BAB 4

Thriller Completed 545

“Tapi bang, betul ke apa yang kita buat ni? Haz takut dia memberontak di sana pula dan menyusahkan semua orang. Macam mana kalau dia larikan diri dari kem remaja tu? Itu yang Haz bimbangkan. Sudahlah kem tu di tengah-tengah hutan. Mustapha tu mana pernah masuk hutan. Dia anak bandar.” Puan Hazura meluahkan rasa kebimbangannya. Dia takut Mustapha tidak akan mampu bertahan selama dua minggu di kem remaja itu. Paling dia takut Mustapha akan melarikan diri dari sana. Bagaimana kalau anaknya itu tersesat jalan? Bagaimana pula jika anaknya itu menjadi mangsa binatang buas di dalam hutan itu? Semuanya itu cukup membimbangkan sekeping hati seorang ibu.

“Insya-ALLAH apa yang kita buat ni betul, Haz. Kem remaja tu dikawal ketat dan abang tak rasa dia mampu melarikan diri dari sana. Haz jangan bimbang, walaupun di tengah-tengah hutan tapi tak ada binatang buas di sana. Sudah lama kem tu beroperasi dan keselamatan pesertanya terjamin. Selama ni abang tak pernah dengar sesuatu yang buruk berlaku di kem tu. Abang yakin, Mustapha akan berubah setelah pulang dari kem tu. Kita tak boleh terlalu manjakan dia. Dia kena bentuk sahsiah dirinya yang semakin menyimpang. Abang harap sangat Mustapha akan sedar tentang hakikat dirinya sendiri. Abang yakin semuanya akan berakhir di kem remaja tu.” Encik Saifuddin memujuk isterinya.

“Kalau begitu kata abang, Haz ikut saja. Haz pun berharap benda yang sama, bang.” Puan Hazura menguntum senyuman manis buat suaminya.

“MAK, mak tak rindu Mustapha ke kalau Mustapha ke kem tu? Mak boleh ke hidup tanpa Mustapha ? Mustapha sayang mak tau. Mustapha kalau boleh tak nak berjauhan dengan mak. Tak boleh ke mak pujuk ayah? Masih sempat lagi kalau nak batalkan pendaftaran Mustapha .” Mustapha masih berusaha memujuk meraih simpati Puan Hazura walaupun ayahnya telah ke tempat pendaftaran untuk mengesahkan kehadiran Mustapha di kem remaja itu.

“Mak akan sentiasa rindukan Mustapha . Mustapha kan tahu macam mana mak sayangkan Mustapha . Tapi kali ni mak betul-betul tak dapat nak batalkan niat ayah Mustapha tu. Kem ni bagus untuk Mustapha . Mustapha kena juga belajar bergaul dengan mereka dari pelbagai golongan. Pergilah sayang. Tak lama pun, dua minggu saja.” Puan Hazura tidak endahkan cakap Mustapha malah memujuk untuk menyertai kem remaja yang akan berlangsung pada bila-bila masa sebaik sahaja selepas tamat sesi pendaftaran.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience