“Lepaskan aku! Aku nak balik. Aku bukan mangsa kau orang!” Bertambah kuat Nurudin menjerit.
“Kamu ini memang terlalu degil. Lagi disuruh diam, lagi kamu menjerit ya. Kamu akan menerima hukuman sebelum kepala kamu dipancung.” Pengikut askar Jepun itu hendak menujah kepala Mustapha dengan senapang yang dipegangnya.
“Arghhh!!!” Mustapha menutup matanya sebelum senapang askar Jepun itu singgah di kepalanya.
Tiba-tiba sahaja Mustapha terasa tubuhnya ditarik ke belakang dan dia mendengar jeritan kesakitan daripada askar-askar Jepun itu. Mustapha cuba membuka matanya sedikit untuk melihat apakah yang sedang berlaku. Dia berasa hairan apabila melihat dirinya berada di tengah-tengah padang berhampiran dengan dormmereka. Segera Mustapha mengalih pandangannya ke belakang untuk melihat siapakah yang mengheretnya dari tengah-tengah hutan itu. Apabila mata mereka bertentangan, Mustapha menarik nafas lega kerana wajah yang menyapa matanya adalah seraut wajah yang amat dikenalinya.
“Komander Saten . Terima kasihlah kerana menyelamatkan saya dari askar-askar Jepun tu. Kalau komander tak datang tadi, saya sendiri tak tahu apa yang akan berlaku pada saya.” Mustapha mula bangun. Elok sahaja dia bangun tanpa sebarang kesakitan.
Mustapha baru perasan sesuatu lalu dia membelek betis kakinya yang ditembak sebentar tadi oleh askar Jepun. Apa yang menghairankan, dia langsung tidak melihat kesan ditembak. Puas dia membelek tetapi kesan tembakan itu memang tidak ada.
Pelik. Mana kesan tembakan tu? Asyik benar Mustapha membelek kakinya sehingga terlupa bahawa Komander Saten masih berada di hadapannya.
“Apa yang kamu belek tu?” teguran daripada Komander Saten mengecutkan Mustapha yang masih mencari kesan tembakan di kakinya.
“Saya cari kesan tembakan di kaki saya. Pelik betul sebab tiada sebarang kesan tembakan tadi. Tak ada juga sebarang kecederaan. Saya macam bermimpi saja.” Mustapha membelek kakinya untuk kesekian kali sebelum memberi tumpuan penuh pada Komander Saten .
Share this novel