“Baik aku pulang ke dorm semula. Aku tak nak ada yang menuduh aku merayap. Teruk karang aku didenda.” Mustapha membuat keputusan untuk pulang semula kedorm mereka tetapi telinganya menangkap sesuatu membuatkan kakinya terpasak di situ.
“Benarkah apa yang aku dengar ni?” Mustapha seakan tidak percaya apa yang didengar. Dia terus memasang telinga.
“Hesy, siapa pula yang kawad tengah-tengah malam ni? Atau memang kami semua akan dikejutkan untuk berkawad? Aduh, ni yang aku tak suka datang kem macam ni. Masa nak tidurlah, mereka nak berkawad. Bingai betullah.” Mustapha menghamburkan rasa tidak puas hati dengan aktiviti di tengah malam.
Walaupun demikian, Mustapha masih tidak bergerak di mana dia sedang berdiri. Dia terus menanti akan kehadiran siapakah yang bakal ditemui. Dari kejauhan dia melihat sekumpulan orang sedang berkawad. Apa yang pelik di pandangan matanya ialah, mereka yang berkawad itu memakai pakaian lengkap askar Jepun. Berdegup jantung Mustapha ketika mereka semakin menghampiri tempatnya. Siap ada parang dan juga senapang yang digalas bersama.
“Eh, dari mana pula datang askar Jepun ni? Takkan kami kena pakai pakaian Jepun untuk berkawad. Pelik sungguh. Atau mata aku yang menipu?” Mustapha masih tidak bergerak. Dia mahu melihat dengan lebih dekat lagi akan sekumpulan askar Jepun itu.
“Tuan, ada orang di sana.” Kata salah seorang askar yang mengikuti latihan berkawad itu sambil menunjuk tepat ke arah Mustapha .
“Alamak, mereka nampak aku ke? Macam mana ni? Nak lari dah tak boleh. Aku tunggu dulu. Apa-apa jadi baru aku cabut.” Mustapha bertekad di dalam hati.
Ketua askar itu betul-betul berdiri di hadapan Mustapha . Mustapha berusaha menahan pernafasannya. Macamlah askar Jepun itu tidak melihat dirinya. Askar Jepun itu membelek dari atas sehinggalah ke bawah batang tubuh Mustapha . Sudah pasti dia berasa hairan kerana pakaian Mustapha itu sungguh luar biasa daripada mereka.
Share this novel