BAB 3

Thriller Completed 545

Memang tak boleh tahan apabila dirinya sudah biasa disogok dengan kemewahan duniawi. Mustapha tidak sanggup membayangkan semua kemudahan itu tiada di sisinya. Oh, tidak! Dia tidak mahu menjadi budak-budak zaman ortodoks. Dia mahukan kebebasan menggunakan kemudahan dan teknologi terkini. Beberapa kali Mustapha meneguk air liurnya setiap kali memikirkan kem remaja yang serba kekurangan dari segala segi. Yang paling tidak seronok apabila bilik dan katil terpaksa dikongsi oleh ramai orang. Mana ada privasi untuk dirinya. Sudah pasti dia harus ikut jadual yang telah ditetapkan. Itu juga bermakna dia tidak boleh bangun lewat atau tidur lewat. Ah, bosannya hidup!

“Mak ni sama saja dengan ayah. Semua tak faham kehendak Mustapha . Bencilah. Benci sangat-sangat!” Mustapha membentak lalu berlari naik ke atas dan menghempas pintu. Dia mengurung dirinya di dalam bilik dengan harapan agar emak dan ayahnya datang ke bilik dan memujuk dirinya. Yang paling dia hendak dengar adalah mereka membatalkan niat menghantar dirinya ke sana. Itu yang diharapkannya. Mustapha yakin kali ini dia akan berjaya memujuk ayah dan emaknya.

Puan Hazura hanya memandang tingkah Mustapha yang tampak sangat marah dengan keputusan mereka. Dia hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Makin lama Mustapha makin degil. Dia sendiri tidak tahu bagaimana lagi hendak membentuk keperibadian Mustapha . Mungkin dia terlalu memanjakan Mustapha . Maklumlah anak tunggal seorang. Dan itulah kesalahannya yang paling besar. Dia rasa menyesal kerana tidak pandai mendidik Mustapha sehingga remaja itu menjadi sangat degil dan kurang ajar. Puan Hazura melirik ke arah suaminya semula. Bukan kehendak hati untuk memujuk tetapi dia hanya ingin berbincang.

“Anak kurang ajar. Tengoklah perangai dia tu. Langsung tak nak dengar cakap kita. Semua hanya nak ikut kepala dia saja. Dia ingat dengan cara tu abang akan batalkan niat abang? Jangan haraplah. Haz pun jangan bagi dia muka sangat. Dia dah terlalu manja dan terlalu degil. Selalunya kita ikut cakap dia, dia ingat kali ni pun kita akan ikut cakap dia. Sekali-sekala dia kena juga belajar berdikari. Takkan semuanya kita nak suap.” Encik Saifuddin membentak sebagaimana Mustapha . Jika Mustapha berdegil, dia lagi degil. Dia sudah bertekad walau apa pun yang berlaku dia tidak akan turuti kehendak anaknya itu. Sudah seringkali dia ikut cakap Mustapha dan kali ini anak muda itu harus ikut cakapnya pula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience