“Mak, Mustapha tak nak pergi ke kem remaja tu. Mak kan tahu, selama ni Mustapha mana pernah berjauhan dengan mak. Mustapha mana pernah buat kerja sendiri. Mustapha tak reti. Kalau Mustapha ke kem remaja tu, dah tentu semuanya Mustapha kena buat sendiri. Basuh baju, entah-entah masak pun sendiri. Mustapha mana pandai. Boleh tak mak pujuk ayah batalkan niatnya tu?” Mustapha betul-betul menggunakan kuasa pembujukan ke atas Puan Hazura.
Puan Hazura berasa simpati pula dengan Mustapha yang dipaksa untuk ke kem remaja itu. Dia memandang sekilas pada Encik Saifuddin tetapi lelaki itu buat-buat tidak nampak sambil meneguk kopi panas di tangannya serta menumpukan perhatian pada kaca televisyen. Jika begitu cara Encik Saifuddin, dia sudah tahu bahawa suaminya itu tidak mahu berbicara mahupun bertolak ansur dengan keputusan yang telah dibuat. Puan Hazura faham benar tingkah suaminya. Dia menarik nafas panjang-panjang sebelum menghela keluar. Kini bebola mata Puan Hazura kembali menatap semula pada Mustapha .
“Mustapha , maafkan mak ya sayang. Mak tak rasa ayah Mustapha akan tukar keputusannya walaupun mak pujuk. Ayah Mustapha dah lama rancang untuk menghantar Mustapha ke kem remaja tu. Selalunya tak ada tempat kosong, sayang. Penuh saja. Itu bermakna kem remaja tu bagus. Bila ada kekosongan, ayah Mustapha cepat-cepat daftarkan nama Mustapha sebab dia tak nak ketinggalan untuk Mustapha menuntut ilmu di sana. Pergilah nak, ke kem tu. Bagus untuk Mustapha belajar berdikari. Sampai bila Mustapha nak harapkan kami lakukan kerja-kerja Mustapha ? Sesekali Mustapha harus berdiri di atas kaki sendiri. Cubalah sekali ini jangan ingkar cakap ayah, ya sayang?” Penuh kelembutan Puan Hazura memujuk Mustapha agar tidak membantah rancangan mereka untuk menghantar dirinya ke kem remaja yang sudah lama terpahat di minda.
Mustapha tidak puas hati apabila pembujukkannya tidak menjadi, malah emaknya sendiri pula yang memujuknya untuk ke kem remaja itu. Dia sudah tiada cara lain lagi agar tidak ke kem remaja itu. Dia perlu lakukan sesuatu supaya mereka berdua mengubah keputusan yang sudah dibuat. Dia berharap mudah-mudahan dengan cara ini mereka akan membatalkan niat mencampakkan dirinya ke kem remaja itu. Siapa mahu berkampung di tengah-tengah hutan yang tidak ada internet mahupun televisyen. Malahan, telefon bimbit pun tidak dibenarkan guna. Itu syaratnya apabila berada di kem remaja itu. Atas sebab itulah Mustapha tidak mahu dihantar ke sana. Dia tidak boleh hidup tanpa internet dan telefon bimbitnya. Malahan boleh menjadi gila. Dua minggu baginya sangat-sangat lama.
Share this novel