BAB 28

Thriller Completed 545

MUSTAPHA bungkam. Dalam dua hari sahaja berada di kem remaja itu dia mengalami pelabagai perkara mistik yang dia sendiri tidak menduga. Selama dia hidup, dia sering mempersendakan kewujudan makhluk halus. Dia sering berkata bahawa makhluk halus itu hanya wujud dalam ilusi sahabat-sahabatnya tetapi apa yang menimpa dirinya di dalam kem itu membuatkan dia sukar hendak percaya. Entiti itu wujud terang-terangan di hadapannya dalam keadaan yang cukup sempurna sekali sebelum menonjolkan diri mereka dalam keadaan yang lain.

Mustapha termenung jauh. Dia tidak tahu hendak percaya pada siapa lagi. Kadang-kadang yang dianggap kawan bukan kawannya yang sebenar. Kenapa hanya dia sahaja yang nampak mereka dari mula lagi sedangkan rakan-rakan yang lain tidak nampak apa yang dia nampak. Susah untuknya menilik yang mana satu benar dan yang mana satu tidak. Mustapha melepaskan satu dengusan kasar. Sesekali dia menelan liur. Rengkungnya agak kering. Lalu dia mencapai sebotol air mineral dan meneguk rakus bagi membasah tekaknya.

“Jauh kau termenung? Fikirkan apa?” Adam Haiqal yang kini mengambil tempat Bahar duduk di sebelahnya pada malam itu. Mereka baru sahaja selesai menjalani aktiviti secara berkumpulan di dalam dewan sebentar tadi dan kini tibalah masanya untuk mereka berehat pula.

“Hmm?” Mustapha hanya memandang sekilas pada Adam Haiqal sebelum menghala bebola matanya ke lantai semula.

“Kau masih ingat kejadian tadi?” Tebak Adam Haiqal. Dia melihat Mustapha tidak seperti mula-mula hadir di sini. Remaja itu seolah-olah hilang pegangan diri dan keegoannya terhakis sedikit demi sedikit. Dia tidak lagi berlagak mahupun meninggikan diri.

Perlahan-lahan Mustapha mengangguk kepalanya. Apa lagi yang perlu dikatakan kerana sememangnya dia masih teringat kejadian sebentar tadi. Semua yang dianggap kawan adalah entiti yang berniat mengganggu dirinya hanya kerana dia tidak percayakan kewujudan mereka.

“Aku dah tak tahu hendak percaya pada siapa sekarang. Takut aku nak tegur orang sembarangan. Takut terkena lagi. Mereka boleh muncul di hadapan kita pada bila-bila masa sahaja tanpa kita tahu bahawa mereka bukan manusia biasa.” Luah Mustapha dari hati ke hati.

Adam Haiqal menepuk-nepuk bahu Mustapha untuk memberikannya semangat. Dia tahu hati Mustapha agak rusuh sekarang ini. Dia perlu menjadi penyejuk kepada hati Mustapha agar remaja itu bertenang dalam menghadapi situasi baru yang diciptakannya untuknya.

“Buka mata hati kau, aku yakin pasti kau dapat melihat yang mana satu benar dan yang mana satu palsu.” Adam Haiqal memberi nasihat kepada Mustapha .

Mustapha hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Mindanya terlalu berat untuk memikirkan situasi-situasi yang tidak dijangka. Dia sangat penat dan letih. Pandangannya dihala ke arah Adam Haiqal dengan segaris senyuman tawar.

“Aku tidurlah ya Adam. Aku tak tahu kenapa aku penat sangat hari ni.” Mustapha meminta diri dan Adam Haiqal hanya mengangguk kepala. Terus Mustapha memanjat naik atas katilnya. Dalam beberapa saat sahaja kedengaranlah dengkuran Mustapha . Memang dia penat sangat agaknya. Penat berfikir dan dia berharap agar hidupnya tidak diganggu lagi. Perlahan-lahan Mustapha mula menerima kenyataan bahawa makhluk halus itu wujud dan dia tidak akan lagi mempersendakan akan kewujudan mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience