cabar dia. Mulut akulah ni yang macam longkang, kan dia dah muncul. Mustapha mengutuk dirinya sendiri dengan keceloporan yang dia sendiri timbulkan. Sekarang dia akan menerima padah hasil dari mulutnya yang tiada insuran itu.
MUSTAPHA bagaikan terpukau mengikut sahaja ke mana makhluk itu membawanya. Sebaik sahaja sampai di tengah-tengah hutan, tiba-tiba pegangan kakinya menjadi semakin longgar dan bebas dari cengkaman makhluk itu. Mustapha segera bangun dan mengitari di sekelilingnya. Dia mencari makhluk yang membawanya ke tengah hutan tetapi makhluk itu sudah tiada. Dia sendiri tidak tahu ke mana makhluk itu pergi.
“Mana pula dia pergi ni? Takkan takut di tengah-tengah hutan? Pandainya, dahlah biarkan aku seorang-seorang kat sini dia terus lesap. Aku yakin makhluk tu bukan yang benar. Dia adalah ciptaan Izzani dan Bahar . Esok pagi aku akan buat perhitungan dengan mereka berdua. Suka hati betul memperdayakan aku. Hesy!” Mustapha kembali berwajah cengil. Hati yang sakit semakin sakit mengenangkan kedua-dua orang sahabatnya itu.
Share this novel