“Kamu daripada mana? Kenapa pakaian kamu sangat berbeza daripada kami semua?” ketua askar Jepun itu menepuk-nepuk bahu Mustapha dengan senapangnya.
Okey, kali ni aku betul-betul takut. Mereka benar-benar nampak aku. Aku tidak berilusi atau berhalusinasi. Mustapha mula berpeluh dan berperang dengan dirinya sendiri. Melihat senapang yang digalas mereka sahaja sudah mampu buat Mustapha kecut perut. Hendak bernafas pun amat sukar baginya di kala itu.
“Saya dari sini. Saya adalah peserta kem remaja.” Mustapha menjawab dengan jujur dan telus. Mudah-mudahan dia akan selamat daripada cengkaman mereka.
“Kem? Kem remaja? Apa itu kem?” tanya askar Jepun itu dalam loghat Jepun yang sangat pekat. Mereka tahu berbahasa Melayu sedikit-sedikit dan masih difahami oleh Mustapha .
Alamak, mereka benar-benar askar Jepunlah. Daripada mana mereka ni semua datang? Siang tadi aku tak nampak pun mana-mana askar Jepun. Permainan apa pula Komander Saten lakukan? Mustapha masih berbual dengan dirinya sendiri.
“Kem membina semangat pelajar-pelajar di sini untuk berjaya di dalam hidup.” Mustapha masih berusaha menerangkan tentang kem remaja yang dihadirinya.
“Di sini tidak boleh merayau. Ikut aku.” Askar Jepun itu seakan tidak mahu melepaskan Mustapha dan memaksa dia untuk mengikuti mereka.
“Tak mau! Aku takkan ikut kau orang. Aku nak balik.” Mustapha bertindak melulu lalu melarikan diri dari terus menjadi tawanan askar Jepun yang entah dari mana datangnya mereka.
“Hei, jangan lari. Jangan ingkar dengan arahan aku. Berhenti!” Laung askar Jepun itu tetapi Mustapha tetap dengan keputusannya untuk melarikan diri. Mereka tidak tahu betapa degilnya Mustapha di kala itu.
“Kalau kamu lari aku tembak.” Askar Jepun itu mengugut Mustapha tetapi tidak diendahkan oleh remaja itu.
Share this novel